Monday, May 14, 2012
12. Nilai kemanusiaan dalam karya sastera berdasarkan novel yang anda baca
Apabila
selesai membaca sesebuah novel mahupun menonton sesebuah drama, seseorang itu
mula berfikir tentang unsur-unsur istimewa yang terbit daripada cerita
tersebut. Selain terpikat akan episod dan aksi watak yang hebat, unsur nilai
dan pengajaran sudah pasti akan menyerap secara perlahan-lahan ke dalam benak
dan minda pembaca. Tidak dinafikan bahawa nilai kemanusiaan adalah antara
sumber yang menjadi kekuatan kepada binaan sesebuah karya sastera. Hal tersebut
dapat saya bincangkan berdasarkan novel Konserto Terakhir yang dikarya oleh
Abdullah Hussain yang amat padat dengan unsur nilai kemanusiaannya.
Isi 1 :
Nilai kasih sayang – suatu nilai yang luasnya ibarat lautan yang tidak bertepi
– kasih sayang terhadap darah daging sendiri, kasih sayang demi sahabat yang
sejati, dan jiwa yang musnah akibat terpisah daripada kasih sayang – kasih sayang
dapat membina keluarga dan masyarakat yang bahagia – perlu dipupuk – Pak Long
Karim memelihara Hilmi dengan penuh kasih sayang walaupun Himi bukan anak
kandungnya – Datuk Johari dan Datin Salmah memberikan kasih sayang yang
sepenuhnya kepada anak mereka, Hayati – Encik Bakar dan isteri memberikan kasih
sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak mereka, Azizah – Hayati telah
berubah sebagai akibat kehilangan orang yang disayanginya iaitu Hilmi.
Isi 2 :
Nilai keikhlasan – perlu mempunyai rasa ikhlas dalam setiap pekerjaan supaya
segala yang dilakukan diberkati dan diredai Tuhan – melakukan sesuatu pekerjaan
dan membantu orang lain kerana ikhlas dan bukannya mengharapkan balasan – Pak Long
Karim mengahwini janda Datuk Johari kerana hendak menyelamatkan hubungan
kekeluargaan antara bapa Datuk Johari dengan bekas mentua Datuk Johari dan
membesarkan Hilmi tanpa mengharapkan balasan – Encik bakar ikhlas mengajarkan
muzik kepada Hilmi tanpa mengharapkan ganjaran – menganggap ilmu yang
dimilikinya tidak boleh dibawa ke kubur – keikhlasan merupakan senjata penting
untuk menjadikan seseorang itu tenang dalam kehidupan di dunia dan di akhirat
Isi 3 : Nilai simpati – bersimpati kepada orang lain yang menghadapi masalah – Mak Minah bersimpati dengan Hilmi kerana sering dimarahi oleh Datin Salmah dan pernah tidak diberi makan apabila Himi pulang malam – Mamat bersimpati dengan Hilmi dan memperkenalkan Hilmi kepada Encik Bakar supaya Hilmi dapat belajar muzik daripadanya – Hayati bersimpati dengan Ketua Pengarah RTM ketika Pertunjukan Orkes Perdana diadakan dengan menjadi pengganti Hilmi yang tidak muncul pada malam pertunjukan itu kerana Hilmi dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur – dapat meringankan tekanan yang dihadapi oleh pihak lain dan tidak bersikap individualistik bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing
Isi 4 : Nilai bertanggungjawab – wajib melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sempurna – Himi menjalankan tanggungjawabnya sebagai tukang kebun Datuk Johari dengan baik dan sempurna – menjaga tanaman bunga di pekarangan rumah seperti menjaga dirinya sendiri – mendapat pujian daripada Dr. Nathan – Hilmi menunjukkan sikap bertanggungjawab kepada majikannya, iaitu tauke stesen minyak Shell – Hilmi juga bertungkus-lumus siang dan malam selama dua bulan untuk membuat latihan dan persiapan bagi memimpin Pertunjukan Orkes Perdana
Isi 5:
Nilai kesabaran dan kegigihan dalam menempuhi segala kemelut dan pancaroba
kehidupan – akhirnya mencapai kejayaan – sabar menerima cacian dan cemuhan
Datin Salmah yang memandang rendah kepadanya kerana bersekolah setakat darjah
empat sekolah Melayu – tidak pernah melawan kata-kata Datin Salmah – sabar menghadapi
masalah rumah tangganya – Azizah mengajar anaknya, Hakim memanggilnya dengan
gelaran ‘bapa jahat’ – tidak menghalangnya untuk menjadi seniman terkenal
Nilai
kemanusiaan ialah aset yang boleh dijadikan sumber didaktik yang disemaikan
secara halus dan tersirat. Oleh hal yang demikian, sebagai pembaca yang
bijaksana, unsur-unsur nilai hendaklah dijadikan panduan dan pedoman untuk
membuat koreksi diri. Moga-moga apa-apa yang ditelusuri lewat karya yang dibaca
mampu mengimpakkan natijah yang sangat berharga.
11. Peranan Masyarakat dalam Menangani Gejala Sosial dalam Kalangan Remaja
Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan memberi kesan yang
negatif kepada remaja. Remaja kini semakin hilang ketahanan jiwa. Mereka mudah
terpengaruh dan terjebak dengan segala macam kerosakan, maksiat dan budaya
kuning. Mereka mudah hanyut mengikut arus. Mereka tidak ada pegangan dan
pendirian. Mereka tidak mampu menangkis pengaruh yang jahat dan merosakkan.
