Sunday, November 1, 2015

KARANGAN TERBUKA SPM 2 – KELANTAN 201



SOALAN:
‘Bangsa Membaca Bangsa Berjaya’
Huraikan kepentingan amalan membaca.

Kehendak soalan
·         Calon perlu menghuraikan kepentingan amalan membaca

Nasi lemak buah bidara,
sayang selasih hamba turutkan;
amalan membaca banyak faedahnya,
untuk kegunaan masa hadapan.


Masyarakat Melayu sinonim dengan pelbagai jenis puisi tradisional bagi melahirkan perasaan  yang  telah terpahat dalam atma dan sukma mereka. Puisi di atas menggambarkan amalan membaca sangat penting dalam kehidupan seharian kita bagi melahirkan generasi yang berintelektual dalam mencorak masa hadapan. Ketahuilah kita bahawa masa depan menjanjikan cabaran yang sarat dengan muatan cabaran reformasi. Oleh sebab itu,  menerusi amalan membaca juga dapat mencetus kesegaran minda agar tidak wujud modal insan yang dibelenggu dengan cara berfikir yang sempit. Walaupun dunia sudah melepasi pelbagai zaman dalam beberapa dekad, namun budaya membaca tetap mendominasi kemajuan dan keagungan sesebuah bangsa. Sejarah telah mencatatkan bahawa bangsa yang berjaya antara lain dicirikan oleh masyarakatnya yang memiliki budaya literasi. Begitu juga sebaliknya. Sesuatu bangsa yang mempunyai kekuasaan atau kejayaan dalam sesuatu bidang tidak boleh mempertahankan miliknya tanpa budaya ilmu yang mantap. Rakyat Malaysia yang tidak mengetahui kepentingan amalan  membaca perlulah  membudayakan amalan yang mulia ini yang mengandungi seribu satu kemuliaan yang tidak dapat dipertikaikan lagi. Persoalannya, apakah kepentingan amalan membaca?

Sesungguhnya amalan membaca mampu menambah pengetahuan kita.  Amalan membaca dapat membantu memberikan nilai tambah dalam diri seseorang sebagai persediaan untuk bersaing dalam era globalisasi ini.  “Setiap  seseorang daripada kita mesti memberikan nilai tambah kepada diri masing-masing,” demikian  mantan  perdana menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menukil dalam salah satu ucapan beliau sekitar pertengahan tahun 2005 yang lalu. Ungkapan keramat  itu, membawa maksud bahawa nilai seseorang anak pascamerdeka ini akan bertambah andai individu itu berusaha melakukan  anjakan paradigma untuk dirinya daripada terus berada di takuk lama.  Jika ditelusuri, ungkapan ini boleh direalisasikan dengan amalan membaca yang pastinya dapat menyumbangkan idea bernas dalam diri pembaca.  Selain melalui proses pembelajaran secara formal di sekolah, nilai diri akan dapat ditambah dengan banyaknya menerusi amalan membaca bahan-bahan ilmiah seperti Majalah Dewan Bahasa, Dewan Siswa, Kosmik dan sebagainya. Cerdik pandai sering menganggap amalan membaca sebagai jambatan ilmu. Persepsi ini terjelma lantaran amalan membaca yang dapat menghubungkan antara manusia dengan dunia ilmu.  Tegasnya, amalan  membaca sememangnya dapat  menambah ilmu pengetahuan dan menjadi  persiapan untuk kesiagaan  kita bersaing dengan cabaran kemajuan yang terbentang di jagatraya ini.

Seterusnya, mari kita fokuskan lensa pemikiran kita kepada manfaat seterusnya iaitu membaca dapat meningkatkan kepakaran. Kepakaran yang dimaksudkan ialah tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam sesuatu bidang. Membaca dapat mewujudkan koridor kemajuan ekonomi demi meningkatkan tenaga pakar yang berpengetahuan. Sebagaimana yang diketahui masyarakat yang suka membaca merupakan masyarakat yang maju dan kompetetif sehingga dapat mencetuskan gegaran minda sekaligus dapat menjulang negara kita ke puncak jagat.  Buktinya kita melihat betapa negara pengeluar minyak yang kaya-raya terpaksa bergantung hampir dalam semua aspek penting kehidupan negaranya kepada negara lain yang lebih maju dari segi keilmuan dan kepakaran. Oleh sebab itu, amalan membaca dapat membentuk masyarakat madani yang berkemahiran dan  berkepakaran tinggi. Apabila negara kita sudah mencapai tahap yang maksimum dalam membentuk  individu yang mempunyai kepakaran yang tinggi dalam satu-satu bidang, kita tidak perlu bergantung kepada kepakaran luar lagi. Jelaslah bahawa amalan membaca dapat membekalkan tenaga pakar atau mahir kepada sesebuah negara itu.

