Monday, August 24, 2015

REVISI KOMSAS SPM 2015 - SIRI 11B



PETIKAN 7
Mendengar percakapan itu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa tidak tersabar lagi lalu menyampuk, “Wahai tuan-tuan sekalian, adakah patut orang yang serupa ini berhutang rial kepada patik? Sebenarnya dagang yang hina inilah yang telah menjadi tawanannya. Dia seorang pahlawan yang handal.”
“Kalau begitu,” kata Awang Sulung pula, “memanglah benar kata adinda, kerana kakanda telah menewaskan Tuan Puteri Dayang Nuramah yang hendak merampas kakanda daripada tangan adinda dan sekarang hutang pun sudah berbayar, piutang pun sudah diterima, maka memohonlah kakanda kembali ke Bandar Mengkalih.”
Oleh sebab terlupa hampa mendengarkan titah Awang Sulung itu, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa hendak terjun ke laut, tetapi segera dihalang oleh hulubalang yang ada di situ lalu dibawanya masuk ke magun. Di situ Tuan Puteri Dayang Seri Jawa telah tidak sedarkan diri.
“Ampun Tuanku, janganlah Tuanku sakat lagi puteri itu, kalau berlaku sesuatu hal kita juga yang susah,” sembah hulubalang itu.
Kemudian si Kembang Cina pun berpantun:
“Jangan ditebang gelanggang itu,
Pucuknya ada berjurai-jurai;
Jangan dikenang yang hilang itu,
Sudah jauh digonggong murai.”
Balas Awang Sulung:
“Bagaimana tidak dikenang,
Pucuknya pauh selasih Jambi;
Bagaimana tidak dikenang-kenang,
Dagang yang jauh kekasih kami.”

(i)               Apakah maksud magun? [2M]
Maksud kata ‘magun’ ialah bilik kurungan di buritan kapal layar / bilik rehat jurumudi.

(ii)            Mengapakah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa tidak sedarkan diri? (3m)
Tuan puteri tidak sedarkan diri kerana
-     Enggan berpisah dengan Awang Sulung Merah Muda.
-     Gagal terjun ke dalam laut kerana dihalang oleh hulubalang.
-     Hendak bermanja dengan Awang Sulung Merah Muda.

(iii)    Pada pendapat anda, mengapakah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa berpantun sedemikian dan apakah maksud pantun tersebut? (3 m)
Tuan puteri berpantun sedemikian kerana tidak mahu Awang Sulung Merah Muda:
-     pulang ke negeri asalnya.
Menasihati Awang Sulung merah supaya melupakan kekasih lamanya kerana kekasihnya itu telah dimiliki oleh orang lain.
-     Mempunyai perasaan sayang dan cinta kepada Awang Sulung Merah Muda
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

PETIKAN 8
Mendengar suara itu lanun-lanun itu mulai gementar. Mereka kenal itulah suara Awang Sulung, “Hai, baru ini kita kiamat, kita sudah derhaka kepada penghulu kita sendiri dan kepada diri kita sendiri!” bisik mereka sesama sendiri.
“Ampun Tuanku, patik tidak tahu bahawa Tuanku rupanya di dalam geliung panjang ini,” sembah mereka beramai-ramai dengan tubuh yang gementar.
“Beta tidak beritahukan pelayaran beta pada kalian kerana beta menemani Tuan Puteri Dayang Seri Jawa kembali ke negerinya. Lagipun beta telah berhutang kepadanya sebanyak dua puluh lapan rial batu dan emas sejangka tiga untuk melangsaikan hutang beta kepada Datuk Batin Alam.”
“Ampun Tuanku, janganlah Tuanku dukacita dengan hutang itu. Sekiranya Tuanku hendak kembali ke Bandar Mengkalih, biarlah patik isikan geliung ini penuh sarat dengan rial batu dan emas.”

