1. BULI DAN LANGKAH MENANGANI
Menurut Kamus Dewan, perkataan buli
bermaksud perbuatan mendera, mempermainkan seseorang supaya dapat menyesuaikan
diri dengan suasana yang baharu. Membuli pula bermaksud mempermain-main orang,
biasanya orang yang lemah, bertujuan untuk menggertak atau menakutkan orang
yang berkenaan. Oleh itu, buli dapat diinterpretasikan
sebagai satu perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan atau maksud
untuk menunjukkan kekuatan. Secara tidak langsung, menjadikan mereka yang lemah
mematuhi atau menghormati mereka. Fenomena buli dapat dikategorikan kepada dua
jenis, iaitu buli secara langsung dan tidak secara langsung. Buli secara
langsung termasuklah diugut, disepak atau membalas pukulan. Sementara buli
secara tidak langsung melibatkan kata-kata (verbal) termasuklah memanggil atau
ejek-mengejek, dikacau dan ditertawakan rakan lain. Sejak belakangan ini,
masalah buli terutamanya dalam kalangan pelajar bukanlah masalah baharu dan
asing di negara kita. Gejala buli tidak mengenal tempat, usia, agama dan
bangsa. Fenomena ini menunjukkan golongan pelajar kita semakin berani. Sebelum
mencari jalan penyelesaian, kemelut sosial ini perlu dikaji hingga akar umbi
dan punca-punca berlaku kemelut ini perlu diperincikan.
Salah satu punca berlakunya kes
buli dalam kalangan pelajar sekolah ialah pengaruh
daripada rakan sebaya. Gejala ini
dikatakan berpunca daripada pengaruh rakan sebaya kerana pada zaman ini remaja
lebih mengutamakan rakan sebaya dalam kehidupan mereka. Malah, ibu bapa dan
guru tidak menjadi model dalam kehidupan remaja kini. Mereka lebih percaya
dengan rakan yang seusia untuk berkongsi masalah. Pelajar yang bertubuh besar
dan tegap suka membuli pelajar yang saiz tubuhnya lebih kecil. Kejadian membuli
melibatkan sekumpulan pelajar dan biasanya usia mereka adalah sebaya. Tekanan
rakan sebaya akan mendorong pelajar terpengaruh untuk mengikut tingkah laku rakan mereka yang suka membuli. Sebagai contoh, Mohammad Afiq Qusyairi bin
Baharuddin, seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah agama di Padang
Tengku, Kuala Lipis, Pahang cedera selepas dibelasah oleh sekumpulan pelajar
senior di sekolah tersebut. Pelajar berkenaan telah mengalami kecederaan
parah dan kemungkinan akan lumpuh kerana kecederaan yang dialaminya berkait
rapat dengan saraf tunjang. Ironinya,
kumpulan pelajar yang membelasah Mohammad Afiq disebabkan terpengaruh oleh
rakan sebaya atau sekadar untuk berseronok-seronok tanpa memikirkan risiko yang
bakal diterima kelak. Oleh hal yang
demikian, jelaslah kepada kita bahawa pengaruh rakan sebaya merupakan salah
satu punca yang menyumbang kepada berlakunya kejadian buli dalam kalangan
pelajar sekolah.
