Wednesday, August 27, 2014

Usaha-usaha memartabatkan bahasa Melayu


RANGKA ISI
 UNGKAPAN MENARIK
KEMATANGAN
1.  Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah menjadi mentor dan menggerakkan semua aktiviti pembinaan dan pemantapan bahasa kebangsaan
2.Media massa perlu terus menggunakan bahasa Malaysia dalam kebanyakan siaran
3. Sektor swasta haruslah peka dan menganjurkan lebih banyak kegiatan bahasa di luar negara
4. Semua urusan rasmi dan surat-menyurat di semua jabatan kerajaan diimplimentasikan dalam bahasa ibunda
5. Ibu bapa / Barisan pemimpin perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul apabila bertutur dengan anak-anak / rakyat
1.   Bahasa jiwa bangsa
2.Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan
3.melentur buluh biarlah dari rebungnya
4.alah bisa tegal biasa
5.kepimpinan melalui teladan
1.Kedudukan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi Negara telah termaktub dalam Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967
2.Akta Pendidikan 1996 telah menegaskan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di dalam sistem pendidikan kebangsaan
3.Bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca pada zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15
4.Mantan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim satu-satunya menteri yang menggunakan bahasa Melayu yang tepat kepada media.

CONTOH KARANGAN PRAPERCUBAAN SPM 7



TAJUK 7 : LANGKAH-LANGKAH MENERAPKAN NILAI  MURNI DALAM KALANGAN REMAJA
PENDAHULUAN

(T) Nilai murni merupakan amalan baik yang perlu ada pada setiap orang agar segala tindakan mereka terpimpin dan tidak menyeleweng dari norma-norma sosial yang dikehendaki  dalam masyarakat. Amalan ini penting untuk melahirkan insan yang mulia, unggul dan utopia demi merealisikan misi nasional negara ke arah Wawasan 2020. Iman al-Ghazali mengatakan, “Apabila kamu hendak mengenali wajah lihatlah pada cermin, tetapi apabila kamu hendak mengenali diri lihatlah pada wajah”.  Kata-kata tersebut mengambarkan betapa keperibadian dan akhlak mulia menjadi tali pengukur kepada setiap individu. Sesungguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut budaya, peradaban dan agama kita. (I) Namun begitu, dalam mengharungi era ledakan sains dan teknologi, amalan nilai murni dalam kalangan masyarakat semakin lenyap dalam sanubari golongan dewasa dan remaja. Berita tentang remaja bertindak liar di luar batas-batas kehidupan dengan terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah seperti gengsterisme, vandalisme dan pornografi sering terpampang di dada akhbar dan kaca televisyen. Hal ini jelas menunjukkan betapa kroniknya masalah kelunturan amalan nilai murni dalam kalangan masyarakat. (A) Sebelum keadaan menjadi lebih parah, amalan ini perlulah dijadikan sebagai budaya dalam kehidupan seharian kita kerana seribu satu kemaslahatan boleh diperoleh. 

(L1): Menyedari akan pelbagai kemaslahatan, kita haruslah mengambil langkah-langkah yang pragmatik dan efektif untuk memastikan amalan ini dapat dipupuk dalam setiap sanubari remaja kita. Oleh itu,kita perlu bertindak mulai dari sekarang kerana perjalanan yang beribu-ribu batu mestilah bermula dengan langkah yang pertama. Salah satu langkah yang dominan adalah melalui rombakan sistem pendidikan. Dalam hal ini, kita terpaksa meletakkan tanggungjawab penting ini kepada pihak pendidikan. (M) Pendidikan merupakan wahana yang berkesan untuk mentarbiah masyarakat. Melalui pendidikan, kita diajar, dibimbing dan diasuh untuk menjadi insan yang kamil dan holistik sama ada dari aspek jasmani, rohani dan intelek. Bukan itu sahaja, pendidikan juga mampu melahirkan insan yang berhemah tinggi dan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni. (B) Hal ini juga turut disedari oleh Menteri Pelajaran kita. Oleh sebab itu, beliau telah mengarahkan agar kurikulum semua mata pelajaran yang sedia ada dirombak semula. Rombakan ini dapat dilihat melalui penerapan nilai-nilai murni yang berkaitan dengan amalan budi bahasa dalam mata pelajaran Bahasa Melayu iaitu melalui cerpen, novel, drama dan puisi yang diajarkan dari peringkat Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah menyatakan bahawa kita perlu mencontohi sikap masyarakat Jepun. Walaupun negara mereka semakin maju namun, masyarakatnya masih mengekalkan nilai-nilai murni di samping mengamalkan budaya dan adat resam bangsa mereka. (K) Mereka percaya bahawa dengan mengenali asal usul bangsa serta keindahan bahasa dan budaya mereka, mereka dapat melahirkan rakyat yang tinggi semangat cinta akan negaranya. Semangat inilah yang membawa negara mereka pada kemajuan kerana rakyatnya sanggup berkorban jiwa dan raga demi negara yang tercinta. (P) Jelaslah bahawa dalam usaha untuk memupuk amalan nilai murni, maka tidak boleh tidak, perubahan dalam sistem pendidikan perlu dilaksanakan.