          Jika dilihat dari aspek yang lain,  membaca merupakan tiang sandaran konkrit untuk berjaya dalam akademik. Namun begitu, cahaya amalan membaca semakin hari semakin malap dalam naluri pelajar. Kontradiksinya, para pelajar tidak mempunyai kesedaran bahawa membaca itu penting dalam kehidupan sedangkan amalan membaca dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan mampu meluaskan horizon pemikiran para pelajar.  Oleh sebab itu, para pelajar perlu menyemai bibit-bibit minat membaca dalam diri kerana membaca merupakan wasilah utama kejayaan seseorang pelajar. Sebagi contoh, adik Nik Nor Madihah telah berjaya memperoleh 20A dalam SPM dengan membudayakan amalan membaca dalam diari kehidupannya sebagai seorang pelajar. Meyedari kepentingan membaca dalam kalangan pelajar, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak sekolah bagi memperkasakan minat membaca dalam kalangan pelajar seperti mengadakan minggu membaca dan program  NILAM. Melalui program NILAM ini jugalah lahirlah tokoh-tokoh pelajar yang berjaya. Selain berjaya dalam akademik, para pelajar juga boleh mengaplikasikan ilmu yang diperolehi melalui membaca dalam kehidupan seharian. Ringkasnya, jelaslah bahawa amalan membaca dapat memberikan pelbagai kemaslahatan kepada  para pelajar untuk berjaya. Sesungguhnya, menuntut ilmu tanpa membaca ibarat basikal tanpa roda.


Dengan membudayakan amalan membaca juga, rakyat yang berpengetahuan luas dalam sesebuah negara mampu mencetuskan ideologi dan buah fikiran yang bernas dalam memacu proses pembangunan negara dapat dilahirkan. Hal ini dikatakan dmeikian kerana membaca merupakan acuan untuk membentuk sesebuah tamadun yang gemilang seiring dengan negara-negara yang telah mengecapi modenisasi mapan seperti Jepun. Di Jepun, atas dasar aplikasi dan pengetahuan sains dan inovasi mereka mampu mencipta teknologi yang tidak terdapat di negara-negara lain seperti mesin layan diri yang dapat memenuhi keperluan harian iaitu mesin menjual ketam hidup, telur ayam segar, sayur-sayuran segar dan baju hujan dan barang kemas. Kelebihan mesin layan diri ini dapat beroperasi sepanjang masa iaitu 24 jam sehari. Keadaan ini membolehkan para peniaga dan usahawan tidak perlu bersusah-payah menjaga premis perniagaan mereka kerana mesin layan diri ini juga dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang sempurna selain mereka dapat memperuntukkan masa mereka dengan aktiviti yang dapat meningkatkan kemajuan negara mereka. Jelaslah bahawa amalan merupakan ramuan yang efektif untuk membentuk masyarakat yang berproduktiviti tinggi dan seterusnya dapat merealisasikan aspirasi negara untuk bertambah maju.

