Thursday, March 29, 2012

TUGASAN NOVEL KONSERTO TERAKHIR 1

TAJUK : WATAK DAN PERWATAKAN (KAJIAN BAB 1 - BAB 4)

Berdasarkan contoh-contoh di bawah, senaraikan watak dan perwatakan yang terdapat pada watak antagonis (HILMI) dan watak ANTAGONIS (DATIN SALMAH)

BAB 1

  • Ketika guru muzik itu berpaling hendak menuju ke muka pintu, dia tergamam seketika kerana melihat seorang pemuda yang tingginya lima kaki lima inci tercegat di muka pintu itu. Rambut lelaki itu ikal sedikit dan matanya agak liar. Pakaiannya diperbuat daripada bahan kain yang murah dan pakaian itu agak lusuh. Seluarnya berkedut dan bajunya sudah hilang warna asalnya. Lelaki itu sudah tidak berkasut kerana kasut getahnya sudah ditinggalkannya di muka pintu. Di bawah ketiak kanan lelaki itu tersepit sebuah beg perjalanan yang tidak bertali. Guru muzik Hayati terkejut kerana dia menyangka anak muda itu orang jahat.
  • Sekali lagi, Hilmi memperkenalkan dirinya sebagai Hilmi. Dia membahasakan dirinya sebagai abang Hilmi dan mengatakan bahawa mungkin Hayati tidak mengenali dirinya. Hayati berasa agak hairan apabila Hilmi mengemukakan beberapa persoalan tentang dirinya. Akhirnya, Hilmi memperkenalkan dirinya sebagai sepupu dengan Hayati, iaitu dia merupakan anak Pak Long Karim dari Kedah.
  • Ketika itu, sebuah motokar berhenti di pekarangan rumah dan ibu Hayati yang berusia dalam lingkungan empat puluhan masuk. Ibu Hayati bertanya tentang kasut di muka pintu itu dengan perasaan marah, dia masuk ke dalam rumah tanpa membuka kasutnya. Dia tidak mempedulikan Hilmi yang berdiri di sudut ruang tamu itu. Ibu Hayati mencampakkan beg kulitnya ke atas kerusi sambil memanggil Hayati dan bertanya tentang minuman yang terletak di atas meja. Apabila mata Datin Salmah bertembung dengan mata Hilmi, Datin Salmah bertanyakan Hilmi tentang dirinya dengan suara yang agak tinggi.
  • Hilmi memperkenalkan dirinya dan bertanya sama ada orang di hadapannya itu ialah Mak Cik Salmah. Hal ini menyebabkan ibu Hayati tergamam kerana Hilmi tidak membahasakan dirinya sebagai Datin.
  • Datuk Johari juga berasa tidak senang hati dengan kedatangan Hilmi ke rumahnya kerana takut segala rahsianya terbongkar. Sebenarnya, Datuk Johari meninggalkan kampungnya di Kedah kerana bapanya memaksanya berkahwin dengan seorang gadis dari kaum keluarga mereka sebaik sahaja dia tamat School Certificate daripada Maktab Sultan Abdul Hamid dan bekerja sebagai kerani di pejabat pos besar. Jadi, pada malam pengantin itu, Datuk Johari meninggalkan kampung dan meninggalkan surat cerai kepada isterinya. Dia tidak pulang ke kampung itu kecuali semasa kematian bapanya kira-kira 17 tahun yang lalu.
  • Datuk Johari mendapat tahu tujuan kedatangan Hilmi ke rumahnya adalah untuk mencari pekerjaan. Jadi, semasa di pejabatnya pada petang itu, Datuk Johari menelefon rakan-rakan karibnya yang bekerja dengan kerajaan dan swasta untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai untuk Hilmi yang hanya lulus darjah empat sekolah Melayu. Jawapan yang diperolehnya telah mengecewakannya. Akhirnya, Datuk Johari mengambil keputusan untuk meminta Hilmi menguruskan kebun di belakang rumah dan menjaga tanaman bunga yang terdapat di pekarangan rumah mereka.
  • Pada petang itu juga, Hilmi nampak Mohsin, iaitu tunang Hayati yang menjawat jawatan tinggi di bank memandu motokar Volvo sport menghantar Hayati pulang.
  • Hilmi berhenti melakukan kerja perkebunan itu apabila hari sudah lewat petang untuk menunaikan sembahyang Asar.