(L2): Jika kita lihat dari sudut yang lain, pihak sekolah perlu juga melaksanakan aktiviti kokurikulum dengan lebih giat dan berkesan. (M) Kita perlu sedar bahawa aktiviti kokurikulum merupakan wadah yang paling berkesan dalam membentuk nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama dan hormat-menghormati dalam diri para pelajar. Para guru pula dianggap sebagai arkitek pembangunan manusia diarahkan untuk mengadakan pelbagai program bagi memupuk amalan nilai murni ini kerana pelajar ibarat pohon yang baru ditanam. Lantaran itu, mereka perlu dibajai, diairi dan diberi cahaya matahari yang secukupnya. (B) Sebagai contoh, aktiviti perkhemahan yang dianjurkan oleh badan-badan beruniform seperti Pengakap dan Kadet Remaja Sekolah akan membentuk semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan ahlinya. Mereka akan bersama-sama mendirikan khemah, mematuhi giliran memasak dan sebagainya, sepanjang perkhemahan diadakan. Selain itu, aktiviti bergotong-royong oleh persatuan-persatuan dan kelab-kelab sama ada di sekolah, mahupun di kawasan sekitar sekolah pula akan menanamkan nilai bertanggungjawab para pelajar terhadap alam sekitar serta sekolah mereka bak kata pepatah, ‘tak kenal , maka tak cinta.’ (K) Melalui program-program yang dijalankan ini, para pelajar akan membentuk jati diri dan sikap positif dalam diri mereka. Mereka akan lebih bersikap ‘membina’ daripada ’meruntuhkan’ atau membinasakan sesuatu. Mereka juga akan lebih bertanggungjawab terhadap segala kemudahan yang disediakan untuk kegunaan ramai. Oleh itu, melalui pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang lebih berkesan, kita berharap agar tidak ada lagi telefon awam yang dirosakkan, atau tandas awam yang diconteng dengan kata-kata yang tidak menyenangkan mata memandang. Sebaliknya, kita akan dapat menyaksikan masyarakat yang lebih bertolak-ansur, umpamanya, mereka tidak berebut-rebut lagi ketika menaiki bas awam atau komuter. Anak-anak muda kita juga akan lebih menghormati golongan yang tua. (P) Pendek kata, amalan nilai murni sememangnya dapat dipupuk melalui aktiviti kokurikulum yang dijalankan oleh pihak sekolah.

(L3): Seperkara lagi, peranan ibu bapa juga amat penting dalam melahirkan insan kerdil yang mengamalkan nilai-nilai murnil. (M) ‘Bagaimana acuan, begitulah kuihnya,’ begitulah peribahasa yang membawa maksud bahawa peribadi serta perlakuan ibu bapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak mereka. Memang tidak dapat kita nafikan ibu bapa merupakan guru pertama dalam kehidupan anak-anak sejak dalam rahim ibu lagi. Hal ini membuktikan bahawa ibu bapa merupakan ejen pembentukan karakter anak-anak yang paling ampuh untuk melahirkan insan yang kaya nilai murni. (B) Oleh itu, sesuatu perkara itu perlu dipupuk dari kecil oleh ibu bapa kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya  agar apabila anak-anak memasuki alam persekolahan, nilai-nilai asas yang positif seperti hormat-menghormati, beradab sopan dan bertolak-ansur telah sedia wujud dalam diri anak-anak mereka. Sebagai contoh, anak-anak yang lebih muda perlu menghormati kakak atau abang mereka yang lebih tua. Anak-anak juga diajar agar menghormati harta benda milik adik-beradik mereka serta harta benda bersama. Dalam hal ini, ibu bapa tidak boleh bersikap seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan betul. Oleh itu, ibu dan bapa perlu sentiasa menunjukkan bahawa mereka juga saling menghormati sesama mereka agar nilai positif ini diikuti oleh anak-anak. (K) Dengan ini, hubungan kemesraan keluarga akan dapat ditingkatkan di samping dapat mewujudkan ‘baiti jannati’. Malah yang lebih penting, anak-anak akan lebih beradab dan bernilai murni yang akan mencerminkan maruah keluarga tersebut. Anak-anak seumpama ini tidak akan bersikap biadab yang mampu menconteng arang ke muka keluarga sendiri. (P) Sesungguhnya, peranan ibu bapa yang mempamerkan contoh terbaik kepada anak-anak dapat memupuk amalan nilai dalam diri anak-anak.