Pengaruh
media massa turut menjadi punca berlakunya kes-kes buli. Media massa
menyiarkan drama atau filem yang memaparkan aksi pergaduhan yang berbahaya lalu
mendedahkan kepada pelajar yang menontonnya. Sebahagian besar penonton terdiri
dalam kalangan remaja dan kanak-kanak. Mereka mudah terpengaruh oleh apa yang
ditontoni oleh mereka dan meniru aksi-aksi yang dipertontonkan tanpa menyedari
akibat daripada perbuatan mereka. Tayangan filem-filem aksi dan komik-komik
yang dipasarkan mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat terutama golongan
remaja yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah. Paparan aksi daripada
filem-filem dan komik-komik ini sedikit sebanyak mempengaruhi perilaku remaja
ini. Sambutan yang hangat dalam kalangan penonton dan pembaca terhadap filem
atau cerita aksi ini menyebabkan stesen-stesen televisyen berlumba-lumba untuk
menyiar dan menerbitkan filem berkenaan. Paparan melalui media cetak dan
elektronik banyak memaparkan adegan buli. Walaupun pelbagai usaha dilakukan
pihak kerajaan melalui FINAS
menyekat kebanjiran filem asing terutama dari Hong Kong, Thailand, Indonesia, Singapura dan Hollywood masih ada
lagi segelintir masyarakat yang cuba membawa pengaruh filem berkenaan. Lambakan
filem aksi yang ada di pasaran mempengaruhi golongan remaja membeli dan
menonton filem ini. Antara contoh filem-filem tempatan seperti filem
‘Buli’,’ ‘Gengster’ ‘KL Menjerit’ dan dari luar negara seperti drama ‘Anak Metropolitan’, ‘Kiss Of The Dragon’
‘Gen X Cops’ dan lain-lain. Melalui media cetak pula, komik-komik seperti ‘Pedang Setiawan’, ‘Juara Wira’ dan
lain-lain banyak dipasarkan secara berleluasa. Maka, izharlah bahawa pengaruh
negatif media massa akan menjadikan kes buli semakin serius.
Masalah
desakan hidup juga menjadi punca berlakunya masalah buli. Hal ini dikatakan
demikian kerana pengabaian ibu bapa terhadap tanggungjawab mendidik anak-anak
sehinggakan mendorong mereka mencari kebebasan di luar rumah. Keadaan ini
menyebabkan anak-anak mudah memberontak, menghadapi tekanan perasaan dan berasa
kurang mendapat perhatian. Tekanan perasaan yang dialami oleh remaja disebabkan
oleh desakan hidup seperti masalah kewangan, penderaan, kepincangan institusi
keluarga dan kesunyian hidup menyebabkan mereka melepaskan tekanan perasaan
dengan pelbagai cara seperti membuli rakan yang lain semata-mata dengan niat
melepaskan kemarahan terhadap ibu bapa mereka. Pada 20 Mac 2005, Jeff Weise seorang pelajar di Red Lake High School,
Minnesota, Amerika Syarikat telah mengamuk dan menembak lima orang rakannya,
seorang guru dan seorang pengawal keselamatan. Persoalannya, adakah
tindakan ini berpunca sama ada daripada tekanan perasaan atau desakan hidup
dalam keluarga yang bermasalah?. Sudah pasti, jawapannya ya. Tegasnya, desakan hidup
yang semakin mencabar menyebabkan remaja menghadapi masalah tekanan emosi lalu
kes buli semakin sukar dikawal.
Setiap penyakit pasti ada penawarnya
kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Begitu juga dengan kes buli.
Kes buli dapat ditangani dengan keprihatinan
ibu bapa dalam mendidik anak-anak agar mereka tidak menconteng arang ke muka
keluarga. Janganlah sebab nila setitik, rosak susu sebelanga. Peranan ibu bapa
penting dalam menangani masalah buli. Penglibatan ibu bapa dalam menangani kes
buli di sekolah kini menjadi semakin penting. Hal ini dikatakan demikian kerana
ibu bapalah merupakan asas permulaan pembentukan peribadi anak-anak sejak kecil
lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Malahan, ibu bapa juga
insan yang paling hampir dengan anak-anak. Ibu bapa boleh memberikan pendidikan
agama kepada individu sejak kecil merupakan langkah berkesan untuk mengatasi
masalah ini. Pendidikan agama penting kerana boleh melahirkan manusia yang
bermaruah dan mengamalkan budi pekerti mulia. Di samping itu, ibu bapa perlu
memantau pergerakan anak-anak bagi memastikan mereka tidak bergaul dengan rakan
sebaya yang tidak bermoral. Sebagai contoh, ibu bapa perlu berbincang dengan
guru jika didapati anak mereka bertukar sikap, menjadi pendiam atau kurang
selera untuk makan. Janganlah kita jadi
seperti sudah terhantuk baru tengadah. Ringkasnya, peranan ibu bapa
dalam menangani kes buli tidak boleh disangkal dan wajar bagi setiap ibu bapa
menjadi ‘role model’ kepada anak-anak.