Mereka sukar membezakan yang batil dengan
yang hak. Sebenarnya, banyak lagi
punca yang menyebabkan remaja bertindak liar sekali gus mengamalkan gaya hidup
yang negatif. Tanpa menyalahkan sesiapa, kita perlu memikirkan secara mendalam
untuk mencari formula terbaik bagi mengatasi masalah ini. Hal ini dinyatakan
dalam bidalan yang berbunyi, buruk dibuang dengan rundingan, baik ditarik
dengan muafakat. Oleh itu, semua anggota masyarakat perlu memainkan
peranan masing-masing untuk menangani kemelut sosial yang kian berleluasa dalam
kalangan remaja kita kerana masyarakat
merupakan lokomotif utama untuk menggerakkan kekuatan dalam menghadapi segala
kepincangan yang ditimbulkan oleh golongan remaja.
Isi 1 - mereka perlu memasang
mata dan telinga terhadap gelagat anak-anak muda kita - perlu lebih proaktif
dan prihatin akan hal-hal yang berlaku di sekeliling mereka - sebagai contoh,
anak muda kita pada awalnya akan menghisap rokok, kemudian akan terlibat dalam
gejala menagih dadah - jika terlihat remaja berkumpul dengan rakan sebaya dalam
keadaan mencurigakan, segera laporkan kepada pihak polis ataupun paling tidak
kepada ibu bapa mereka.- menjadi
masyarakat prihatin, proaktif dan penyayang
Isi 2 - aktiviti yang dapat
merapatkan hubungan kemasyarakatan hendaklah diadakan - contoh, diadakan hari keluarga ataupun
gotong-royong - apabila aktiviti berfaedah seperti itu dapat dijalankan,
hubungan silaturahim semakin padu menyebabkan anak-anak muda berasa bersalah
untuk melakukan perkara negatif seperti mencuri di dalam taman perumahan mereka
Isi 3 - orang dewasa dalam
kelompok masyarakat perlu menjadi model untuk dicontohi oleh anak-anak muda - andainya
orang dewasa mahu melakukan perbuatan yang tidak senonoh, janganlah di depan
anak-anak muda, kelak dituduh seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul - sebagai
contoh, orang dewasa tidak boleh menegur anak muda yang menghisap rokok
sekiranya diri sendiri menghisap rokok.
Isi 4 - menegur atau
membantu remaja yang sedang menghadapi cabaran dalam kehidupan mereka - berani untuk menegur kelakuan sumbang remaja - menjalankan tanggung jawab mereka untuk
memberikan nasihat kepada remaja kita supaya remaja tidak tersesat jalan – tidak terbabit dalam pelbagai fenomena sosial yang
menjejaskan imej rakyat negara ini juga - sama-sama membantu remaja dengan memberi
teguran dan sokongan kepada remaja dalam menyelesaikan pelbagai cabaran
kehidupan yang melanda jiwa muda mereka itu.
Konklusinya, untuk
memastikan remaja kita terselamat daripada terjebak dalam kancah sosial,
pelbagai langkah dapat diambil oleh semua pihak. Semua strategi yang dirancang
harus dilaksanakan dengan segera tanpa banyak alasan lagi. Kerjasama semua
pihak terutama pihak ibu bapa dan sekolah amat diperlukan dalam menyelesaikan
masalah yang bakal menentukan hala tuju negara kerana remajalah harapan
pemimpin masa depan kelak. Kegagalan untuk menyelesaikan polemik ini secara rasional dan efektif akan menjadikan masyarakat
kita pada masa hadapan satu masyarakat yang lemah dan tidak mampu untuk
bersaing dalam arus persana globalisasi
kini. Mahukah kita semua melihat remaja kita terus dibelenggu pelbagai masalah hidup tanpa kita melakukan apa-apa
tindakan? Sudah tentu jawapannya tidak. Semuanya ini akan menjadi kenyataan
sekiranya setiap rakyat bekerjasama bagi memastikan modal insan yang berakhlak
mulia dapat dilahirkan.
10. Peranan Pelbagai Pihak dalam Penjagaan Kebersihan Tempat Awam dan Kawasan Sekitar
Seiring dengan pembangunan pesat
yang dijalankan di negara ini sejak satu dasawarsa dahulu, negara kita telah
menghadapi pelbagai masalah dan halangan dalam usaha menuju ke Wawasan 2020
yang diidam-idamkan. Selama ini, masalah kebersihan awam dan alam sekitar telah
berakar umbi di negara ini serta menjadi semakin kronik belakangan ini bagai bangkai
gajah yang tidak dapat ditutupi dengan nyiru lagi. Masalah sosial
tersebut tidak seharusnya dipandang enteng memandangkan isu tersebut berkait
rapat dengan kesihatan rakyat negara ini. Sebab-sebab berlakunya pengabaian
kebersihan awam dan alam sekitar hendaklah dikenal pasti supaya langkah-langkah
pencegahan dapat diambil demi kesejahteraan hidup sejagat. Sayugia diingatkan
bahawa masalah kebersihan awam dan alam sekitar dapat mendatangkan kesan buruk
yang tidak diingini terhadap kesihatan rakyat. Secara keseluruhannya,
langkah-langkah yang proaktif dan efektif harus diberikan penekanan dalam usaha
mengatasi masalah tersebut. Oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan
masing-masing kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.
