Setiap gaya bahasa yang digunakan dalam sesebuah hasil karya mempunyai fungsinya tersendiri. Begitu juga dengan novel Konserto Terakhir, karya Abdullah Hussain.
Gaya bahasa memainkan peranan yang penting dalam novel ini. Antara peranan gaya bahasa dalam novel ini adalah untuk menggambarkan kehidupan keluarga di kota yang berstatus tinggi. Lazimnya, golongan ini sering menggunakan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris dalam pertuturan mereka. Contohnya, Datin Salmah sering menggunakan perkataan I, you dan coffee morning dalam pertuturannya.
Selain itu, gaya bahasa juga berperanan penting untuk menggambarkan latar-latar masyarakat Melayu yang beragama Islam. Hampir keseluruhan cerita novel ini dipegang oleh watak-watak berbangsa Melayu dan beragama Islam justeru penggunaan bahasa Arab dapat menjelaskan suasana ini. Sebagai bukti, penggunaan perkataan solat sering digunakan oleh orang Islam termasuklah Hilmi.
Di samping itu, gaya bahasa turut berperanan untuk menimbulkan kesan yang mendalam kepada pembaca melalui gaya bahasa personifikasi. Misalnya, jari kelengkeng sebelah kiri tersasul lagi. Selanjutnya, gaya bahasa simile pula memberi gambaran yang jellas kepada pembaca. Contohnya, bunyi terdengung macam kumbang.
Saturday, August 7, 2010
NILAI KESABARAN
Novel yang saya kaji ialah novel Konserto Terakhir, karya Abdullah Hussain. Terdapat banyak nilai yang ingin disampaikan oleh penulis. Salah satu daripadanya ialah nilai kesabaran.
Antara nilai kesabaran yang terdapat dalam novel ini ialah kesabaran dalam menghadapi sebarang penghinaan dan cacian yang dilemparkan kepadanya. Nilai ini telah digambarkan pada watak utama, Hilmi yang sabar dalam menerima cacian daripada Datin Salmah. Walaupun Datin Salmah ialah emak saudaranya namun Hilmi digelar sebagai tukang kebun oleh Datin Salmah. Hal ini disebabkan Hilmi berasal dari kampung dan berpendidikan setakat darjah empat sekolah Melayu.
Selain itu, nilai kesabaran dalam melakukan kerja juga terdapat dalam novel ini. Sebagai contoh, Hilmi tetap sabar membuat kerja rumah seperti membela ayam, berkebun, mengemas rumah dan memberi kucing Hayati makan semasa Datuk Johari sekeluarga pergi melancong di Switzerland. Hilmi melakukan semua kerja itu tanpa sebarang rungutan.
Seterusnya, nilai kesabaran dalam memberi tunjuk ajar kepada orang lain juga terdapat dalam novel ini. Encik Bakar sabar mengajar Hilmi bermain alat muzik walaupun dia baru balik dari kerja dan belum berehat lagi. Kesabaran Encik Bakar ini terbalas apabila Hilmi berjaya menjadi seorang pemuzik yang terkenal.
Seperkara lagi, nilai kesabaran dalam menghadapi masalah juga terkandung dalam novel ini. Sebagai manusia biasa, Hilmi juga tidak terkecuali daripada menghadapi dugaan hidup. Seperti pasangan hidup yang lain, Hilmi turut menghadapi masalah rumah tangga. Selepas setahun kelahiran anak pertama mereka, Hakim, rumah tangga Hilmi menghadapi masalah. Azizah telah meninggalkan Hilmi dan tinggal di rumah Encik Bakar bersama anaknya. Namun begitu, Hilmi masih menziarahi mereka di rumah Encik Bakar.
IKTIBAR DARIPADA NOVEL
Setiap novel mengandungi pengajaran yang ingin disampaikan oleh penulis untuk dijadikan iktibar kepada pembaca. Begitu juga dengan novel yang saya kaji iaitu novel Konserto Terakhir, karya Abdullah Hussain.
