Thursday, December 30, 2010

SYABAS MURID PMR WMS 2010

Sekalung ucapan tahniah dan syabas kepada semua murid PMR 2010 WMSKL kerana berjaya meningkatkan gred A untuk subjek BM dari 81% (2009) kepada 91.2% (2010). Syabas juga kepada semua tenaga pengajar BM di WMSKL atas sokongan, dorongan dan bimbingan yang diberikan. Usaha anda amat berbaloi. Semoga pencapaian ini dapat ditingkatkan pada tahun 2012. Jabatan BM WMSKL amat berbangga akan kejayaan ini. Bersamalah kita doakan untuk kejayaan BM SPM 2010.

Monday, November 22, 2010

PESANAN TERAKHIR DARIPADA SEORANG GURU

Salam 1Malaysia kepada semua calon SPM 2010 terutama sekali kepada murid-murid di SEKOLAH METHODIST WESLEY, KUALA LUMPUR.

Untuk 5KL(2) & 5WP(1), walaupun sudah 2 tahun kita bersama namun sebenarnya cikgu berasa tidak puas hati kerana cikgu merasakan masa cikgu bersama-sama dengan kamu semua sangat singkat. Masih terlalu banyak perkara yang ingin cikgu sampaikan kepada anda semua. Begitu pantas masa berlalu dan masa tidak menunggu sesiapa. Masa terus berlalu tanpa memberikan amanat kepada kita. Itulah hakikat kehidupan kita.

Oleh itu, cikgu mengharapkan semua anak didik cikgu agar dapat memberikan fokus terhadap SPM khususnya mata pelajaran Bahasa Melayu yang akan berlangsung esok. Walaupun BM tidak begitu penting pada pandangan kamu kerana kebanyakan antara kamu akan melanjutkan pelajaran ke luar negara namun pada hemat cikgu mata pelajaran ini sangat mudah untuk diskor jika kamu jawab dengan teknik yang betul. Sedikit sebanyak kejayaan kamu mendapatkan A dalam subjek ini memudahkan kamu lagi untuk mendapatkan biasiswa bagi penajaan ketika kamu belajar di kolej kelak.

Sesungguhnya, Cikgu berasa bangga dengan semangat dan tekad yang membara dalam diri pelajar-pelajar cikgu serta pengunjung setia blog cikgu. Akhirnya, yang anda tunggu-tunggu semakin hampir dan anda hanya perlu menghitung jam/minit/saat saja. Pastikan kesilapan semasa percubaan yang lalu tidak berulang kembali.

Pastikan kamu pilih tajuk soalan karangan yang boleh kamu hurai dengan baik dan teliti dalam memilih tajuk karangan. Pastikan kertas 2 dijawab dengan teknik yang betul.

Tidur awal malam ini ya! Jangan lupa semua peralatan menulis dan slip kemasukan peperiksaan telah dimasukkan ke dalam beg sebelum tidur. Jangan lupa bawa MyKad!

Bangun awal esok . Sebelum keluar dari rumah, jangan lupa sembahyang dan berdoa kepada Tuhan. Minta restu dan doa daripada ibu bapa.

Akhir sekali, jangan panik ya! Cool selalu…..

Jumpa lagi pada tahun depan apabila keputusan diumumkan.

Salam sayang daripada PN. ANELYZA.

Mutiara kata KEJAYAAN:

Charles Cahier - Kejayaan tidak datang kepada manusia yang leka.

Gita Berlin - Kejayaan itu suatu perjalanan, bukan suatu tempat tujuan, Separuh daripada keseronokan itu diperoleh semasa kita menuju ke sana.

Benjamin Disraeli - Rahsia kejayaan ialah ketekalan matlamat.

JENAYAH PERDAGANGAN MANUSIA (PUNCA, KESAN & LANGKAH)

PENDAHULUAN:
  • merupakan antara jenayah tertua
  • dianggap sebagai suatu industri universal
  • tidak tertakluk kepada satu-satu negara untuk beroperasi
  • Laporan Perdagangan Manusia (TIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat menganggarkan, kegiatan perdagangan manusia di negara itu melibatkan keuntungan antara AS$1 bilion hingga AS$3 bilion (RM3. 5 bilion hingga RM10.5 bilion) setahun.
  • Dianggarkan sekitar 600,000 hingga 800,000 orang menjadi mangsa sindiket perdagangan manusia dengan sekitar 14,500 hingga 17, 500 daripadanya diperdagangkan di AS setahun
  • Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Khusus Membanteras Dadah dan Jenayah (UNODC) menganggap perdagangan manusia sebagai industri jenayah yang menjana keuntungan sekitar AS$5 bilion hingga AS$9 bilion (RM17.5 bilion hingga RM31.5 bilion) setahun
  • Isu perdagangan manusia kini menjadi antara fenomena yang mengancam kebanyakan negara termasuk Malaysia
  • Perangkaan rasmi memperlihatkan kira-kira 2.7 juta manusia diseludup di seluruh dunia setiap tahun dengan 80 peratus daripadanya membabitkan wanita dan kanak-kanak yang diperalatkan bagi tujuan tertentu termasuk pelacuran dan sebagainya.

PUNCA:

  1. Kemiskinan/ kesempitan hidup
  2. Terpengaruh tawaran kerja
  3. Kurang didikan moral/agama
  4. Materialistik
  5. Penguatkuasaan undang-undang yang lemah
  6. Taraf pendidikan mangsa

KESAN:

  1. Imej negara terjejas
  2. Masalah sosial meningkat
  3. Penyakit berjangkit
  4. Penindasan

LANGKAH:

1. memperketat pelbagai aspek termasuk dari segi kemasukan pelancong asing serta mengawal semua 262 pintu masuk ke sempadan negara yang dipercayai juga boleh menyumbang kepada jenayah perdagangan manusia - kementerian berkenaan mengadakan kerjasama dengan badan antarabangsa seperti melatih anggota keselamatan untuk menangani pelbagai kemungkinan kemasukan warga asing bagi tujuan tertentu
melatih penguat kuasa, pendakwa raya, hakim dan majistret mengenai pelbagai perkara termasuk Akta Antipemerdagangan Orang 2007 supaya mereka bersiap sedia berdepan isu terbabit - menyelaraskan sistem data maklumat kemasukan mengemaskinikan rekod keluar masuk di pintu sempadan terutama di lapangan terbang, pelabuhan, dan pintu sempadan antara sangat diperlukan bagi menggembleng usaha membasmi jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini.

2. menjalinkan kerjasama dengan negara jiran- Malaysia dan Australia baru-baru ini juga telah bersepakat untuk meningkatkan kerjasama bagi membanteras sindiket penyeludupan manusia melalui kaedah diplomatik dan operasi yang lebih berkesan- negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan lain-lain juga wajar mewujudkan kerjasama serantau, perkongsian bijak terutamanya kekuatan teknologi, komunikasi dan jaringan keselamatan - kerjasama menerusi pertukaran maklumat dalam usaha menangani isu ini terutama dari aspek bentuk serta kaedah penyeludupan dan negara mana yang dijadikan tempat transit utama penyeludupan manusia - Kerjasama di peringkat sempadan perairan negara - menjalankan operasi rondaan secara berjadual dan intensif oleh pasukan keselamatan Malaysia dengan negara-negara jiran – berkongsi maklumat tentang taktik, lokasi, dan negara pembekal – berusaha mengenal pasti ‘lubang-lubang tikus’

3. Kempen kesedaran untuk membasmi jenayah perdagangan manusia di kalangan masyarakat juga dipergiatkan

4. Membanteras gejala rasuah yang masih menghantui badan-badan penguat kuasa setiap negara – jabatan-jabatan yang masih menjadi kambing hitam seperti imigresen, kastam, polis marin, RELA dan organisasi yang sama di negara-negara jiran – amalan rasuah merupakan tindakan duri dalam daging terhadap keselamatan sesebuah negara.

PENUTUP:

Ditelan mati emak, diluah mati bapa, demikianlah suasana kehidupan berjiran. Sebarang masalah yang dihadapi yang berkaitan dengan hubungan jiran memerlukan tindakan yang teliti dan bijaksana. Biarlah segala tindakan bersama menatijahkan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak. Lebih-lebih lagi dalam isu pemerdagangan manusia ini, pihak negara berjiran terpaksa berurusan pula dengan pihak ketiga iaitu negara pembekal dan negara penerima. Oleh itu, kerjasama serantau amatlah diperlukan agar segala penyelesaian dapat diambil secara bijaksana.

Sunday, November 21, 2010

TEKNIK RUMUSAN

PERATURAN MERUMUS

i. Perlu mengenal pasti isi-isi utama dalam petikan
ii. Asingkan isi utama dan isi sampingan, huraian dan bukti
iii. Panjang rumusan mestilah tidak melebihi 120pp
iv. Jumlah isi tersurat dan tersirat adalah antara 2 - 8 isi dan boleh ditulis lebih asalkan tidak melebihi jumlah patah kata
v. Boleh memetik ayat dalam petikan, asalkan tidak disalin secara terus. Tukar dengan perkataan lain / tukarkan penanda wacana
vi. Rumusan mesti ditulis dalam 4 peranggan iaitu peranggan pendahuluan, isi tersurat, isi tersirat dan kesimpulan

CONTOH PENDAHULUAN

1. Menulis frasa pendahuluan
CONTOH : Petikan membincangkan/ membicarakan/ menyatakan...

2. Tukarkan arahan 1 dengan sinonim
CONTOH: Petikan membincangkan punca-punca/ sebab- sebab penderaan pembantu rumah...

3. Letakkan penambahan sedikit pada hujung ayat yang menggambarkan keseluruhan petikan seperti di negara kita/ pada masa ini / dalam kalangan ...
CONTOH: Petikan membincangkan perkara-perkara yang mendorong majikan mendera pembantu rumah mereka di negara ini.


CONTOH ISI TERSURAT

I: Isi tersurat merupakan isi yang terdapat secara langsung dalam petikan memenuhi arahan soalan / tugasan pertama.
II, Jika arahan soalan ialah faktor..... isi tersurat mestilah berkaitan dengan faktor.
III. Pelajar dilarang menyalin bulat-bulat / keseluruhan ayat daripada petikan. Calon mesti menggunakan ayat sendiri dengan membuat sedikit penggubahsuaian dari ayat asal
IV. Beberapa ayat boleh digabungkan dalam ayat majmuk tetapi mesti lengkap.

CONTOH ISI TERSIRAT

I. Isi tersirat merupakan ulasan yang munasabah terhadap unsur kedua /kata tugas kedua dalam arahan soalan
II. Sekiranya unsur isi tersirat dalam arahan soalan kedua.... kesan-kesan.. maka pelajar hendaklah menulis kesan yang munasabah.
Contoh :
Penderaan menyebabkan pembantu rumah mengalami tekanan jiwa/ perasaan

CONTOH PENUTUP

I. Dalam bahagian ini, pelajar mesti mengemukakan 2 unsur yang dapat menyimpul / merumus petikan
II. Unsur pertama - menyatakan cadangan/ saranan terhadap isu..... dengan ditandakan dengan kata... mestilah/ haruslah / hendaklah.
III. Unsur kedua - menyatakan harapan / penyelesaian terhadap isu. Harapan ini ditandakan dengan kata ... agar / supaya

Contoh :
Kesimpulannya, kerajaan hendaklah membendung masalah penderaan pembantu rumah dengan segera agar hak-hak mereka dapat dilindungi.

FORMULA: 4 PERENGGAN ( PSTK )

Petikan membincangkan ( Sinonim kata kunci )........................

Antara ( Kata tugasan S ) ialah/ adalah......... S1................... ( dan )......... S2 ................ . Selain itu, ……… S3………… serta ……… S4………… Di samping itu, ……………….. S5…………. dan ………… S6……………………

Antara ( kata tugasan T ) ialah/ adalah………………T1………………................. (dan)……………............. T2 ................................................

Kesimpulannya, pihak ... mestilah/ haruslah .... supaya/ agar ...( 120 patah kata )


CONTOH JAWAPAN RUMUSAN
Soalan: Punca kekaburan pelajar terhadap mata pelajaran KOMSAS dan langkah mengatasinya

Petikan membincangkan sebab-sebab/ faktor-faktor kekaburan pelajar terhadap mata pelajaran Komponen Sastera ( KOMSAS ) di negara kita.