Ibu bapa memainkan peranan yang
signifikan dalam memastikan kebersihan awam dan alam sekitar terjamin. Ibu bapa
haruslah menitikberatkan didikan agama yang mantap dalam diri kanak-kanak sejak
bangku sekolah lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Semua agama menekankan aspek kebersihan dan menegah penganutnya daripada
melakukan kekotoran yang akan menjejaskan kemaslahatan awam. Dengan adanya
didikan agama yang teguh, insan yang mementingkan kebersihan di tempat awam
atau kebersihan alam sekitar dapat dilahirkan. Selain itu, ibu bapa harus
menunjukkan perlakuan yang baik dalam aspek kebersihan tanpa mengira di mana
jua berada kerana tingkah laku mereka akan menjadi teladan dan ikutan anak-anak
mereka kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa tidak
seharusnya bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus,
sedangkan dirinya berjalan senget. Misalannya, ibu bapa haruslah
membuang sampah ke dalam tong sampah dan menggunakan tandas awam dengan baik.
Dengan ini, anak-anak yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk
pinang akan mencontohi perbuatan ibu bapa mereka dan akan dijadikan
sebagai amalan dalam kehidupan mereka kerana alah bisa tegal biasa.
Jadi, didikan ibu bapa amat penting dalam memastikan kebersihan tempat awam dan
alam sekitar terpelihara.
Selain itu, guru juga memainkan
peranan yang penting dalam memupuk nilai kebersihan dalam sanubari para
pelajar. Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama yang menekankan pembentukan
insan yang berkeperibadian mulia dan murni telah diterapkan dalam sistem
pendidikan negara kita. Guru perlu mengajar murid tentang kepentingan
mengamalkan nilai kebersihan dalam hidup terutamanya yang melibatkan
kemaslahatan umum seperti tandas awam dan kawasan rekreasi. Guru tidak
seharusnya leka dalam menjalankan obligasi mereka sebagai pendidik yang
berkesan kerana setiap ajaran guru akan melekat dalam sukma pelajar dan akan
diaplikasikan dalam kehidupan mereka. Sehubungan dengan itu, guru perlu
menitikberatkan aspek kebersihan di dalam kelas dan di kawasan sekolah di
samping menekankan kepentingan penjagaan kebersihan alam sekitar dengan
melarang murid daripada membuang sampah di merata-rata tempat. Konsep
bersih ini diperluas bukan sahaja di dalam kelas tetapi kepada kehidupan yang
lebih menyeluruh. Pihak sekolah dan guru boleh membina taman mini dan landskap supaya
keadaan sekolah lebih cantik dan hijau. Mata pelajaran Pendidikan Moral
dan Pendidikan Agama Islam perlu diajar oleh guru-guru dengan pengisian
aktiviti pembelajaran yang menarik dan berkesan supaya obejektif yang dirancang
tidak tersasar. Langkah yang dijalankan dengan penuh istiqamah ini sudah pasti
dapat mendidik generasi muda kita tentang kemaslahatan amalan kebersihan.
Peranan media massa juga tidak
dapat diketepikan memandangkan media massa seperti radio, televisyen dan
suratkhabar mendatangkan pengaruh yang mendalam dalam kehidupan sehari-hari.
Rancangan dan program yang dapat menyemaikan sikap rakyat menjaga kebersihan
awam harus disiarkan melalui saluran media bercetak dan media elektronik dari
semasa ke semasa untuk menyedarkan rakyat tentang peri pentingnya kebersihan
terhadap kesihatan masyarakat. Kempen-kempen kebersihan awam seperti Cintailah Sungai Kita dan slogan Negara
Bersih Sihat patut digiatkan dan diharapkan dapat membangkitkan kesedaran sivik
masyarakat negara ini untuk memelihara kebersihan awam. Kempen-kempen yang
dijalankan oleh pihak media massa perlulah berketiak ular dan bukannya
hangat-hangat tahi ayam. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat
diseru untuk menjaga kebersihan alam sekitar dan tempat awam. Dengan ini,
sedikit sebanyak langkah ini dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti
kebersihan alam sekitar dan tempat awam senantiasa bersih dan dijaga. Jadi,
kempen kesedaran ini dapat mencapai matlamatnyai apabila semua rakyat sedar
akan kepentingan alam sekitar.
Dalam
pada itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang yang
berkaitan dengan isu kebersihan seperti Akta Alam Sekitar 1971 dan Akta kilang
1974 bagi mengatasi masalah kebersihan awam. Hukuman yang lebih berat harus
dijatuhi ke atas mereka yang bersikap bena tak bena terhadap kebersihan awam.
Denda wang ringgit nampaknya masih kurang berkesan untuk menyedarkan rakyat
negara ini berubah sikap. Sekiranya perbuatan mencemarkan alam sekitar dan
tempat awam masih diulangi, denda yang berlipat ganda harus dikenakan dan
disertai dengan hukuman yang lebih tegas. Misalannya, negara Singapura telah
mengusulkan banyak cadangan yang membina dalam usaha membasmi masalah
kebersihan awam. Antaranya ialah rakyat negara itu yang ditangkap membuang
sampah sarap atau puntung rokok ke atas lantai di tempat awam akan dikenakan
denda yang tinggi di tempat kejadian itu juga oleh pegawai polis yang bertugas.
