(T) Remaja pada hari ini bakal menerajui pucuk pimpinan negara
pada masa hadapan dan merupakan aset modal insan negara bak kata pepatah, ‘pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara’. "Berikan saya sepuluh
orang remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini,” begitulah
ungkapan retorik yang pernah dilontarkan
oleh bekas Presiden Parti Indonesia, Soekarno yang menggambarkan betapa
gahnya peranan remaja sebagai penentu pembangunan dan kemajuan negara pada masa
hadapan. (I) Malangnya, dalam proses
menongkah arus globalisasi yang pantas bergerak bagai belut diketil ekor
ini, keruntuhan akhlak remaja
semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Salah satu masalah sosial yang
kian merebak dalam kalangan remaja ialah gejala gengsterisme. Gengsterisme atau
samseng dapat ditakrifkan sebagai perlakuan ganas yang mencederakan fizikal dan
menjejaskan emosi serta mental seseorang seperti memukul, membuli, mengugut dan
sebagainya. Menurut statistik Polis Diraja Malaysia, kes gengsterisme juvana
telah meningkat sebanyak 11 kes pada tahun 2013 berbanding pada tahun 2012.
Peningkatan ini menyukarkan usaha negara untuk mencapai impian menjadi negara
kelas pertama. Pelbagai usaha diambil oleh kerajaan mahupun badan-badan bukan
kerajaan (NGO) dalam menyifarkan kemelut sosial ini tetapi usaha ini hanya seperti melukut
di tepi gantang kerana kes tersebut masih meningkat sehingga hari ini. (A)
Tak
tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, jadi sebelum mencari jalan penawar untuk menangani
kemelut ini, kita haruslah mengenal pasti akar umbi yang menjadi pemangkin
kepada fenomena ini kerana jika tiada angin masakan pokok bergoyang.
(I) Punca dominan yang mencetuskan
fenomena ini ialah remaja tidak mempunyai didikan agama yang teguh. (M) Kebanyakan remaja pada hari ini mempunyai stigma
bahawa ajaran agama sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan untuk
dipraktikkan pada alaf globalisasi ini. Keadaan menjadi lebih parah apabila ibu
bapa pada hari ini tidak memberikan didikan agama yang sempurna kepada
anak-anak mereka. Hal ini terjadi kerana ibu bapa pada alaf ini sering
mempunyai tanggapan bahawa ajaran agama tidak penting berbanding dengan
pendidikan akademik yang dianggap sebagai tiket kejayaan anak-anak pada masa hadapan.
Sikap ini menunjukkan bahawa terdapat ibu bapa yang semakin alpa akan
tanggungjawab hakiki mereka dalam membesar, mengasuh dan mendidik anak-anak
mereka yang diumpamakan sehelai kain putih dan ibu bapalah yang akan
mencorakkan tingkah laku anak–anak sama ada seindah warna pelangi atau semalap
masa hadapannya. (BA) Berlandaskan sikap remaja dan ibu
bapa yang sebegini maka tidak hairanlah anak-anak tidak mementingkan amalan
solat yang difardukan kepada setiap muslim walaupun solat itu tiang agama yang
dapat mencegah kemungkaran. Mereka beranggapan bahawa amalan ini membuang masa
dan tidak membantu mereka untuk mencapai kejayaan duniawi. Bukan itu sahaja,
kebanyakan remaja pada hari ini lebih bertuhankan hiburan dan keseronokan
duniawi semata-mata seperti melibatkan diri dalam ‘Black Metal’. (K) Jika situasi ini berterusan sudah pasti
keharmonian masyarakat dan negara kita akan terjejas. Memetik kata-kata seorang tokoh
cendekiawan, “Petanda runtuhnya sesuatu bangsa itu dapat dilihat apabila bangsa
tersebut mencintai hiburan.” Keimanan remaja yang senipis kulit bawang
menyebabkan kehidupan mereka terumbang-ambing ibarat kapal tanpa nakhoda
lantaran mereka tidak dapat membezakan dosa dan pahala lalu mereka akan
bertindak untuk menyakiti dan mengasari individu lain demi kepentingan dan
keseronokan diri sendiri. (P) Tegasnya, didikan agama yang tidak
mantap mampu mendorong kepada penularan gejala gengsterime di negara ini.
