Friday, November 2, 2012

PERSEDIAAN AKHIR KARANGAN


(A) PANDUAN MENULIS PENDAHULUAN 
 1. Pastikan anda menulis AYAT TEMA dan AYAT ARAHAN dalam perenggan pendahuluan
    - Ayat tema mencakupi definis tema menurut perspektif anda, tokoh dan kajian serta contoh   
    - Ayat arahan mencakupi kata kunci soalan sama ada punca / kesan / langkah.

2. Cipta statistik dengan satu pihak atau badan yang benar-benar berkait rapat dengan isu yang anda sedang bincangkan.  Antara badan umum yang boleh anda gunakan untuk mencipta statistik ialah:
          ~ Institut Sosial Malaysia (untuk isu-isu sosial)
          ~ Polis DiRaja Malaysia (untuk masalah jenayah)

Contoh pendahuluan 1: Implikasi penggunaan telefon bimbit dalam kalangan murid di sekolah 

TAKRIF:
Telefon bimbit dicipta untuk memudahkan komunikasi sesama manusia. Terdapat banyak jenis telefon bimbit di pasaran negara seperti Nokia, Samsung, dan sebagainya. Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini, semua lapisan masyarakat tanpa mengenal batasan usia mampu memiliki sebuah telefon bimbit termasuklah para pelajar sekolah.

ISU:
Penggunaan telefon bimbit telah menjadi satu trend dalam kalangan murid sekolah. Meskipun telefon bimbit bukanlah alat keperluan mereka, mereka masih ingin memilikinya kerana pemilikan telefon bimbit akan melambangkan status. Oleh itu, mereka sanggup membawa alat ini ke sekolah. Oleh sebab remaja masih belum keras ubun-ubunnya, mereka tidak sedar akan implikasi penggunaan telefon bimbit di sekolah.

ARAHAN:
Bertitik tolak daripada sini, sebenarnya terdapat beberapa implikasi penggunaan telefon bimbit dalam kalangan murid di sekolah.


Perenggan pendahuluan 1:
            Telefon bimbit dicipta untuk memudahkan komunikasi sesama manusia. Terdapat banyak jenis telefon bimbit di pasaran negara seperti Nokia, Samsung, dan sebagainya. Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini, semua lapisan masyarakat tanpa mengenal batasan usia mampu memiliki sebuah telefon bimbit termasuklah para pelajar sekolah. Penggunaan telefon bimbit telah menjadi satu trend dalam kalangan murid sekolah. Meskipun telefon bimbit bukanlah alat keperluan mereka, mereka masih ingin memilikinya kerana pemilikan telefon bimbit akan melambangkan status. Oleh itu, mereka sanggup membawa alat ini ke sekolah. Oleh sebab remaja masih belum keras ubun-ubunnya, mereka tidak sedar akan implikasi penggunaan telefon bimbit di sekolah. Bertitik tolak daripada sini, sebenarnya terdapat beberapa implikasi penggunaan telefon bimbit dalam kalangan murid di sekolah.


Contoh pendahuluan 2: Permainan tradisional banyak membawa kebaikan kepada golongan remaja.

Takrif:
Permainan tradisional merupakan permainan yang diwarisi dari turun-temurun nenek moyang kita. Pada zaman dahulu, permainan tradisional dimainkan sebagai hiburan untuk melepaskan penat lelah setelah seharian bekerja di bendang, ladang dan sebagainya. Antara permainan tradisional yang popular ialah gasing, wau, congkak dan sepak takraw.

Isu:
Malangnya, permainan tradisional yang merupakan khazanah nenek moyang kita ini semakin hari semakin terpinggir ditelan arus pemodenan terutamanya dalam kalangan remaja. Menurut kajian, hal ini berkait rapat dengan perkembangan permainan komputer dan permainan siber yang popular dalam kalangan remaja kita. Bukan itu sahaja, kebanyakan remaja tidak menyedari  kepentingan permainan tradisional.

Arahan:
Bertitik tolak daripada sini, sebenarnya terdapat beberapa kebaikan permainan tradisional kepada golongan remaja yang dianggap sebagai pelapis negara yang akan memartabatkan khazanah negara ini agar tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.