Antara puncanya ialah sesetengah guru yang mengajar KOMSAS dalam Bahasa Melayu masih kabur dengan kaedah pengajaran mereka dan sesi ceramah yang diadakan dengan tujuan untuk memudahkan tugas guru tidak menepati kehendak para guru. Selain itu, masa yang diperuntukkan tidak mencukupi serta guru sastera mengajar komsas melebihi sukatan. Di samping itu, banyak pelajar yang kurang berminat membaca dan sesetengah guru mengambil sikap sambalewa dalam hal ini.

Antara langkahnya ialah para guru Bahasa Melayu perlu diberi ceramah oleh penceramah yang pakar dalam bidang Komsas dan guru-guru tidak seharusnya menganggap pangajaran KOMSAS sebagai satu beban.

Kesimpulannya, guru perlu lebih kreatif dalam pengajaran KOMSAS agar para pelajar tertarik dengan pengajaran tersebut.

(120 patah perkataan)

KEPENTINGAN MENGUASAI BAHASA INGGERIS

Sebelum ini, mutu pencapaian bahasa Inggeris di negara kita menampakkan kemerosotan yang ketara. Sejak pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsan yang menghapuskan aliran bahasa Inggeris, penguasaan para pelajar dalam bahasa Inggeris amat rendah. Hal ini dapat dibuktikan melalui keputusan-keputusan peperiksaan pada tahun-tahun yang lepas. Oleh hal yang demikian, mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk mewajibkan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran dalam bidang Sains dan Matematik Tahun Satu dan Tingkatan Satu mulai tahun 2003. Dalam pada itu, ada pihak yang mengangguk kepala bahawa bahasa Inggeris banyak mempunyai kelebihan tetapi ada pihak yang menggeleng kepala bahawa bahasa Inggeris ialah bahasa penjajah. Walau bagaimanapun, bahasa Inggeris haruslah dijadikan sebagai bahasa kedua penting tidak kira sama ada di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah demi kebaikan semua. Jadi, bahasa Inggeris memainkan peranan yang penting dalam kehidupan rakyat jelata.

Antara kepentingan bahasa Inggeris termasuklah bahasa Inggeris merupakan bahasa utama dalam komunikasi antarabangsa. Hal ini dapat dibuktikan apabila jumlah penutur bahasa Inggeris di seantero dunia mengatasi jumlah penutur bahasa utama lain seperti bahasa Perancis, Sepanyol, Arab, dan Rusia. Tidak dapat dinafikan bahawa bahasa utama yang digunakan semasa seseorang berkomunikasi dengan bangsa negara lain ialah bahasa Inggeris. Penguasaan bahasa Inggeris bukan sahaja memudahkan kita berhubung dengan dunia luar malah bahasa ini menjamin kelancaran urusan yang melibatkan bangsa negara lain. Misalnya, urusan seseorang dengan bangsa lain akan berjalan dengan lancar sekiranya seseorang itu menguasai bahasa Inggeris dengan sepenuhnya. Sebaliknya, urusan seseorang akan menempuh pelbagai dugaan sekiranya seseorang itu tidak petah dalam bahasa Inggeris. Hal ini jelas menampilkan kepentingan bahasa Inggeris.

Selain itu, bahasa Inggeris juga merupakan bahasa utama dalam bidang perniagaan. Walaupun bahasa rasmi negara ialah bahasa Malaysia namun dalam bidang perniagaan bahasa yang kerap digunakan ialah bahasa Inggeris. Contohnya, bahasa Inggeris digunakan semasa sesuatu perniagaan sedang dijalankan. Menurut kajian, bahasa Malaysia jarang-jarang digunakan semasa urusan perniagaan dijalankan. Hal ini berlaku demikian kerana bahasa Malaysia kekurangan istilah yang tepat untuk mengungkapkan maksud dalam perniagaan. Penguasaan bahasa Inggeris bukan sahaja penting untuk menjamin peluang kejayaan kerjaya malah juga penting untuk menjamin hubungan yang mantap dalam bidang perniagaan. Jikalau bahasa Inggeris tidak dikuasai, maka perniagaan individu, syarikat, dan negara akan terbatas. Apabila peluang perniagaan terbatas, hal ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara malah juga menjejaskan hubungan diplomatik dan nama baik negara. Oleh itu, bahasa Inggeris amat penting dalam bidang perniagaan.

Di samping itu, kepentingan bahasa Inggeris yang lain ialah bahasa Inggeris merupakan bahasa ilmu pengetahuan. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam era globalisasi dan modenisasi ini, bahasa Inggeris merupakan bahasa sumber yang penting. Misalnya, kebanyakan buku ensiklopedia, buku rujukan, maklumat, penyelidikan dan khazanah ilmu yang lain terungkap dalam bahasa Inggeris. Hal ini tidak menjadi masalah bagi golongan yang dapat menguasai bahasa Inggeris untuk memahami isi-isi yang tercatat dalam bahan bacaan tersebut. Persoalannya, adakah anda faham akan isi-isi yang ingin disampaikan sedangkan tahap penguasaan bahasa Ingeris berada pada paras yang menyedihkan? Jawapannya semestinya tidak. Hal ini dikatakan demikian kerana ilmu yang terdapat dalam bahan bacaan itu memerlukan tahap penguasaan bahasa Inggeris yang optimum. Dengan ini, tampaklah bahawa penguasaan bahasa Inggeris amat penting dalam menimba ilmu yang tidak terhingga.

Bukan itu sahaja, bahasa Inggeris penting kerana bahasa ini merupakan bahasa telekomunikasi ataupun bahasa internet. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat dapat memperoleh maklumat-maklumat yang terkini supaya masyarakat tidak menjadi katak di bawah tempurung dengan syarat masyarakat dapat menguasai bahasa Inggeris. Malahan, mereka juga dapat memahami isi-isi tersurat yang dipaparkan dalam maklumat antarabangsa yang disalurkan melalui satelit ataupun media massa seperti radio, televisyen, dan surat khabar. Lebih-lebih lagi pada zaman teknologi maklumat ini, banyak alat teknologi yang canggih telah dicipta untuk memudahkan perhubungan masyarakat dengan dunia luar seperti internet tambahan pula, bahasa Inggerislah yang terungkap dalam laman web. Jadi, bahasa Inggeris haruslah dipandang berat kerana bahasa ini ialah bahasa telekomunikasi ataupun bahasa internet.

Kesimpulannya, bahasa Inggeris ialah bahasa antarabnagsa yang sangat mustahak untuk berhubung dengan bangsa lain, baik dengan masyarakat tempatan mahupun dengan masyarakat dunia luar. Walaupun bahasa Malaysia ialah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara namun bahasa Inggeris amat penting untuk kemajuan negara. Penggunaan bahasa Inggeris membolehkan masyarakat dan negara mempunyai hubungan yang lebih luas dan mudah menerima maklumat antarabangsa. Hal ini secara tidak langsungnya mempercepat pembangunan negara. Di samping itu, kemajuan hanya dicapai dengan lebih cepat sekiranya komunikasi dalam bahasa Inggeris berjalan dengan lancar dengan negara-negara maju. Dengan ini, kecemerlangan seseorang individu bergantung pada tahap penguasaan bahasa Inggeris. Oleh itu, bahasa Inggeris merupakan bahasa yang amat penting dalam menimba ilmu pengetahuan, komunikasi antarabangsa, bidang teknologi, dan bidang perniagaan.

USAHA-USAHA MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA

Malaysia dan Nusantara mempunyai bahasa pertuturan tersendiri, iaitu bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia telah menjadi bahasa perhubungan atau lingua franca lebih 600 tahun lalu, lebih lama daripada bahasa Inggeris yang hanya bermula pertengahan kurun ke-16. Sejak tahun 1955, bahasa Malaysia telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan negara dan telah menjadi bahasa rasmi sejak merdeka. Pada tahun 1967, sepuluh tahun selepas merdeka, bahasa Malaysia menjadi bahasa kebangsaan bahasa rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, iaitu Perkara 152. Krisis baharu yang melanda bahasa Malaysia ialah rakyat negara ini semakin meminggirkan bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan.

Krisis ini berpunca daripada tanggapan yang salah oleh masyarakat tentang kemampuan bahasa Malaysia sebagai bahasa kemajuan negara ini. Faktor kedua berpunca daripada sikap orang Melayu sendiri. Hal ini berlaku demikian kerana orang Melayu yang berkuasa telah meminggirkan bahasa Malaysia daripada rancangan pembangunan. Mereka tidak mahu menyokong rancangan pembinaan kepustakaan bahasa Malaysia. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, janganlah terkejut jika negara kita terus tertinggal dalam arus kemajuan, muflis dalam bidang ilmu, teknologi, dan budaya serta akhirnya terkubur di negara sendiri. Rata-rata, ibu bapa mendidik anaknya bertutur dalam bahasa Inggeris, kononnya jika tidak menguasai bahasa asing itu, mereka sukar mendapat pekerjaan.

Dalam dunia korporat, orang-orang Melayu sendiri malu untuk bertutur dalam bahasa Malaysia dengan bangsanya sendiri, kononnya takut dikatakan kolot, ketinggalan zaman, tidak bertamadun atau tertinggal dalam arus teknologi moden. Bangsa kita tidak terdesak untuk mencipta ilmu dan teknologi baharu kerana ilmu itu dapat diperoleh dan dibeli dari dunia lain sama ada dari barat atau timur sehingga bahasa Malaysia menjadi peniru atau pengguna. Kita janganlah menuding jari kepada sesiapa jika bahasa Malaysia dipinggirkan kerana kita sendiri yang enggan atau malu untuk menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa sains dan teknologi, bahasa pencipta ilmu dan budaya atau bahasa bertamadun tinggi. Masyarakat kita sendiri lebih mementingkan bahasa Inggeris sebagai alat kemajuan, malah dalam perbualan seharian sesama sendiri, kita lebih berminat menggunakan bahasa Inggeris walaupun penguasaan bahasa Inggeris kita tidaklah sebaik mana.

Selain itu, dasar penswastaan yang tidak terhad semakin menyingkirkan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di institusi-institusi pengajian tinggi. Pelajar-pelajar di sekolah menerima pendidikan bahasa Malaysia selama tiga belas tahun. Selepas itu, mereka meninggalkan bahasa itu selepas tamat persekolahan untuk melanjutkan pelajaran mereka ke kolej swasta yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajiannya.

Dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan badan utama yang memainkan peranan yang amat penting dalam memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia. Melalui peranan dan usaha yang dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, bahasa Malaysia telah digunakan dalam pelbagai bidang, termasuklah undang-undang, kejuruteraan, sains dan teknologi, ekonomi, perbankan, insurans dan sebagainya. Usaha ini terbukti dengan terbitnya buku-buku pengistilahan dan glosari dalam bahasa Malaysia yang mencakupi pelbagai bidang tersebut. Sebelum ini, kebanyakan istilah yang digunakan diambil daripada bahasa Inggeris. Usaha ini merupakan satu kejayaan yang membanggakan. Hal ini sekali gus dapat membantu program pendidikan di pusat pengajian tinggi.

Di samping itu, seluruh pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka mesti menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul dalam semua ucapan rasmi seperti ucapan dalam majlis perasmian, mesyuarat atau perhimpunan. Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah juga menjadi monitor dan menggerakkan semua aktiviti pembinaan dan pemantapan bahasa kebangsaan di seluruh negara, contohnya dalam projek Sukan Komanwel dan Koridor Raya Multimedia. Dalam konteks ini, Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah sentiasa menasihat, menegur, dan membimbing pemimpin kerajaan, swasta, media cetak, atau media elektronik supaya menggunakan bahasa Malaysia yang betul dalam semua urusan rasmi.

Selain itu, peranan media massa juga tidak harus diperkecil. Media massa mempunyai tanggungjawab sosial untuk memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Malaysia. Pujian dan sanjungan haruslah diberikan kepada stesen penyiaran TV3 kerana masih terus menggunakan bahasa Malaysia dalam kebanyakan siaran. TV3 merupakan stesen penyiaran yang mula-mula menggunakan bahasa baku walaupun kini tidak lagi dan begitu juga harapan kita kepada RTM. Walaupun pihak RTM telah memulakan penyebutan baku bagi istilah asing, namun usaha itu masih belum boleh dibanggakan. Oleh itu, diharapkan kebanjiran stesen-stesen baharu ini dapat bersama-sama memartabatkan bahasa Malaysia di negara kita.