(I) Selain
itu, kegoyahan institusi kekeluargaan juga menjadi pemangkin kepada gejala
gengsterime yang melanda di nusa tercinta kita ini. (M) Institusi
keluarga porak-peranda disebabkan oleh tiada lagi persefahaman antara pasangan
suami isteri. Sekiranya tiada persefahaman antara mereka sudah pasti
bibit-bibit kasih sayang yang dipupuk selama ini hilang sebagai akibat daripada
sikap mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan impak yang bakal mengganggui
kehidupan anak-anak pada hari mendatang. (BA) Oleh itu, kes
penderaan, pertengkaran dan perceraian semakin meningkat bagai bangkai gajah yang tidak
dapat ditutupi dengan nyirunya lagi. Menurut kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kadar
perceraian pasangan suami isteri Islam di Malaysia berlaku sekali dalam tempoh
masa 15 minit. Keluarga yang porak-peranda akan lalai untuk memberikan
kasih sayang mereka kepada anak-anak remaja yang sentiasa memerlukan belaian
dan perhatian daripada ibu bapa mereka. (K) Keadaan ini
membimbangkan kerana akan menjejaskan perkembangan remaja dan pembentukan
personaliti remaja. Maka tidak hairanlah apabila remaja sanggup terlibat dalam
gejala samseng untuk menarik perhatian dan mendapatkan sekelumit kasih sayang
daripada ibu bapa mereka yang semakin alpa dalam memikul tanggungjawab hakiki
mereka. Jabatan Kebajikan Masyarakat
melaporkan bahawa 50 peratus remaja yang terlibat dalam gejala negatif terdiri
daripada remaja yang mempunyai konflik keluarga. (P) Izharlah
bahawa kegoyahan institusi kekeluargaan turut mencetuskan fenomena gengsterisme
remaja yang ingin melepaskan kemarahan mereka kepada individu yang lain bak
kata peribahasa Melayu, ‘orang lain makan nangka, orang lain terkena
getahnya’.
(I) Jika kita
kaji dari dimensi yang lain, pengaruh rakan sebaya juga merupakan antara faktor
gejala gengsterime semakin menular dan kian serius bagai duri dalam daging
di negara kita pada hari ini. (M) Hal ini dikatakan
demikian kerana remaja pada hari ini lebih mempercayai rakan sebaya daripada
ibu bapa dan guru-guru mereka. Tindakan remaja yang sanggup menuruti kata-kata
kawannya tanpa memikirkan risiko dapat diumpamakan seperti kerbau dicucuk hidung.
Bukan itu sahaja, kebanyakan remaja tidak ingin dipulaukan atau disisihkan oleh
ahli kumpulan sekiranya enggan menuruti perlakuan dan kata-kata mereka. Menurut Thrasher yang merupakan pelopor
awal tentang kajian gengsterisme mengutarakan bahawa pada peringkat awal
remaja, golongan ini berkemampuan untuk mewujudkan geng atau persatuan. Remaja
yang masih berbau pucuk jerengau ini sanggup mengkhianati kepercayaan ibu
bapa dan guru mereka daripada mengkhianati kumpulan mereka. (BA) Sebagai contohnya, 8 orang pelajar tingkatan 5 dari
Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) telah mengugut guru asrama dengan
menggunakan parang. Kumpulan pelajar ini sanggup bertindak demi melepaskan
kemarahan dan berseronok-seronok tanpa memikirkan impaknya kepada diri sendiri
dan orang lain. (K) Ekoran sikap remaja yang tersalah
memilih rakan menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir negatif
seperti gengsterisme. Hal ini dapat dikaitkan dengan petikan sebahagian
daripada hadis nabi yang bermaksud, “Jika berkawan dengan tukang besi maka
percikan api akan terkena pada tubuhmu.” (P) Pendek
kata, pengaruh dan tekanan daripada rakan sebaya turut mejadi penyebab kepada
kemelut gengsterime semakin sukar ditangani.
(I) Dalam
konteks yang sama, punca yang lain ialah pengaruh media yang berteknologi
tinggi. (M) Pada alaf modenisasi dan globalisasi ini,
pertambahan bilangan dan jenis media berteknologi tinggi seperti rangkaian
televisyen dan internet semakin pesat bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Penggunaan media berteknologi ini kebanyakannya dikuasai oleh golongan remaja
yang masih mentah. Kajian melaporkan
bahawa 80 peratus anak-anak melayari Internet. Memang tidak dapat dinafikan
bahawa untuk mencapai status negara maju, rakyat sesebuah negara itu perlu
memajukan diri dengan perkembangan semasa seiring dengan kehendak pasaran
dunia. Malangnya, kemajuan yang dikecapi pada hari ini turut merosakkan
pemikiran dan akhlak remaja di negara kita. (BA)
Terdapat banyak media berteknologi tinggi yang mendedahkan pelbagai budaya luar
dan aksi-aksi ganas yang mampu menjahanamkan peribadi dan sahsiah remaja yang
masih berumur setahun jagung. Sebagai contoh, filem Buli, ‘Gengster’,
KL Menjerit dan rancangan ‘WWE Smack Down’ telah membudayakan amalan samseng
dalam kalangan remaja yang masih hijau. Penerbitan filem dan rancangan yang
berunsurkan keganasan yang sememangnya bertentangan dengan norma-norma
kehidupan manusia ini disebabkan oleh sikap penerbit yang bersikap
materialistik dan ingin mengautkan keuntungan peribadi daripada mengutamakan
kepentingan sejagat. Sikap manusia yang mementingkan diri sendiri ini dapat
diumpamakan bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. (K) Kesannya, remaja akan meniru dan mengikuti aksi-aksi yang
ditontoni tanpa memikirkan kesan atas tindakan mereka. Mereka yang sentiasa
didorongan oleh semangat inkuiri akan melakukan gengsterisme terhadap orang
lain seperti memukul dan mengugut untuk melihat keberkesanan rancangan yang
ditontoni oleh mereka. (P) Ringkasnya bahawa pengaruh negatif yang dibawa oleh media
berteknologi tinggi juga menjadi pemangkin kepada kemelut sosial ini kepada ibu
pertiwi kita.