(L4) Pilihan kita yang terakhir untuk membentuk masyarakat yang bernilai murni adalah melalui kempen yang berkesan. (M) Hal ini dikatakan demikian kerana kempen-kempen yang diadakan mampu menyedarkan masyarakat tentang kepentingan amalan ini dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita. Masyarakat pada hari hari lebih mudah dipengaruhi dan dikuasai dengan kempen-kempen yang diadakan. (B) Sembilan tahun lalu iaitu pada 11 Februari 2005 Kementerian Kebudayaan dan Warisan (KEKWA) melancarkan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni. Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni sama sekali tidak diwujudkan kalau masyarakat kita mengamalkan nilai murni. Kempen yang dicetuskan oleh Dr. Rais Yatim semasa memimpin KEKWA ini mengejutkan kita yang terlena dalam mengejar fatamorgana hidup sehingga sanggup merendahkan tahap nilai murni kita. Suatu ketika dahulu , majalah Readers Digest telah menyiarkan hasil kajian kesantunan di 36 bandar raya di dunia. Hasilnya, Kuala Lumpur menjadi bandar raya kedua paling biadab. Kajian ini amat membimbangkan dan memalukan kita. Oleh itu, kempen seumpama ini haruslah diadakan secara berterusan serta giat dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga. (K) Dengan ini, diharapkan kempen yang bersungguh-sungguh ini dapat
menyemarakkan dan menyemai semula nilai-nilai murni ke dalam jiwa remaja serta meletakkan nilai murni sebagai satu asas dan tunjang dalam kehidupan kita. Secara implisitnya, negara akan menjadi agung jika warganya terdiri dari insan-insan yang mengamalkan budaya murni. Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya dari segi kebendaan tapi muflis dari segi keperibadian. (P) Izharlah bahawa peranan kempen juga penting untuk membudayakan amalan murni ini dalam kehidupan seharian kita.

Dari kaca mata yang berbeza pula, amalan nilai murni dalam kalangan remaja dapat dipupuk melalui aktiviti komuniti yang dianjurkan oleh masyarakat setempat. Masyarakat sekeliling mampu mempengaruhi tingkah laku para remaja yang dianggap separa matang dan belum keras ubun-ubunnya. Aktiviti komuniti seperti gotong-royong, kenduri-kendara dan rukun tetangga dapat dijayakan dengan penglibatan dan kerjasama daripada masyarakat setempat. Biar kita ambil contoh aktiviti gotong-royong. Aktiviti ini diadakan dengan tujuan untuk membersihkan kawasan kediaman bersama-sama tanpa mengira status, agama dan bangsa. Sikap enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing tidak wujud ketika menjalankan aktiviti ini malah sikap bekerjasama bagai aur dengan tebing terpapar semasa aktiviti ini dijalankan. Kesannya, pelbagai nilai murni dapat diterapkan seperti nilai kerjsama, prihatin, tolong-menolong dan sebagainya. Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri ke-4 pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri. Bukan itu sahaja, kebersihan kawasan kediaman juga akan terjamin dan sekali gus dapat menghindarkan penyakit berbahaya seperti demam denggi. Izharlah bahawa aktiviti kemasyarakatan yang diadakan mampu memupuk nilai-nilai murni dalam diri remaja kita.