Bagi menjaga maruah diri supaya tidak ditegur atau dikritik ole orang ramai,
mereka yang bersalah sudah tidak berani untuk mengulangi perbuatan terkutuk itu
di tempat awam. Maka, tidak mustahillah negara Singapura digelar Taman Bandar
Raya yang terkenal dengan kebersihannya. Oleh itu, kita harus mencontohi
ketegasan undang-undang negara Singapura kerana yang baik dijadikan teladan,
yang buruk dijadikan sempadan. Sesungguhnya ketegasan undang-undang mampu melahirkan
individu yang menitikberatkan aspek kebersihan dalam kehidupan
Secara tuntasnya,
kebersihan awam dapat dijaga dan dipelihara melalui komitmen daripada pelbagai
pihak. Sikap individualistik dan ketiadaan kesedaran sivik terhadap kebersihan
awam perlu dikikis. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Doktor Mahathir bin
Mohamad pernah meluahkan perasaan kecewa beliau terhadap sikap rakyat negara
ini yang memandang remeh terhadap kebersihan awam setelah melihat keadaan di
sekeliling Bukit Bintang yang menjijikkan, ditimbuni sampah sarap yang
dihinggapi lalat. Beliau telah menyarankan rakyat Malaysia supaya mengamalkan
sikap mementingkan kebersihan awam dalam kehidupan sehari-hari. Kebersihan
tempat awam sememangnya merupakan aspek yang amat penting untuk menjamin
keharmonian sejagat. Kita tentu tidak ingin generasi yang akan datang hidup
dalam keadaan yang dicemari, menyedut udara yang kotor, serta minum air yang
bermikroorganisma. Maka, sebelum nasi menjadi bubur, marilah sama-sama kita
mempraktikkan kebersihan diri dan lebih penting lagi kebersihan awam demi
kesejahteraan hidup pada hari muka!
Sunday, May 6, 2012
9. BANTUAN KEMANUSIAAN MALAYSIA
Ketika dunia hari ini merentasi arus teknologi yang
semakin canggih, bencana alam pula sering melanda dan menunjukkan belang. Pada
realitinya, bencana alam seperti banjir, letusan gunung berapi dan ribut taufan
ialah satu fenomena alam yang tidak dapat kita halang bak kata pepatah, geruh
tidak berbunyi, malang tidak berbau. Hadirnya bencana alam tanpa kita
minta lantaran bencana alam ini berlaku atas kehendak Tuhan, pencipta segala
kehidupan. Bencana alam ini berlaku tidak kira tempat ataupun waktu. Pada abad
ini, walaupun teknologi semakin berkembang dan tumbuh dengan pantas bagai belut
diketil ekor, kemajuan ini tidak dapat menghalang bencana alam yang ganas
melanda. Pada tanggal 26 Disember 2004, satu peristiwa telah menggemparkan
dunia apabila semua berita melaporkan berlakunya ombak besar iaitu tsunami di
Acheh yang telah mengorbankan beratus ribu nyawa. Kejadian dahsyat itu masih
meninggalkan kesannya hingga kini malah masih menjadi mimpi ngeri buat semua
yang terlibat. Memang tidak dapat kita nafikan bahawa semenjak belakangan ini
banyak bencana alam yang berlaku di seluruh dunia termasuk negara kita dan juga
negara-negara jiran seperti gempa bumi di Pakistan dan di China, taufan Nargis
di Myanmar dan tanah runtuh yang dahsyat di Filipina. Fenomena yang terbaharu
ialah letupan Gunung Merapi di Yogyakarta, Indonesia. Sebagai masyarakat yang
mempunyai sifat kemanusiaan kerana berat mata memandang, berat lagi bahu
memikul, kita sepatutnya bersimpati dan menghulurkan bantuan kepada
mereka yang memerlukan ibarat hulurkan tangan, ringankan beban.
Sebagai insan yang sedar tentang kesusahan orang lain, kita boleh menyalurkan bantuan dengan kutipan derma. Derma yang dihulurkan akan disalurkan kepada mangsa bencana alam yang amat memerlukan dan mendambakannya bagi meneruskan kehidupan di bumi ciptaan Tuhan ini. Bantuan yang disumbangkan tidaklah hanya berfokuskan wang ringgit, tetapi bantuan lain seperti ubat-ubatan, pakaian dan makanan juga diperlukan. Setelah bencana berlaku, pastinya mangsa bencana tidak memiliki kelengkapan yang sempurna untuk hidup kerana semua harta mereka telah dimusnahkan oleh bencana alam yang di luar jangka ini. Pada masa ini, pelbagai peringkat kutipan derma telah dijalankan oleh pihak berwajib sama ada pihak swasta ataupun pihak kerajaan yang berasa bertanggungjawab untuk membantu sesama manusia. Contohnya dapat dilihat apabila pihak TV3 telah mengadakan Karnival Jom Heboh untuk membantu mangsa-mangsa tragedi yang menyayat hati di seluruh negara ini. Mantan Menteri Belia dan Sukan pernah menyatakan bahawa kita seharusnya bersyukur dengan nikmat yang diberikan Tuhan dan harus berkongsi nikmat yang kita ada dengan orang lain yang memerlukan supaya Tuhan akan melipatgandakan nikmat tersebut. Jelaslah di sini bahawa kita tidak harus lokek dalam menghulurkan sumbangan kerana cubit paha kiri, paha kanan pun sakit juga agar mangsa dapat hidup sempurna seperti kita.