(i) Apakah maksud rangkai kata isikan geliung ini penuh sarat? (2m)
-          memuatkan kapal layar yang besar dengan padat

(ii) Mengapakah Awang Sulung tidak menghebahkan tentang pelayarannya?
       Nyatakan tiga sebab beliau berbuat demikian berdasarkan petikan di atas. (3m)
-          menemani Tuan Puteri Dayang Seri Jawa kembali ke negerinya
-          berhutang kepada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sebanyak lapan rial batu
-          menyelesaikan hutang kepada Datuk Batin Alam sebanyak emas sejangka tiga

(iii) Pada pendapat anda, mengapakah lanun-lanun begitu menghormati Awang
        Sulung? Berikan tiga sebab. (3m)
-          mempunyai sifat yang mulia
-          seorang yang sangat bijaksana
-          seorang pahlawan yang handal
-          suka memaafkan kesalahan orang lain
-          seorang yang sangat merendah diri

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------- 
PETIKAN 9
Setelah beberapa lama berlabuh barulah orang-orang yang mabuk tadi tersedar. Sesetengahnya terpinga-pinga sambil bertanya-tanya di manakah mereka berada sekarang, tetapi jurumudi pula tersedar segeralah dia mencabut kerisnya lalu menikam seekor ayam. Dengan kerisnya yang berlumuran darah itu pergilah dia mendapatkan Tuanku Nakhoda Tua.
“Ampun Tuanku, patiklah yang memeliharakan geliung ini daripada amuk Tuan Puteri Dayang Nuramah kelmarin.”
Tuanku Nakhoda Tua yang baru pulih dari mabuknya terpisat-pisat membelek-belek keris jurumudi yang penuh berdarah itu. Fikirnya, sungguh juga kata jurumudi ini, kerana waktu amuk itu berlaku beta jatuh pengsan.
Tiga hari tiga malam lamanya geliung itu berlabuh di Pulau Tapai. Anak-anak geliung bersuka ria dengan pelbagai jamuan. Kemudian Tuanku Nakhoda Tua berkata, “Jikalau selamat geliung inisamapai ke Tanah Jawa, akan ku kahwinkan puteriku Dayang Seri Jawa dengan sesiapa yang dapat menyelamatkannya.”
“Ampun Tuanku, patiklah akan menjadi galang gantinya hingga selamat sampai ke Tanah Jawa,” sembah jurumudi.
“Sabarlah wahai jurumudi, sekarang kita masih dalam perjalanan, kita belum lepas daripada bahaya yang besar, kerana bajak laut terlalu banyak di lautan depan ini.”
Pada suatu hari ketika anak-anak geliung itu memikul kayu api dan mencari air di pulau, terlihatlah oleh jurumudi itu akan Awang Sulung. “Eh, mengapa budak hitam itu duduk dan makan saja, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa? Tidakkah ia disuruh bekerja seperti anak-anak geliung yang lain?”
Oleh sebab terlalu marah melihatkan telatah jurumudi itu, jawab Tuan Puteri Dayang Seri Jawa? “Apa kau peduli, geliung ini bukan kepunyaanmu, bukan nasi kau yang dimakannya dan bukan air kau yang diminumnya.”
Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mulai terfikir hendak menguji kecekapan Awang Sulung lalu disuruhnya Si Kembang Cina mengembalikan buyung suasa dan meminta Awang Sulung mengambil air, tetapi Awang Sulung berkayuh ke tengah laut di tempat arus yang paling deras untuk mengambil air.

i)   Apakah maksud rangkai kata menjadi galang ganti? [2m]
Maksud rangkai kata - mempertaruhkan diri

ii)  Mengapakah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa tidak menyuruh budak hitam itu
bekerja seperti anak-anak geliung yang lain? [3m]
Tuan puteri tidak menyuruh budak hitam itu bekerja kerana tuan puteri:
-     Mengetahui budak hitam itu adalah anak raja yang berdaulat / Awang Sulung Merah Muda.
-     Menyayangi budak hitam itu.
-     Mahu menyuruhnya memenuhkan air dalam buyung suasa.

iii) Berdasarkan petikan di atas, tuliskan tiga watak dan perwatakan jurumudi. [3m]
Perwatakan jurumudi ialah:
-     Mabuk laut
-     Pembohong – mengaku menyelamatkan geliung daripada serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah.
-    Iri hati – dengki melihat Awang Sulung Merah Muda tidak bekerja seperti           
     anak-anak geliung yang lain.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