Perenggan pendahuluan 2:
            Permainan tradisional merupakan permainan yang diwarisi dari turun-temurun nenek moyang kita. Pada zaman dahulu, permainan tradisional dimainkan sebagai hiburan untuk melepaskan penat lelah setelah seharian bekerja di bendang, ladang dan sebagainya. Antara permainan tradisional yang popular ialah gasing, wau, congkak dan sepak takraw.  Malangnya, permainan tradisional yang merupakan khazanah nenek moyang kita ini semakin hari semakin terpinggir ditelan arus pemodenan terutamanya dalam kalangan remaja. Menurut kajian, hal ini berkait rapat dengan perkembangan permainan komputer dan permainan siber yang popular dalam kalangan remaja kita. Bukan itu sahaja, kebanyakan remaja tidak menyedari  kepentingan permainan tradisional.  Bertitik tolak daripada sini, sebenarnya terdapat beberapa kebaikan permainan tradisional kepada golongan remaja yang dianggap sebagai pelapis negara yang akan memartabatkan khazanah negara ini agar tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.


 Soalan 3: Punca gejala pembuangan bayi dalam kalangan remaja

TAKRIF:
Remaja pada hari ini bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan dan merupakan aset modal insan negara bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. "Berikan saya sepuluh orang remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini,” begitulah ungkapan yang pernah dilontarkan oleh bekas Presiden Parti Indonesia, Soekarno yang menggambarkan betapa gahnya peranan remaja sebagai penentu pembangunan dan kemajuan negara pada masa hadapan.

ISU:
Malangnya, keruntuhan akhlak remaja semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Salah satu masalah sosial yang kian merebak dalam kalangan remaja ialah masalah pembuangan bayi. Menurut statistik Polis Diraja Malaysia, kes pembuangan bayi menunjukkan peningkatkan sejak akhir-akhir ini. Pelbagai usaha diambil oleh kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyifarkan masalah pembuangan bayi di negara ini  tetapi usaha ini hanya seperti melukut di tepi gantang kerana kes tersebut masih meningkat sehingga hari ini.

ARAHAN:
Sebelum mencari jalan penawar untuk menangani kemelut ini, kita haruslah mengenal pasti akar umbi yang menjadi pemangkin kepada fenomena ini kerana jika tiada angin masakan pokok bergoyang.

                                     
Perenggan pendahuluan 3:
            Remaja pada hari ini bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan dan merupakan aset modal insan negara bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. "Berikan saya sepuluh orang remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini,” begitulah ungkapan yang pernah dilontarkan oleh bekas Presiden Parti Indonesia, Soekarno yang menggambarkan betapa gahnya peranan remaja sebagai penentu pembangunan dan kemajuan negara pada masa hadapan. Malangnya, keruntuhan akhlak remaja semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Salah satu masalah sosial yang kian merebak dalam kalangan remaja ialah masalah pembuangan bayi. Menurut statistik Polis Diraja Malaysia, kes pembuangan bayi menunjukkan peningkatkan sejak akhir-akhir ini. Pelbagai usaha diambil oleh kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyifarkan masalah pembuangan bayi di negara ini  tetapi usaha ini hanya seperti melukut di tepi gantang kerana kes tersebut masih meningkat sehingga hari ini. Sebelum mencari jalan penawar untuk menangani kemelut ini, kita haruslah mengenal pasti akar umbi yang menjadi pemangkin kepada fenomena ini kerana jika tiada angin masakan pokok bergoyang.


 Contoh ayat arahan PUNCA:
1.    Bertitik tolak daripada sini, sebenarnya terdapat beberapa punca….
2.    Sebelum mencari jalan penawar untuk menangani kemelut ini, kita haruslah mengenal pasti akar         umbi yang menjadi pemangkin kepada fenomena ini kerana jika tiada angin masakan pokok bergoyang.
3.   Persoalannya, apakah punca-punca yang menjadi pemangkin kepada fenomena ini?
4.  Persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah apakah punca-punca yang menjadi pemangkin kepada fenomena ini?

Contoh ayat arahan LANGKAH:
1.  Sebelum kudis menjadi tokak, kita haruslah mengambil langkah yang proaktif, pragmatik dan penuh istiqamah untuk menangani kemelut ini kerana setiap penyakit pasti ada penawarnya.
2.  Persoalan yang sering berlegar-legar dalam gawang minda kita ialah apakah langkah-langkah konkrit yang wajar diambil untuk menangani fenomena ini sebelum kudis menjadi tokak?


