Sunday, September 4, 2016

REVISI PRAPERCUBAAN SPM - NOVEL 12



SOALAN

Berdasarkan dua buah novel yang telah anda pelajari, huraikan dua nilai kerjasama beserta bukti nilai tersebut yang dapat dijadikan teladan kepada pembaca. (8 markah)

JAWAPAN

     Berdasarkan dua buah novel yang telah saya pelajari, iaitu Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib dan novel Tirani karya Beb Sabariah, terdapat dua nilai kerjasama yang dapat dijadikan teladan kepada pembaca.

     Antara nilai kerjasama yang dipaparkan dalam novel Leftenan Adnan Wira Bangsa ialah  nilai kerjasama ketika melakukan sesuatu aktiviti. Contohnya, pihak askar Melayu dan tentera British turut sama membantu meringankan bebanan penduduk yang terpaksa berpindah secara mendadak. Selain itu, terdapat juga nilai kerjasama untuk menghapuskan kejahatan. Contohnya, Penghulu Deraman telah melaporkan perbuatan Samad yang menjadi tali barut Jepun kepada Leftenan Adnan. Pada waktu malam, Leftenan Adnan membawa anggotanya ke tempat persembunyian pengintip Jepun itu. Samad bersama-sama dengan tiga orang pengintip Jepun berjaya ditewaskan. 

     Dalam novel Tirani pula, nilai kerjasama yang diperlihatkan ialah nilai kerjasama masyarakat kampung. Contohnya, masyarakat Kampung Matang bekerjasama dalam menguruskan majlis perkahwinan Zahid . doktor bekerjasama dan berganding bahu dalam proses perjalanan pembedahan dan rawatan Waheeda. Pembedahan matanya diketuai oleh Dr. Shirrim Ghazizadeh, manakala pembedahan hidungnya diketuai oleh Dr. Averroes.

REVISI PRAPERCUBAAN SPM - NOVEL 11



SOALAN:

Jelaskan dua persoalan kemasyarakatan berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari. (7 markah)

JAWAPAN:

      Berdasarkan sebuah novel yang telah saya pelajari iaitu novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib, terdapat persoalan kemasyarakatan dalam novel tersebut.

     Antara persoalan kemasyarakatan yang terkandung dalam novel ini ialah semangat juang yang tinggi dalam kalangan askar Melayu. Sebagai contohnya, ketika tentera Jepun melancarkan serangan di Jurong, pertahanan British semakin tidak kuat kerana banyak tenteranya keletihan dan ketakutan. Hal ini berbeza dengan askar Melayu yang masih bersemangat. Mereka tiada pilihan lain kerana Tanah Melayu merupakan tanah air mereka.

     Selain itu, kerjasama untuk mengukuhkan sistem pertahanan negara juga antara persoalan kemasyarakatan yang ditonjolkan dalam novel ini. Ketika Leftenan Adnan diarahkan oleh pihak Inggeris untuk bertugas di Bukit Candu, beliau mendapati tiada persiapan rapi yang dibuat di sana. Leftenan Adnan telah mengadakan mesyuarat tergempar dan meminta mereka bergotong-royong menggali parit dan kubu. Leftenan Adnan dan orang-orang bawahannya turut menebas semak samun dan membaiki pagar duri.

PERSOALAN KEMASYARAKATAN NOVEL TIRANI

1.   Kepentingan menghargai budaya dan warisan negara – Waheeda memilih busana Gajoh Oleng yang berkonsepkan pakaian tradisi Melayu Sarawak untuk dipakai pada malam Pertandingan Ratu Pelancongan Antarabangsa. Selain itu, majlis perkahwinan Zahid dan Waheeda dilangsungkan dengan penuh adat dan budaya Melayu Sarawak.

2.    Sifat baik hati terhadap orang lain – Bazilah membenarkan Waheeda menetap di rumahnya di Yishun Street sepanjang tempoh Waheeda menjalani rawatan muka dan hidungnya di Silicon Medical Center, Singapura.

Saturday, September 3, 2016

Image result for bersambung

REVISI PRAPERCUBAAN SPM - NOVEL 10



SOALAN

Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan tema novel tersebut. (8 markah)

JAWAPAN

         Berdasarkan novel yang saya pelajari iaitu novel Tirani karya Beb Sabariah, novel tersebut bertemakan kegigihan seorang wanita dalam menempuh berbagai-bagai cabaran dan dugaan dalam kehidupannya.

     Tema tersebut dapat dibuktikan dengan Waheeda yang gigih dalam mengembangkan sayap perniagaannya terserlah apabila dia berani membuat pinjaman baharu untuk memberli Chalet Iwana-Iwani yang terletak di Cameron Highlands dan menukarkan namanya kepada Chalet Aya-Sajinah.

     Selain itu, Waheeda juga gigih dalam mempertahankan hubungan persahabatannya dengan Bazilah. Waheeda gigh dan bijak berdepan dengan sikap cemburu sahabat baiknya, Bazilah akan hubungan baiknya dengan tunangnya iaitu Dr. Zahari.