Menganggotai pasukan penyelamat dan pencari juga merupakan peranan kita dalam membantu dan mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan atau mencari mangsa yang hilang selepas kejadian bencana alam. Muktahir ini, banyak pasukan penyelamat Malaysia diterbangkan ke negara-negara jiran yang mengalami bencana alam untuk memberikan bantuan yang semampu boleh. Namun, tidak semua daripada kita yang berani menjadi penyelamat kerana takut berlakunya kejadian susulan di tempat bencana terbabit. Bagi mereka yang berani, mereka ibarat wira dari Malaysia yang datang untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai penghuni di muka bumi ini. Pasukan yang terdiri daripada Pasukan Gerak Cepat dan Pasukan SMART di samping pasukan bomba sentiasa dihantar sebagai kumpulan awal untuk turut sama dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa. Mereka membantu bukan untuk balasan atau ganjaran, namun membantu atas dasar kemanusiaan demi menginsafi diri bahawa mereka perlu bersyukur dengan segala keselesaan dan telah terselamat daripada bencana alam ini. Rentetan itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa menyumbangkan tenaga boleh menjadi satu platform untuk menyalurkan bantuan dalam melaksanakan usaha murni ini lantaran kita berpegang pada kata pepatah, hari tidak selamanya panas.
Membuat keputusan untuk menjadi sukarelawan bukanlah sesuatu yang mudah. Hal ini disebabkan apabila menjadi salah seorang ahli sukarelawan, kita akan meninggalkan keluarga yang tersayang dalam tempoh yang agak lama untuk memberikan bantuan kepada negara-negara jiran. Bantuan rawatan, membina rumah mangsa yang telah musnah semula dan mententeramkan emosi mangsa adalah antara tugas sukarelawan. Pada masa ini, sukarelawan bergerak dalam kumpulan ataupun persatuan. Para sukarelawan ini kebanyakannya dianggotai oleh golongan doktor iaitu golongan bijak pandai untuk merawat mangsa yang mengalami kecederaan sekali gus menyelamatkan nyawa mangsa. Kini, Mercy Malaysia yang dipimpin oleh Dato Dr. Jamilah semakin mendapat tempat dalam hati masyarakat setempat kerana perkhidmatan cemerlang mereka. Ketika mengadakan operasi menyelamat mangsa dalam tragedi gempa bumi di Pakistan, Mercy Malaysia telah menerima pujian hasil kepakaran dan disiplin yang tinggi para pengamal perubatan dari Malaysia. Konklusinya, kemurnian hati para sukarelawan ini amat bernilai dan bererti kepada mangsa untuk mereka terus menjalani kehidupan seperti manusia lain. Para sukarelawan yang berilmu pengetahuan, berakal, rajin dan berkemahiran ini dapat dikatakan sebagai empat bersimpul satu dalam usaha tulus suci ini.
Di samping bantuan derma dan tenaga, kita juga boleh mendoakan mangsa-mangsa kejadian bencana alam ini. Doa yang dipohonkan adalah agar mereka tabah menghadapi dugaan daripada Tuhan Yang Maha Mengetahui. Semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama boleh mendoakan kesejahteraan hidup mangsa bencana yang masih hidup atau yang telah terkorban mengikut kepercayaan agama masing-masing. Paparan akhbar harian seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro telah melaporkan bahawa solat hajat dan bacaan Yasin secara besar-besaran telah diadakan di Masjid Putra, Putrajaya yang telah dihadiri oleh lebih daripada 2000 orang rakyat prihatin dan turut disertai oleh menteri-menteri dan Yang di-Pertuan Agong. Berdasarkan senario ini, terbuktilah di sini bahawa setelah menghulurkan bermacam-macam bantuan. doa adalah pengakhiran bantuan yang diberikan lantaran kita sedar bahawa apa-apa yang berlaku adalah ketentuan Tuhan. Tuntasnya, doa dapat kita hadiahkan kepada mangsa kerana Tuhan itu Maha Adil lagi Maha Mengasihi. Doa ini juga secara tidak langsung boleh melahirkan rasa simpati dan insaf supaya kita sekali tersengat selalu beringat.
Di pihak kerajaan pula, bantuan pascabencana terus dihulurkan. Antara bantuan yang diberikan seperti sumbangan modal dan kepakaran untuk membangunkan kawasan yang telah tejejas teruk semula. Sebagai negara berjiran yang dapat merasakan rintihan dan suara hati saudara serantau, Malaysia telah membantu kerajaan Indonesia dalam usaha membangunkan semula sistem pendidikan di wilayah Acheh dan Yogyakarta di Indonesia yang terjejas teruk dalam peristiwa gempa bumi dan Tsunami. Dengan sokongan yang diberikan itu telah dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa. Anak-anak dapat meneruskan semula pelajaran, sementara hidup baru dapat dimulakan sedikit demi sedikit. Sokongan dan bantuan kepakaran yang dihulurkan, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka di samping dapat memberikan sinar kehidupan yang baharu kepada mereka selepas diuji dengan musibah yang tidak diduga itu.
Intihanya, terdapat pelbagai
jenis bantuan dapat dihulurkan untuk menunjukkan keprihatinan kita terhadap
insan yang malang ditimpa musibah. Semua orang seharusnya melupakan batasan
geografi dalam menghulurkan bantuan dan tidak menjadi enau dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing. Walau di mana-mana jua kita berada,
kita harus sedar bahawa manusia semuanya sama iaitu menginginkan kehidupan yang
sempurna. Amat wajar membudayakan sikap saling membantu selagi kita termampu
lantaran buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat, malah buat
baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Semua pihak haruslah
bersama-sama menghulurkan bantuan dengan apa-apa cara sekalipun kerana ada
pepatah mengatakan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Rasulullah
s.a.w. juga pernah bersabda, “Tidak sempurna iman seseorang kamu, selagi kamu
masih belum mengasihi saudara kamu seperti kamu menyayangi diri kamu sendiri”.