              Secara konklusinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa amalan membaca sangat mulia kerana mendatangkan pelbagai kebaikan atau faedah kepada pembaca, keluarga, bangsa dan negaranya. Amalan membaca merupakan permulaan positif sebagai langkah pertama dalam penjanaan dan penyebaran ilmu. Hal ini terbukti berdasarkan peristiwa penuh bermakna dan agung dalam sejarah Islam melalui surah al-‘Alaq iaitu ketika Nabi Muhammad mendapat wahyu yang pertama di Gua Hira’ melalui perantaraan malaikat Jibril yang menyuruhnya membaca. Jelaslah membaca merupakan kunci ilmu yang memberikan impak positif dalam mempengaruhi perkembangan minda masyarakat. Walaupun pada hari ini pelbagai prakarsa telah dilaksanakan untuk memupuk amalan membaca namun, usaha tersebut diumpamakan hujan jatuh ke pasir. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memupuk budaya membaca sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pihak kerajaan juga perlu menyediakan pelbagai kemudahan seperti perpustakaan supaya kita dapat membaca dengan selesa. Kempen-kempen membaca juga perlu dipergiat. Jika usaha-usaha memupuk budaya membaca giat dijalankan, negara Malaysia pasti akan menjadi negara yang maju. Oleh itu, semua orang wajiblah membaca dan berusaha meningkatkan budaya membaca agar masyarakat yang celik ilmu dapat dilahirkan. Ingatlah bahawa ‘bangsa membaca, bangsa maju’.

KARANGAN TERBUKA 1 – KELANTAN 2015



SOALAN:
Usaha membangunkan negara amat bergantung pada remaja yang bersahsiah terpuji. Jelaskan peranan yang perlu dimainkan untuk melahirkan remaja yang bersahsiah mulia.

Kehendak soalan:
·      Anda perlu menjelaskan peranan yang perlu dimainkan oleh pelbagai pihak untuk melahirkan remaja bersahsia mulia bagi menjayakan usaha membangunkan negara.
·      Jika calon tidak kaitkan sahsiah mulia dengan usaha membangunkan negara, calon tidak layak diberi cemerlang (80 – 100)
·         Jika calon membincangkan peranannya sendiri, maksimum peringkat BAIK (51 – 65)

KARANGAN CONTOH:

Anak-anak ataupun digelar sebagai remaja ini mampu membangunkan sesebuah negara jika mereka mempunyai sahsiah yang mulia dalam diri mereka. Perkara ini sering menjadi bahan perbincangan dalam kalangan ibu bapa dan pemimpin negara. Dalam era milineum yang kian mencabar ini, pelbagai episod sedih dan malang terpapar di dada-dada akhbar malah sering kita terdengar di corong-corong radio. Acapkali kita tersentak dengan masalah kebejatan akhlak remaja yang berlaku di negara kita. Ada yang sanggup merogol remaja wanita kerana perasaan cemburu butanya sehingga remaja malang tersebut meninggal dunia akibat dikelar oleh manusia yang bersifat kebinatangan ini. Isu-isu seumpama ini sudah tentu akan merencatkan ketamadunan bangsa malah akan turut mencemarkan imej negara di mata dunia. Masalah ini tidak seharusnya dipandang enteng. Langkah-langkah pencegahan perlu diambil demi kesejahteraan hidup sejagat dan menjamin pembangunan negara. Oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.

Salah peranan yang harus dilaksanakan oleh ibu bapa adalah dengan menjadi suri teladan kepada anak-anak kerana ibu bapa yang mencerminkan sahsiah peribadi anak-anak. Seseorang ibu bapa itu haruslah menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah bertutur dengan bahasa yang sopan, tidak bergaduh antara suami isteri di hadapan anak-anak, tidak merokok di hadapan anak-anak dan sebagainya. Dengan berbuat demikian, anak-anak pasti akan mengikut dan menjadikan ibu bapa mereka sebagai suri teladan kepada mereka. Hal ini persis dengan kata pepatah, “bagaimana acuan, begitulah kuihnya” yang membawa maksud seseorang anak akan meniru perangai dan kelakuan ibu bapa mereka. Dengan ini, usaha untuk merealisasikan pembangunan negara dapat dijayakan dengan lahirnya remaja yang bersahsiah mulia. Tegasnya, sahsiah mulia anak-anak dapat dibentuk melalui sahsiah ibu bapa. Jika ibu bapa itu bersikap baik anak-anak juga akan menjadi baik, manakala jika ibu bapa itu bersikap buruk, anak-anak juga akan turut bersikap buruk.