     Seterusnya, tema ini juga dapat dibuktikan melalui kegigihan Waheeda yang mengharungi liku-liku pahit dan manis dalam alam rumah tangganya bersama-sama dengan Zahid sehingga memperoleh seorang cahaya mata perempuan. Akhirnya, bahtera perkahwinan yang dibina ini berakhir dengan perceraian kerana sikap cembura buta Zahid. Namun begitu, Waheeda gigih membesarkan anak perempuannya itu sehingga dia memperoleh ijazah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

TEMA NOVEL LEFTENAN ADNAN WIRA BANGSA

Tema – semangat kepahlawanan askar Melayu dalam mempertahankan tanah air daripada dijajah oleh orang asing.
Huraian
1.      Leftenan Adnan, atau nama sebenarnya Adnan bin Saidi sanggup berjuang bermati-matian hingga titisan darah terakhir demi mempertahankan bumi tercinta daripada ditakluki oleh tentera
2.      Ketika tentera Jepun melancarkan serangan di Jurong, pertahanan British semakin tidak kuat kerana banyak tenteranya keletihan dan ketakutan. Hal ini berbeza dengan askar Melayu yang masih bersemangat. Mereka tiada pilihan lain kerana Tanah Melayu merupakan tanah air mereka.
      3.  Askar-askar yang bertugas mengawal kubu Pasir Panjang sentiasa berjaga-jaga walaupun sudah 
           beberapa hari tidak makan dan minum. Pada waktu pagi, tentera Jepun telah datang ke kawasan 
           pertahanan mereka. Tentera Jepun mahu Leftenan Adnan menyerah tetapi Leftenan Adnan berkeras 
           ingin mempertahankan kubu Pasir Panjang. Oleh itu, tentera jepun telah membedil kubu itu melalui 
           udara. Askar Melayu dan Leftenan Adnan telah memberikan tentangan hebat kepada tentera Jepun 
           sehingga mereka gagal menembusi benteng pertahanan askar Melayu. Kekalahan ini menyebabkan 
           Jeneral Yamashita semakin marah dan malu.

REVISI PRAPERCUBAAN SPM - NOVEL 9



SOALAN

Berdasarkan dua buah novel yang telah anda pelajari, huraikan satu peristiwa yang dapat menggambarkan nilai bertanggungjawab seperti yang terkandung dalam setiap novel tersebut. (8 markah)

JAWAPAN

       Berdasarkan dua buah novel yang telah saya pelajari, iaitu Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib dan novel Tirani karya Beb Sabariah, terdapat nilai bertanggungjawab dalam kedua-dua buah novel tersebut.

     Dalam novel Leftenan Adnan Wira Bangsa, nilai bertanggungjawab dapat dilihat dalam peristiwa kesanggupan Pak Saidi menghantar Adnan ke sekolah Inggeris. Pak Saidi bertindak sedemikian kerana sekolah Inggeris mengajarkan banyak mata pelajaran kepada pelajar-pelajarnya berbanding dengan sekolah Melayu yang hanya mengajar murid-murid menulis dan membaca. Pak Saidi berhasrat supaya anak-anaknya menjadi pandai dan boleh bekerja sebagai pegawai dengan orang Inggeris. Oleh itu, Pak Saidi sanggup berbasikal pada awal pagi untuk menghantar Adnan ke sekolah.

      Dalam novel Tirani pula, nilai bertanggungjawab dipaparkan oleh penulis dalam peristiwa Fadhil membawa anaknya, Waheeda ke hospital. Waheeda telah dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan yang teruk pada wajahnya angkara diserang oleh seekor monyet Belanda secara tiba-tiba di Chalet Tajau Emas. Di hospital, Dr Zakaria telah menjahit luka pada kulit pipi dan hidung Waheeda.

REVISI PRAPERCUBAAN SPM - NOVEL 8



SOALAN

Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, jelaskan dua latar tempat yang terdapat dalam novel tersebut. (7 markah)

JAWAPAN

     Berdasarkan novel yang saya kaji iaitu novel Tirani karya Beb Sabariah, terdapat beberapa latar tempat dalam novel tersebut.

     Antara latar tempat yang terkandung dalam novel tersebut ialah rumah Bazilah di Yishun Street. Waheeda telah menumpang tinggal di rumah Bazilah semasa dia menjalani rawatan pembedahan mata dan hidungnya di Singapura. Dia menjalani pembedahan ini selepas diserang oleh seekor monyet Belanda di Chalet Tajau Emas secara tiba-tiba.

     Selain itu, terdapat juga latar tempat di Silicon Medical Center (SMC) yang terletak di Singapura. Waheeda telah menjalani pembedahan mata dan hidungnya di hospital ini oleh Dr Shirrim Ghazizadeh, pakar bedah mata dan Dr. Averroes iaitu pakar bedah hidung. Pembedahan ini dijalankan selepas Waheeda diserang oleh seekor monyet Belanda.

LATAR TEMPAT NOVEL LEFTENAN ADNAN

1.         Warung Pak Samad – Penduduk kampung sering bertukar-tukar maklumat dan cerita di warung ini.       Warung ini juga menjadi tempat untuk Nordin bermain dam bersama-sama dengan rakan-rakannya.
 
2.     Sekolah Inggeris – Adnan belajar di sekolah ini. Ketika dia belajar di sini, Adnan menunjukkan disiplin 
        yang baik dan sering mendapat pujian terutamanya daripada Cikgu Anderson.