(I) Dari
perspektif yang berbeza pula, peraturan sekolah yang lemah turut menyebabkan
masalah gengsterisme dalam kalangan remaja kian bermaharajalela dan merebak
dengan pantas bagaikan virus epidermik. (M) Keadaan ini terjadi
apabila terdapat sesetengah pihak sekolah pada hari ini lebih mementingkan
pencapaian akademik dan lebih berorientasikan peperiksaan. Bagi mereka,
pencapaian kecemerlangan pelajar dari aspek akademik menjadi kayu pengukur
kepada prestasi kecemerlangan sekolah. Sekiranya hal ini terjadi sudah pasti
pihak sekolah akan hilang fokus untuk menangani kes-kes pelajar sekolah dan
tidak menganalisis kesalahan pelajar yang dilaporkan seperti kes gengsterisme
dan buli yang kian hari kian bernanah di persekitaran sekolah. Pihak sekolah
juga tidak mengenakan peraturan dan hukuman yang tegas kepada pelajar-pelajar
yang melakukan keganasan pelajar lain dan sikap pihak sekolah ini dapat
diumpamakan seperti singa yang hilang taringnya. (BA) Sebagai
misalannya, lebih kurang 20 orang
pelajar di Sekolah Menengah St. David, Bukit Baru, Melaka bergaduh di
kantin sekolah dan memukul sesama sendiri menggunakan kerusi. Kejadian ini
membuktikan bahawa kumpulan pelajar ini memantang enteng dan tidak gerun dengan
peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. (K) Sehubungan dengan itu, impian
Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang holistik akan
terkubur sekiranya gejala gengsterisme semakin berleluasa dalam kalangan remaja
yang rata-ratanya merupakan pelajar sekolah. Bukan itu sahaja, kepercayaan ibu
bapa terhadap pihak sekolah untuk melahirkan modal insan yang berkualiti turut
akan terjejas. (P) Jadi, ketidaktegasan peraturan dan sikap pihak sekolah juga
antara punca yang menyebabkan gejala samseng dalam kalangan remaja semakin
sukar diatasi.
(K) Secara analoginya, bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa terdapat banyak punca yang menjadi pemangkin kepada penularan gejala gengsterisme dalam kalangan remaja di negara kita. Jika kemelut sosial yang melanda remaja di negara kita ini tidak dapat dihapuskan, remaja yang merupakan jentera penggerak kemajuan negara tidak dapat melaksanakan tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk memacu pembangunan negara. Dengan ini, segala aspirasi negara hanya sekadar omongan kosong semata-mata dan akan menjadi angan-angan Mat Jenin. (CDGN) Jadi, remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Akta Pencegahan Jenayah dan Akta Juvana juga perlu dikaji dan diubah suai selaras dengan zaman globalisasi. Namun begitu, tindakan mengharapkan satu pihak untuk menyelesaikan masalah ini semata-mata tidak berkesan kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Oleh itu, semua pihak tanpa mengenal batasan usia dan status haruslah mengorak langkah untuk bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk mengatasi masalah ini sehingga noktah terakhir. (HRPN) Komitmen padu daripada semua pihak diharapkan impian untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat direalisasikan. Secara implisitnya, negara kita dapat berdiri gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia. Imej negara juga akan harum di persada dunia dan masyarakat Malaysia akan dianggap sebagai masyarakat kelas pertama kerana ketinggian akhlaknya. Ahli filsuf Tao pernah menukilkan bahawa jika mahu hidup setahun tanamlah gandum, jika mahu hidup sepuluh tahun tanamlah pokok dan jika mahu hidup selama-lamanya tanamlah jiwa manusia. Jadi, marilah kita bersama-sama untuk menanam jiwa remaja dengan peribadi yang murni. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah masa depan mutiara negara yang berharga ini terus terpelihara demi kebaikan bersama.