Di samping itu, mahasiswa institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan yang proaktif untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Hal ini demikian kerana mahasiswa perlu bergerak bersama-sama bagi mengukuhkan bahasa Malaysia dalam semua bidang ilmu. Menurut Datuk Mahadzir Mohd Khir, Timbalan Menteri Pelajaran, beliau mengatakan bahawa langkah-langkah yang dijalankan oleh mahasiswa dengan menganjurkan Minggu Bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi dalam kegiatan kebahasaan akan menarik minat dan memupuk kecintaan orang ramai terhadap bahasa Malaysia. Pembabitan mahasiswa yang peka terhadap keperluan dan perubahan semasa selaras dengan peranan mahasiswa sebagai penggerak pembangunan masyarakat patut diberikan pujian. Minggu Bahasa Malaysia yang dianjurkan oleh mahasiswa dapat mendaulatkan bahasa ibunda di samping memupuk kecintaan terhadap bahasa Malaysia dalam kalangan generasi masa ini.

Warga pendidik di negara ini juga turut memainkan peranan yang penting untuk memartabatkan bahasa Malaysia serta meningkatkan mutu pendidikan bahasa Malaysia. Golongan pendidik hari ini telah dipertanggungjawabkan melaksanakan konsep bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat. Peranan pendidik bahasa adalah penting kerana mereka juga bertanggungjawab membimbing guru mata pelajaran lain. Peranan para pendidik lebih penting dalam memartabatkan bahasa Malaysia kerana dalam kurikulum pendidikan bahasa, matlamat utama adalah untuk melahirkan pelajar yang berupaya menggunakan bahasa Malaysia yang baik dan membanggakan. Selain itu, dalam konteks sikap yang lebih luas, nilai-nilai masyarakat yang positif perlu di¬terapkan melalui pendidikan bahasa.


Sehubungan dengan itu, peranan sektor swasta dalam memartabatkan bahasa Malaysia amatlah dialu-alukan. Sektor swasta haruslah peka dan menganjurkan lebih banyak kegiatan bahasa di luar negara seiring dengan promosi perniagaan atau produk masing-masing. Kegiatan promosi dan pasaran secara terancang akan memberikan pulangan yang merangsangkan perkembangan bahasa Malaysia sebagai bahasa ekonomi, sains, dan teknologi. Papan-papan tanda dan iklan yang mempromosikan sesuatu produk haruslah menggunakan kata-kata bahasa Malaysia yang betul dalam semua urusan rasmi. Dengan cara ini, kita akan dapat mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Malaysia bukan sahaja di negara kita malah di pentas dunia.

Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, orang Malaysia sendiri mesti membetulkan kelakuan, sikap, tanggapan, dan semangat mereka terhadap bahasa Malaysia. Jika tidak siapakah lagi yang akan bertanggungjawab memperjuangkan dan mendaulatkan bahasa Malaysia yang menjadi bahasa kebangsaan? Beliau juga mengesyorkan satu pertemuan raksasa antara orang-orang Malaysia yang terdiri daripada pemimpin politik, cendekiawan, ahli perniagaan, dan sebagainya perlu diadakan untuk membincangkan segala masalah yang mengancam bahasa Malaysia hari ini. Sebenarnya, isu bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan samalah seperti nasib sosial dan budaya kebanyakan orang Malaysia. Oleh hal yang demikian, orang-orang Malaysia haruslah bangun menjadi penegak bahasa Malaysia; bahasa yang menjadi tonggak bangsa.

Kesimpulannya, daripada perbincangan di atas, langkah-langkah yang konkrit dan pragmatik perlulah diambil untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan kita. Hakikat ini perlu disedari dan diakui oleh seluruh rakyat Malaysia. Kepentingan bahasa ini tidak dapat dipertikaikan lagi, sebaliknya setiap individu haruslah memanfaatkan masa mereka untuk mempelajari dan menguasai bahasa Malaysia dengan baik. Cara itulah yang terbaik untuk memartabatkan bahasa Malaysia yang ternyata memberikan faedah yang besar kepada perpaduan rakyat dan teknologi Malaysia. Jika tidak, generasi yang akan datang akan ketinggalan dan dijajah oleh kuasa-kuasa Barat yang menggunakan bahasa asing. Sesungguhnya, bahasa jiwa bangsa.

B) KELUARGA/IBU BAPA

i. PUNCA:

Isi-isi kecil:
1. rakus mengejar fatamorgana mereka dalam aspek kebendaan
2. institusi kekeluargaan itu sendiri sudah runtuh
3. tidak memberikan kasih sayang dan perhatian secukupnya
4. kurang didikan agama dan nilai-nilai murni
5. kurang ilmu rumah tangga

Frasa/ungkapan menarik:
1. memerah keringat,
2. membanting tulang empat kerat
3. kais pagi makan pagi, kais petang makan petang
4. alpa akan tanggungjawab hakiki
5. obses mengejar arus modenisasi

Kematangan:
1. Hadis nabi yang bermaksud perkara halal yang paling dibenci oleh Allah S.W.T. ialah talak
2. Kajian daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati kebanyakan rakyat yang terlibat dengan gejala negatif terutamanya golongan remaja yang terdiri daripada mereka yang mempunyai konflik keluarga.

ii. KESAN

Isi-isi kecil:
1. dapat melahirkan keluarga yang bahagia (+ve)
2. melahirkan anak-anak yang berjaya dalam hidup
3. dapat menangani sepenuhnya gejala kebejatan moral dalam kalangan remaja
4. keluarga akan porak-peranda (-ve)
5. maruah keluarga terjejas

Frasa/ungkapan menarik
1. Rumahku Syurgaku
2. Keluarga bahagia tunjang kemakmuran negara

Kematangan:
1. Menurut Dr. Hassan Ali, Pengarah Akademi Keluarga Bahagia Malaysia, kesejahteraan bermula dari rumah, maka ibu bapa hendaklah menjadikan rumah seperti syurga yang penuh dengan kedamaian dan keindahan kepada anak-anak
2. Memetik kata-kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, kewujudan keluarga penyayang akan menyebabkan seseorang anggota keluarga tersebut akan berasa lebih senang menghabiskan masa lapangnya di rumah.
3. Kempen yang dirasmikan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Sri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi bertemakan ‘Keluarga Penyayang Aspirasi Negara’

iii. LANGKAH

Isi-isi kecil:
1. ibu bapa perlu lebih prihatin dalam mendidik anak-anak
2. memberikan didikan agama yang kuat dan menggunakan pendekatan sivik dan moral
3. memantau pergerakan anak-anak
4. memberikan kasih sayang yang secukupnya
5. memantau pergerakan anak-anak agar tidak berkawan dengan rakan yang rosak akhlaknya
6. menjadi suri teladan
7. pasangan yang bakal melayari bahtera rumah tangga perlu melengkapkan diri dangan ilmu keibubapaan demi melahirkan ibu bapa yang prihatin suatu hari kelak
8. menegur anak-anak dengan penuh kasih saying

Frasa/ungkapan menarik:
1. melentur buluh biarlah dari rebungnya
2. bagai menatang minyak yang penuh
3. bagaimana acuan, begitulah kuihnya
4. ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi
5. bapa borek anak rintik
6. kepimpinan melalui teladan
7. tidak ada harimau yang membaham anak

Kematangan:
1. Allah S.W.T berfirman bahawa sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar
2. Ajarlah anakmu dengan rotan selepas anakmu berumur 10 tahun sekiranya dia enggan bersolat-nasihat Rasulullah s.a.w
3. Hadis nabi ada menyebut bahawa, anak-anak diibaratkan sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya sama ada menjadi Nasrani atau Majusi.
4. Hamka – kata-kata yang lemah lembut dan beradab dapat melembutkan hati manusia yang keras
5. Kempen Utamakan Keluarga, Semakin Hari Semakin Sayang yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

CARA MUDAH UNTUK MENULIS KARANGAN

Gunakan teknik DiKeMaSeN untuk soalan punca, kesan atau langkah.
Di = Diri sendiri
Ke = Keluarga
Ma = Masyarakat
Se = Sekolah
N = Negara / Kerajaan

A) DIRI SENDIRI

i. PUNCA:

Isi-isi kecil:
1. menghadapi tekanan hidup akibat kemiskinan/kekurangan kasih sayang
2. untuk memanifestasikan sifat kejantanan dan kejaguhan
3. tidak mempraktikkan ajaran agama kerana berpendapat bahawa ajaran agama adalah jumud dan sudah ketinggalan zaman
4. suka bertindak tanpa berfikir
5. tidak mahu mendengar nasihat
6. didorong oleh nafsu /perasaan ingin tahu/ingin cuba

Frasa/ungkapan menarik:
1. mencurah air di daun keladi
2. ketagih kepada desakan adrenalin
3. remaja yang delinkuen

Kematangan:
Menurut penggiat sosial tanah air, Tan Sri Lee Lam Thye, 40 peratus daripada golongan pelajar kita pada hari ini terlibat dalam masalah sosial seperti membunuh, perogol, merompak dan sebagainya.

ii. KESAN

Isi-isi kecil:
1. menghancurkan masa depan (-ve)
2. terjebak dalam pelbagai gejala sosial lain yang lebih teruk
3. hilang hala tuju kehidupan
4. menjejaskan maruah keluarga
5. dipandang hina oleh masyarakat
6. dapat memimpin negara dengan lebih kreatif dan optimis(+ve)

Frasa/ungkapan menarik:
1. menconteng arang ke muka keluarga
2. kerana nila setitik rosak susu sebelangga
3. seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit
4. air sama air sampah ke tepi juga
5. pemangkin pemacu negara

Kematangan:
“Berikan saya sepuluh orang remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini,” begitulah ungkapan yang dilontarkan oleh Presiden Parti Indonesia, Soekarno yang menggambarkan betapa gahnya peranan remaja sebagai penentu pembangunan dan kemajuan negara pada masa depan.

iii. LANGKAH

Isi-isi kecil:
1. perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ciri dan sifat mahmudah
2. menanamkan sifat tidak jemu dalam menimba ilmu pengetahuan
3. perlu mempunyai jati diri yang mantap
4. remaja perlu pandai memilih rakan sebaya
5. sentiasa bermuhasabah dan membaiki kelemahan diri

Frasa/ungkapan menarik:
1. hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih
2. di mana ada kemahuan di situ ada jalan
3. generasi berwawasan pemangkin pembangunan negara

Kematangan:
Bill Gates – sekiranya kita mahu berubah selepas orang lain sudah berubah, sebenarnya kita tidak berubah.

Saturday, November 20, 2010

BANTUAN KEMANUSIAAN MALAYSIA

Ketika dunia hari ini merentasi arus teknologi yang semakin canggih, bencana alam pula sering melanda dan menunjukkan belang. Pada realitinya, bencana alam seperti banjir, letusan gunung berapi dan ribut taufan ialah satu fenomena alam yang tidak dapat kita halang bak kata pepatah, geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau. Hadirnya bencana alam tanpa kita minta lantaran bencana alam ini berlaku atas kehendak Tuhan, pencipta segala kehidupan. Bencana alam ini berlaku tidak kira tempat ataupun waktu. Pada abad ini, walaupun teknologi semakin berkembang dan tumbuh dengan pantas bagai belut diketil ekor, kemajuan ini tidak dapat menghalang bencana alam yang ganas melanda. Pada tanggal 26 Disember 2004, satu peristiwa telah menggemparkan dunia apabila semua berita melaporkan berlakunya ombak besar iaitu tsunami di Acheh yang telah mengorbankan beratus ribu nyawa. Kejadian dahsyat itu masih meninggalkan kesannya hingga kini malah masih menjadi mimpi ngeri buat semua yang terlibat. Memang tidak dapat kita nafikan bahawa semenjak belakangan ini banyak bencana alam yang berlaku di seluruh dunia termasuk negara kita dan juga negara-negara jiran seperti gempa bumi di Pakistan dan di China, taufan Nargis di Myanmar dan tanah runtuh yang dahsyat di Filipina. Fenomena yang terbaharu ialah letupan Gunung Merapi di Yogyakarta, Indonesia. Sebagai masyarakat yang mempunyai sifat kemanusiaan kerana berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, kita sepatutnya bersimpati dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan ibarat hulurkan tangan, ringankan beban.