Semoga sumbangan yang kita salurkan dapat menyempurnakan iman kita dan dapat
membantu mangsa meneruskan kehidupan seharian mereka seperti sediakala.
8. KEBAIKAN PENGANJURAN SUKAN ANTARABANGSA
Negara kita pernah
diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah kepada sukan bertaraf dunia. Tahun
1998 merupakan detik bersejarah kepada Malaysia dan Asia kerana Sukan Komanwel
yang ke-16 telah berlangsung dari 11 hingga 21 September di negara kita. Sukan
SEA juga dianjurkan di Malaysia pada tahun 2001. Penganjuran sukan bertaraf
dunia merupakan langkah ke arah merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020 yang
merupakan inspirasi dan wawasan pembangunan negara yang dapat melahirkan
masyarakat yang maju, penyayang, demokratik dan sejahtera. Negara kita amat
bertuah kerana telah terpilih menjadi tuan rumah bagi acara sukan yang bertaraf
dunia. Hal ini merupakan satu peluang keemasan bagi negara kita untuk
menonjolkan imej dan kewibawaan Malaysia di arena antarabangsa. Selain Sukan
Komanwel, negara kita juga pernah menjadi penganjur perlawanan bola sepak,
Piala Thomas, Le Tour de Langkawi, dan sebagainya. Persoalannya sekarang apakah
faedah penganjuran sukan bertaraf dunia kepada rakyat dan negara kita?
Kemaslahatan penganjuran sukan bertaraf dunia kepada
negara ialah pendapatan negara akan meningkat sekiranya berjaya menjadi tuan
rumah sukan antarabangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana pertandingan sukan
seumpama ini akan membawa pelancong dan peminat sukan yang banyak untuk melawat
ke negara kita. Secara tidak langsung, kedatangan mereka ini akan memajukan
industri pelancongan dan perhotelan negara. Industri pelancongan dapat
memberikan pulangan yang lumayan kepada negara. Biar kita imbas kembali Sukan
Olimpik yang diadakan di Atlanta. Negara Amerika telah mendapat keuntungan
sebanyak US20 bilion dalam penganjuran temasya sukan berprestij ini. Memang
benar kata mantan Perdana Menteri Malaysia, iaitu penganjuran Sukan Komanwel
dapat membantu negara mengatasi masalah kegawatan ekonomi yang semakin melarat
pada masa itu. Para pelancong dan peminat sukan bukan sahaja membeli tiket
sukan, tetapi mereka turut membeli cenderamata dan hasil kraf tangan yang
dihasilkan oleh penduduk Malaysia. Maka, industri kecil dan industri hiliran
dapat berkembang dengan lebih maju lalu ekonomi negara dapat dijana.
Penganjuran sukan bertaraf dunia merupakan instrumen
perpaduan yang berkesan untuk mencapai integrasi nasional. Perpaduan yang
dipupuk bukan sahaja dalam kalangan rakyat tetapi juga mendorong rakyat yang
berbilang bangsa, etnik dan budaya menggemblengkan semangat berbakti dan
berkorban untuk negara. Sebagai contoh, pihak badan bukan kerajaan berganding
bahu dengan pihak kerajaan untuk menjayakan Sukan Komanwel secara sukarela.
Bukan itu sahaja, hal ini juga dapat mengukuhkan nilai perpaduan seperti
toleransi, kerjasama, meletakkan kepentingan kebangsaan melebihi kepentingan
peribadi. Dengan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat, mereka akan
memberikan sokongan yang padu kepada atlet negara kita untuk memenangi sesuatu
perlawanan. Penganjuran sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam sesuatu pasukan
untuk meraih kejayaan kerana bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana
muafakat. Lantaran itu, tanpa muafakat amat sukar untuk sesuatu pasukan itu
mencapai kejayaan. Jadi, perpaduan antara kaum dapat dilahirkan melalui penganjuran sukan bertaraf antarabangsa.
Dengan menganjurkan sukan seumpama ini, mutu sukan negara
kita pasti bertambah baik. Melalui sukan bertaraf antarabangsa, kita dapat
meniru teknik-teknik latihan yang digunakan dan kelengkapan yang disediakan
oleh negara tersebut. Tamsilnya, dalam sukan badminton dan bola sepak, kita
boleh mempelajari teknik pengurusan dan melihat kelengkapan prasarana sukan.
Dengan cara ini, atlet kita akan mengetahui punca kegagalan mereka dan membaiki
kelemahan mereka. Oleh itu, mereka akan berlatih dengan lebih giat lagi demi
mencapai tahap yang diharapkan. Mereka juga akan berlatih dengan berdisiplin demi mencapai prestasi yang diharapkan. Pendek kata, prestasi sukan dan atlet negara akan meningkat jika kita sering menganjurkan sukan bertaraf antarabangsa.
Sebagai konklusinya, penganjuran sukan yang bertaraf
dunia akan membawa negara kita ke era kecemerlangan yang lebih membanggakan.