BAB 2

  • Semasa makan, Hilmi juga dapat mengetahui latar belakang Pak Amat. Setelah itu, Hilmi bertanya kepada Pak Amat tentang tetamu di rumah Datuk Johari. Pak Amat memberitahunya bahawa mereka itu ialah saudara-mara Datin Salmah dan mereka selalu datang ke situ hampir setiap minggu. Mereka ialah abang Datin Salmah, iaitu Tan Sri Rahmat yang menjadi pegawai tinggi di sebuah perbadanan berkanun, kakak Datin Salmah, iaitu Siti Hajar dan anaknya Fatimah.
  • Datin Salmah tidak begitu tenteram apabila mendengar kata-kata kakaknya, Datin Laila yang mengatakan bahawa sekiranya dia menjadi Datin Salmah, maka dia tidak akan membenarkan Hilmi tinggal di rumah itu kerana lambat-laun orang akan mengetahui juga bahawa Hilmi merupakan anak saudara Datuk Johari. Hilmi juga tidak mempunyai pelajaran yang tinggi dan menjadi tukang kebun. Selama ini, kaum keluarga mereka tidak ada yang menjadi tukang kebun.

BAB 3

  • Hilmi sangat mengambil berat terhadap tanaman yang terdapat di halaman rumah bapa saudaranya. Oleh itu, dia sentiasa membaja dan menjaga keselamatan tanaman itu. Hilmi amat marah kepada kumbang yang suka merosakkan daun-daun pokok bunga ros.
  • Dia tidak mempedulikan panas terik pukul tiga petang atau hujan lebat pada hari Sabtu dan Khamis kerana dia amat meminati muzik. Ketika jari-jari Hayati menekan mata-mata piano, jari-jari Hilmi menekan pahanya mengikut tekanan nada yang dibuat oleh Hayati.
  • Tidak lama kemudian, Mohsin dan Hayati pulang. Mereka begitu gembira dan hal ini menyebabkan hati Hilmi semakin pedih. Daripada perbualan Hayati dengan ibunya, Hilmi mengetahui bahawa Mohsin dan Hayati pergi menonton wayang dan ceritanya amat melucukan.

BAB 4

  • Walau bagaimanapun, Datuk Johari sanggup memaafkan Hilmi dengan syarat perbelanjaan Untuk membaiki piano itu dpotong daripada gaji Hilmi. Oleh itu, Hilmi bertaubat tidak akan menyentuh piano itu lagi.

TUGASAN KARANGAN RANGSANGAN 5MC SET 1 DAN 5WP SET 1 (WMSKL)

TAJUK : LANGKAH PENJIMATAN BAHAN BAKAR

Panduan:

ISU KENAIKAN HARGA MINYAK
  • Sejak pertengahan tahun 2004, harga minyak mentah telah meningkat mendadak di pasaran dunia.
  • Permintaan minyak dunia semakin meningkat selaras dengan pertumbuhan ekonomi,khususnya dengan pertambahan penggunaan oleh China, India dan Amerika Syarikat
  • Krisis minyak dan perbalahan negara-negara Asia Barat dengan Amerika Syarikat
  • Harga barang meningkat - kos hidup meningkat
  • rakyat hidup menderita
  • Mencetuskan kesedaran baru untuk mengurangkan pergantungan terhadap bahan bakar fosil