Dalam novel ini, penulis menyeru kita agar saling menyayangi antara satu sama lain demi membina keluarga dan masyarakat yang bahagia. Hal ini dapat dilihat apabila Pak Long Karim tetap memelihara Hilmi dengan penuh kasih sayang seperti anak sendiri walaupun dia mengetahui bahawa Hilmi bukanlah anak kandungnya. Sebenarnya, Hilmi ialah anak kandung Datuk Johari yang sempat menjalinkan hubungan dengan isteri pertamanya, ibu Hilmi pada malam pertama perkahwinan mereka sebelum meninggalkannya. Jadi, peristiwa ini memberi iktibar kapada kita supaya saling menyayangi sesama manusia.
Selain itu, kita juga hendaklah ikhlas dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan. Tamsilnya, Encik Bakar, Dr. Nathan dan Mamat ikhlas dalam menghulurkan bantuan kepada orang lain tanpa mengharapkan sebarang balasan. Encik Bakar ikhlas mengajar muzik kepada Hilmi tanpa mengenakan sebarang bayaran. Hal ini menjadi iktibar kepada pembaca supaya sentiasa ikhlas dalam menghulurkan pertolongan kepada orang lain supaya segala yang dilakukan akan diberkati dan diredai Allah.
Di samping itu, setiap orang perlu bersimpati kepada orang lain. Hayati berasa simpati kepada Hilmi apabila Datin Salmah tidak membenarkan Hilmi makan malam kerana Hilmi pulang lewat dari rumah Encik Bakar. Sebagai tanda simpatinya, Hayati telah memujuk Himi agar makan malam kerana bimbang Hilmi akan kelaparan. Iktibarnya, sebagai manusia yang prihatin, kita harus bersimpati terhadap orang yang bernasib malang dan memerlukan bantuan.
Seterusnya, setiap orang perlu memberi layanan yang baik kepada tetamu tanpa mengira status. Hal ini memang menjadi amalan masyarakat Timur. Oleh itu, Hayati mempelawa Hilmi masuk ke dalam rumah setelah dia mengetahui Hilmi itu tetamunya. Dia juga mempelawa Hilmi duduk dan meminta Mak Minah menyediakan minuman untuk Hilmi. Sikap Hayati ketika melayan tetamu yang datang ke rumahnya wajar dijadikan ikutan oleh setiap anggota masyarakat.
CIRI-CIRI SEBUAH NOVEL YANG BAIK
Sesebuah novel yang menarik mempunyai ciri-ciri yang dapat menarik minat pembaca untuk menghayati ceritanya. Novel Konserto Terakhir, karya Abdullah Hussain juga mempunyai ciri-ciri yang menarik.
Antara ciri yang penting ialah temanya. Novel ini memaparkan tema ketabahan dan kegigihan seorang pemuda kampung untuk mencapai kejayaan. Hilmi yang tidak mempunyai pendidikan tinggi akhirnya telah menjadi seorang penggubah lagu yang terkenal berkat ketabahan dan kegigihannya. Untuk membuktikan kejayaannya, dia diberi penghargaan untuk memimpin Pertunjukan Orkes Perdana yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.
Selain itu, novel yang menarik juga mengetengahkan gaya bahasa yang menarik. Novel Konserto Terakhir telah memaparkan gaya bahasa yang baik dan dipenuhi dengan diksi moden seperti penggunaan bahasa asing iaitu bahasa Inggeris untuk menyokong latar masyarakat dalam cerita. Contohnya, penggunaan I, you dan coffee morning oleh Datin Salmah menggambarkan dia seorang yang berpendidikan dan berstatus tinggi serta hidup mewah.
Ciri menarik yang seterusnya ialah watak antagonis yang berjaya menghidupkan jalan cerita. Penulis berjaya menghidupkan watak antagonis dengan berkesan. Watak antagonis dalam novel ini ialah Datin Salmah. Kekejaman yang dilakukan oleh Datin Salmah dan kebenciannya terhadap Himi telah berjaya meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembaca. Contohnya, Hilmi dilarang makan malam adalah antara bentuk hukuman yang keras dijatuhkan oleh Datin Salmah. Datin Salmah sanggup menjatuhkan hukuman itu tanpa perikemanusiaan. Tindakan Datin Salmah ini berjaya menimbulkan rasa benci pembaca terhadapnya.
Subscribe to:
Posts (Atom)