Semua pihak sama ada pihak kerajaan, badan bukan kerajaan mahupun rakyat jelata
yang lain harus berganding bahu dan menggembleng tenaga ibarat ke bukit sama
didaki, ke lurah sama dituruni untuk menjayakan pertandingan sukan yang
diadakan dan menolong membuat persiapan sepenuhnya. Dengan kerjasama daripada
pelbagai pihak, acara sukan yang diadakan di negara kita akan dapat berjalan
dengan lancar. Penganjuran sukan bertaraf dunia merupakan salah satu cara
pemodenan sukan yang dapat memperbaik prestasi sukan yang diidamkan oleh setiap
negara. Dengan ini, diharapkan agar manfaat-manfaat yang tidak ternilai
harganya semasa penganjuran sukan bertaraf dunia harus dihayati dan dapat dinikmati oleh semua
rakyat di nusa yang tercinta ini.
(Ditulis oleh Soh Yee
Wey – 5W 2011)
7. Langkah-langkah Memajukan Industri Pelancongan Negara
Sebagai sebuah negara yang beriklim Khatulistiwa, Malaysia mempunyai alam semula
jadi yang unik dengan deretan pulau yang menawan. Oleh itu, negara kita mampu
menjadikan industri pelancongan sebagai sumber utama pendapatan negara jika
alam semula jadi itu dieksploitasi
sepenuhnya. Berdasarkan jumlah pelancong yang semakin bertambah ke negara kita
sejak belakangan ini, jelas menunjukkan bahawa negara ini mempunyai daya
tarikannya yang tersendiri. Buktinya, sepanjang
tahun 2008, Malaysia telah dikunjungi oleh 22 juta orang pelancong yang menyumbangkan
pendapatan sebanyak RM48 bilion kepada negara. Keunikan budaya rakyat yang berbilang kaum menjadi aset penting dalam usaha negara menggamit kedatangan pelancong. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan
Pelancongan, Dato’
Sri Dr. Ng Yen Yen menyarankan
agar tugas menarik kedatangan pelancong harus menjadi tanggungjawab semua pihak
dan tidak terletak di bahu kerajaan sahaja supaya industri pelancongan dapat
dimajukan. Setiap anak watan perlu merancang usaha-usaha yang istiqamah, pragmatik
dan efektif perlu diambil untuk melihat
industri ini merentasi benua dan dunia.
Langkah prima untuk meningkatkan
industri pelancongan negara ialah kerajaan perlu memperlengkapkan kemudahan dan
prasarana pengangkutan dan perhubungan di negara kita sehingga menjadi prasarana kelas pertama terutamanya
destinasi yang menjadi tumpuan pelancong. Faktor utama pelancong datang di
sesebuah negara adalah kerana kemudahan prasarana seperti pengangkutan dan perhubungan
yang terdapat di sesebuah negara. Hal ini kerana pelancong yang berkunjung ke
sesebuah negara ingin keselesaan dan mencari ketenangan. Oleh itu, kerajaan
wajar memperlengkapkan kemudahan pengangkutan dan komunikasi yang ada khususnya
untuk memudahkan pelancong sampai ke destinasi yang akan dituju. Misalnya, banyak
pelancong yang datang ke negara kita
adalah untuk menikmati keindahan pulau dan pantai. Oleh itu, kerajaan harus
menambah kemudahan perkhidmatan bot atau feri dari tanah besar ke beberapa buah
pulau di sekitar Laut China Selatan untuk memudahkan orang ramai menikmati
keindahan alam semula jadi. Tugas menyediakan kemudahan ini akan lebih berkesan
sekiranya kerajaan sentiasa mengawasi syarikat yang ditugaskan untuk
menyediakan perkhidmatan pengangkutan tersebut. Sudah terang lagi bersuluh
bahawa kemudahan yang baik akan memudahkan para pelancong menelusuri dari satu
destinasi pelancongan ke satu destinasi pelancongan yang lain dan dapat
membangunkan industri ini.
Selain itu, kemudahan penginapan yang
selesa seperti hotel, chalet, tandas, bekalan air dan elektrik turut menjadi
faktor penting dalam menarik banyak pelancong mengunjungi negara kita.
Kemudahan penginapan penting kerana situasi ini akan menentukan sama ada
seseorang pelancong itu akan tinggal lama atau sebaliknya. Jika tempat
penginapan selesa dan lengkap, hal ini
akan mendorong seseorang pelancong itu tinggal lebih lama di negara ini sekali
gus membolehkan negara memperoleh lebih banyak mata wang asing. Pembinaan hotel
dan rumah penginapan yang tumbuh seperti cendawan tumbuh
selepas hujan di bandar atau di desa di seluruh negara membuktikan
kesungguhan negara dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke negara ini.
Penyediaan kemudahan penginapan harus juga mengambil kira kadar sewa dan taraf
sesebuah hotel yang dibina itu. Masalah tandas yang terhad dan berbau busuk selain
bekalan air dan elektrik yang kerap meragam perlu diatasi. Prasarana ini
hendaklah dijaga agar pelancong tertarik untuk berkunjung lagi ke sini.
Tegasnya, keselesaan pelancong ketika menginap di negara kita perlu
dititikberatkan agar industri ini dapat dibangunkan.
Bukan itu
sahaja, kerajaan melalui Lembaga
Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) wajar menyediakan maklumat lengkap
tentang sesuatu destinasi menarik yang terdapat di negara ini, khususnya di
tempat-tempat baharu yang dikenal pasti boleh menjadi daya tarikan yang menguntungkan.