LANGKAH PENJIMATAN

1. Pemanduan berhemat
  • Pandu secara tenang dan perlahan. Pemanduan yang laju akan menyebabkan kereta melalui lebih rintangan angin - akan membazir petrol
  • dapat mengurangkan kemalangan jalan raya
  • Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis

2. Merancang Perjalanan
  • Kesesakan lalu lintas ataupun trafik akan menyebabkan kerugian minyak yang besar.
  • Kita akan dapat lebih perbatuan dari setiap liter jika kita mengambil jalan yang kurang sesak walaupun jalan itu lebih panjang.
  • Penggunaan minyak di jalan yang terlalu sesak akan menyebabkan dua kali ganda penggunaan minyak.
  • Mengurangkan pemanasan global

3. Menggunakan pengangkutan awam
  • Bilangan kenderaan dan penggunaan bahan bakar akan berkurang
  • Lebih mesra alam
  • Sistem pengangkutan awam di Sweden terancang sehingga orang awam terpaksa menggunakan pengangkutan awam
  • Penggunaan bahan api yang begitu rendah di Sweden disebabkan cara hidup dan minda lestari rakyatnya.

4. Penggunaan minyak alternatif
  • minyak kelapa sawit (minyak hitam)
  • mudah diperoleh dan mesra alam
  • merupakan pengeluar utama komoditi minyak kelapa sawit dunia
  • boleh mengurangkan kebergantungan negara pada sumber minyak yang kini semakin berkurang

PERINGATAN: Gunakan teknik IMBAKUP + C (I=Isi, M=Mengapa, BA=Bagaimana, K=Kesan, U=Ungkapan Menarik, P=Penegas, C=Contoh)

Tuesday, March 13, 2012

USAHA-USAHA UNTUK MENINGKATKAN KUALITI HIDUP

Pendahuluan:
- Peningkatan kualiti hidup rakyat merupakan antara ciri sesebuah negara yang menuju ke arah kemodenan dan kemajuan yang mapan. Hal ini disebabkan kemodenan dan kemajuan sesebuah negara tidak bererti sekiranya kualiti hidup rakyat masih ketinggalan zaman.
- Kualiti hidup biasanya dikaitkan dengan penyediaan infrastruktur sosial dan fizikal oleh pihak pentadbir di sesuatu kawasan. Walau bagaimanapun, persekitaran yang baik tidak membawa maksud kualiti hidup juga baik kerana hal ini juga turut berkait dengan penerimaan atau penolakan dan tindak balas penduduk terhadap persekitaran yang disediakan.
- Maksudnya, semua pihak termasuk individu, keluarga, masyarakat, dan kerajaan perlu bersinergi dan memainkan peranan secara bersepadu bagi meningkatkan kualiti hidup di negara ini dan seterusnya mencapai aspirasi negara ke arah Wawasan 2020.

Isi-isi penting:
1. Membina keluarga bahagia
Setiap individu dalam keluarga perlu memainkan peranan masing-masing untuk mewujudkan kehidupan keluarga yang harmoni, saling bertoleransi, dan saling menghormati. Ibu bapa – berperanan untuk menyediakan sumber kewangan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan anak-anak dan keluarga mereka secara umumnya. Ibu bapa perlu mempunyai pegangan hidup dan sebaik-baiknya bertunjangkan didikan moral dan ajaran agama kerana mereka turut berperanan untuk menanamkan asas-asas didikan moral dan ajaran agama ini dalam diri anak-anak. Datuk dan nenek pula menguatkan asas binaan keluarga bahagia lagi dengan mendidik cucu cicit mereka agar menghormati ibu bapa, adik beradik, orang tua dan sesiapa sahaja sebagai suatu cara hidup berkomuniti. Setiap aktiviti juga dilakukan bersama dengan keluarga – makan bersama-sama, melakukan aktiviti riadah bersama-sama dan sebagainya. Dengan ini, keluarga yang bahagia dapat dilahirkan. Keluarga bahagia sememangnya melambangkan kualiti hidup masyarakat yang baik kerana individu daripada keluarga bahagia biasanya akan dapat mengelakkan diri daripada terjebak dalam kancah negatif – selesaikan masalah melalui perbincangan keluarga dan sebagainya.