Selain itu , pihak kerajaan juga bertanggungjawab memastikan kejadian buli tidak
menular dalam kalangan masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak
kerajaan merupakan badan yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan rakyat
terpelihara terutamanya bagi insan yang kerdil lagi lemah iaitu golongan
pelajar . Pihak kerajaan perlu memastikan undang-undang sedia ada dipatuhi dan
dilaksanakan. Mendengar sahaja perkataan hukuman, naluri semula jadi seorang
pelajar akan menjadi gerun ditambah dengan hukuman yang berat. Mereka akan
mencuba sedaya upaya membendung niat mereka dan lama-kelamaan gejala buli ini
akan pudar ditelan masa. Hukuman
yang boleh dilaksanakan ialah sebatan mandatori, penjara, dihantar ke pusat
pemulihan dan dibuang sekolah. Hukuman-hukuman berat seperti ini akan menjadi
penahan dan penghalang terbaik kepada pelajar yang suka membuli. Di samping
itu, pihak–pihak berwajib juga perlu menggembleng tenaga mengatasi gejala ini.
Sebagai contoh, Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Gejala Disiplin di
sekolah ditubuhkan ekoran kematian Muhammad Farid Ibrahim, pelajar tingkatan
empat yang dipercayai dibuli oleh sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah
Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor, Ampangan, Seremban pada 28 Mac 2004.
Oleh itu, sebagai institusi yang dipilih oleh rakyat untuk memerintah, kerajaan
hendaklah berusaha menjamin keamanan dan keselamatan dengan mengambil langkah
berkesan bagi membanteras gejala ini agar tidak menjadi barah dalam masyarakat
dan menjadi seperti api dalam sekam.
Seperkara lagi, pihak sekolah juga
memainkan peranan yang signifikan dalam menangani kes buli di negara kita.
Sekolah atau dikenali dengan alma meter merupakan tempat formal individu
menimba ilmu. Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan merupakan langkah
yang paling berkesan untuk mengekang masalah buli dan menjadi tunjang atau
paksi utama yang dapat mengubati penyakit sosial ini. Pendidikan sekular secara
formal juga perlu diberikan kepada anak-anak agar mereka dapat melalui
perkembangan rohani, jasmani, emosi dan intelek secara seimbang, iaitu
sebagaimana yang diaspirasikan oleh Falsafah Pendidikan Negara. Pendidikan yang
sempurna dapat membuka minda seseorang dan membentuk sikap serta keperibadian
yang lebih terbuka dan liberal.
Pihak sekolah misalnya melalui pendekatan
disiplin asertif boleh menggariskan
syarat kepada pelajar sekiranya mereka melakukan tingkah laku yang tidak wajar
akan dikenakan hukuman. Tindakan fizikal kepada orang lain, bahasa yang
menjatuhkan air muka orang lain, isyarat tidak wajar, merosakkan harta sekolah, menentang pihak
berkuasa atau terlibat dengan dadah membolehkan individu terbabit disabitkan
kesalahan. Seterusnya, program yang memberikan penekanan kepada pendekatan
penyelesaian masalah dan program antibuli perlu diterapkan di dalam kelas. Hal
ini dikatakan demikian kerana di dalam kelas ialah tempat yang paling banyak
berlakunya tingkah laku buli. Sebuah sekolah di Kuala Lumpur berjaya
mengurangkan kejadian buli apabila guru besar sendiri menubuhkan kumpulan
petugas khas dalam kalangan murid untuk memberi laporan kejadian buli di dalam
kelas dan di dalam sekolah. Implikasinya, pendekatan ini mampu mengurangkan 80
peratus kejadian buli dalam tempoh dua bulan. Oleh itu, jelaslah kepada kita
bahawa institusi pendidikan yang merupakan tempat formal untuk menimba ilmu
mampu menangkis gejala buli daripada berleluasa.
Konklusinya, setiap masalah
termasuklah kes buli pasti ada sebab musababnya dan jalan penyelesaiannya.