PETIKAN 10
Melihatkan lanun itu telah pergi, jurumudi segera mencabut kerisnya lalu menikam seekor ayam lagi, kemudian dengan keris berdarah itu pergilah dia menghadap Tuanku Nakhoda Tua mengatakan dialah yang telah menyelamatkan geliung itu daripada dirampas oleh lanun.
Dengan tidak berfikir panjang lagi, Tuanku Nakhoda Tua percaya dengan kata-kata jurumudi yang palsu itu, lalu baginda menitahkan Mualim Cik Mas menikahkan puterinya dengan jurumudi itu.
Apabila jurumudi dan Mualim sudah sedia di depan Tuanku Nakhoda Tua, masuklah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan geramnya, “Ya, ayahnada, tua orang tua, berakal; makin tua makin berminyak, tetapi tua ayahanda tua cendawan makin tua makin busuk!”
Tuanku Nakhoda menjadi tersentak, “Hai anakku yang tidak tahu dek untung, mengapakah kau berkelakuan demikian ini di depan orang tua?”

1.   Apakah maksud rangkai kata, tua orang tua, berakal; makin tua makin berminyak, tetapi tua ayahanda tua cendawan makin tua makin busuk? [2m]
Maksud rangkai kata ini ialah orang tua sepatutnya bertambah cerdik kerana berpengalaman seperti kelapa tua yang berminyak. Tetapi tua “ayahanda” diibaratkan cendawan yang semakin rosak dan membusuk kerana terus mempercayai kata-kata jurumudi tanpa usul periksa.

2.   Nyatakan siapakah “anakanda” dan siapakah “ayahanda” dalam petikan di atas? Apakah pula penerangan yang dikemukakan oleh “anakanda” kepada “ayahanda” itu. [3m]
“Anakanda” ialah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa yang menerangkan kepada “ayahanda”, iaitu Tuanku Nakhoda Tua tentang jurumudi yang berbohong. Sebenarnya, Awang Sulung Merah Muda yang menjaga dan menyelamatkan kapal tersebut daripada serangan lanun, bukannya jurumudi.

3. Pada pendapat anda, mengapakah jurumudi bersungguh-sungguh hendak memperisteri Tuan Puteri sungguh-sungguh hendak memperisteri Tuan Puteri Dayang Seri Jawa? Berikan alasan anda. [3m]
Pada pendapat saya, jurumudi hendak memperisteri Tuan Puteri Dayang Seri Jawa kerana kecantikan Tuan Puteri tersebut. Selain itu, keturunan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa merupakan golongan bangsawan, dipandang tinggi oleh masyarakat dan berharta pula. Jadi, jurumudi berhasrat merampas Tuan Puteri Dayang Seri Jawa daripada Awang Sulung Merah Muda agar cita-citanya itu tercapai.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
SOALAN-SOALAN KBAT

1.     Pada pendapat anda, wajarkah Tuanku Nakhoda Tua mengahwinkan anaknya, 
      Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan jurumudi? Nyatakan empat alasan anda. [4m]
 Wajar:
… pada pandangan Tuanku Nakhoda Tua, jurumudi banyak jasanya.
…Tuanku Nakhoda Tua yakin bahawa jurumudi yang telah menghapuskan lanun.
…Tuanku Nakhoda perlu mengotakan janjinya
…anak seharusnya mengikut perintah ayahnya.
  Tidak wajar:
… Tuanku Nakhoda Tua sepatutnya menyelidik kebenaran kata-kata jurumudi lebih dahulu
… Tuan Puteri Dayang Seri Jawa tidak menyukai jurumudi
…jurumudi menipu Tuanku Nakhoda Tua dengan mengatakan bahawa dia yang menyelamatkan geliung itu daripada dirampas oleh lanun
…jurumudi seorang pengecut dan gemar mengambil kesempatan atas susah payah orang lain.

