Wednesday, November 28, 2018

SINOPSIS NOVEL TIRANI (BAB 11 HINGGA BAB 15)

BAB 11: ORANG RUMAH SEBELAH


Fatimah menerima e-mel menceritakan hubungannya dengan Zahid. Fatimah menceritakan bahawa Zahid yang yang ditemui oleh Waheeda adalah anak kepada Datuk Yasser, tuan punya Sri Gading Holding. Raidah sangat gembira mendengar berita tersebut

Di Flamingo, berita kemenangan Waheeda sebagai Miss Tourism International  disebarkan kepada semua. Di biliknya Waheda menerima bunga daripada Zahid dan Dr. Rushidi. Waheeda juga menceritakan hubungannya dengan Zahid kepada Bazilah. Bazilah sangat gembira dan berpesan supaya Waheeda menghantar kad jemputan nanti.

Manakala di Tajau Emas pula, Raidah berasa pelik bila diberitahu rombongan Datuk Yasser akan datang merisik anaknya sedangkan Waheeda masih berada di Singapura.  Acara merisik ini diteruskan juga tanpa kehadiran Waheeda.  Walau bagaimanapun, Raidah mengharapkan Waheeda akan pulang pada majlis pertunangan itu nanti.

BAB 12: BIDADARI DARI LANGIT
Di Sri Gading, Zahid sering menunggu panggilan daripada Waheeda. Zahid terus menelefon Waheeda dan perbualan mereka agak panjang dan mesra. Dalam perbualan tersebut, Zahid memujuk Waheeda supaya pulang ke Sarawak. Namun Waheeda memaklumkan kesibukan tugasnya dan kontraknya masih belum berakhir.

Kesibukan persiapan di Tajau Emas disampaikan oleh Fatimah melalui telefon. Tetapi perbualan mereka sering terganggu dengan bunyi bersin dan Waheeda menerangkan kepada Fatimah, dia tidak berapa sihat dan sering selesema. Rentetan itu, Waheeda mendapatkan rawatan dari doktor di klinik panel Flamingo tetapi kesihatannya tetap tidak berubah. Selesemanya masih berlarutan. Selepas bersin berpanjangan, Waheeda berasa tulang rawan hidungnya jatuh lalu menelefon Dr Rushidi. Kemudian Waheeda terus ke SMC untuk mendapatkan rawatan.

BAB 13: MATI HIDUP SEMULA

Majlis pertunangan yang sepatutnya berlaku pada hari Ahad bertukar menjadi majlis kenduri doa selamat di rumah Datuk Yasser. Manakala di rumah Hj Fadhil dan Hjh Raidah diadakan majlis pertunangan antara Fatimah dan Ghazi. Hal ini disebabkan ketidakhadiran Waheeda ke rumahnya kerana dia sedang berada di SMC untuk menerima rawatan.

Kerunsingan yang dialami oleh Zahid menyebabkan dia mengambil keputusan untuk pergi ke Singapura. Sesampainya Zahid di Flamingo, Zahid diberitahu  oleh Anati bahawa Waheeda berada di SMC. Semasa di SMC, Zahid melihat kemesraan antara Waheeda dengan Dr Rushidi. Zahid cemburu tetapi perasaan itu dapat diredakan apabila Waheeda menyatakan bahawa situasi tersebut berlaku kerana Dr Rushidi ingin  menguji deria bau dengan menyembur minyak wangi selepas mengalami selsema yang agak teruk. Zahid kembali tenang.

BAB 14: BAGAIKAN PUTERI

Pesta perkahwinan antara Zahid dan Waheeda berlangsung di Tajuu Emas. Suasana di Tajau Emas sangat meriah. Majlis perkahwinan ini berlangsung selama dua hari berturut-turut melibatkan semua kaum di daerah Matang. Datuk Yasser akan mengadakan majlis sambutan yang serupa di Hotel Seri Gading pada minggu hadapan. Kedua-dua keluarga yang bersatu itu sungguh gembira.

BAB 15: HIDUP RANGGI

Sejak pertemuan dengan Waheeda di Flamingo, persepsi Zahid  tentang cinta dan kehidupan kini berbeza. Zahid teringat kata-kata kawannya bahawa hidup ranggi tidak sampai ke mana sedangkan usia semakin meningkat. Dalam dua minggu bergelar pengantin baru, keintiman semakin terpaut utuh antara Zahid dan Waheeda. Waheeda juga bersyukur kerana berjaya membina kerjaya serta keterampilan sentiasa meniti dibibirnya.