Hal ini dapat dilakukan sama ada menerusi media cetak seperti risalah, buku,
poster, majalah, dan akhbar atau media elektronik seperti radio dan televisyen.
Selain itu, dengan kewujudan halaman pelancongan dalam internet juga merupakan
cara terbaik untuk memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang wajar
dikunjungi oleh pelancong asing. Usaha LPPM mempromosi Malaysia dengan
mengiklankan negara kita pada dinding 60 buah bas di kota London pada suatu
ketika dahulu menandakan usaha serius pihak terbabit dalam menarik lebih banyak
pelancong datang ke negara ini. Jika maklumat yang lengkap sampai ke
pengetahuan pelancong, mereka tentunya akan datang melawat negara kita pada
suatu hari kelak. Pendek kata, komitmen kerajaan dengan badan-badan tertentu
dalam menyebarkan keunikan negara kita ke peringkat global turut merancakkan perkembangan
industri ini.
Di
samping itu, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil bagi menjamin
kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Kita tidak
seharusnya lupa dengan gelagat segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan
ke atas pelancong. Oleh itu, Unit Keselamatan Pelancong perlu ditubuhkan untuk
membantu pihak polis menangani jenayah ke atas pelancong. Kejadian-kejadian
rogol, mencabul kehormatan, menghendap, peras ugut, rompak dan tipu harus
ditangani secepat mungkin. Kejadian seumpama ini akan membimbangkan pelancong
untuk melancong di negara kita dan sekali gus akan mengancam industri ini. Oleh
itu, pihak berautoriti perlulah menambahkan bilangan anggota keselamatan
terutamanya di destinasi tumpuan pelancong agar keselamatan dan kesejahteraan
pelancong akan terjamin. Rondaan juga perlu dilakukan dengan lebih kerap dan
lebih banyak pondok keselamatan didirikan. Dengan ini, pihak yang ingin
melakukan perbuatan yang terkutuk tidak dapat dilakukan kerana adanya kawalan
dan pemantauan yang ketat oleh pihak berkuasa. Ringkasnya, aspek keselamatan
perlu dititikberatkan agar pelancong asing terus berkunjung ke negara ini dan
memelihara imej negara.
Seperkara lagi, pelbagai aktiviti
yang menarik perlulah diadakan oleh pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan.
Aktiviti yang dimaksudkan adalah seperti pameran kejohanan sukan bertaraf dunia
termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA), Kejohanan Kereta Formula
Satu dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Kejohanan-kejohanan dan
pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa
dengan promosi yang lengkap dan meluas. Penganjuran
sukan bertaraf antarabangsa dapat memperkenalkan negara kepada perwakilan atau atlet-atlet dari luar negara seterusnya dapat menarik kedatangan pelancong dari seantero dunia dan membuktikan kepada
mereka bahawa Malaysia bukan sahaja cemerlang dari segi penganjuran
sukan bertaraf antarabangsa tetapi juga terbilang
dalam bidang pelancongan. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita
juga akan berterusan tanpa menunggu musim-musim tertentu sahaja. Dengan cara
ini, kita dapat meningkatkan ekonomi negara dan mengekalkan pulangan yang
diperoleh daripada kedatangan pelancong ke negara kita. Hal ini dapat diibaratkan
sambil
menyelam minum air. Jelaslah bahawa industri pelancongan dapat
dimajukan dengan mengadakan pelbagai aktiviti negara yang menarik.
Masyarakat
juga seyogianya boleh bersama-sama membantu memartabatkan bidang pelancongan
negara. Sikap ramah dan suka membantu pelancong harus diutamakan oleh rakyat
Malaysia. Keramahan rakyat negara ini harus dibuktikan melalui sikap ikhlas
melayan tetamu kita itu. Umpamanya, pemandu teksi yang dianggap sebagai duta
pelancongan negara haruslah bersikap ramah, mesra dan menjauhi amalan ingin
mengambil kesempatan atas kehadiran pelancong asing bagi mengaut keuntungan
dengan mudah. Rakyat perlulah menunjukkan nilai sopan santun dan lembut bahasa
kerana budi bahasa budaya kita. Rakyat negara ini harus mengubah sikap
mereka dengan melayan para pelancong dengan lebih baik agar kunjungan mereka ke
Malaysia sentiasa memberikan memorabilia
sepanjang hidup mereka. Masyarakat Malaysia perlulah mengelakkan sikap
bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Deduksinya,
sinergi daripada pelbagai lapisan masyarakat dapat membantu meningkatkan bidang
pelancongan negara seterusnya dapat menyumbang kepada kemajuan negara.
Berdasarkan penerangan di atas,
jelaslah bahawa terdapat pelbagai cara yang dapat dilakukan untuk memajukan industri ini. Segala
usaha yang direncanakan itu memerlukan obligasi
dan komitmen jitu daripada semua pihak serta perlu dijalankan secara bijaksana
umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak
berselerak. Usaha yang holistik
dan syumul ini perlu dijalankan
secara sistematik dan tidak hanya sekadar
melepaskan batuk di tangga. Diharapkan industri pelancongan negara ini
akan terus berkembang dan sentiasa meniti dari bibir ke bibir rakyat di
peringkat glokal dan global. Bukan itu sahaja, diharapkan
juga industri pelancongan di Malaysia dapat berdiri sama tinggi dan duduk
sama rendah dengan negara-negara pelancongan yang lain.
Subscribe to:
Posts (Atom)