Selain itu, ibu bapa juga dapat memainkan peranan mereka dengan memberikan dirikan agama yang mantap kepada golongan remaja. Allahyarham Tan Sri P. Ramli ada menegaskan bahawa irama dan lagu tidak dapat dipisahkan. Jika dipisahkan maka pincanglah karya tersebut. Hal ini bertepatan dengan konsep remaja dan didikan agama. Mereka akan pincang sekiranya ibu bapa memandang enteng dalam soal memberikan didikan agama kepada remaja. Pembentukan sahsiah remaja ini akan telus dan lancar jika mereka diberi didikan agama yang sempurna. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan didikan agama yang utuh, anak-anak akan dapat membezakan antara intan dengan kaca, antara batu dengan permata serta mampu untuk menangkis segala hasutan manusia yang bertopengkan syaitan. Sebagai contoh, remaja akan sentiasa mengamalkan akhlak terpuji dan bertindak mengikut hukum syariat Islam mahupun mengikut kefahaman agama masing-masing tanpa paksaan atau menerima tempias masalah sosial yang kian membarah seperti kes pembuangan bayi. Sekiranya remaja memiliki nilai kegamaan yang teguh maka teguhlah pembangunan sesebuah negara itu. Jelaslah bahawa suntikan didikan agama ke dalam jiwa setiap remaja kerana kedangkalan didikan agama akan melahirkan remaja yang bersikap negatif dan tersasar dari landasan ibarat kapal hilang nakhoda, karam di tengah laut.

           Jika dilihat dari dimensi yang berbeza, pihak kerajaan juga berperanan dengan mengadakan satu kempen kesedaran yang efektif. Kempen kesedaran ini boleh menggunakan kecanggihan media massa yang wujud di negara ini untuk mencapai tahap keberksanan yang sebaik mungkin. Kempen seperti ‘Kami Prihatin’ dan ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ haruslah dilakukan secara berterusan dan janganlah sekadar hangat-hangat tahi ayam kerana akan menyebabkan kerugian kepada negara kita sendiri. Kempen yang dirangka dengan baik dan dilaksanakan sepanjang tahun berupaya untuk membentuk satu kesedaran dalam  naluri masyarakat kita terutamanya remaja yang sememangnya dahaga akan kesedaran sejati itu.  Kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen kesedaran kepada masyarakat sama ada di desa ataupun di bandar-bandar besar yang sedang mengalami proses pembangunan ekonomi. Jika inisiatif untuk memupuk nilai-nilai murni dalam diri masyarakat tidak dilakukan oleh pihak kerajaan maka masyarakat pada hari ini akan terus hanyut dalam dunia modenisasi ini. Oleh itu,  peranan pihak kerajaan untuk mengadakan kempen ini dapat memastikan golongan yang disandarkan harapan  pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara ini akan terus dibasahi sahsiah-sahsiah yang mulia segali gus dapat membangunkan negara pada masa hadapan.

Seperkara lagi, guru juga memainkan peranan yang penting dalam usaha melahirkan remaja yang bersahsiah mulia untuk membangunkan negara. Kebanyakan remaja kita merupakan golongan pelajar. Mereka banyak menghabiskan masa di sekolah selain di rumah. Guru juga merupakan ibu bapa mereka di sekolah. Jadi, tidak hairanlah jika dikatakan guru mampu membentuk sahsiah seseorang remaja itu. Guru perlu mengajar murid tentang kepentingan bersahsiah mulia. Guru tidak seharusnya leka dalam menjalankan obligasi mereka sebagai pendidik yang berkesan kerana setiap ajaran guru akan melekat dalam sukma pelajar dan akan diaplikasikan dalam kehidupan mereka. Sehubungan dengan itu, guru perlu menitikberatkan aspek pembentukan insan yang kamil dan holistik di dalam kelas di samping menekankan kepentingan berperibadi mulia untuk membangunkan  negara. Mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama Islam perlu diajar oleh guru-guru dengan pengisian aktiviti pembelajaran yang menarik dan berkesan supaya objektif yang dirancang tidak tersasar. Izharlah bahawa peranan yang dijalankan dengan penuh istiqamah ini sudah pasti dapat melahirkan remaja yang bersahsiah mulia.