Namun begitu, selagi masalah buli di negara kita masih berleluasa, impian
negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan
berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang
ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin
semata-mata. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan
akan menerajui negara ini pada masa depan bak kata peribahasa Melayu, pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir
semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini
walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak
duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan
generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa
di persada dunia.
2. PONTENG SEKOLAH
Menurut
kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pelajaran, kes ponteng sekolah tercatat
bilangan yang tertinggi berbanding dengan kes-kes disiplin yang
lain. Menurut beliau, peningkatan kadar masalah disiplin di
sekolah-sekolah Malaysia yang mendadak menimbulkan tanda tanya kepada pelbagai
pihak mengenai pokok pangkal fenomena ini. Isu ini mula mendapat
tempat di media massaapabila Pengarah Pelajaran sebuah negeri membuat kenyataan
bahawa separuh daripada pelajar di sebuah sekolah ponteng pada hari Khamis dan
Jumaat. Siapakah
yang harus bertanggungjawab dalam hal ini? Apakah kepincangan sistem pendidikan
kita? Adakah pihak ibu bapa lepas tangan dalam soal pendidikan atau, adakah
gejala ini berpangkal daripada pengaruh rakan sebaya? Gejala ini dipandang
berat kerana perlakuan tersebut memungkinkan seseorang pelajar hilang sifat
bertanggungjawab, akan ketinggalan dalam pelajaran, dan yang paling dikhuatiri
mereka akan melibatkan diri dengan kegiatan-kegiatan sosial yang negatif.
Persoalannya, apakah penentu-penentu perdana yang menyumbang kepada gejala
ponteng sekolah atau bolos yang kian meruncing dalam kalangan pelajar kita ini?
Antara penyumbang utama kepada
gejala ponteng sekolah ialah kurangnya minat untuk bersekolah. Kebanyakan
pelajar ini mempunyai pencapaian akademik yang rendah dan mereka juga malas
untuk membuat latihan yang diberikan oleh guru dan mereka bukannya ulat
buku. Mereka beranggapan bahawa hadir di sekolah merupakan satu bebanan
kerana terpaksa belajar dari pagi hingga tengahari di samping terpaksa membuat
pelbagai latihan dan kerja rumah yang diberikan oleh guru. Jalan penyelesaian
yang dipilih oleh mereka adalah dengan ponteng sekolah. Pelajar dalam kategori
ini lazimnya keluar rumah pada waktu pagi dengan memakai pakaian sekolah yang
lengkap. Malangnya, destinasi pagi mereka bukan sekolah, sebaliknya mereka
berkumpul di mana-mana tempat lain untuk berseronok-seronok. Di kawasan pekan
atau bandar, tempat yang menjadi tumpuan utama pelajar seperti ini adalah pusat
snuker atau pusat permainan video. Tegasnya, kurang kesedaran pelajar akan
kepentingan menimba ilmu di sekolah akan menyebabkan minat pelajar ke sekolah
semakin terhakis dan menjadikan masalah ponteng sekolah semakin meruncing.
Selain
itu, senario persekitaran rumah tangga yang tidak kondusif juga antara penyebab
gejala ponteng sekolah. Rumah tangga yang porak-peranda ataupun institusi
keluarga yang retak gara-gara perceraian ataupun tiadanya persefahaman antara
ibu dengan bapa menyebabkan pelajaran anak terabai. Oleh sebab konflik dan
tekanan jiwa, mereka langsung tidak mengambil berat tentang pelajaran anak mereka.
Implikasinya, baik kerja-kerja rumah mahupun ulang kaji pelajaran tidak
dipedulikan sehingga tercicir dalam pelajaran. Apabila terkandas dalam
pelajaran, mereka akan memencilkan diri dan berjinak-jinak dengan rakan sebaya
yang menghadapi masalah yang sama. Menurut Dr. Ting Chew Peh, segelintir
pelajar yang membolos sekolah berkait rapat dengan keruntuhan rumah tangga.