PENUTUP
(K) Sudah terang lagi bersuluh bahawa dapat disimpulkan bahawa terdapat pelbagai langkah yang dapat diimplementasikan untuk memupuk amalan nilai murni dalam sanubari remaja kita. Amalan nilai murni amat mustahak untuk negara mencapai taraf negara maju yang disegani oleh negara-negara gergasi yang lain di dunia. ‘Yang merah itu saga, yang kurik itu kendi, yang indah itu bahasa, yang elok itu budi’, demikianlah ungkapan yang menggambarkan kepentingan berbudi bahasa dan amalan nilai murni dalam kehidupan masyarakat kita. (C) Oleh itu, sifat sifat luhur dan amalan berbudi bahasa yang dahulunya menjadi kebanggan masyarakat timur tetapi kian terhakis ini wajarlah dipulihkan dan dihidupkan semula. Lantaran itu, semua pihak wajarlah bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengelakkan sikap masing-masing perahu, masing-masing kayuh dalam menanam amalan berbudi bahasa dalam diri setiap individu. Kita tidak seharusnya mengharapkan sebelah pihak sahaja  untuk memupuk amalan murni ini dalam setiap jiwa rakyat Malaysia kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.  Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni perlulah diimplementasikan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kesedaran rakyat. (H) Profesor DiRaja, Ungku Aziz pernah berkata, “Malaysia yang aman dan damai akan lenyap dalam sedikit masa jika rakyatnya tidak bermoral dan nilai budi bahasa yang kian terhakis dari jiwa mereka”. Jadi, kita mengharapkan agar menjelang tahun 2020, tabiat buruk seperti kegiatan gengsterisme dan bercakap kasar sudah lupus dari memori setiap rakyat Malaysia supaya negara akan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah negara Malaysia terus disegani kerana ketinggian nilai murni rakyatnya.

Monday, August 25, 2014

CONTOH KARANGAN PRAPERCUBAAN SPM 6



TAJUK 6: PERANAN IBU BAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK MEMANFAATKAN INTERNET
 
            Marcapada, internet merupakan satu ciptaan manusia yang wajar dikagumi dan dalam masa yang sama merupakan satu kepentingan dalam kehidupan setiap individu. Hal ini kerana hanya internet yang memberikan kepuasan bersosial, berniaga dan belajar secara meluas tanpa had kepada pengguna. Bayangkan dengan hanya satu klik, kita mampu mengakses seluruh alam maya tanpa perlu bermandi peluh. Namun begitu, isu penyalahgunaan internet bukanlah suatu isu baharu. Terdapat manusia sanggup melakukan penyalahgunaan internet untuk memuaskan nafsu diri demi kepentingan diri dengan melakukan pencerobohan maklumat dan menyebarkan berita palsu. Maka tidak hairanlah jenayah siber kian hari kian serius bagai duri dalam daging. Oleh itu, setiap individu perlu tahu akan kelebihan, keburukan dan cara mengakses internet, termasuklah ibu bapa. Sebahagian besar ibu bapa masa kini handal menggunakan internet manakala sebahagian kecilnya tidak. Namun begitu, sebagai mengambil langkah berjaga-jaga, ibu bapa wajar untuk mempelajari secara khusus berkenaan dengan internet. Sekiranya ibu bapa sudah ‘mengenali’ internet, maka dengan mudah ibu bapa mengawal kecenderungan anak-anak melayari internet dan secara tidak langsung, ibu bapa mampu mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan internet. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan internet pada hari ini?

            Memetik kata-kata pakar motivasi terkenal Malaysia Dr. H.M Tuah Iskandar, “Seribu mancis tidak dapat menerangi engkau dalam kegegalapan namun, cahaya keimanan pasti dapat menyuluh engkau ke jalan kebahagiaan”. Oleh hal yang demikian, langkah awal wajar diambil oleh ibu bapa untuk meralisasikan hasrat murni itu iaitu dengan cara menerapkan dan memberikan didikan agama yang sempurna. Hal ini dikatakan demikian kerana agama merupakan benteng yang paling ampuh untuk menangkis anasir-anasir negatif yang dibawa masuk melalui tingkap globalisasi. Anak-anak yang diasuh dan dibesarkan dengan didikan agama yang mantap dapat membezakan dosa dan pahala ketika melayari laman sesawang. Sebagai contoh, anak-anak tidak akan melayari laman sesawang yang mengandungi unsur pornografi yang mampu mencemarkan minda dan sekali gus mampu mendorong meruntuhkan akhlak anak-anak yang masih separa matang. Bukan itu sahaja, mereka juga tidak akan menggunakan internet untuk menjejaskan keamanan dan keharmonian dalam masyarakat dengan menyebarkan fitnah malahan mereka akan menggunakan internet untuk menyampaikan ilmu yang berguna kepada masyarakat. Apabila anak-anak telah diterapkan dengan nilai-nilai murni, sudah pasti akan lahirlah insan yang berguna iaitu insan yang tahu nilai diri dan estetika. Jadi apabila benteng pertahanan diri mereka sudah cukup teguh, mereka dapat menggunakan internet dengan baik dan bijak.       

        Peranan lain yang harus dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan internet pada masa ini termasuklah mendedahkan anak-anak dengan segala maklumat berkaitan dengan internet. Hal ini disebabkan anak-anak perlu diberitahu mengenai baik buruk penggunaan internet sebelum mereka didedahkan dengan cara menggunakan kemudahan internet secara bijak. Sekiranya anak-anak sudah diajar dari awal, sudah tentu anak-anak akan lebih berhati-hati dan lebih bijak dalam menggunakan kemudahan internet pada masa-masa akan datang bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, oleh itu sememangnya ibu bapa bertanggungjawab dalam memberikan pengenalan kepada anak-anak mengenai penggunaan internet dari kecil, yang ternyata amat penting dalam kehidupan masyarakat moden masa ini. Jelaslah di sini bahawa pendedahan segala maklumat berkaitan internet terhadap anak-anak merupakan tindakan yang wajar dilakukan oleh ibu bapa. 

            Selain itu, ibu bapa juga berperanan untuk memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan internet. Alam maya ini tiada batasnya, oleh itu internet ini mempunyai keburukannya. Pemantauan ibu bapa sebenarnya mampu mengelakkan anak-anak daripada mengakses laman-laman sesawang yang berunsurkan pornografi, mahupun melakukan jenayah siber seperti mencetak rompak bahan media, mencetuskan provokasi atau menggodam laman sesawang. Tindakan kecil yang dilakukan ibu bapa ini juga tanpa disedari mampu menyelamatkan industri hiburan tanah air yang kerap kali ‘dirompak’ oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab, termasuklah mengurangkan jumlah penggodam dan pencetus provokasi di internet yang semakin hari semakin berleluasa. Anak-anak juga terselamat daripada terus terperangkap di dalam kancah jenayah siber, yang juga merupakan salah satu kesalahan yang akan dikenakan tindakan keras seperti yang termaktub di dalam akta jenayah negara. Oleh itu jelaslah bahawa tindakan ibu bapa dalam memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan internet dapat mendidik mereka dalam memanfaatkan kegunaan internet.

            Jika dikaji dari aspek yang lain, ibu bapa juga seharusnya menyekat penggunaan internet oleh anak-anak. Ibu bapa kini mampu mengawal internet dengan menyekat laman-laman sesawang yang berunsurkan negatif sebagai langkah mengelakkan pengguna internet mengakses laman-laman tersebut dan sistem yang sama digunakan pada peranti komputer yang disediakan di semua alma mater milik kerajaan. Sistem sebegini bukan sahaja mampu mengawal aktiviti penggunaan internet anak-anak, malah mampu mengasuh mereka untuk hanya mengakses laman-laman yang berguna sahaja. Bayangkan, sekiranya ibu bapa melaksanakan sistem sebegini di rumah, sudah tentu anak-anak akan menggunakan perkhidmatan internet dengan lebih bijak, seterusnya dapat menghindari mereka daripada mengetahui mahupun mencuba untuk mengakses laman-laman berunsurkan negatif seperti yang kebiasaanya berlaku dalam kalangan remaja dan orang dewasa masa ini. Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya, persis kata peribahasa tersebut yang secara tersiratnya menegaskan bahawa ibu bapalah yang perlu mengawal ton-ton warna yang ingin diwarnakan di atas kain putih yang tidak berdosa. Cukup ditegaskan di sini bahawa ibu bapa sebaik-baiknya mengawal penggunaan internet oleh anak-anak sebagai cara mengajar mereka menggunakan internet secara lebih bijak.

            Akhir sekali, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak menggunakan internet secara pintar dengan memperkenalkan kepada mereka dengan medium-medium pembelajaran menerusi internet. Seperti yang ditegaskan, internet sememangnya memberikan banyak manfaat, termasuklah dari segi pendidikan. Hari ini, kemajuan internet juga selaras dengan kemajuan teknologi seperti tablet dan telefon pintar. Mengikut statistik juga, kedua-dua peranti ini merupakan peranti pilihan pengguna untuk melayari internet. Oleh hal yang demikian, adalah lebih baik para ibu bapa memperkenalkan laman sesawang atau aplikasi pintar yang berunsurkan pembelajaran kepada anak-anak. Tanpa disedari, sudah banyak aplikasi dan laman sesawang yang menyediakan aktiviti pembelajaran menggunakan kemudahan internet, namun malangnya kurang mendapat sambutan dalam kalangan pengguna internet masa kini. Sebaik-baiknya anak-anak didedahkan dengan medium sebegini, sekurang-kurangya mereka akan mula memanfaatkan penggunaan internet serta bijak menggunakannya. Ibu bapa juga tidak perlu risau sekiranya anak-anak menghabiskan masa dengan melayari internet mahupun menghadap peranti pintar sepanjang masa, sekiranya peranti-perani di rumah diisi dengan aplikasi dan laman pembelajaran yang berguna kepada anak-anak. Oleh hal yang demikian, jelaslah sudah di sini bahawa tindakan ibu bapa memperkenalkan medium-medium pembelajaran melalui internet kepada anak-anak adalah amat wajar dalam mendidik mereka memanfaatkan penggunaan internet.

            Secara tuntasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik dan mengasuh anak-anak memanafaatkan penggunaan internet. Perkhidmatan internet sememangnya memberikan manfaat kepada pengguna walaupun secara minoritinya membawa kepada keburukan. Namun yang demikian, semua ini bergantung kepada ibu bapa itu sendiri, sama ada bijak atau tidak mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan internet dalam kehidupan seharian. Walaupun demikian, kita tidak seharusnya mengharapkan peranan ibu bapa sahaja kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Oleh itu, tindakan kerajaan mengambil pelbagai langkah dalam memastikan perkhidmatan ini mampu digunakan oleh semua anggota masyarakat sama ada di bandar mahupun di luar bandar membuktikan bahawa internet sangat penting kepada semua. Kerajaan juga banyak berusaha untuk memastikan masyarakat menggunakan perkhidmatan tersebut dengan sebaik-baiknya, namun usaha kerajaan akan menjadi usaha yang sia-sia sekiranya ibu bapa dan pihak yang lain tidak turut turun padang dalam membantu kerajaan melahirkan generasi yang celik IT dan bijak menggunakannya. Mencegah itu lebih baik daripada merawat, sememangnya jikalau semua pihak mula bertindak dari awal, masalah-masalah penyalahgunaan internet dan jenayah siber yang semakin menjadi-jadi ini akan mudah dicantas, dan secara tidak langsung, negara kita akan dipenuhi dengan generasi-generasi yang berguna dan berfikiran hadapan.

CONTOH KARANGAN PRAPERCUBAAN SPM 5



TAJUK 5 : CARA MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN

            Dalam mendepani era modenisasi pada abad-21 kini, dunia menyaksikan iktisad (ekonomi) negara membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Negara yang semakin pesat membangun seperti tenggelam sama basah, timbul sama hanyut seiringan dengan negara maju lain. Namun begitu,  isu memupuk semangat kejiranan masih menjadi polemik dalam kalangan marhaen (golongan bawahan) di Malaysia.  Dewasa ini, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita semakin hari semakin terpinggir. Maasyarakat pada hari ini lebih mementingkan diri sendiri dan membudayakan hidup bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Dari segi  konsepnya semangat kejiranan boleh ditakrifkan sebagai suatu perasaan yang harus dipupuk oleh setiap masyarakat di Malaysia tanpa mengira warna kulit bangsa dan agama dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum demi negara yang tercinta. Biasanya semangat kejiranan merangkumi semua lapisan masyarakat tidak kira muda ataupun tua yang perlu kita amalkan. Menurut Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah jiran merupakan orang yang tinggal di sekeliling kita sama ada di depan, belakang, kiri , atau pun kanan dan merupakan orang pertama yang membantu kita ketika kita berada dalam kesusahan. Hal ini boleh dianalogikan seperti awan yang melindungi bumi daripada cahaya matahari. Oleh itu, langkah yang signifikan harus diambil bagi menerapkan semangat kejiranan kepada semua lapisan masyarakat.

            Cara yang afdal untuk memupuk semangat kejiranan ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini kerana ibu bapa merupakan guru pertama dan guru terbaik kepada anak-anak. Jika ibu bapa menunjukkan teladan  yang baik kepada anak-anak maka mereka akan mencontohi teladan yang ditunjukkan kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sekiranya ibu bapa menunjukkan suri teladan yang buruk kepada anak-anak maka mereka akan menjadi anak-anak yang jahat malah lebih teruk lagi.  Hal ini boleh dianologikan seperti anak burung yang baru belajar terbang daripada ibunya. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah mengunjungi atau menziarahi jiran tetangga walaupun mereka berada dalam keadaan yang baik atau tidak. Selain itu, ibu bapa haruslah tidak sombong dengan jiran dan sering bertegur-sapa agar dapat memupuk semangat kejiranan. Kesannya, semangat kejiranan dapat dipupuk antara jiran dalam kalangan anak-anak dan ibu bapa sekali gus dapat mewujudkan masyrakat yang harmoni. Sekiranya cara memupuk semangat kejiranan dapat dipupuk oleh ibu bapa maka negara dapat melahirkan generasi yang bijaksana dan bekerjasama dalam mentadbir membangunkan negara ke  arah kemajuan  negara pada masa akan datang. Tegasnya, contoh teladan yang terbaik daripada ibu bapa mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan anak-anak.

                Memetik wasitah nirmala seterusnya, minhaj (cara) untuk memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat setempat di Malaysia ialah program rukun tetangga  di kawasan perumahan mesti dihidupkan semula. Hal ini kerana program rukun tetangga berfungsi sebagai perisai untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari.  Anggotanya membabitkan semua pihak tanpa mengira kaum kerana masing-masing bertanggungjawab menjaga keselamatan kendiri dan keluarga. Sebagai contohnya, anggota rukun tetangga akan bergilir-gilir bertugas meronda kawasan tanpa mengira usia, agama dan status. Secara ghalibnya (lazimnya), senario ini akan mewujudkan  jalinan hubungan yang mesra bagai isi dengan kuku sekali gus memupuk semangat kejiranan yang hakiki (sebenar). Menurut Tun Dr. Mahathir, jiran yang muafakat akan membentuk masyarakat yang harmoni. Oleh itu, kita perlu mengaktifkan program rukun tetangga bagi melahirkan semangat kejiranan yang utuh dan bersatu padu. 

            Meninjau dari skop yang lain, langkah yang seterusnya adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong.  Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong adalah seperti  membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Selepas mengenali hati budi antara satu sama lain barulah benih-benih kasih sayang. Melalui cara ini, masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan di samping dapat menerapkan pelbagai nilai murni. Tun Dr. Mahathir, Mantan Perdana Menteri  pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri. Bukan itu sahaja, kawasan kediaman juga akan menjadi bersih dan terpelihara daripada penyakit demam denggi. Jelaslah bahawa aktiviti gotong-royong dapat memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

            Jika dilihat dari perspektif yang lain, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanyakan khabar dan bercerita tentang pengalaman masing-masing dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Maka, dengan adanya pengimplimentasian program seperti “Rumah Terbuka Kebangsaan” bagi setiap sambutan perayaan, rakyat dapat diterapkan dengan nilai hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain ibarat kata bidalan, “serumpun seperti serai, seikat seperti sirih”. Hal ini dikuatkan lagi dengan kajian dari Universiti Sains Malaysia yang menunjukkan keberhasilan penganjuran program “Rumah Terbuka Kebangsaan” dalam mewujudkan institusi kejiranan yang kukuh di sembilan buah kawasan perumahan di sekitar Pulau Pinang. Pendek kata, majlis rumah terbuka mampu mengeratkan hubungan kejiranan dan memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

            Lontaran idea yang seterusnya ialah kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Dengan ini, kita dapat meringankan penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Izharlah bahawa amalan ziarah-menziarahi mampu menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita.

            Sebagai menggulung segala lontaran idea yang telah dinyatakan, dapatlah disimpulkan bahawa terdapat beberapa cara yang dapat dipraktikkan untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal.  Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.  Oleh itu, kita perlu memupuk semangat kejiranan  bermula daripada sekarang.  Cogan kata “Jiran Sepakat Membawa Berkat” perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Golongan remaja seharusnya menyuburkan semangat kejiranan kerana mereka merupakan pemimpin yang akan mewarnai corak pemerintahan pada masa hadapan. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan usaha ini pada bahu satu pihak kerana bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing untuk menghidupkan semangat kejiranan di negara kita. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali”. Semoga Malaysia menjadi sebuah negara yang mempunyai perpaduan yang utuh dan kukuh.