Bukan itu sahaja, sebagai anggota masyarakat,  kitajuga  tidak harus mengambil langkah lepas tangan untuk memainkan peranan dalam pembentukan sahsiah remaja yang syumul. Kita seharusnya peka terhadap keruntuhan akhlak yang berlaku seperti gejala lepak, ponteng, penagihan dadah yang dilakukan oleh remaja kita. Ada masanya kita harus menjaga tepi kain orang dalam  usaha untuk mewujudkan golongan remaja yang lebih baik seperti menegur tingkah laku yang kurang memuaskan serta melaporkan gejala sosial yang serius kepada pihak yang sepatutnya agar  hal ini tidak menjadi kudis yang seterusnya bernanah dalam masyarakat kita. Sifat ambil peduli masyarakat merupakan penawar kepada masyarakat yang mendokong nilai-nilai murni. Seterusnya, usaha menerapkan nilai-nilai murni seperti menghormati orang tua, menjaga kesopanan di khalayak ramai, mengunjungi rumah jiran, dan berinteraksi antara kaum mampu melahirkan satu bangsa Malaysia yang moden tetapi penuh budaya tersendiri. Usaha ini harus diteruskan kerana generasi muda sering berubah dan keadaan turut berubah tetapi nilai murni akan terus kekal seperti tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Ringkasnya, dengan adanya sokongan dan kerjasama daripada pihak komuniti maka golongan remaja kita dapat membangunkan negara sekiranya mereka memiliki sahsiah yang mulia.

Sebagai intihanya, bayang kian jelas bahawa semua pihak berwajib perlulah memikul dan melaksanakan obligasi masing-masing dengan sempurna. Hal ini kerana usaha daripada satu pihak sahaja tidak akan mendatangkan apa-apa hasil, seperti kata pepatah bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kerjasama dan usaha bersungguh-sungguh perlulah dilakukan secara bersungguh-sungguh, bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Tanpa kerjasama yang menyeluruh, usaha untuk melahirkan remaja yang bersahsiah mulia akan menjadi sia-sia seperti membuang garam ke laut. Oleh itu, setiap lapisan rakyat perlu bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengamalkan sikap berat sama dipikul, ringan sama dijinjing untuk membangunkan negara.  Sesungguhnya, kita mampu untuk melakukannya kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Pelbagai pihak perlulah memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Ayuh, singkirkan semua bicara, kumpulkan tenaga raksasa, tiba saat berbunga merah, serentak kita bersama ke arah masyarakat yang mendokong nilai-nilai murni.

RANGKA KARANGAN TERBUKA 4 – KEDAH 2015



DIMENSI GLOBAL

SOALAN:
Aktiviti  pemerdagangan manusia di peringkat global sangat membimbangkan dan meninggalkan kesan negatif kepada negara yang terlibat.
Bincangkan.

Dimensi           : Antarabangsa
Format             : Tiada
Tema               : Rumah Terbuka Rakyat Malaysia: Kemanusiaan Sejagat  (Tingkatan 5)
Aras                 : Tinggi

Kehendak soalan:
  • Pelajar mesti menyatakan kebimbangan aktiviti pemerdagangan manusia oleh pelbagai pihak termasuklah kerajaan dan rakyat di seluruh dunia.
  • Pelajar hendaklah memberikan contoh negara-negara yang sering berlaku kes pemerdagangan manusia.
  • Pelajar hendaklah memahami konsep pemerdagangan manusia.

Cadangan isi (kesan):
1.      Mencemarkan imej negara di mata dunia
-       Kedudukan Malaysia dalam senarai 16 negara berprestasi buruk dalam mengekang isu   
     permerdagangan manusia mencemarkan imej negara di mata dunia - Menunjukkan negara lemah 
     dalam mentadbir dan menguatkuasakan undang-undang - Negara dianggap sebagai sarang jenayah.
2.      Mengancam keselamatan dan keamanan negara 
       -       Jenayah yang semakin berleluasa mengancam keselamatan terutamanya wanita dan kanak-kanak    
            yang diperalatkan bagi tujuan tertentu termasuk pelacuran, pusat hiburan, rumah urut dan  
            sebagainya - Sindiket atau mereka yang terlibat juga melakukan aktiviti jenayah lain untuk 
            mengumpulkan kekayaan.
3.      Menjejaskan hubungan diplomatik antara negara terlibat
-    Penyeludupan dan pemerdagangan manusia melanggar hak sesebuah negara dan isu-isu yang berlaku menjejaskan hubungan diplomatik antara negara.  Isu-isu seperti penderaan malahan pembunuhan pembantu rumah menimbulkan  rasa tidak puas hati antara negara yang terlibat.
4.      Peningkatan masalah sosial di negara terlibat
       -   Masalah sosial bertambah merebak dalam masyarakat seperti berpeleseran, pelacuran, seks bebas,  
           minum arak dan sebagainya.
5.      Penularan penyakit berjangkit. 
      -   Penyakit-penyakit berjangkit seperti tibi, penyakit kelamin, hepatitis dan sebagainya kembali menular 
           dalam kalangan masyarakat.