(B) PANDUAN MENULIS PERENGGAN ISI DAN PERKEMBANGAN (IMBaKUP)

1.   4 jenis ayat yang penting:
(a)    ayat isi (I)
(b)   ayat huraian (M)
(c)    ayat contoh (BaK)
(d)   ayat penegas (P)

2.    Teknik mencari isi :

(a)    Punca / Kesan / Langkah (pelbagai pihak) - DiKeMaSeN:
i.         Diri (Di)
ii.        Keluarga (Ke),
iii.        Masyarakat (Ma) / Media Massa (Me)
iv.        Sekolah (Se)
v.         Negara (N)

(b)   Kesan negara:
i.         Ekonomi
ii.        Politik
iii.       Sosial

(c)    Ciri-ciri remaja (JERIS):
i.      Jasmani / fizikal yang sihat dan bebas daripada penyakit (J)
ii.     Emosi yang stabil (E)
iii.    Rohani yang mantap (R)
iv.    Intelek kelas pertama (I)
v.    Sosial yang menyeluruh dengan memiliki kemahiran insaniah (Lihat karangan ciri-ciri remaja berwawasan) (S)

3.  Teknik menghuraikan isi dengan IMBaKUP
I = isi (apa)
M = mengapa
Ba = Bagaimana (contoh)
K = Kesan contoh
P = Penegas

Contoh teknik IMBAKUP:

Soalan: Punca pencemaran alam sekitar

I (isi) : Penguatkuasaan undang-undang yang masih lemah
M (mengapa) : 1. tidak mengambil tindakan tegas terhadap pesalah alam sekitar 2. tidak menunjukkan kekuasaan untuk menakutkan pesalah / orang ramai
Ba (bagaimana) : 1. membiarkan pengusaha balak menggondol hutan sewenang-wenangnya untuk pembangunan 2. tidak mengenakan dendaan yang tinggi kepada pesalah yang membuang sampah dan sisa-sisa toksik ke dalam sungai
K (kesan) : 1. memberikan ancaman kepada manusia dan hidupan akuatik 2. mencemarkan nama negara + bukti kajian - pengurusan alam sekitar di Malaysia masih dikritik masyarakat antarabangsa kerana lebih mengutamakan pembangunan
U (ungkapan menarik) : tidak seperti singa menunjukkan taringnya
P (penegas) : Pendek kata, undang-undang yang longgar menjadi penyumbang kepada masalah alam sekitar

4.  Penanda wacana bagi setiap perenggan isi:

Isi:
1.      Punca perdana / kesan perdana / langkah perdana
2.      Selain itu,
3.      Jika kita lihat / tinjau / kaji dari sudut / dimensi / perspektif yang berbeza, …
4.      Seperkara lagi,
5.      Pada masa yang sama,
                                
Contoh:
1.      Tamsilnya,
2.      Buktinya,
3.      Hal ini dapat kita lihat
4.      Misalannya,
5.      Contohnya,

Penegas:
1.      Tegasnya,
2.      Izharlah bahawa
3.      Sesungguhnya,
4.      Pendek kata,
5.       Ringkasnya


(C) PANDUAN MENULIS PERENGGAN PENUTUP

1. Ada 3 jenis ayat:
(a)    Ayat penutup karangan (penanda wacana penutup + kata kunci (punca / kesan / langkah) +    tema)
(b)   Ayat cadangan (…perlulah / hendaklah / haruslah / seyogianya)
(c)    Ayat harapan

2. Penanda wacana ayat penutup karangan (Pilih 2 sahaja):
(a)    Sebagai intiha, /
(b)   Akhir kalam, /
(c)    Sudah terang lagi bersuluh bahawa… /
(d)   Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa…/
(e)    Secara tuntasnya,
(f)    Sebagai konklusinya

3. Contoh ayat harapan:
(a) Semoga impian untuk mencapai visi kudsi negara iaitu Wawasan 2020 tidak akan menjadi omongan kosong dan angan-angan Mat Jenin.
(b) Diharapkan impian negara untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang akan menjadi realiti dan nama negara akan sentiasa gah di pentas dunia.
      (c) Jika perpaduan dapat dipupuk maka impian negara untuk mencapai Gagasan Satu Malaysia akan 
           menjadi kenyataan dan sekaligus Wawasan 2020 dapat dicapai dengan mudah untuk memastikan 
           Malaysia dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara gergasi di persada 
           antarabangsa.

1 comment: