Wednesday, October 21, 2015

REVISI KARANGAN RANGSANGAN SPM 5



MANFAAT PENGHAYATAN PRINSIP-PRINSIP RUKUN NEGARA (PEPERIKSAAN MRSM SEMESTER 1)

Sejak bangku sekolah lagi kita dididik dengan semangat prinsip Rukun Negara yang menjadi teras perpaduan rakyat pelbagai bangsa, dan agama di negara ini. Rukun Negara yang yang diperkenalkan secara rasmi pada 31 Ogos 1970  mengandungi lima prinsip iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan adalah antara resepi kejayaan negara dalam menyatupadukan rakyat. Walau bagaimanapun penghayatan Rukun Negara kini semakin terhakis dari jiwa rakyat Malaysia apabila mereka meningkat dewasa. Buktinya, masalah gejala sosial dalam kalangan remaja semakin meningkat sejak belakangan ini. Hal ini disebabkan oleh remaja pada alaf ini tidak menyedari kepentingan atau manfaat menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara. Persoalannya, apakah manfaat yang diperoleh melalui penghayatan Rukun Negara?
 Salah  satu manfaat Rukun Negara dihayati ialah amalan budi bahasa dapat disemarakkan seperti yang tercatat dalam prinsip yang kelima iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’. Setiap kaum di negara ini percaya bahawa bersopan santun dan kesusilaan dapat dilihat pada tingkah laku dan tutur kata seseorang. Bahasa yang lembut dan bersopan santun serta tingkah laku yang baik akan menjamin hubungan yang harmoni dalam masyarakat yang berbilang kaum di negara ini. Prinsip ini jika dipraktikkan akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang baik, berbudi bahasa, bersopan santun dan bersusila serta dapat mewujudkan masyarakat Malaysia yang harmoni dan bersatu padu ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua. Tegasnya, penghayatan Rukun Negara dapat menyemarakkan amalan berbudi bahasa dalam masyarakat kita hari ini selaras dengan kempen kerajaan ‘Budi Bahasa Budaya Kita’.
 Selain itu, penghayatan Rukun Negara dapat melahirkan masyarakat yang mematuhi undang-undang. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak lancar dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan berasa selamat. Sejarah Tamadun China membuktikan bahawa masyarakat yang sempurna hanya dapat diwujudkan melalui undang-undang. Individu yang patuh pada undang-undang tidak akan melanggar undang-undang yang telah ditetapkan untuk kebaikan dalam semua perkara seperti melanggar peraturan jalan raya dan merampas hak orang lain. Kedaulatan undang-undang perlu dipertahankan agar masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan harrnoni. Kesedaran ini perlu diwujudkan dan dikekalkan dalam pemikiran rakyat sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Izharlah bahawa berpegang pada prinsip Rukun Negara yang  keempat iaitu ‘Kedaulatan Undang-undang’ dapat melahirkan masyarakat yang mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh negara.
 Satu lagi manfaat yang tidak dapat dipertikaikan ialah semangat patriotisme dalam kalangan rakyat dapat ditingkatkan. Bagi membentuk sebuah negara yang berdaulat dan bersepadu selepas berlakunya peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, Malaysia melalui kebijaksanaan dan kerjasama para pemimpinnya telah melakarkan suatu garis panduan, iaitu Rukun Negara. Menurut Profesor Syed Huseein al-Attas, "Patriotisme ini adalah tiada jaminan yang paling meyakinkan demi mempertahankan nasib bangsa kecuali memiliki rasa kasih sayang yang tinggi terhadap negara." Oleh itu, Rukun Negara merupakan salah satu elemen yang vital dalam menunjukkan perasaan cinta akan negara. Rukun Negara juga merupakan tonggak perpaduan rakyat. Sebagai negara yang berpaksikan ideologi demokrasi, hak dan kebebasan rakyat hendaklah dihormati. Rakyat perlu sensitif terhadap kepentingan dan nilai perasaan orang lain, seperti kata peribahasa Melayu, hukum orang memiat daging, sakit di orang sakitlah di awak. Tamsilnya, setiap rakyat perlu hormat dan taat kepada raja dan negara seperti tertera dalam rukun negara. Dengan ini, sebuah negara yang berdaulat dan merdeka dapat diwujudkan. Oleh itu, jelaslah bahawa prinsip rukun negara yang diikrarkan dapat melahirkan warganegara yang berpatriotik di nusa tercinta ini.
              Sebagai intihanya, sememangnya terdapat pelbagai kemaslahatan rakyat Malaysia untuk menghayati Rukun Negara. Prinsip-prinsip Rukun Negara merupakan kunci kepada masyarakat majmuk negara ini untuk memelihara serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Oleh itu, semua pihak terutamanya ibu bapa, media massa, pihak sekolah dan pihak kerajaan harus berganding bahu bagai aur dengan tebing dan melaksanakan obligasi masing-masing demi memastikan generasi muda kini faham dan mengamalkan kelima-lima prinsip Rukun Negara. Jika  tindakan seia sekata, sehati sejiwa ini berjaya dilaksanakan, tidak mustahil negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Semoga dengan pencapaian hasrat ini, negara kita yang dipayungi dengan keharmonian dan kesejahteraan mampu merealisasikan Wawasan 2020 dan sekali gus menjadi terkenal di seantero dunia.




UNGKAPAN MENARIK:
1. ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua
2. melentur buluh biarlah dari rebungnya
3. Menurut Profesor Syed Huseein al-Attas, "Patriotisme ini adalah tiada jaminan yang paling meyakinkan demi mempertahankan nasib bangsa kecuali memiliki rasa kasih sayang yang tinggi terhadap negara."
4. hukum orang memiat daging, sakit di orang sakitlah di awak
5. bagai aur dengan tebing
6. berdiri sama tinggi, duduk sama rendah

FAKTA
Sejarah Tamadun China membuktikan bahawa masyarakat yang sempurna hanya dapat diwujudkan melalui undang-undang.

REVISI KARANGAN RANGSANGAN 4



KESAN-KESAN BURUK PENGGUNAAN ALAT TELEKOMUNIKASI KEPADA REMAJA PADA MASA INI (PERCUBAAN MELAKA 2015)

Dalam menelusuri era globalisasi ini, alat telekomunikasi amat penting. Kewujudannya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan semakin mewarnai pasaran di negara kita. Terdapat banyak alat komunikasi yang menguasai global pada hari ini seperti telefon bimbit, ‘facebook’, ‘instagram’,  dan sebagainya. Hampir setiap orang menggunakan alat komunikasi untuk berhubung dengan orang yang jauh di mata. Kemajuan ini menjadikan dunia semakin kecil  kerana semuanya terletak di hujung jari. Namun begitu, penciptaan alat telekomunikasi yang pada awalnya berniat murni, kini semakin ternoda dengan kesan-kesan negatif yang dihadapi oleh pelbagai lapisan masyarakat terutamanya oleh golongan remaja. Persoalannya, apakah kesan-kesan negatif  penyalahgunaan alat komunikasi kepada remaja pada masa ini?
 Salah satu impak negatif kepada remaja ialah remaja akan hilang fokus ketika sesi pembelajaran. Hal ini berlaku disebabkan oleh sikap ketagih mereka dan gagal menguruskan masa dengan baik. Sebagai contoh, ada remaja yang  berbual dengan rakan-rakan melalui laman sosial sehingga lewat malam sehinggakan mereka mengantuk di dalam kelas.  Ada juga remaja terutamanya yang masih belajar menggunakan telefon bimbit di dalam kelas ketika guru mengajar tanpa segan silu. Kesannya, prestasi pelajaran mereka akan merosot kerana tidak memberikan tumpuan ketika guru mengajar di dalam kelas. Semasa menerima keputusan peperiksaan mereka akan menyesal tetapi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Jelaslah bahawa penyalahgunaan alat telekomunikasi dapat menyebabkan remaja hilang fokus ketika sesi pembelajaran.
 Selain itu, penggunaan alat komunikasi yang keterlaluan juga akan meningkatkan kos hidup remaja. Sikap suka menggunakan telefon untuk berhubung tanpa mengira keperluan sebenar menyebabkan bil telefon turut bertambah. Lebih membebankan  lagi jika penggunaannya berlaku di luar kawalan remaja sehingga peningkatan bil telefon mencecah ratusan ringgit setiap  bulan. Remaja terpaksa membelanjakan sebahagian pendapatannya untuk membayar bil telefon. Penggunaan telefon bimbit yang tanpa batasan menyebabkan remaja mengalami masalah kewangaan yang serius. Keadaan ini mungkin membawa mereka terpaksa beralih ke arah cara yang negatif seperti mencuri.  Lantaran itu, telefon bimbit mampu menyebabkan remaja mengalami masaah kewangan yang serius sebagai akibat sikap mereka yang beraja di mata, bersultan di hati. Tegasnya, peningkatan kos hidup remaja turut berlaku disebabkan oleh sikap remaja yang menyalahgunakan alat telekomunikasi mereka.
 Sekiranya ditinjau dari sudut yang lain, penggunaan alat telekomunikasi yang tidak terkawal akan menjejaskan tahap kesihatan remaja. Hal ini berlaku kerana gelombang elektromagnet yang terhasil daripada telefon bimbit apabila terkena pada sel-sel otak untuk masa yang berlarutan akan menyebabkan mutasi genetik terhadap sel-sel otak tersebut dan seterusnya menyebabkan kanser otak. Mengikut kajian terbaru daripada 31 saintis daripada 14 negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat, penggunaan telefon bimbit yang berlebihan dapat mendatangkan penyakit barah otak. Sekiranya masalah ini berlaku, kehidupan dan masa hadapan remaja akan hancur ibarat kaca terhempas ke batu. Kehidupan remaja akan sentiasa dibayangi dengan kematian kerana kanser merupakan pembunuh secara senyap. Izharlah bahawa kesihatan remaja akan terjejas jika tidak menggunakan alat telekomunikasi dengan berpada-pada.
          Sebagai konklusinya, alat telekomunikasi memberikan pelbagai impak negatif kepada remaja jika disalahgunakan. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan golongan yang banyak terlibat dengan gejala yang tidak sihat kesan perkembangan teknologi komunikasi kini. Hal ini kerana golongan belia adalah golongan yang senang terpengaruh dan dipengaruhi. Oleh itu, ibu bapalah perlulah menyelamatkan remaja daripada ketagih kepada alat-alat telekomunikasi yang semakin berkembang pesat di negara kita bagaikan lipas kudung. Memandangkan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja lebih mengarah kepada status dan bukannya satu keperluan, ibu bapa berhak mengawal penggunaan telefon bimbit. Kita sebagai manusia sepatutnya menjadi tuan kepada alat teknologi dan bukanlah sebaliknya. Sekiranya pelbagai langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik dilaksanakan secara berterusan dan bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam maka impian untuk melahirkan remaja yang berwawasan dapat direalisasikan kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.




UNGKAPAN MENARIK
1. bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan
2. beraja di mata, bersultan di hati
3. sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya
4. ibarat kaca terhempas ke batu
5. bagaikan lipas kudung
6. hangat-hangat tahi ayam
7. pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara

FAKTA
Mengikut kajian terbaru daripada 31 saintis daripada 14 negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat, penggunaan telefon bimbit yang berlebihan dapat mendatangkan penyakit barah otak.

REVISI KARANGAN RANGSANGAN SPM 3




LANGKAH MEMELIHARA ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB BERSAMA (PERCUBAAN MRSM 2015)

(T) Alam sekitar adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia, tidak mengira bangsa, agama dan negara. Alam sekitar ini termasuklah kawasan-kawasan tumbuhan hijau, udara dan air seperti sungai dan laut. (I) Namun demikian, mutakhir ini, arus modenisasi menderaskan lagi pembangunan negara. Pelbagai projek sosioekonomi dijalankan dengan begitu rancak namun secara tidak sedar alam sekitar sudah terjejas. Kita sebenarnya tersepit antara keinginan menjadi sebuah negara maju dengan alam sekitar yang perlu dipelihara, bak kata peribahasa ditelan mati mak, diluah mati bapa. (A) Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya mensyukuri nikmat pemberian Tuhan yang amat berharga ini. Oleh itu, langkah-langkah bersama yang pragmatik dan proaktif perlu diambil untuk memelihara anugerah ciptaan-Nya.
 (I) Salah satu langkah yang efektif dalam penjagaan alam sekitar adalah dengan menggalakkan tanaman hijau.(M)  Tanaman pokok seperti pokok-pokok bunga dan sayur-sayuran sangat berguna dalam kehidupan manusia. Kepentingan pokok terhadap alam sekitar umpama aur dengan tebing iaitu saling memerlukan. (BA) Sebagai contohnya, pihak ibu bapa atau pihak sekolah boleh menggalakkan aktiviti penanaman pokok seperti pokok-pokok bunga di kawasan persekitaran untuk menyahut seruan atau menyokong kempen penanaman pokok yang dijalankan pihak kerajaan bagi memulihara alam sekitar. (K) Kesannya, alam sekitar yang hijau dapat memberikan udara yang nyaman dan segar kepada penghuninya sekali gus dapat menghijaukan alam sekitar. (P)  Tegasnya, galakan dalam aktiviti penanaman pokok dapat memelihara alam sekitar kita daripada tercemar.
 (I) Selain itu, penjagaan kebersihan sungai juga dapat memelihara alam sekitar. (M) Usaha ini penting kerana sungai sungai merupakan nadi kehidupan kita kerana sungai merupakan sumber bekalan air yang utama kepada manusia dan haiwan. (BA) Untuk memastikan sungai terpelihara daripada sebarang aktiviti pencemaran, semua anggota masyarakat perlulah melibatkan diri secara aktif dan kolektif dalam menjayakan Kempen Cintai Sungai Kita yang dianjurkan oleh pihak berautoriti. Aktiviti membersihkan sungai perlulah dijalankan secara berkala dan bukannya hangat-hangat tahi ayam. Masyarakat juga perlulah mengelakkan tabiat membuang sampah ke dalam sungai kerana perbuatan terkutuk itu akan mendatangkan kemudaratan kepada semua makhluk Tuhan. (K) Kesannya, sungai yang bersih dapat menjamin kesihatan yang baik di samping dapat menjaga alam sekitar daripada berlakunya bencana alam seperti banjir kilat. (P) Izharlah bahawa pemeliharaan alam sekitar dapat dicapai melalui kerjasama menjaga kebersihan sungai.
 (I) Seperkara lagi, langkah yang juga praktikal ialah semua rakyat perlu mengamalkan kitar semula barang terpakai. (M) Program kitar semula memainkan peranan yang penting bagi pengurusan alam sekitar dan sumber semula jadi yang mapan. (BA) Sebanyak 40 peratus sampah sarap seperti tin, besi buruk, botol, kertas dan barangan plastik boleh dikitar semula. Contohnya, jika kertas dapat dikitar semula secara maksimum kita dapat mengurangkan 4,360 tan sampah sehari yang bersamaan 78,000 batang pokok. (K) Impaknya, kita dapat menyelamatkan alam sekitar seperti pokok dan dapat pula mengurangkan kos sumber tenaga serta menambah pendapatan keluarga. Hal ini dikatakan sambil menyelam minum air. Pendek kata, amalan kitar semula yang dipraktikkan oleh semua rakyat Malaysia dapat memelihara alam sekitar di negara kita.
           (K) Sebagai intihanya, pemeliharaan alam sekitar dapat dilaksanakan dengan pelbagai langkah yang diambil oleh pelbagai pihak kerana memelihara alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama. Sesungguhnya alam sekitar ini merupakan harta paling berharga yang perlu dijaga kepentingannya. (CDGN) Oleh itu, semua pihak perlu bersendel bahu dan bergabung tenaga ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk memikul amanah menjaga dan memelihara alam sekitar kita. Hal ini bersesuaian dengan pesanan Mantan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup yang menyeru semua pihak tanpa mengira umur, sektor swasta atau kerajaan perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing  bagi memelihara dan memulihara alam sekitar yang semakin terancam pada hari ini sehingga menyebabkan banjir,tanah runtuh dan pelbagai bencana alam yang lain. (HRPN) Diharapkan komitmen jitu daripada pelbagai pihak dapat melestarikan keindahan alam sekitar yang menjadi platform kepada kesihatan rakyat di negara kita. Hal ini bersesuaian dengan cogan kata ‘Negara Bersih, Rakyat Sihat.





UNGKAPAN MENARIK:

 1. ditelan mati mak,diluah mati bapa.
 2. umpama aur dengan tebing
 3. hangat-hangat tahi ayam
 4. sambil menyelam minum air
 5. ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni
 6. Negara Bersih, Rakyat Sihat

FAKTA:
1. Jika kertas dapat dikitar semula secara maksimum kita dapat mengurangkan 4,360 tan sampah sehari yang bersamaan 78,000 batang pokok. 
2. Mantan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup menyeru semua pihak tanpa mengira umur, sektor swasta atau kerajaan perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing  bagi memelihara dan memulihara alam sekitar yang semakin terancam pada hari ini sehingga menyebabkan banjir,tanah runtuh dan pelbagai bencana alam yang lain