KARANGAN TERBUKA SPM 3 – KEDAH 2015



DIMENSI MASYARAKAT

SOALAN:
Semangat kejiranan merujuk aspek kesefahaman dan hubungan erat sesama jiran. Kerajaan telah melancarkan slogan ‘Jiran Sepakat Membawa Berkat’ untuk mengembalikan semangat kejiranan yang kian luntur dalam kalangan masyarakat di negara ini. Anda ingin menulis sebuah rencana yang bertajuk “Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan dalam Kalangan Masyarakat”.
Tulis rencana anda itu selengkapnya.

Dimensi           : Masyarakat dan negara
Format             : Rencana
Tema               : Senario Masyarakat Kita: Tradisi Kejiranan dalam Masyarakat (Tingkatan 4)
Aras                 : Sederhana


Kehendak soalan:
  • Calon dikehendaki menulis rencana yang bertajuk “Langkah-langkah MemupukSemangat Kejiranan dalam Kalangan Masyarakat”
  • Karangan mestilah dalam bentuk format rencana yang betul.
  • Karangan berformat    : Tajuk ( - 1m jika tiada)
                                            : Nama penulis (Berunsurkan nama manusia) (-1m jika tiada)
  • Jika calon tidak menulis mengikut format, markah maksimum kepujian (66 – 79).

Rangka Jawapan:
1.  Ibu bapa menjadi suri teladan
2.  Program rukun tetangga  di kawasan perumahan mesti dihidupkan semula oleh masyarakat setempat
3.  Penduduk setempat mengadakan aktiviti gotong-royong
4.  Masyarakat setempat dan pihak kerajaan mengadakan majlis-majlis rumah terbuka
5.  Masyarakat setempat perlu membudayakan amalan kunjung-mengunjungi

KARANGAN CONTOH:

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan dalam Kalangan Masyarakat
Oleh : Zainab binti Muhammad

Dalam mendepani era modenisasi pada abad-21 kini, dunia menyaksikan iktisad negara yang kian membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Negara yang semakin pesat membangun seperti tenggelam sama basah, timbul sama hanyut seiringan dengan negara maju lain. Namun begitu,  isu memupuk semangat kejiranan masih menjadi polemik dalam kalangan marhaen di Malaysia.  Dewasa ini, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita semakin hari semakin terpinggir. Maasyarakat pada hari ini lebih mementingkan diri sendiri dan membudayakan hidup bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Dari segi  konsepnya semangat kejiranan boleh ditakrifkan sebagai suatu perasaan yang harus dipupuk oleh setiap masyarakat di Malaysia tanpa mengira warna kulit bangsa dan agama dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum demi negara yang tercinta. Biasanya semangat kejiranan merangkumi semua lapisan masyarakat tidak kira muda ataupun tua yang perlu kita amalkan. Menurut Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah jiran merupakan orang yang tinggal di sekeliling kita sama ada di depan, belakang, kiri , atau pun kanan dan merupakan orang pertama yang membantu kita ketika kita berada dalam kesusahan. Hal ini boleh dianalogikan seperti awan yang melindungi bumi daripada cahaya matahari. Oleh itu, beberapa langkah yang pragmatik harus diambil bagi memupuk semangat kejiranan kepada semua lapisan masyarakat.