Beliau mengatakan bahawa kepincangan keluarga mempengaruhi pencapaian akademik
kerana ibu bapa bersikap acuh tak acuh terhadap prestasi akademik anak-anak
mereka. Implikasinya, kecenderungan mereka terhadap pelajaran terbantut sekali
gus mencari jalan keluar untuk menangani kemelut itu dengan ponteng
sekolah. Pendek kata, kepincangan rumah tangga menjejaskan akademik anak
sekali gus mendorong mereka ponteng sekolah.
Selain
keadaan persekitaran yang tidak kondusif, kurangnya pemantauan ibu
bapa yang seperti melepaskan batuk di tangga juga merupakan salah
satu faktor yang menyebabkan anak-anak berani untuk ponteng sekolah. Sebilangan
ibu bapa sibuk bekerja untuk mencari nafkah tambahan bagi anak-anak mereka
sehingga mereka tidak menyedari serta mengambil tahu tentang aktiviti anak-anak
mereka di luar rumah. Keadaan menjadi semakin rumit apabila sesetengah ibu bapa
enggan datang ke sekolah bagi membincangkan permasalahan anak mereka. Hal ini
menyulitkan lagi proses untuk menangani pelajar-pelajar yang bermasalah seperti
ini. Tegasnya, sikap ibu bapa yang bertunjangkan nawaitu materialistik menjadikan
masalah ponteng sekolah semakin meruncing.
Pengaruh
rakan sebaya yang menyumbang kepada berleluasnya gejala ponteng sekolah dalam
kalangan pelajar tidak dapat dinafikan. Kawan-kawan menjadi orang yang
rapat dengan mereka; kawan yang baik boleh membimbing mereka ke arah kebaikan,
namun jika tersilap langkah dalam memilih kawan, akan mempengaruhi mereka
kepada perkara-perkara yang buruk, terutamanya ponteng sekolah. Hal ini
dikatakan demikian kerana remaja yang baru berumur setahun jagung, berdarah
setampuk pinang terlalu mudah mempercayai rakan sebaya dan tidak dapat
membezakan intan daripada kaca. Menurut Prof. Dr. Fatimah Yusoff,
seandainya mereka merasakan rakan-rakan mereka lebih rapat dan kononnya lebih
memahami perasaan mereka, dengan mudah mereka mengikut mereka ponteng sekolah
dan melepak di pusat beli-belah dan sebagainya. Mereka terlupa bahawa kawan
juga kadangkala boleh makan kawan. Tegasnya, pengaruh rakan sebaya
merupakan pokok pangkal berleluasanya gejala ponteng sekolah.
Seperkara
lagi, kepincangan sistem pendidikan turut mencetuskan masalah ponteng
sekolah. Dalam konteks ini, sistem pendidikan kita yang terlalu
berorientasikan peperiksaan menyebabkan para pelajar, khususnya pelajar lembap
dalam pelajaran, berasa tertekan. Misalnya, isi kandungn sukatan
pelajaran, iaitu mata pelajaran yang ‘mendesak’ pelajar supaya menghafaz
fakta-fakta sejarah, geografi, pendidikan moral dan sebagainya. Mereka pun
hilang kecenderungan untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.
Implikasinya, mereka yang lemah semangat dan keimanan mudah berputus asa akibat
tidak dapat memberikan saingan kepada rakan-rakan pelajar yang lebih tekun dan
cerdas. Buktinya, kes ponteng banyak membabitkan pelajar yang lemah berbanding
dengan pelajar yang cerdas. Mereka pun bertindak untuk ponteng sekolah
bersama-sama dengan rakan kerana tertinggal atau tercicir dalam bidang
akademik. Dengan erti kata lain, gejala ponteng sekolah bertitik tolak
daripada kelemahan sistem pendidikan kita.
Intihanya,
masalah ponteng sekolah disebabkan oleh faktor keluarga, rakan sebaya, dan
sekolah. Sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak perlu berganding bahu dalam
menangani masalah ini. Dalam hal ini, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru
serta Unit Bimbingan dan Kaunseling haruslah memainkan peranan yang penting
dalam usaha mencelikkan mata para pelajar bahawa gejala ponteng sekolah
merupakan titik tolak kepada gejala-gejala sosial seperti merokok, arak, seks
bebas, laku musnah, dadah, budaya samseng, dan sebagainya. Pihak kerajaan
haruslah merombak sistem pendidikan, bukannya memansuhkan peperiksaan awam,
agar tidak terlalu ‘mendera’ para pelajar dari segi mental dan emosi.