SINOPSIS NOVEL TIRANI (BAB 6 HINGGA BAB 10)

BAB 6: METAMORFOSIS

Pembedahan terhadap Waheeda berjalan dengan lancar. Pembedahan tersebut mengambil masa selama 12 jam. Waheeda berasa lega kerana hasratnya untuk merubah wajahnya seperti yang diidamkan sudah terlaksana. Semasa Waheeda berehat di rumah, dia telah membaca satu tawaran pakej pelancongan yang ditawarkan oleh Timberland Medical dan SMC ke Hotel Flamingo De La Rossa, Pulau Sentosa, Singapura. Tawaran ini dikhaskan kepada pelanggan SMC yang membayar 30 ribu ke atas. Waheeda menerima tawaran tersebut.

BAB 7: KE PULAU SENTOSA

Percutian ke Pulau Sentosa ditemani oleh sahabatnya Bazilah dan Dr Zahari. Kebanyakan masa dihabiskan dengan membaca buku yang tersedia di hotel tersebut. Mereka juga menghargai anugerah alam di situPercutian ini semakin rancak dengan kehadiran Dr Averroes yang juga dikenali sebagai Dr Rushdi. Mereka bersantai bersama-sama berkongsi pengalaman dan pandangan.

BAB 8: HADIAH ALAM

Dr Rushdi menyatakan bahawa  kecantikan ialah tirani yang hadir hanya sementara sahaja. Istilah tirani menurut Dr Rashdi berasal dari Greek. Waheeda menerima berita gembira untuk menghadiri satu temuduga pegawai Perhubungan di Flamingo Resort. Sebelum tidur pada malam itu, Waheeda berfikir mungkin dia akan berpisah dengan sahabatnya, Bazilah kerana Flamingo Resort terletak jauh di sebelah selatan Singapura.

BAB 9: WAJAH PESONA

Waheeda sedar kebelakangan ini, Dr Zahari selalu datang ke rumah Bazilah. Tindakan Dr Zahari yang mesra dan seakan-akan tidak mempedulikan Bazilah menyebabkan Waheeda kurang selesa. Waheeda berasa Dr Zahari melemparkan pandangan mata yang cukup berlainan yang mugkin menyebabkan Bazilah cemburu. Peristiwa ini menyebabkan Waheeda menganggap  tirani itu memang benar. Dengan alasan ini, Waheeda mengambil keputusan untuk berpindah ke Flamingo Resort.

Pada minggu pertama di tempat kerja, Waheeda telah menerima tugas yang agak berat yang diberikan oleh Encik Halloway. Dalam pertemuan ini, Halloway telah menawarkan Waheeda sebagai wakil Flamingo Resort dalam pertandingan ratu antarabangsa yang akan diadakan pada pertengahan hadapan. Waheeda terkejut mendengar tawaran tersebut. Keadaan itu diredakan apabila Halloway memuji kecantikan Waheeda. Setelah Halloway beredar, Waheeda berkenalan dengan Zahid. Melalui perbualan tersebut, Waheeda  dan Zahid begitu teruja dan hati mereka terus berbunga.

BAB 10: SENYUM SEPULUH ELA

Datuk Yasser berkunjung ke Singapura dan menginap di Flamingo Resort dengan tujuan untuk menemuinya anaknya Zahid yang baru pulang dari Amerika. Tujuan asalnya untuk bertanya kepada Zahid tentang kepulangan Zahid dari Amerika. Zahid menjelaskan kepada ayahnya bahawa dia tidak suka  tinggal di sana kerana beberapa isu negatif terhadap Malaysia dan Islam. Datuk Yasser berasa bersyukur atas keputusan Zahid. 

Seterusnya, persiapan sedang dibuat oleh Kong dan Anati yang sibut memberi idea  tentang pakaian yang sesuai dipakai oleh Waheeda ke Pertandingan Ratu Cantik Miss Tourism Internasional nanti. Waheeda mencadangkan bahawa dia tidak mahu memakai feksyen yang berbelah sampai ke paha. Sebaliknya dia akan mengenakan pakaian Gajoh Oleng yang merupakan pakaian tradisi Sarawak.