Sebagai insan yang sedar tentang kesusahan orang lain, kita boleh menyalurkan bantuan dengan kutipan derma. Derma yang dihulurkan akan disalurkan kepada mangsa bencana alam yang amat memerlukan dan mendambakannya bagi meneruskan kehidupan di bumi ciptaan Tuhan ini. Bantuan yang disumbangkan tidaklah hanya berfokuskan wang ringgit, tetapi bantuan lain seperti ubat-ubatan, pakaian dan makanan juga diperlukan. Setelah bencana berlaku, pastinya mangsa bencana tidak memiliki kelengkapan yang sempurna untuk hidup kerana semua harta mereka telah dimusnahkan oleh bencana alam yang di luar jangka ini. Pada masa ini, pelbagai peringkat kutipan derma telah dijalankan oleh pihak berwajib sama ada pihak swasta ataupun pihak kerajaan yang berasa bertanggungjawab untuk membantu sesama manusia. Contohnya dapat dilihat apabila pihak TV3 telah mengadakan Karnival Jom Heboh untuk membantu mangsa-mangsa tragedi yang menyayat hati di seluruh negara ini. Mantan Menteri Belia dan Sukan pernah menyatakan bahawa kita seharusnya bersyukur dengan nikmat yang diberikan Tuhan dan harus berkongsi nikmat yang kita ada dengan orang lain yang memerlukan supaya Tuhan akan melipatgandakan nikmat tersebut. Jelaslah di sini bahawa kita tidak harus lokek dalam menghulurkan sumbangan kerana cubit paha kiri, paha kanan pun sakit juga agar mangsa dapat hidup sempurna seperti kita.

Menganggotai pasukan penyelamat dan pencari juga merupakan peranan kita dalam membantu dan mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan atau mencari mangsa yang hilang selepas kejadian bencana alam. Muktahir ini, banyak pasukan penyelamat Malaysia diterbangkan ke negara-negara jiran yang mengalami bencana alam untuk memberikan bantuan yang semampu boleh. Namun, tidak semua daripada kita yang berani menjadi penyelamat kerana takut berlakunya kejadian susulan di tempat bencana terbabit. Bagi mereka yang berani, mereka ibarat wira dari Malaysia yang datang untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai penghuni di muka bumi ini. Pasukan yang terdiri daripada Pasukan Gerak Cepat dan Pasukan SMART di samping pasukan bomba sentiasa dihantar sebagai kumpulan awal untuk turut sama dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa. Mereka membantu bukan untuk balasan atau ganjaran, namun membantu atas dasar kemanusiaan demi menginsafi diri bahawa mereka perlu bersyukur dengan segala keselesaan dan telah terselamat daripada bencana alam ini. Rentetan itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa menyumbangkan tenaga boleh menjadi satu platform untuk menyalurkan bantuan dalam melaksanakan usaha murni ini lantaran kita berpegang pada kata pepatah, hari tidak selamanya panas.

Membuat keputusan untuk menjadi sukarelawan bukanlah sesuatu yang mudah. Hal ini disebabkan apabila menjadi salah seorang ahli sukarelawan, kita akan meninggalkan keluarga yang tersayang dalam tempoh yang agak lama untuk memberikan bantuan kepada negara-negara jiran. Bantuan rawatan, membina rumah mangsa yang telah musnah semula dan mententeramkan emosi mangsa adalah antara tugas sukarelawan. Pada masa ini, sukarelawan bergerak dalam kumpulan ataupun persatuan. Para sukarelawan ini kebanyakannya dianggotai oleh golongan doktor iaitu golongan bijak pandai untuk merawat mangsa yang mengalami kecederaan sekali gus menyelamatkan nyawa mangsa. Kini, Mercy Malaysia yang dipimpin oleh Dato Dr. Jamilah semakin mendapat tempat dalam hati masyarakat setempat kerana perkhidmatan cemerlang mereka. Ketika mengadakan operasi menyelamat mangsa dalam tragedi gempa bumi di Pakistan, Mercy Malaysia telah menerima pujian hasil kepakaran dan disiplin yang tinggi para pengamal perubatan dari Malaysia. Konklusinya, kemurnian hati para sukarelawan ini amat bernilai dan bererti kepada mangsa untuk mereka terus menjalani kehidupan seperti manusia lain. Para sukarelawan yang berilmu pengetahuan, berakal, rajin dan berkemahiran ini dapat dikatakan sebagai empat bersimpul satu dalam usaha tulus suci ini.

Di samping bantuan derma dan tenaga, kita juga boleh mendoakan mangsa-mangsa kejadian bencana alam ini. Doa yang dipohonkan adalah agar mereka tabah menghadapi dugaan daripada Tuhan Yang Maha Mengetahui. Semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama boleh mendoakan kesejahteraan hidup mangsa bencana yang masih hidup atau yang telah terkorban mengikut kepercayaan agama masing-masing. Paparan akhbar harian seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro telah melaporkan bahawa solat hajat dan bacaan Yasin secara besar-besaran telah diadakan di Masjid Putra, Putrajaya yang telah dihadiri oleh lebih daripada 2000 orang rakyat prihatin dan turut disertai oleh menteri-menteri dan Yang di-Pertuan Agong. Berdasarkan senario ini, terbuktilah di sini bahawa setelah menghulurkan bermacam-macam bantuan. doa adalah pengakhiran bantuan yang diberikan lantaran kita sedar bahawa apa-apa yang berlaku adalah ketentuan Tuhan. Tuntasnya, doa dapat kita hadiahkan kepada mangsa kerana Tuhan itu Maha Adil lagi Maha Mengasihi. Doa ini juga secara tidak langsung boleh melahirkan rasa simpati dan insaf supaya kita sekali tersengat selalu beringat.

Di pihak kerajaan pula, bantuan pascabencana terus dihulurkan. Antara bantuan yang diberikan seperti sumbangan modal dan kepakaran untuk membangunkan kawasan yang telah tejejas teruk semula. Sebagai negara berjiran yang dapat merasakan rintihan dan suara hati saudara serantau, Malaysia telah membantu kerajaan Indonesia dalam usaha membangunkan semula sistem pendidikan di wilayah Acheh dan Yogyakarta di Indonesia yang terjejas teruk dalam peristiwa gempa bumi dan Tsunami. Dengan sokongan yang diberikan itu telah dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa. Anak-anak dapat meneruskan semula pelajaran, sementara hidup baru dapat dimulakan sedikit demi sedikit. Sokongan dan bantuan kepakaran yang dihulurkan, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka di samping dapat memberikan sinar kehidupan yang baharu kepada mereka selepas diuji dengan musibah yang tidak diduga itu.

Intihanya, semua orang seharusnya melupakan batasan geografi dalam menghulurkan bantuan dan tidak menjadi enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Walau di mana-mana jua kita berada, kita harus sedar bahawa manusia semuanya sama iaitu menginginkan kehidupan yang sempurna. Amat wajar membudayakan sikap saling membantu selagi kita termampu lantaran buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat, malah buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Semua pihak haruslah bersama-sama menghulurkan bantuan dengan apa-apa cara sekalipun kerana ada pepatah mengatakan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Rasulullah juga pernah bersabda, “Tidak sempurna iman seseorang kamu, selagi kamu masih belum mengasihi saudara kamu seperti kamu menyayangi diri kamu sendiri”. Semoga sumbangan yang kita salurkan dapat menyempurnakan iman kita dan dapat membantu mangsa meneruskan kehidupan seharian mereka seperti sediakala.

BERUNDING LEBIH BAIK DARIPADA BERPERANG

Soalan: Konflik antara sesebuah negara dengan negara lain di dunia pada masa ini harus diselesaikan melalui perundingan dan bukan melalui peperangan. Bahaskan pernyataan di atas.

Sejak dahulu lagi, kerakusan pemimpin dalam membuat keputusan untuk berperang sering membawa melapetaka kepada rakyatnya. Sejarah telah membuktikan bahawa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua telah membawa pelbagai implikasi kepada dunia sejagat. Tokoh-tokoh pemimpin seperti Hitler dan George W.Bush pasti akan dikenang oleh rakyat negara yang terbabit sebagai pemimpin yang mementingkan diri sendiri bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing yang telah memusnahkan dan menghancurkan keharmonian negara mereka. Oleh itu, pemimpin sekarang harus mengambil iktibar bahawa peperangan tidak dapat menyelesaikan sesuatu konflik dalam masa yang singkat dan mereka perlu mengambil pendekatan dengan berunding demi kesejahteraan rakyatnya. Jangan nanti gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah. Terdapat pelbagai manfaat apabila pemimpin mengambil pendekatan berunding daripada menggunakan senjata untuk menyelesaikan masalah.

Antara kebaikan mengambil pendekatan berunding dalam menyelesaikan konflik antara sesebuah negara ialah pertumpahan darah tidak akan berlaku dan banyak nyawa yang tidak berdosa dapat diselamatkan. Hal ini dikatakan demikian kerana perundingan akan melibatkan pemimpin yang duduk semeja berusaha untuk mencari jalan keluar bagi konflik yang dihadapi. Perbincangan yang melibatkan golongan pemimpin ini pasti akan mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit. Saidina Ali Abi Talib pernah berpesan bahawa pasak kekuatan sesebuah negara hendaklah didirikan atas keadilan para pemerintah. Oleh itu, rakyat tidak akan mengalami kesengsaraan hidup akibat ledakan bom dan tembakan peluru berpandu. Anak-anak tidak akan hilang tempat bergantung dan masa depan mereka akan lebih terjamin. Cukuplah kita melihat penderitaan dan kesengsaraan hidup yang dialami oleh anak-anak dari bumi Palestin, Iraq dan Afgahnistan serta beberapa buah negara di Afrika sebagai akibat kehilangan insan yang disayangi. Jelaslah bahawa perundingan akan mengelakkan berlakunya pertumpahan darah.

Jika ditinjau dari perspektif yang lain, sesebuah negara itu tidak akan mengalami kerugian harta benda jika menggunakan rundingan sebagai jalan untuk menyelesaikan. Kita sedia maklum bahawa peperangan pasti akan meranapkan bangunan, kenderaan, kawasan tumpuan ekonomi dan sebagainya. Peperangan laazimnya menggunakan senjata-senjata cacnggih seperti bom nuklear dan peluru berpandu yang mampu memusnahkan apa-apa sahaja dalam sekelip mata. Sebagai contohnya, peperangan yang berlaku di antara Israel dan Palestin telah membawa kemusnahan infrastruktur negara yang teruk sekali gus menelan belanja yang banyak untuk membaik pulih keadaan. Hal ini bertepatan dengan kata pepatah yang berbunyi, menang menjadi arang, kalah menjadi abu. Sekiranya cara perundingan dipilih sudah pasti kemusnahan harta benda tidak akan berlaku. Rakyat dapat menyimpan wang mereka demi masa depan mereka manakala wang kerajaan juga dapat dijana untuk pembangunan ekonomi negara kerana kebanyakan infrastruktur negara masih berkeadaan baik lagi. Kerajaan tidak perlu lagi membeli senjata, kapal pejuang dan kapal perisai yang baharu. Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa perundingan pasti dapat mengelakkan kemusnahan harta benda yang tidak diduga sama ada harta benda persendirian atau milik kerajaan.

Di samping itu, hubungan diplomatik antara dua buah negara juga dapat dijalin dengan lebih erat apabila pemimpin menggunakan rundingan sebagai cara untuk menyelesaikan konflik yang dihadapinya. Sesungguhnya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Begitu juga dengan konflik yang dihadapi oleh sesebuah negara. Jika jalan perundingan yang dipilih daripada pertumpahan darah maka ikatan silaturahim antara dua buah negara akan terjalin. Perasaan berbaik-baik dan berprasangka positif akan wujud dalam sanubari mereka lantas kedamaian yang dipilih oleh mereka. Mereka akan berpegang pada konsep buang yang keruh, ambil yang jernih. Perundingan antara mereka bukan sahaja membincangkan jalan keluar bagi konflik yang dihadapi malahan juga mereka akan berkonsi pandangan untuk memajukan negara masing-masing. Oleh hal yang demikian, pendekatan rundingan dapat menjalinkan hubungan dua hala antara negara yang terbabit.