            Langkah yang paling pragmatik untuk memupuk semangat kejiranan ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini kerana ibu bapa merupakan guru pertama dan guru terbaik kepada anak-anak. Jika ibu bapa menunjukkan teladan  yang baik kepada anak-anak maka mereka akan mencontohi teladan yang ditunjukkan kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah mengunjungi atau menziarahi jiran tetangga walaupun mereka berada dalam keadaan yang baik atau tidak. Selain itu, ibu bapa haruslah tidak sombong dengan jiran dan sering bertegur-sapa agar dapat memupuk semangat kejiranan. Kesannya, semangat kejiranan dapat dipupuk antara jiran dalam kalangan anak-anak dan ibu bapa sekali gus dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni. Sekiranya cara memupuk semangat kejiranan dapat dipupuk oleh ibu bapa maka negara dapat melahirkan generasi yang bijaksana dan bekerjasama dalam mentadbir membangunkan negara ke  arah kemajuan  negara pada masa akan datang. Tegasnya, contoh teladan yang terbaik daripada ibu bapa mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan anak-anak.

                Memetik wasitah nirmala seterusnya, uslub lain untuk memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat setempat di Malaysia ialah program rukun tetangga  di kawasan perumahan mesti dihidupkan semula. Hal ini kerana program rukun tetangga berfungsi sebagai perisai untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari.  Anggotanya membabitkan semua pihak tanpa mengira kaum kerana masing-masing bertanggungjawab menjaga keselamatan kendiri dan keluarga. Sebagai contohnya, anggota rukun tetangga akan bergilir-gilir bertugas meronda kawasan tanpa mengira usia, agama dan status. Secara ghalibnya, senario ini akan mewujudkan  jalinan hubungan yang mesra bagai isi dengan kuku sekali gus memupuk semangat kejiranan yang hakiki. Menurut Tun Dr. Mahathir, jiran yang muafakat akan membentuk masyarakat yang harmoni. Oleh itu, kita perlu mengaktifkan program rukun tetangga bagi melahirkan semangat kejiranan yang utuh dan bersatu padu. 

            Meninjau dari skop yang lain, langkah yang seterusnya adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong oleh ahli komuniti atau badan bukan kerajaan (NGO).  Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong adalah seperti membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Selepas mengenali hati budi antara satu sama lain barulah benih-benih kasih sayang. Melalui cara ini, masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan di samping dapat menerapkan pelbagai nilai murni. Tun Dr. Mahathir, Mantan Perdana Menteri  pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri. Bukan itu sahaja, kawasan kediaman juga akan menjadi bersih dan terpelihara daripada penyakit demam denggi. Jelaslah bahawa aktiviti gotong-royong dapat memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

            Jika dilihat dari perspektif yang lain, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanyakan khabar dan bercerita tentang pengalaman masing-masing dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Maka, dengan adanya pengimplimentasian program seperti “Rumah Terbuka Kebangsaan” bagi setiap sambutan perayaan, rakyat dapat diterapkan dengan nilai hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain ibarat kata bidalan, “serumpun seperti serai, seikat seperti sirih”. Hal ini dikuatkan lagi dengan kajian dari Universiti Sains Malaysia yang menunjukkan keberhasilan penganjuran program “Rumah Terbuka Kebangsaan” dalam mewujudkan institusi kejiranan yang kukuh di sembilan buah kawasan perumahan di sekitar Pulau Pinang. Pendek kata, majlis rumah terbuka mampu mengeratkan hubungan kejiranan dan memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

             Lontaran idea yang seterusnya ialah kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Dengan ini, kita dapat meringankan penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Izharlah bahawa amalan ziarah-menziarahi mampu menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita.

            Sebagai menggulung segala lontaran idea yang telah dinyatakan, dapatlah disimpulkan bahawa terdapat beberapa langkah yang dapat dipraktikkan untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal.  Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.  Oleh itu, kita perlu memupuk semangat kejiranan  bermula daripada sekarang.  Cogan kata “Jiran Sepakat Membawa Berkat” perlu terus subur mewangi dalam kehidupan kita sehari-hari. Golongan remaja seharusnya menyuburkan semangat kejiranan kerana mereka merupakan pemimpin yang akan mewarnai corak pemerintahan pada masa hadapan. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan usaha ini pada bahu satu pihak kerana bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing untuk menghidupkan semangat kejiranan di negara kita. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali”. Semoga Malaysia menjadi sebuah negara yang mempunyai perpaduan yang utuh dan kukuh.