SINOPSIS NOVEL TIRANI (BAB 1 HINGGA BAB 5)

BAB 1: MELONTAR PUING DUKA 


Semasa di homestay miliknya, Waheeda sedang melayari laman sesawang tentang kecantikan diri seorang wanita yang merupakan sinonim dengan sifatnya yang terlalu obses dengan kecantikan.  Lalu Waheeda teringat akan hidungnya yang pesek  yang menjadi ejekan kepada kawan-kawannya seperti  Si Nuar, Si Man dan Mat Gusi. Hatinya sentiasa memberontak dengan keadaan itu. Atas nasihat ibunya, Raidah dan kawannya, Nasuha serta Ustazah Ruqaiyah perasaan benci  dan bergelora terhadap kawan-kawannya dapat diredakan. Menyedari kekurangan diri, keinginan Waheeda melakukan pembedahan plastik pada wajahnya begitu membuak-buak. Baginya kecantikan ialah ruang dan peluang membina keterampilan diri

BAB 2: DAYANG MUDA

Semasa di pejabatnya,  Waheeda dan Fatimah sibuk berbincang tentang  dua lawatan institusi pelancongan dan lawatan Putera  Andrew ke Dusun Tajau Emas. Kehadiran para pelancong ini menyebabkan Waheeda berasa amat gembira. Namun di sebalik kehadiran pelancong itu, Waheeda berasa amat kecewa atas penampilan dirinya yang tidak cantik dan Waheeda memasang niat untuk membuat pembedahan plastik. Hasrat ini telah dinyatakan kepada ibunya, Raidah.  Akan tetapi, bapa Waheeda tidak menggalakkan kerana  bercanggah dengan hukum agama.

Tidak  beberapa lama kemudian, keadaan chalet  pada malam itu menjadi kelam kabut. Seekor  monyet Belanda telah menerpa masuk ke dalam chalet. Nasib malang telah menimpa Waheeda kerana monyet itu telah menggigit muka Waheeda. Dia luka parah dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang dikendalikan oleh Dr. Zakaria. Melalui perbincangan antara Waheeda dengan Dr Zakaria, Waheeda telah bersetuju untuk melakukan pembedahan plastik dengan menggunakan kepakaran di Singapura.

BAB 3: KATARSIS

Perjalanannya  menuju ke Lapangan Terbang Kuching pada pagi itu ditemani oleh ibu Waheeda(Raidah), Kamri dan Ghazi selaku pemandu kereta pacuan empat roda (Prado). Ghazi ialah abang Waheeda yang melepaskan jawatan sebagai jurutera di petronas telah pulang ke pangkuan keluarga untuk memajukan perniagaan keluarganya. Mereka sempat sampai ke Lapangan Terbang Kuching sebelum waktu berlepas. Raidah melihat wajah anaknya yang tidak menunjukkan rupa kesedihan. Jelaslah Waheeda mempunyai perasaan katarsis.

Sesampainya di Lapangan Terbang Changi, Singapura, Waheeda menuju ke rumah  Bazilah di Yishun Street iaitu kawan satu universiti dengannya. Waheeda akan tinggal bersama Bazilah sepanjang menerima rawatan di Silicon Medical Centre, Singapura yang dikendalikan oleh Dr Alma Hollis.

BAB 4: SEMARAK API SEMARAK HATI

Sebelum Waheeda menuju ke  rumah Bazilah, Waheeda  kagum  dengan kebersihan bandar raya Singapura. Dia juga amat peka kewujudan pokok-pokok semarak api yang sedang berbunga. Waheeda akan tinggal di salah sebuah bilik di rumah  kepunyaan pakcik Bazilah. Semalaman mereka berbual mengenang kembali peristiwa-peristiwa semasa mereka sama-sama belajar di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Malaysia

Keesokan harinya, Waheeda telah diperkenalkan oleh Bazilah kepada tunangnya, Dr Zahari. Kebetulannya Dr Zahari merupakan doktor pakar pembedahan plastik di Hospital Sultanah  Aminah, Johor Bharu. Dalam sebuah restoran, Dr Zahari menjelaskan gambaran tentang pembedahan plastik yang akan dilalui oleh Waheeda. Pada masa yang sama, Waheeda juga menyatakan  bahawa dia berhajat untuk melakukan pembetulan di kelopak matanya.

BAB 5: DOA SELAMAT

Waheeda menghantar e-mel yang menceritakan rawatan yang akan dilaluinya kepada Ghazi. Apabila Ghazi menyatakan pembedahan tersebut mengambil masa kira-kira 10 jam kepada ibunya, Raidah menjadi gusar lalu bertindak  dengan menyediakan sejenis makanan yang bernama ketupat lepas. Penyediaan ketupat lepas ada kaitan dengan kepercayaan masyarakat di situ untuk menolak bala. Raidah juga menyuruh Ghazi membeli tiket kapal terbang ke Singapura. Raidah akan memberi ketupat lepas itu kepada anaknya itu kononnya untuk menolak bala.

Waheeda terkejut dan amat gembira dengan kedatangan ibunya. Raidah dan Bazilah menemani Waheeda ke SMC. Selepas berjumpa dengan Dr Alma Chen dan menandatangani beberapa dokumen mereka terus ke bilik bedah. Di luar dewan bedah, Raidah mendoakan keselamatan Waheeda