Kebaikan yang seterusnya ialah negara-negara yang terlibat dalam rundingan bagi menyelesaikan konflik akan dipandang tinggi dan mulia oleh negara-negara lain di persada antarabangsa. Pada masa ini, majoriti masyarakat di seluruh dunia mendambakan kehidupan yang aman damai dan harmoni, yakni bebas daripada berlakunya pertumpahan darah. Namun begitu, terdapat segelintir pemimpin yang angkuh dan berhidung tinggi daripada bersikap mementingkan keamanan dan kepentingan rakyat. Kita lihat sahaja pemimpin Korea Utara yang sering membuat provokasi dengan melancarkan ujian nuklear walaupun tindakan mereka dikecam hebat oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat dunia yang lain. Begitu juga dengan pihak Amerika Syarikat yang dianggap sebagai polis dunia telah dikritik sebagai akibat daripada kedegilan mereka menyelesaikan masalah dengan cara melakukan keganasan yang kononnya ingin menghapuskan pengganas. Secara tidak langsung, perbuatan mereka telah menjejaskan imej negara terbabit. Tuntasnya, cara perundingan dan persepakatan amat bersesuaian untuk menyelesaikan masalah daripada cara peperangan.

Seperkara lagi, apabila pemimpin-pemimpin memilih pendekatan berunding semasa menyelesaikan konflik dengan negara lain, ekonomi negara tersebut tidak akan terjejas. Kita haruslah menerima hakikat bahawa peperangan hanya akan membawa kemusnahan apabila semua infrastruktur seperti bangunan-bangunan kerajaan dimusnahkan dalam sekelip mata. Oleh itu, kerajaan terpaksa memperuntukan jumlah wang yang besar untuk memulihkan keadaan yang terjejas dengan teruk. Dalam hal ini, agenda pembangunan negara tersebut tidak dapat dijayakan seperti yang dirancangkan. Impaknya, ekonomi negara tersebut akan terbantut. Sebagai analoginya, apabila Pusat Perdagangan Antarabangsa Amerika Syarikat diserang pada tahun 2001, ekonomi di Amerika Syarikat merosot dan banyak rakyat mengalami pengangguran dalam beberapa tahun. Hal sedemikian tidak akan berlaku jika mereka menggunakan pendekatan berunding malah lebih teruk apabila kadar jenayah turut meningkat lantaran kemelesetan ekonomi. Jadi, jelaslah bahawa cara berunding lebih baik daripada berperang ketika menyelesaikan sesuatu konflik yang dihadapi.

Intihanya, sudah terang lagi bersuluh bahawa sesebuah negara perlulah menyelesaikan konflik yang dihadapi dengan cara yang paling afdal iaitu berunding. Pihak kerajaan terutamanya para pemimpin haruslah bijak membuat keputusan yang melibatkan nyawa rakyat dan masa depan negara masing-masing seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak. Jadikanlah kekejaman yang dilakukan oleh beberapa orang pemimpin dunia lalu sebagai iktibar kepada pemimpin-pemimpin pada masa akan datang. Ingatlah, sejarah akan menjadi guru yang selama-lamanya tidak pernah berbohong. Segala kejahatan terhadap warga dunia yang pernah dilakukan akan terus dikecam, bak kata peribahasa, jejak dapat dihilangkan, belang tetap berparut. Semoga kebijaksanaan para pemimpin dunia untuk menyelesaikan masalah dengan perundingan akan memberikan sinar kehidupan yang lebih cerah kepada seluruh rakyatnya.


Karangan ini ditulis oleh Loh Hon Yeen, 5WP Set 1(2010).
Kematangan huraian anda semakin menyerlah dan teruskan membaca karangan yang menarik dan matang. Semoga berjaya mendapat A+ untuk BM SPM.

PERSEDIAAN SEBELUM MENCEBURI KERJAYA MENCABAR DAN BERISIKO

Soalan:
Anda meminati sesuatu bidang kerjaya yang mencabar dan berisiko. Oleh itu, persediaan awal amat penting sebelum anda menceburi bidang pekerjaan tersebut. Bincangkan persediaan-persediaan yang perlu anda lakukan.

Era penyejagatan pada masa ini semakin hari semakin berkembang pesat ekoran sikap manusia yang sentiasa berusaha untuk mencapai dan mendominasi kejayaan dalam kehidupan. Manusia juga sanggup melakukan apa-apa sahaja tanpa berputus asa untuk memperoleh kejayaan, bak kata pepatah Melayu, genggam bara api biar sampai jadi arang. Saya meminati sesuatu bidang kerjaya yang amat mencabar dan berisiko. Oleh itu, persediaan awal adalah amat penting sebelum saya dapat menceburi bidang pekerjaan ini. Saya perlulah melakukan beberapa persediaan yang sewajarnya kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

Persediaan yang afdal yang wajar saya lakukan termasuklah melengkapkan diri saya dengan kemahiran insaniah yang meliputi beberapa aspek, iaitu kemahiran berkomunikasi, mempunyai pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, pembelajaran sepanjang hayat dan pengurusan maklumat, kemahiran keusahawanan, etika dan moral profesional serta kemahiran kepimpinan. Kemahiran insaniah sangat penting untuk melahirkan modal insan yang kamil dan yakin untuk berhadapan dengan sebarang cabaran yang mendatang. Sebagai contoh, semasa berada di alam persekolahan dan pengajian tinggi, saya perlulah menggunakan peluang yang ada untuk bergerak aktif sama ada dalam aktiviti kemasyarakatan, sukan atau kebudayaan. Hal ini adalah kerana kemahiran insaniah dapat mempersiapkan diri saya dengan kemahiran yang boleh diaplikasikan pada masa hadapan terutamanya semasa berada dalam alam pekerjaan. Oleh itu, usaha untuk memiliki kemahiran insaniah amat penting agar saya dapat berkecimpung dalam bidang yang saya minati itu.

Jika dilihat dari dimensi yang lain pula, saya perlu mempunyai daya saing yang tinggi kerana saya merupakan golongan pemuda-pemudi yang bakal berhadapan dengan dunia yang kian mencabar ini. Sesungguhnya remaja di Malaysia amat berbeza dengan remaja di negara lain. Mereka sememangnya sudah diajar berdikari sejak kecil lagi manakala remaja di negara kita masih ditatang bagai minyak yang penuh. Jadi, tidak hairanlah mereka lebih matang dan daya saing mereka lebih tinggi daripada remaja di negara kita. Menyedari hakikat ini, saya perlu kental dan tidak mudah berputus asa apabila berhadapan dengan pelbagai rintangan. Sebagai contoh, Abraham Lincoln pernah mengalami 13 kegagalan besar dalam bidang politik sebelum beliau dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke-16 pada usia 51. Kecekalan Abraham Lincoln ini perlu saya contohi kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Saya juga mesti membekalkan diri saya dengan semangat juang yang tinggi untuk mencapai matlamat saya. Saya perlu berupaya untuk menghasilkan teknologi dan robotik yang setanding dengan remaja yang lain. Jelaslah membuktikan bahawa seseorang yang ingin mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi perlulah memiliki daya saing yang tinggi.

Selain itu, saya juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam terhadap bidang pekerjaan yang bakal saya ceburi itu. Hal ini adalah kerana ketinggian ilmu yang saya miliki dapat memastikan jati diri saya tidak mudah rapuh. Sejak kecil lagi, rakyat Jepun telah didedahkan dengan amalan membaca kerana mereka percaya bahawa membaca itu jambatan ilmu. Hanya dengan membaca, mereka berupaya memajukan negaran mereka dengan pelbagai teknologi moden yang canggih. Jadi, saya perlu banyak membaca buku-buku yang berkaitan dengan bidang yang saya minati. Saya percaya bahawa ilmu pengetahuan yang tinggi mampu mematangkan saya untuk mengatur setiap langkah kehidupan. Sememangnya pelangi hari ini tidak mampu berjanji untuk muncul pada hari keesokan. Oleh hal yang demikian, saya perlulah meningkatkan pengetahuan dan keyakinan saya bagi merealisasikan impian saya untuk menceburi bidang kerjaya yang mencabar dan berisiko.

Seperkara lagi, saya perlulah sentiasa sensitif dan prihatin terhadap isu semasa. Saya tidak mahu menjadi seperti katak di bawah tempurung. Hal ini adalah supaya saya lebih peka terhadap masalah yang kian menular seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan sama ada di negara kita atau di luar negara. Dewasa ini, banyak jenayah yang berlaku di negara kita. Sebagai contoh, kes pembunuhan Datuk Sosilawati, seorang jutawan dan rakan-rakannya yang telah dibunuh tanpa perikemanusiaan. Sebagai iktibar, saya perlu lebih berhati-hati dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba ini terutamanya ketika menceburi bidang kerjaya yang lebih mencabar dan berisiko. Jadi, saya mestilah memiliki semangat inkuiri yang kuat dan tinggi supaya saya sentiasa lebih sensitif dan peka terhadap isu-isu yang berlaku di sekeliling saya. Hal ini dapat dicapai sekiranya saya rajin membaca surat khabar dan melayari internet untuk mengetahui isu-isu semasa. Dengan cara ini, saya berupaya untuk menangkis sebarang cabaran ketika saya bekerja dalam dunia pekerjaan yang berisiko dan mencabar.

Persediaan yang seterusnya ialah saya perlu mempunyai minda yang kreatif dan inovatif. Hal ini dikatakan demikian kerana seseorang yang dapat berfikir di luar kotak dan berani melakukan anjakan paradigma mampu untuk menongkah arus dan mendepani cabaran semasa. Sebagai seorang pelajar, kejayaan akademik memang merupakan satu kepentingan untuk berjaya dalam kehidupan tetapi tidak dapat disangkalkan juga bahawa mempunyai nilai tambah diri seperti nilai kepimpinan dan berfikir secara kreatif serta kritis juga signifikan untuk berjaya dalam kerjaya yang mencabar dan berisiko. Oleh itu, pemikiran saya yang kreatif dan inovatif dapat menangani cabaran-cabaran yang bakal saya tempuhi kelak terutamanya pada era globalisasi ini. Saya juga dapat mengemukakan idea-idea yang bernas yang dapat meningkatkan kualiti kerja saya kelak. Tuntasnya, kemampuan untuk berfikir secara kreatif dan inovatif dapat membantu saya ketika melibatkan diri dalam kerjaya yang saya idamkan.

Konklusinya, persediaan-persediaan inilah yang wajar saya lakukan sebagai prasyarat untuk mencapai kejayaan dalam pekerjaan saya nanti. Oleh itu, saya perlulah menitikberatkan kemajuan diri saya dalam semua aspek sama ada dalam aspek jasmani, rohani, emosi, intelek dan sosial. Dengan cara ini, saya pasti dapat menangkis segala dugaan yang mendatang kerana saya percaya bahawa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Semoga impian saya akan menjadi realiti dengan keizinan Tuhan yang Maha Esa.


Karangan ini ditulis oleh Chew Jia Jiet, 5WP Set1.
Kepada Chew Jia Jiet, ingat pesanan saya agar memahami setiap soalan dengan teliti sebelum menjawab supaya karangan anda tidak terpesong. Sebagai seorang pelajar yang cemerlang, anda perlu lebih berwaspada kerana kecuaian akan mengundang padah. Semoga A+ milik anda untuk BM SPM 2010.

Tuesday, November 16, 2010

Kesan-Kesan Teknologi Maklumat (ICT)

Zaman beralih dan musim berubah. Fasa demi fasa perubahan dunia telah berlaku. Dari zaman falsafah ke Zaman Renaissance, bertukar pula ke zaman industri dan zaman atom, kini sampailah pada hari ini yang disebut dengan zaman teknologi maklumat (ICT). Dalam setiap zaman yang dilalui oleh manusia telah menempuh pelbagai cabaran dan seyogianya manusia memperoleh pelbagai input baharu. Daripada pelbagai sumber pengetahuan, penemuan bidang ICT telah berjaya menginjak tamadun dunia kepada situasi yang lebih kompetitif. Teknologi ICT telah mewajarkan manusia mencapai pelbagai kemajuan lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu pengetahuan dan maklumat yang paling canggih. Sesungguhnya, kemajuan teknologi ini meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan sama ada implikasi yang positif atau negatif.

Kehadiran teknologi maklumat merupakan anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi maklumat. Seluruh dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini. Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dengan pelajar sahaja, malah dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan di surat khabar menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi, “Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda!” Iklan tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah. Begitulah kelebihan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan.

Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya kemudahan maklumat ini. Dunia hari ini heboh tentang e-niaga iaitu cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman sesawang mereka beserta alamat mel elektronik atau e-mel. Kini, istilah www.sesuatu.com.my bukan lagi satu perkara yang asing. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari peringkat glokal malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di surat khabar yang mengkhabarkan seorang suri rumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui e-mel. Jadi, jelaslah bahawa perkembangan teknologi maklumat membawa kesan positif dari aspek perniagaan.

Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan teknologi maklumat secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya e-mel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat, kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika Bill Gates, insan terkaya di dunia melawat Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multimedianya. Oleh itu, terbuktilah bahawa pembangunan teknologi maklumat membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.

Dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi maklumat mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat dapat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan rakyat pelbagai negara dan berbilang kaum. Bukankah teknologi ini satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?

Walau bagaimanapun, pembangunan pesat teknologi maklumat tidak bebas daripada implikasi negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek negatif yang boleh menggugat keamanan negara. Maka, tidak hairanlah apabila terdapat sesetengah pihak yang menggunakan teknologi ini untuk yang menyampaikan khabar yang tidak berasas dan berbaur fitnah. Di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Contohnya, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet pada suatu ketika dahulu. Khabar angin ini pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Aspek negatif internet inilah yang sukar dibendung oleh sesiapa.

Teknologi maklumat juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya dalam kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang mendahagai pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini yang bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ingin mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat bagai belut diketil ekor dalam kalangan pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Hal ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan keadaan lagi. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif dalam kalangan remaja dan belia. Sesungguhnya, teknologi maklumat sememangnya menyebarkan unsur-unsur lucah dan meningkatkan kebejatan akhlak remaja kita.

Sebagai penutup bicara, teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Jadi, sebagai pengguna yang bijak kita tidak harus menyalahgunakan kemudahan teknologi maklumat ini. Semua pihak harus bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengambil langkah sederap untuk memastikan tiada unsur negatif yang berlaku seiring dengan ledakan teknologi berinformasi ini. Sudah menjadi tugas kita bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh. Semoga impian negara untuk melahirkan masyarakat yang maju dan berinformasi tercapai bagi memudahkan negara merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020. Sesungguhnya Saidina Ali Abi Talib pernah berkata bahawa manusia yang berdagang dengan ilmu maka ilmunya akan bertambah tetapi apabila manusia berdagang dengan harta maka hartanya semakin berkurang.

Kosa kata:
1. seyogia – sepatutnya, selayaknya
2. input – sumber
3. menginjak – mengubah
4. kompetitif – bersaing
5. glokal – tempatan
6. berbaur – bercampur
7. anarki – porak-peranda
8. wahana – saluran
9. kebejatan – keruntuhan



Sunday, November 14, 2010

PECUTAN TERAKHIR PROSA TRADISIONAL SPM 2010

1. CERITA BAYAN TIADA MENURUT KATA IBU BAPANYA
(Percubaan MELAKA, SABAH, SARAWAK, SELANGOR)

i. Maksud rangkai kata:
(a) berceritalah anak kera itu segala perihalnya bermaksud anak kera memberitahu semua peristiwa / hal yang telah berlaku
(b) tahu ia akan ilmu tabib bermaksud Bayan mengetahu cara mengubati penyakit.
(c) minta dilenyapkan juga daripada mata ibu bapanya bermaksud disuruh agar dihilangkan daripada pandangan penjaganya
(d) beroleh kejahatan – mendapat kesengsaraan/padah/malapetaka

ii. Soalan Petikan:
(a) Tindakan saudagar terhadap anak kera:
- saudagar menangkap anak kera
- saudagar membunuh anak kera
- saudagar mengambil hati anak kera
- hati anak kera dijadikan ubat

(b) Alasan bayan untuk mengelakkan dirinya daripada dibunuh:
- budak itu tidak akan kenyang jika memakannya kerana dagingnya hanya sekepal
- jika budak itu menjualnya dengan dua ribu dinar, budak itu akan dapat menggunakan hasil jualannya sehingga anak cucu
- menyuruh budak itu menjualkannya kepada raja kerana dia dapat mengubati penyakit sopak raja

(c) Sebab bayan melarang anaknya berkawan dengan anak cerpelai:
- Cerpelai binatang yang tidak jujur
- Cerpelai binatang yang tidak setia.

(d) Sikap yang patut dijauhi:
- hasad dengki dan pendendam
- bersekongkol untuk melakukan kejahatan
- gembira atas kesusahan orang lain

(e) Peritiwa selepas anak kera kalah bermain catur dengan anak saudagar:
- anak saudagar menghunuskan pisau dan diparangkannya kepada anak kera
- anak kera melompat dan terkena hujung pisau itu pada lengannya lalu luka sedikit
- anak kera mengambil pisau yang dicampakkan oleh anak saudagar lalu dilontarkannya kepada anak saudagar dan anak saudagar itu pun luka sedikit

iii. KBKK:
(a) Akibat anak tidak mendengar nasihat ibu bapanya:
- hidup tidak selamat
- tidak mendapat restu daripada ibu bapa
- mudah ditimpa malang / malapetaka
- mudah terjebak dalam gejala negatif
- tidak berjaya dalam kehidupan
- berdosa dan dianggap sebagai anak derhaka
- tidak mendapat rahmat Tuhan

(b) Alasan untuk menyokong tindakan raja membeli bayan itu dengan harga empat ribu dinar:
- bayan dapat dijadikan penghibur
- kepandaiannya boleh membantu rakyat
- Raja mampu membayarnya dengan wang sebanyak itu
- dapat dijadikan haiwan peliharaan

(c) Faedah cerita Bayan:
- sebagai satu bentuk hiburan
- sebagai pengajaran, iktibar dan panduan
- menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan
- satu sumber untuk mendidik secara tidak langsung
- sebagai satu terapi minda
- mengisi masa lapang dengan berfaedah

(d) Amalan hidup berjiran:
- saling membantu antara satu sama lain
- tidak iri hati dan tidak berdendam
- bertolak ansur
- bermusyawarah untuk menyelesaikan sesuatu masalah

(e) Kebaikan mendengar nasihat ibu bapa:
- hidup akan lebih selamat
- terlindung daripada musibah/kecelakaan/kesengsaraan
- tidak terjebak dalam kancah negatif
- berjaya dalam kehidupan
- sentiasa mendapat rahmat daripada Tuhan
- dianggap anak yang soleh/solehah
- hati akan menjadi lebih tenang


2. PERTARUNGAN TUAH DENGAN JEBAT
(Percubaan SBP, KELANTAN, TERENGGANU, PERAK, W.PERSEKUTUAN, P.PINANG)

i. Maksud rangkai kata:
(a) sepala-pala jahat jangan kepalang – sekiranya melakukan perbuatan yang jahat hendaklah melakukannya sampai kesudahan
(b) tiada endah lakunya – tidak mempedulikan aksi Hang Jebat
(c) matanya meleng matanya memandang – melihat dengan berwaspada/berhati-hati
(d) supaya masyhurlah namaku – agar nama Hang Jebat menjadi terkenal
(e) rosak bawang ditimpa jambaknya – diri sendiri yang musnah akibat perbuatan sendiri

ii. Petikan:
(a) Tindakan Hang Jebat supaya namanya masyhur:
- Hang Jebat menuntut bela atas kematian Hang Tuah
- Hang Jebat menderhaka kepada Sultan Melaka
- Hang Jebat membunuh berpuluh-puluh ribu orang yang tidak berdosa

(b) Tindakan kerjasama antara Hang Jebat dengan Hang Tuah:
- bersama-sama menyarung keris
- mereka berdua berusung tilam
- mereka berdua meletakkan tilam di tengah ruang
- bersetuju bertikam di atas talam supaya terpelihara kaki mereka
- berjalan berdua masuk ke dalam perbendaharaan raja

(c) Alasan Hang Jebat kerana penderhakaannya:
- hatinya sakit kerana Hang Tuah yang tidak berdosa dihukum oleh Sultan
- tidak puas hati akan tindakan Hang Tuah tanpa usul periksa
- Hang Tuah banyak berjasa dan berbakti
- alang-alang menderhaka dan berbuat jahat biarlah mati dengan nama yang jahat

(d) Reaksi Hang Jebat setelah Laksamana menyentak keris dari pinggangnya:
- Hang Jebat terkejut
- Hang Jebat bangun/bangkit
- Hang Jebat mengusir Laksamana
- meminta Laksamana supaya membunuhnya

(e) Keadaan keris parung sari:
- bertatah sampai ke hujung
- mempunyai lok tujub belas
- rupanya baik
- kukuh dan tajam seperti getah

(f) Tindakan HangJebat apabila diminta oleh Hang Tuah untuk membuka pintu agar mereka dapat bertikam:
- menyuruh Hang Tuah bersabar kerana dia hendak melangirkan kerisnya
- menutup pintu istana empatpuluh
- menikam tujuh ratus orang perempuan di dalam istana

iii. KBKK:
(a) Langkah-langkah yang diambil untuk mewujudkan keamanan dalam sesebuah negara:
- pemerintah hendaklah adil ketika menjatuhkan hukuman
- rakyat hendaklah bertindak secara rasional dan tidak terburu-buru
- mahkamah hendaklah dijadikan tempat menyelesaikan masalah
- penderhaka harus dikenakan hukuman yang setimpal supaya menjadi pengajaran kepada orang lain

(b) Kepentingan muafakat:
- dapat mengelakkan persengketaan / perbalahan
- dapat mengeratkan silaturahim
- supaya mendapat keputusan yang lebih adil
- urusan akan menjadi lebih mudah
- mewujudkan percambahan idea / perkongsian ilmu
- mewujudkan semangat kerjasama

(c) Wajar / tidak wajar tindakan Hang Tuah membunuh Hang Jebat:
Wajar:
- Hang Tuah perlu mentaati perintah Sultan
- Hang Jebat telah menderhaka kepada Sultan
- Hang Jebat telah berdosa kepada rakyat Melaka dengan melakukan pembunuhan
- menghentikan keadaan huru-hara
- mengembalikan kedudukan Sultan sebagai raja
- mengelakkan daripada lebih banyak rakyat yang tidak berdosa daripada menjadi korban
- perbuatan menderhaka bertentangan dengan adat dan budaya bangsa Melayu
Tidak wajar kerana:
- Hang Jebat bertindak sedemikian untuk membela sahabatnya, Hang Tuah
- Hang Tuah boleh memohon perkenan Sultan untuk memberikan pengampunan / dijatuhkan hukuman ringan kepada Hang Jebat
- semangat setiakawan Hang Jebat perlu dihargai
- Hang Tuah boleh memujuk Hang JEbat supaya menyerah diri
- Hang Tuah tidak mengenang jasa Hang Jebat

(d) Kebaikan mempelajari seni mempertahankan diri:
- dapat mempertahankan diri daripada ancaman musuh
- dapat mempertahankan maruah diri
- dapat membantu orang lain yang teraniaya/dizalimi
- dapat menyumbangkan tenaga kepada bangsa dan negara
- dapat meningkatkan disiplin diri
- dapat mengekalkan budaya warisan bangsa
- dapat meningkatkan keyakinan diri

(e) Kewajaran Hang Jebat menyerahkan keris parung sari semula kepada Laksamana:
Wajar:
- Keris itu milik Laksamana dan bukan miliknya
- keris itu dianugerahkan oleh Betara Majapahit kepada Laksamana
- tidak ingin digelar sebagai perampas
- supaya Laksamana membatalkan niatnya untuk membunuhnya
Tidak wajar:
- akan memudahkan Laksamana membunuhnya
- dapat menyelamatkan dirinya daripada dibunuh oleh Laksamana
- keris itu telah menjadi miliknya setelah diserahkan oleh sultan kepadanya

(f) Tindakan Hang Tuah untuk mengelakkan pertumpahan darah:
- memujuk Hang Jebat supaya menyerah diri
- memohon perkenan Sultan supaya meringankan hukuman kepada Hang Jebat
- memujuk Hang Jebat supaya bertaubat dan kembali ke jalan yang benar
- menyedarkan Hang Jebat bahawa perbuatannya itu akan menjejaskan masa depan anaknya


3. ASAL USUL RAJA KECIL
(Percubaan KEDAH)

i. Maksud rangkai kata:
hendak berhamba akan dirinya – ingin menyatakan kesediaannya berkhidmat

ii. Petikan:
Keistimewaan Tuan Bujang:
- Berani mengembara seorang diri
- Cinta akan ilmu
- Menghormati orang tua – meminta izin daripada Puteri JIlan sebelum mengembara
- Darjat Tuan Bujang lebih tinggi daripada sultan

iii. KBKK:
Nasihat sebelum keluar mencari ilmu:
- berhati-hati semasa berada di rantau orang
- menjaga tingkah laku supaya disenangi orang ramai
- tidak sombong dan sentiasa merendah diri
- menghormati guru dan beradab sopan ketika menuntut ilmu