Dengan wujudnya kerjasama ini, bukan sahaja kita dapat mencapai ‘ponteng sifar’
bahkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat dilahirkan agar
dapat bersaing di persada antarabangsa.
3. PEMBUANGAN BAYI
Hamka
pernah mengungkapkan, “Anak adalah untuk zaman yang akan datang, bukan untuk
zaman kita”. Setiap pasangan yang berkahwin sememangnya mengimpikan untuk mempunyai
anak sama ada lelaki atau perempuan sebagai penyambung keturunan mereka di
dunia ini. Anak yang dilahirkan akan dijaga dengan penuh kasih sayang sehingga
ada yang sanggup berjaga siang dan malam demi anak tersayang. Walau
bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini kita selalu dihidangkan dengan berita
pembuangan bayi yang dilakukan oleh segolongan manusia yang berjiwa binatang.
Bayi yang dilahirkan dibuang bagaikan sampah di merata-rata tempat tanpa belas
kasihan. Oleh sebab itu, punca-punca dan langkah-langkah untuk mengatasi
masalah pembuangan bayi akan dibincangkan demi kepentingan bersama.
Pada
pendapat saya, punca utama yang menyebabkan pembuangan bayi ialah keruntuhan
institusi kekeluargaan dalam masyarakat kita. Ibu bapa yang merupakan ketua
keluarga telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka mendidik anak-anak
menjadi insan yang bersahsiah dan berkeperibadian mulia. Mereka sibuk dengan
tugas-tugas seharian sehingga anak-anak terabai. Anak-anak yang kekurangan
perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa mereka lebih cenderung untuk
mencari keseronokan di luar rumah. Akibatnya, mereka terjebak ke kancah
permasalahan sosial seperti melakukan seks bebas sehingga mengandungkan anak
luar nikah. Pada masa itu, barulah mereka sedar bahawa mereka sudah terlanjur
dan jalan terbaik untuk menyelesaikan permasalahan tersebut adalah dengan
membuang bayi yang dikandungkan. Mereka melakukan perbuatan terkutuk ini adalah
untuk menyembunyikan perbuatan keji mereka daripada pengetahuan ibu bapa.
Jelaslah bahawa kerapuhan institusi kekeluargaan merupakan punca perdana
berlakunya masalah pembuangan bayi di negara kita.
Seterusnya, masalah pembuangan bayi juga berlaku disebabkan golongan lelaki
yang tidak bertanggungjawab. Sewaktu bercinta semuanya indah belaka sehingga si
wanita sanggup menyerahkan segalanya untuk membuktikan kesetiaan dan cinta
kepada pasangan mereka. Mereka mudah lemah kepada pujuk rayu kekasih hati yang
kononnya berjanji mahu sehidup semati dengan mereka. Akhirnya, mereka rela
bersekedudukan dengan pasangan bagaikan pasangan suami isteri walaupun tiada
ikatan perkahwinan. Setelah si wanita hamil maka berlakulah konflik dalam
kehidupan kerana si lelaki mahu melepaskan diri daripada tanggungjawab. Wanita
yang hamil tersebut dipaksa untuk membuang atau menggugurkan bayi dalam
kandungan demi menutup aib kerana mengandungkan anak luar nikah. Sekiranya
tidak mahu berbuat seperti yang diarahkan, mereka akan ditinggalkan. Dalam
situasi sebegini, si wanita tiada pilihan lain selain menurut kehendak pasangan
mereka, bak kata pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapa.