2. Menambahkan ilmu pengetahuan
Penguasaan ilmu pengetahuan melambangkan kualiti hidup yang baik. Setiap individu perlu mengejar dan menambah ilmu setinggi yang boleh supaya tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung. Kata-kata Nabi Muhammad – Carilah ilmu hingga ke negara China – ilmu ada di mana-mana dan tuntutlah ilmu setinggi yang boleh. Ilmu yang dituntut pula tidak terhad kepada cabang ilmu sains dan teknologi sahaja malah dalam pelbagai bidang ilmu supaya insan berilmu yang terhasil merupakan insan yang kamil dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Individu yang berilmu akan membentuk masyarakat yang berfikiran rasional, berinovasi, dan berdaya saing setanding dengan masyarakat berilmu di negara-negara maju. Individu yang berilmu dapat mengangkat martabat diri, keluarga, dan meningkatkan taraf hidup supaya keluar daripada kepompong kemiskinan apabila mendapat pekerjaan yang baik ataupun menjadi usahawan yang berjaya. Malah, Malaysia akan mempunyai aset modal insan bagi mentransformasikan negara ini bagi mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020 dan masyarakat yang dapat hidup dalam keadaan yang harmoni dan bersatu padu selaras dengan aspirasi konsep 1 Malaysia. Jadi, jelaslah bahawa kualiti hidup dapat ditingkatkan melalui penguasaan ilmu.

3. Menjana pertumbuhan ekonomi negara
Pertumbuhan ekonomi negara turut melambangkan peningkatan kualiti hidup. Individu dan masyarakat termasuk golongan wanita perlu aktif dalam memberikan sumbangan bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini bertujuan supaya setiap tenaga kerja yang masih aktif di negara ini dapat digembleng dalam setiap sektor ekonomi sama ada dalam bidang pertanian, perindustrian, pelancongan, pengangkutan, dan banyak lagi. Pihak kerajaan pula memainkan peranan penting dengan menyediakan pelbagai dasar seperti Dasar Perindustrian Negara, Dasar Penswastaan, Dasar Industri Kecil dan Sederhana, dan Pelan Transformasi Ekonomi Negara bagi menarik pelaburan dari dalam dan luar negara untuk menanam modal dan menyediakan ruang niaga yang kukuh bagi masyarakat Malaysia sendiri. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pelbagai pihak perlu memainkan peranan aktif dalam pembangunan negara bagi menjamin kesuburan pertumbuhan ekonomi. Seterusnya, kualiti hidup rakyat dapat ditingkatkan kerana pihak kerajaan akan mempunyai dana yang kukuh untuk menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur kepada rakyat semula.

4. Penggunaan sistem pengangkutan mesra alam.
Alam sekitar yang bersih mencerminkan kualiti hidup yang sihat. Oleh itu, kebersihan dan kecantikan alam sekitar perlu dijaga. Oleh itu, penggunaan sistem pengangkutan yang mesra alam adalah perlu untuk mengurangkan pencemaran di negara ini. Hal ini demikian kerana asap daripada cerobong alat-alat pengangkutan yang ketinggalan zaman merupakan antara faktor utama pencemaran alam terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, George Town, dan Johor Baru. Setakat ini, tidak banyak sistem pengangkutan yang mesra alam digunakan di Malaysia – cuma KLIA Ekspres dan penggunaan minyak NGV – perlu diperluas kepada penggunaan enjin kenderaan elektrik seperti di negara China. Alam sekitar yang bersih akan mengurangkan risiko penyakit – kualiti hidup meningkat.

Penutup:
- Pelbagai pihak perlu bekerjasama untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di negara ini.