4. KEZALIMAN MEMBAWA PADAH
(Percubaan N.SEMBILAN)

i. Maksud:
patahlah perang – kalah/tewas/kecundang dalam pertempuran

ii. Petikan:
Tindakan Betara Majapahit setelah baginda mengetahui kandungan surat yang dikirim oleh Sang Rajuna Tapa:
- menyediakan 300 buah kapal
- menyediakan peralatan/senjata peperangan
- menyediakan dua keti tentera
- mengarahkan pasukan tenteranya belayar ke Singapura
- mengarahkan tenteranya berperang dengan Singapura

iii. KBKK:
Kepentingan kesetiaan rakyat kepada pemerintah:
- menjamin negara terus aman dan makmur
- dapat memajukan dan memacu pembangunan negara
- segala agenda negara dapat dilaksana dengan lebih berjaya
- menyuburkan nilai murni dalam diri
- mempertahankan negara daripada ancaman musuh


5. SABOR
(Percubaan MRSM)

i. Maksud:
pekerti tuan hamba demikian ini – perangai/tingkah laku/sikap Siti Saidah begini / seperti ini

ii. Petikan:
Aduan Saidah kepada Jibor:
- Sabor memegang tangan Saidah ketika dia hendak ke bilik air
- Sabor menghunus jambiahnya dan hendak menikam Saidah jika Saidah menjerit
- Sabor ingin mencabuli Saidah tetapi Saidah tidak mahu menuruti kehendak Sabor dan dia lebih rela mati daripada curang terhadap Jibor

iii. KBKK:
Kesan perbuatan memfitnah:
- orang yang tidak bersalah/baik akan menjadi mangsa fitnah
- hubungan antara manusia semakin renggang
- masyarakat akan menjadi huru-hara kerana tersebarnya fitnah
- permusuhan dalam kalangan masyarakat akan berleluasa
- usaha memajukan negara terbantut kerana keamanan tergugat
- saman-menyaman semakin berleluasa

PECUTAN TERAKHIR CERPEN / DRAMA KOMSAS SPM 2010

1. DRAMA SERUNAI MALAM
(Percubaan MELAKA, SBP, N.SEMBILAN, PERAK)

i. Petikan
(a) Gambaran keadaan Umar semasa kecil:
- pergi ke sekolah berkaki ayam
- berjalan di atas batas-batas sawah
- kadang-kadang makan sekali sehari
- pernah ke sekolah dengan perut lapar
- tidak membawa wang ke sekolah

(b) Perbezaan pandangan hidup Umar dengan Safiah:
- Umar hendak berkhidmat sebagai seorang guru di dalam negaranya
- Safiah hendak hidup di luar negara

(c) Sebab Umar bersungguh-sungguh mahu berbakti kepada masyarakat kampung:
- masyarakat kampung masih dibelenggu kemiskinan
- dia pernah melalui keperitan hidup semasa kecil
- dia sendiri berasal dari kampung
- taraf pendidikan masyarakat kampung masih rendah

(d) Sebab Umar suka menjadi guru:
- untuk mengisi tenaga kerja guru yang kurang
- kerjaya yang kurang diberi perhatian oleh mahasiswa
- tidak cemerlang dalam mata pelajaran sains
- masa depannya dengan Safiah masih cerah / terjamin

(e) Impian Safiah:
- ingin tinggal di luar negeri
- ingin bekerja di luar negeri
- ingin bermain salji

ii. KBKK
(a) Ciri-ciri memilih pasangan yang dapat membawa kebahagiaan hidup:
- berbudi bahasa / bersopan santun
- dapat memahami jiwa kita
- pandai berdikari / menyesuaikan diri
- mempunyai pegangan agama yang teguh
- sesuai dengan cita rasa kita
- mempunyai kedudukan / darjat yang setaraf

(b) Cara memujuk Safiah supaya merestui hasrat untuk menjadi guru:
- menyedarkan Safiah bahawa kerjaya sebagai seorang guru sangat mulia
- dapat mendidik anak-anak bangsa
- dapat mengubah nasib sesuatu kelompok masyarakat seperti masyarakat di luar bandar
- dapat melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan

(c) Usaha yang dapat dilakukan untuk meningkatkan tahap pendidikan anak-anak kampung:
- memberikan kesedaran tentang kepentingan pendidikan / ilmu pengetahuan
- membimbing kanak-kanak menguasai kemahiran asas
- memberi kelas bimbingan/kelas tambahan terhadap anak-anak kampung
- mengadakan bengkel, ceramah atau pameran

(d) Cara untuk membina masa depan yang cemerlang:
- belajar bersungguh-sungguh
- mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan
- memiliki disiplin diri yang tinggi
- sering berkunjung ke perpustakaan
- sering bertanya kepada guru
- sentiasa mencari peluang yang baik

(e) Reaksi yang patut ditunjukkan oleh Safiah apabila Umar menyatakan keinginannya untuk menjadi guru di dalam negara:
- bangga kerana Umar sanggup berbakti untuk negara sendiri
- gembira kerana mempunyai tunang yang berjiwa patriotik
- kagum kerana Umar sanggup mendidik anak watannya

iii. KOMSAS
(a) Perwatakan Safiah:
- seorang penyayang – Safiah menyayangi Umar
- mempunyai cita-cita – Safiah bercita-cita untuk ke luar negara
- mudah merajuk – Safiah merajuk apabila Umar datang lewat ke rumahnya
- mementingkan diri sendiri – Safiah ingin Umar bekerja di luar negara
- keanak-anakan – Safiah menyuruh Jah menyediakan minuman untuknya

(b) Persoalan/Pengajaran/Nilai:

(I)
Persoalan: Sedar akan keperitan hidup
Nilai: Keinsafan / kesedaran
Pengajaran: Kita haruslah sentiasa sedar akan keperitan hidup yang pernah kita alami.
Contoh: Umar sentiasa sedar akan kesusahan hidup yang pernah dilaluinya semasa dia
masih kecil dan tinggal di kampung.

(II)
Persoalan: kasih sayang antara satu sama lain
Nilai: Kasih sayang
Pengajaran: Kita haruslah saling menyayangi antara satu sama lain.
Contoh: Umar dan Safiah saling menyayangi.

(III)
Persoalan: tabah menghadapi dugaan hidup
Nilai: Ketabahan
Pengajaran: Kita hendaklah tabah menghadapi dugaan hidup.
Contoh: Umar tabah menghadapi keperitan hidupnya semasa kecil.

(IV)
Persoalan: Sedia berkhidmat untuk tanah air
Nilai: Cinta akan tanah air
Pengajaran: Kita haruslah cinta akan tanah air kita dan sedia berkhidmat untuk negara.
Contoh: Umar cinta akan tanah airnya dan sedia berkhidmat di negaranya / di kampung halamannya.

(V)
Persoalan: menghormati tetamu
Nilai: Hormat-menghormati
Pengajaran: Kita harus menghormati tetamu yang datang ke rumah kita.
Contoh: Ibu Safiah menghormati ayah Umar, Pak Majid yang datang ke rumahnya.

(VI)
Persoalan: Gigih berusaha untuk Berjaya
Nilai: Kegigihan
Pengajaran: Kita haruslah gigih berusaha untuk mencapai kejayaan.
Contoh: Umar gigih berusaha hingga dia Berjaya menamatkan pengajiannya di university.

(VII)
Persoalan: Baik hati sesama manusia
Nilai: Baik hati
Pengajaran: Kita haruslah baik hati sesama manusia.
Contoh: Pak Majid membawa oleh-oleh dari kampung untuk keluarga Safiah.


2. CERPEN LAMBAIAN MALAR HIJAU
(Percubaan JOHOR, SABAH, MRSM)

i. Maksud rangkai kata:
(a) sindiket yang gila akan duit – kumpulan yang mementingkan keuntungan / wang

ii. Soalan Petikan:
(a) Sebab Daneng tidak mahu menyambung pelajaran:
- tidak mahu meninggalkan tempat kelahirannya / hutannya
- jiwanya sudah terikat dengan hutan
- mendambakan kehidupannya di hutan

(b) Keadaan isi pondok Daneng:
- tiada sebarang perabot
- beberapa buah bantal buruk
- sebuah almari using

(c) Alasan Daneng menolak pujukan Cikgu Jo:
- dia berasa lebih selesa tinggal di tempat itu
- nenek moyangnya disemadikan di tempat itu
- jiwanya terikat pada pohon tualang/bukit-bukit/pohon-pohon
- dapat menghidu udara segar di hutan
- sudah sebati menjalankan aktiviti di hutan
- mendambakan/keinginan meneruskan kehidupan di hutan

iii. KBKK:
(a) Tindakan Cikgu Jo untuk memujuk Daneng menyambungkan pelajarannya:
- menasihati Daneng akan kepentingan pelajaran pada masa depan
- memujuk ibu bapa Daneng agar memujuk Daneng
- meminta bantuan Tok Batin / kaunselor untuk memujuk Daneng
- meminta pengetua atau PIBGuntuk memujuk Daneng
- menawarkan pelbagai bantuan persekolahan untuk Daneng

(b) Sebab pendidikan penting dalam kehidupan seseorang:
- Memperoleh ilmu pengetahuan yang luas
- Menjadi orang yang dihormati/disegani oleh masyarakat
- Berpeluang untuk memegang jawatan yang tinggi/penting
- Tidak mudah ditindas/ditipu/dianiaya oleh orang lain
- Dapat menyumbang bakti/berbakti kepada masyarakat dan negara
- Dapat memajukan masyarkat, bangsa dan negara

(c) Wajar / tidak wajar Daneng mempertahankan cara hidupnya pada zaman globalisasi ini
Wajar:
- kos hidup murah
- dapat berjimat cermat / tidak perlu berhutang
- kurang terdedah kepada budaya kuning / negatif
- dapat mempertahankan alam sekitar
- dapat mempertahankan warisan kehidupan nenek moyangnya
Tidak wajar:
- perlu menuntut ilmu demi masa depannya
- perlu bersikap terbuka untuk berubah
- dapat menjadi suri teladan kepada kaumnya
- dapat memajukan masyarakatnya
- dapat mendepani perubahan zaman yang semakin mencabar

(d) Jika Daneng enggan menerima nasihat Cikgu Jo:
- Daneng akan terus hidup dalam kemiskinan
- Daneng akan keciciran dalam pelajaran
- Dia tidak dapat mengembangkan bakat/potensi
- tidak dapat berbakti kepada masyarakat orang asli
- hubungan antara Daneng dengan Cikgu Jo akan renggang

iv. KOMSAS
(a) Latar masyarakat:
- Masyarakat yang prihatin/bertanggungjawab – Sebagai seorang guru, Cikgu Jo memujuk Daneng agar meneruskan persekolahannya.
- Masyarakat yang tinggal di hutan – Jiwa Daneng sudah terikat dengan hutan dan dia enggan meninggalkan hutannya itu.
- Masyarakat yang baik hati – Ibu Daneng membekalkan petai kepada Cikgu Jo untuk dibawa pulang.
- Masyarakat yang mempercayai pantang larang – Daneng melarang Cikgu Jo bercakap bukan-bukan ketika memancing.
- Masyarakat yang gigih berusaha – Daneng gigih berusaha untuk berjaya dalam hidupnya dan akhirnya dia telah mendapat gelaran Datuk dan Hadiah Nobel.

(b) Persoalan/Nilai:

(I)
Persoalan: Kepentingan pelajaran untuk mencapai cita-cita
Nilai: Mencintai ilmu
Contoh: Cikgu Jo menyedarkan Daneng bahawa hanya pelajaran dapat membantu Daneng dalam mempertahankan hutannya

(II)
Persoalan: Menghormati tetamu
Nilai: Hormat-menghormati
Contoh: Ibu Daneng menyambut kedatangan Cikgu Jo dengan baik.

(III)
Persoalan: sayang akan alam sekitar
Nilai: kasih sayang
Contoh: Daneng sangat menyayangi alam sekitar dan hutannya hinggakan dia enggan menyambung pelajarannya ke bandar.

(IV)
Persoalan: Keprihatinan seorang guru
Nilai: Keprihatinan
Contoh: Sebagai seorang guru, Cikgu Jo memujuk Daneng agar meneruskan persekolahannya.