2.     Pada pendapat anda, wajarkah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menolak permintaan ayahandanya untuk memanggil Awang Sulung Merah Muda? Kemukakan tiga pendapat anda. [3m]
Wajar kerana:
…puteri akan dilihat sebagai tidak sopan
…Tuanku Nakhoda yang bersalah dan sepatutnya baginda yang berjumpa sendiri dengan Awang Sulung Merah Muda
…Awang Sulung Merah Muda akan mentaati perintah Tuanku Nakhoda Tua

3.     Pada pendapat anda, mengapakah aktiviti menyabung ayam tidak digalakkan dalam masyarakat? [4m]
…kerana perbuatan itu dianggap menganiayai binatang
…unsur perjudian terdapat dalam aktiviti ini
…dalam Islam perkara ini haram

4.     Sikap Tuan Puteri Dayang Seri Jawa terhadap ayahandanya dianggap kurang ajar. Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu berhemah ketika berkomunikasi dengan ibu bapa kita? [3m]
…kerana mereka yang melahirkan dan membesarkan kita dengan kasih sayang
…kata-kata yang kasar akan menyebabkan hati mereka tersinggung
…supaya hidup kita memperoleh keberkatan

5.     Jika anda menghadapi situasi yang sama seperti Tuanku Nakhoda Tua, apakah yang akan anda lakukan untuk memujuk orang yang berkecil hati? [3m]
…mengungkapkan kata-kata pujian
…kata-kata kita mesti bersikap lemah lembut agar orang yang mendengarnya memberikan respons positif
…jika masih gagal, jangan berterusan mendesak, sebaliknya berikan masa dan datang pada waktu lain untuk memujuknya.

6.   Hasrat Awang Sulung Merah Muda yang mahu melangsaikan hutang wajar dicontoh. Berikan tiga kesan jika sesuatu hutang tidak dilunaskan. [3m]
…tidak dapat menjalani kehidupan dengan aman dan tenang Cth: sentiasa diganggu orang yang meminjamkan wang
…dihimpit pelbagai perasaan. Cth: fikiran tertekan – resah gelisah – kerja-kerja tergendala kerana memikirkan hutang
…berlakunya pertengkaran,permusuhan, atau kejadian yang tidak diingini. Cth; diancam oleh pihak yang berhutang.

7.     Pada pendapat anda, mengapakah Awang Sulung enggan datang menghadap Tuanku Nakhoda Tua? [3m]
…Awang Sulung berasa kecil hati kerana sebelum ini dia pernah diusir atau dihina oleh Tuanku Nakhoda Tua untuk meminta pertolongan membayarkan hutang
…darjat dirinya tidak setaraf dengan baginda
…dia hanya menumpang teduh di dalam kapal dan masih berhutang
…dia bersikap rendah diri

8.     Pada pendapat anda, mengapakah kedatangan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa disambut dengan begitu meriah? [3m]
…kerana puteri itu daripada keturunan raja yang berpengaruh
…menunjukkan bahaw negeri mereka negeri berdaulat dan tahu adat
…sudah menjadi kebiasaan negeri-negeri pada zaman itu, tetamu daripada keturunan raja perlu disambut meriah, seperti yang diterima apabila baginda melawat negeri lain.

9.     Pada pendapat anda, mengapakah Awang Sulung memberi pelbagai alasan terhadap permintaan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa? Nyatakan tiga alasan yang menjadi penyebab tindakan Awang Sulung. [3m]
…Awang Sulung memberi pelbagai alasan untuk melihat kesungguhan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mahu mendapatkan khidmatnya
…dia tidak mahu berkawan rapat dengan puteri itu agar puteri itu tidak mengetahui latar belakang hidupnya
…kemungkinan sememangnya tubuhnya letih dan tidak mampu membantu orang lain.

10.Pada pendapat anda, apakah tujuan Awang Sulung menyamar sebagai budak yang comot? [3m]
…merasai pengalaman sebagai orang biasa
…menguji pembesar-pembesar di sesuatu kawasan, sama ada menghormati orang ramai atau tidak
…mengetahui tahap layanan yang diterima oleh golongan bawahan

11.Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu mengetahui adat di negeri orang apabila kita merantau di tempat orang? [3m]
…kita tidak akan dipandang serong
…orang lain akan menghormati kita
…kita mudah mendapat kawan

12.Pada pendapat anda, mengapakah masyarakat dahulu gemar menyabung ayam? [3m]
…tidak ada pilihan hiburan yang lain
…untuk mengisi masa lapang
…kurang kesedaran dan pengamalan ajaran agama
      …dianggap tidak menjadi kesalahan dari segi undang-undang

No comments:

Post a Comment