Selanjutnya, masalah pembuangan bayi semakin berleluasa di negara kita
disebabkan bertambahnya pusat-pusat hiburan di negara kita terutamanya di
bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Remaja lelaki dan perempuan biasanya
berkumpul di pusat-pusat hiburan ini pada setiap hujung minggu. Mereka bergaul
bebas antara lelaki dan perempuan sambil meminum minuman keras. Dalam keadaan
separuh sedar, remaja perempuan biasanya mudah digoda oleh remaja lelaki.
Golongan remaja sebegini tidak berfikir panjang dalam melakukan sesuatu kerana
bagi mereka yang penting ialah keseronokan. Perlakuan seks bebas yang
berleluasa di pusat-pusat hiburan menyebabkan ramai remaja yang terpengaruh sehingga
ada dalam kalangan mereka yang mengandungkan anak luar nikah. Apabila sudah
mengandung barulah mereka sedar kesilapan diri, ibarat kata pepatah, sudah
terhantuk baru nak tengadah. Walau bagaimanapun, segalanya sudah tidak
berguna kerana nasi sudah menjadi bubur. Akibatnya, mereka mengambil keputusan
mudah iaitu membuang bayi yang dikandungkan.
Bagi
mengatasi masalah ini, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling hendaklah
diperluas dalam kalangan remaja yang bermasalah. Remaja perempuan yang sudah
terlanjur sehingga mengandungkan anak luar nikah hendaklah dibantu bukannya
disisihkan dan dicerca. Ibu bapa hendaklah membawa mereke berjumpa dengan
kaunselor untuk memulihkan semangat dan keyakinan mereka sehingga anak yang
dikandungkan dilahirkan dengan sempurna. Kita harus tahu bahawa setiap insan
melakukan kesalahan, ibarat kata pepatah, bumi mana tidak ditimpa hujan,
lautan mana tidak bergelora. Jika kita prihatin terhadap permasalahan mereka,
sudah pasti mereka tidak akan kehilangan arah dan hilang pertimbangan. Oleh
itu, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling hendaklah diperhebat dan lebih mesra
remaja agar mereka tidak segan-segan menceritakan masalah dengan kaunselor
apabila mereka berhadapan dengan situasi sebegini.
Selain
itu, ibu bapa harus menilai semula peranan mereka sebagai ketua keluarga.
Mereka tidak boleh terlalu materalistik sehingga mengabaikan tanggungjawab
kepada anak-anak. Mereka harus meluangkan masa pada setiap hari untuk
berkomunikasi dengan anak-anak agar mereka tidak kehilangan tempat untuk
mengadu. Para ibu bapa harus sedar, wang ringgit yang diberikan kepada
anak-anak tidak dapat dijadikan penganti diri kerana wang ringgit itulah yang
boleh menghancurleburkan kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah ambil
tahu segala aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka di luar rumah. Mereka
tidak boleh lepas tangan kerana malang tidak berbau. Ruang kebebasan yang
diberikan terlalu banyak boleh membuka ruang kepada anak-anak terpengaruh
dengan pelbagai gejala sosial di luar rumah. Jika kita mahu mengatasi masalah
pembuangan bayi hingga ke akar umbi, peranan ibu bapa hendaklah diperkasakan
semula kerana pendidikan seharusnya bermula dari rumah.
Konklusinya,
masalah pembuangan bayi merupakan masalah yang memerlukan komitmen semua pihak
untuk mengatasinya. Kita hendaklah berganding bahu membenteras masalah ini
sehingga ke akar umbi ibarat kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama
dituruni. Pihak kerajaan hendaklah mengadakan pelbagai program yang bermanfaat
untuk golongan remaja agar masa lapang mereka terisi dengan aktiviti yang
bermaslahat. Remaja tidak boleh dibiarkan sendirian mengemudikan kehidupan
mereka kerana mereka bukanlah nakhoda profesional. Apabila dihempas gelombang,
mereka pasti akan karam. Oleh itu, didikan keagamaan hendaklah dipasak teguh
dijiwa mereka pada setiap masa sebagai panduan yang berguna agar mereka tidak
hidup bertuhankan nafsu nafsi semata-mata. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk
melahirkan remaja Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang akan menjadi
realiti dan masalah pembuangan bayi tidak lagi menghantui masyarakat
kita.
2.