(V)
Persoalan: gigih berusaha untuk mencapai kejayaan
Nilai: Kegigihan
Contoh: Daneng gigih berusaha untuk berjaya dalam hidupnya dan akhirnya dia telah mendapat gelaran Datuk dan Hadiah Nobel.


3. ANNYSS SOPHILLEA
(Percubaan KELANTAN, SARAWAK, TERENGGANU)

i. Petikan:
(a) Hak Eyrique yang dirampas oleh Strenn:
- kekasihnya / Sarlyn
- takhta / pengganti raja
- mahligai / takhta Alstonia

(b) Usaha yang dilakukan olehAnnyss dan Eyrique untuk menyelamatkan nyawa Akmal:
- meletakkan tangan di atas luka yang tidak kelihatan pada dada Akmal
- memasukkan cahaya kebiruan ke dalam dada Akmal supaya tidak merasai kesakitan yang berlaku kepada Akmal

(c) Suasana di pusara ayah dan bonda Annyss:
- udara berbau wangi dari pohon dsymma
- hari semakin cerah apabila matahari pagi mulai meninggi
- suasana kedinginan apabila rumput menghijau masih dibasahi embun

ii. KBKK:
(a) Cara mendapatkan hak tanpa persengketaan:
- mengadakan perbincangan
- menggunakan orang tengah seperti ketua kampung, wakil rakyat dan sebagainya
- melaporkan kepada pihak berkuasa seperti polis
- menggunakan saluran mahkamah / undang-undang
- mendapatkan sokongan orang ramai seperti ahli keluarga

(b) Kewajaran tindakan Annyss dan Eyrique menyelamatkan Akmal:
- untuk membalas pergorbanan Akmal yang sanggup mengorbankan nyawanya demi keselamatan mereka berdua
- Akmal ialah sahabat Annyss yang banyak membantu Annyss
- menunjukkan kasih sayang sesama insan
- Akmal tidak bersalah dan tidak layak menerima hukuman itu

(c) Menerima lamaran Strenn atau tidak:
Terima kerana:
- tidak berdaya untuk mencari Eyrique
- boleh menggulingkan Strenn dari takhta Alstonia
- dapat memujuk Strenn supaya menunjukkan tempat Eyrique disembunyikan

Tidak kerana:
- benci /tidak mencintai Strenn
- mahu menunaikan wasiat ayahanda dan bonda
- yakin dapat mencari Eyrique
- tidak mempercayai Strenn

iii. KOMSAS
(a) Nilai:
- keberanian - Eyrique berani menuntut haknya
- berpandangan jauh - Eyrique dapat menjangkakan pemikiran Strenn
- bersatu padu - Eyrique dan Annyss bersatu kuasa untuk menyelamatkan nyawa Akmal
- kasih sayang - Annyss menyayangi Eyrique dan sanggup turun ke bumi untuk mencari kembarnya itu .
- semangat setiakawan - Akmal sanggup mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan Annyss dan Eyrique daripada terkena tembakan Strenn
- Amanah - Annyss berjanji akan menunaikan wasiat dan ayah bondanya.
- Ketegasan - Annyss tegas menolak lamaran Strenn/tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata Strenn.


4. JANGAN BUNUH RAMA-RAMA
(Percubaan SELANGOR, W.PERSEKUTUAN)

i. Petikan:
(a) Kesukaran yang dihadapi oleh raja untuk mendapatkan rama-rama:
- masuk belukar keluar belukar, masuk hutan keluar hutan, masuk rimba keluar rimba
- mengalami kecederaan di tangan, di kaki dan di muka
- tergelincir dan terus terjatuh ke dalam sebuah telaga yang airnya sedang mendidih bergelegak

(b) Permintaan permaisuri terhadap suaminya:
- menyuruh suaminya mencarikan rama-rama yang cantik-cantik untuknya
- meminta suaminya sendiri yang mencarikan rama-rama itu kerana suaminya arif dalam hal itu.

ii. KBKK:
(a) Kewajaran rama-rama membantu raja:
Wajar:
- mereka merupakan makhluk Tuhan
- dapat mengelakkan raja mati di dalam telaga itu dan rakyat akan kehilangan seorang raja
- percaya akan konsep buat baik dibalas baik
- memberikan keinsafan kepada raja
- sikap memaafkan kesilapan orang lain merupakan sikap yang terpuji
Tidak wajar:
- raja ingin menangkapnya
- keselamatannya akan terancam
- khuatir raja akan meneruskan niatnya
- raja akan melakukan kezaliman terhadap dirinya
- menjadi pengajaran kepada orang yang zalim

(b) Cara mengekalkan hubungan suami isteri:
- sentiasa toleransi apabila berhadapan dengan masalah
- sentiasa bermusyawarah apabila menghadapi masalah
- saling mempercayai antara satu sama lain
- melakukan aktiviti/hobi bersama-sama
- sering menghadiri ceramah untuk mengekalkan hubungan suami isteri

iii. KOMSAS:
Nilai:
- Keinsafan – raja menyedari kesilapannya selepas terdengar azan Subuh dan tidak mahu membunuh rama-rama lagi
- tolong-menolong – rama-rama menolong raja untuk menyejukkan air di dalam telaga dengan mengipas-ngipas dengan sayapnya
- belas kasihan – rama-rama kasihan melihat raja yang kepanasan
- kasih sayang – raja sayang akan isterinya sehingga sanggup mencarikan rama-rama yang cantik buat isterinya
- baik hati – Peran dan rombongannya ingin mengubati orang buta
- rasional – Mek Bongsu dapat berfikir secara rasional apabila meninggalkan kemewahannya dan menjadi marhaen

Monday, November 8, 2010

PECUTAN TERAKHIR KOMSAS SPM 2010 (PUISI MODEN)

1. DI RUANG GEMANYA
(Percubaan MELAKA, TERENGGANU)

(a) Maksud:
i. hampa dan derita bermaksud kekecewaan dan kesengsaraan
ii. Telah kurangkumkan rebah setiaku bermaksud menetapkan bahawa dia akan setia selamanya

(b) Petikan:
i. Pengorbanan penyair terhadap negara dalam rangkap pertama:
- pengorbanan penyajak terhadap negara
- penyajak tetap setia tanpa berbelah bahagi kepada negara
- bersama-sama memajukan negara menuju kegemilangan
- bersama-sama menghadapi dugaan negara

(c) KBKK:
i. Cara untuk menghadapi dugaan hidup:
- berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah
- sentiasa berfikiran positif/terbuka
- tidak berputus asa
- banyakkan bersabar/cekal/tabah
- berdoa/bertawakal/berserah kepada Tuhan
- muhasabah/menilai diri

ii. Usaha-usaha memupuk semangat cinta akan tanah air:
- sama-sama menyertai sambutan Hari Kebangsaan untuk meningkatkan keinsafan terhadap keperitan hidup pada zaman penjajah
- mengenali tokoh-tokoh yang berjasa dalam memperjuangkan kemerdekaan negara untuk dijadikan idola
- meningkatkan pengetahuan tentang sejarah negara melalui penekanan terhadap subjek sejarah di sekolah-sekolah atau penayangan filem-filem patriotik di pawagam atau di televisyen
- semua kaum menghayati prinsip Rukun Negara/perlembagaan negara/bendera/lagu Negaraku
- menggunakan kurikulum yang sama/memantapkan mata pelajaran sejarah, sivik dan kenegaraan

iii. Kepentingan bersatu:
- dapat melaksanakan impian dan cita-cita dengan lebih mudah
- musuh tidak dapat memecahbelahkan hingga berlaku perselisihan faham
- lebih bijak dan prihatin dengan isu-isu persekitaran – tidak hanya mementingkan diri sendiri

iv. Kesan sekiranya rakyat tidak setia kepada negara:
- keamanan negara akan tergugat yang menyebabkan musuh mudah menyerang negara
- para pelabur tidak berani untuk melabur di Malaysia
- kestabilan politik akan tergugat dan kepimpinan negara mudah digulingkan

(d) KOMSAS:
Persoalan/nilai murni:
(I)
- Persoalan: kesetiaan dan ketaatan untuk kebahagiaan negara
- Nilai: kesetiaan/ketaatan/cinta akan tanah air.
- Huraian: Penyajak sentiasa menjadikan kesetiaan sebagai perkara penting dalam memastikan negaranya menuju kebahagiaan

(II)
- Persoalan: sabar menempuh pelbagai cabaran
- Nilai: kesabaran
- Huraian: Penyajak sanggup menghadapi sebarang rintangan tanpa mengenal erti kecewa atau derita demi rasa setianya kepada negara.

(III)
- Persoalan: berkongsi pengalaman dengan orang lain
- Nilai: bertanggungjawab
- Huraian: Penyajak sanggup berkongsi pengalamannya dengan orang lain untuk menghadapi pelbagai cabaran hidup.

(IV)
- Persoalan: gigih berusaha untuk kepentingan negara
- Nilai: kegigihan
- Huraian: Penyajak berusaha dengan gigih menjayakan matlamat negara.



2. JALAN-JALAN RAYA KOTAKU
(Percubaan JOHOR, MRSM)

(a) Maksud:
Rangkap kedua
- perasaan tidak sabar semakin memuncak
- sikap sombong yang menguasai diri
- terlalu emosional / sensitif
- mudah bosan

(b) Petikan:
i. Sikap pengguna jalan raya:
- tidak sabar ketika memandu
- mempunyai sikap sombong dengan kenderaan yang dipandu
- biadap/suka memandu laju
- tidak bersopan ketika berada di jalan raya
- sering mengikut emosi ketika memandu
- tidak mematuhi peraturan jalan raya/tidak beretika

ii. Masalah yang berlaku di jalan raya berpunca daripada pertambahan kenderaan:
- menyebabkan kesesakan jalan raya
- menyebabkan pengguna jalan raya kurang rasa sabar
- pengguna jalan raya akan berlumba sesama mereka

(c) KBKK:
i. Langkah-langkah untuk mengelakkan kesesakan jalan raya:
- kerajaan perlulah memperlebar jalan raya yang sempit.
- Rakyat haruslah mengamalkan amalan kongsi kereta atau menggunakan kenderaan awam ke tempat kerja.
- Pihak berkuasa perlu memastikan lampu isyarat berfungsi dengan baik.
- Polis trafik diletakkan di tempat-tempat yang sesak dengan kenderaan untuk mengawal

lalu lintas.

ii. Punca-punca kesesakan jalan raya selain sikap pengguna:
- bencana alam/hakisan tanah/banjir kilat
- kerosakan jalan raya/jalan sempit
- bilangan kenderaan yang semakin bertambah
- sistem lalu lintas yang tidak terancang/sistematik
- halangan jalan raya seperti kemalangan/pembinaan
- sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak berkuasa

iii. Usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengelakkan kemalangan di jalan raya:
- Keadaan jalan raya perlu lebih baik, lebar dan tidak berlubang.
- Hukuman kepada mereka yang memandu laju dan mengakibatkan kemalangan perlu
lebih keras seperti dipenjarakan.
- Kenderaan yang melebihi 15 tahun dan sering terdedah kepada kerosakan tidak dibenarkan menggunakan jalan raya awam

(d) KOMSAS:
Persoalan / Pengajaran:
(I)
Persoalan: Kehidupan kota yang penuh cabaran dan masalah
Pengajaran: Kita hendaklah bersabar menempuh kehidupan yang serba mencabar.
Huraian: Penduduk kota raya terpaksa bersabar menghadapi cabaran hidup yang semakin
besar terutamanya masalah kesesakan jalan raya.

(II)
Persoalan:
Sikap penduduk di kota yang sering mementingkan diri
Pengajaran: Kita hendaklah sentiasa bertimbang rasa terhadap orang lain.
Huraian: Masyarakat kota sering mengabaikan sikap timbang rasa demi kepentingan diri
sendiri.

(III)
Persoalan:
Jalan raya dijadikan medan perlumbaan
Pengajaran: Kita perlu memandu dengan berhemah untuk mengelakkan kemalangan jalan
raya.
Huraian: Jalan-jalan raya di kota sering dijadikan tempat untuk menunjukkan kehebatan
mereka dengan berlumba dan memandu dengan laju.

(IV)
Persoalan: Pengguna jalan raya yang tidak mementingkan peraturan jalan raya.
Pengajaran: Kita hendaklah mematuhi peraturan jalan raya ketika memandu.
Huraian: Pengguna jalan raya pada masa ini tidak lagi mematuhi peraturan jalan raya/tidak
beretika.


(Jawaban hendaklah ditulis dalam ayat yang lengkap)