Soalan:
Sebagai
seorang remaja, anda juga merupakan seorang belia yang mempunyai peranan
penting dalam membangunkan dan memajukan negara ini. Ulaskan penyataan di atas.
Karangan
Contoh:
Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan, namun
remaja yang merupakan bakal tunjang negara
masih terbelenggu oleh pelbagai
kemelut sosial. Ternyata mentaliti generasi
muda di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara sarjana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah
negara, lihatlah generasi mudanya pada hari ini.” Mantan Presiden
Indonesia, Soekarno pernah mengungkap, “Jika
diberikan aku seratus orang tua, nescaya aku mampu menterbalikkan perahu yang
tertangkup tetapi, jika aku diberikan sepuluh orang muda, nescaya aku dapat
mengegarkan dunia”. Bait-bait susunan retorik yang penuh puitis ini telah menjadi
satu menifestasi dalam usaha membangunkan golongan belia dan generasi muda. Ternyatalah di sini bahawa remaja mahupun
golongan belia yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Oleh itu, saya perlu
memainkan peranan saya dengan penuh tanggungjawab untuk merencanakan
pembangunan negara.
Peranan saya
yang signifikan ialah
saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dari aspek
akademik. Kecemerlangan akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan yang
pemimpin negara yang berkualiti demi menjamin masa hadapan negar yang cerah
terutamanya dalam aspek pembangunan negara. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjana
kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, saya perlu proaktif
menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala
pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan
dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan
akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Saya juga tidak harus terbuai dalam
dunia yang mengalpakan, iaitu
terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, ikut hati mati, ikut rasa binasa.
Seorang tokoh cendekiawan Islam pernah berkata
bahawa petanda runtuhnya sesuatu bangsa itu dapat dilihat apabila bangsa
tersebut amat mencintai hiburan Tegasnya, tanpa remaja dan golongan yang bijak pandai maka
pembangunan negara akan terbantut.
Walau bagaimanapun, kecemerlangan
akademik semata-mata tidak dapat menjamin pembangunan negara jika generasi muda
kita seperti saya tidak memiliki kesihatan fizikal dan mental yang seimbang. Generasi muda yang ingin membangunkan
negara perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala
kekangan. Pada alaf baharu yang penuh dengan kompetitif, muda-mudi negara perlu memiliki kecergasan fizikal dan
bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama
tinggi, duduk sama rendah dengan
generasi muda di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental, saya
patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran,
bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial
seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi
kerana terlajak
perahu boleh diundur, terlajak laku buruk padahnya. Remaja mahupun
golongan belia harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak
lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan rakyat sihat,
negara maju. Jadi, muda-mudi negara yang sihat dan mempunyai jati diri
yang mapan baru dapat melaksanakan pembangunan negara.
Selain itu, saya juga mestilah
memiliki etika atau personaliti yang
luhur. Golongan muda harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral
sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, saya
haruslah mengamalkan segala suruhan agama dan meninggalkan semua larangan
agama. Remaja yang dangkal imannya
sudah pasti akan terjerumus ke dalam kebejatan
sosial. Saya mestilah sentiasa mendekatkan diri kepada Tuhan dan
menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang mungkar seperti menagih dadah,
berzina dan mencuri. Selain menitikberatkan
ajaran agama dan pendidikan moral, golongan muda juga harus dibimbing supaya
melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong,
menziarahi rumah kebajikan orang-orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip
derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti
sukarela. Dalam konteks ini, saya dapat membantu pembangunan negara dengan
memastikan negara bebas daripada ancamana masalah sosial. Dengan kata lain, golongan
remaja dan belia negara harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan
berkasih sayang agar dapat melahirkan negara yang maju sama ada secara
luarannya dan dalamannya pada suatu hari nanti.
Seperkara lagi, saya juga perlu kreatif dan inovatif untuk memacu
pembangunan negara yang gemilang. Hal ini terjadi demikian kerana hanya
mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baharu dapat
mengecapi kejayaan yang
terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang
gigih dan berani mencuba sesuatu yang baharu akan menikmati buah kejayaan yang
manis. Rentetan daripada itu, golongan remaja dan belia kita harus dilatih
supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang
teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak
terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian
itu bukan rekaan Mat Jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan
praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama
ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan
kreativiti dan inovasi remaja. Pendek kata, pembangunan negara akan tercapai
jika negara kita mempunyai barisan pelapis negara yang kreatif dan inovatif.
Akhir sekali, saya juga dapat
memainkan peranan saya untuk membangunkan negara dengan memiliki sikap
keterbukaan. Hal ini kerana apabila kita mempunyai sifat sedemikian, kita
lazimnya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain. Dalam nada yang
serupa, kita dapat memberi kesan kepada negara kita. Kita dapat menjamin
kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Kitalah yang akan menjadi pendukung untuk mencapai perpaduan
negara atau integrasi nasional demi mewujudkan kesejahteraan sosial. Sebagai
contohnya, saya mestilah sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan bertolak
ansur untuk mencapai misi dan visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu
di bawah satu bumbung yakni, satu bangsa satu bahasa dan satu negara. Hal ini
bermakna saya perlu mengamalkan perpaduan sama ada di sekolah atau di
tempat-tempat lain. Dengan ini, keharmonian negara dapat dipelihara dan
pembangunan negara dapat dijalankan dengan lancar dalam suasana negara yang aman
harmoni. Maka, sifat keterbukaan golongan muda yang belum keras ubun-ubunnya sudah
pasti dapat memudahkan mereka menjadi pemimpin yang mampu membangunkan
negaranya dengan penuh komited dengan dipayungi perpaduan antara rakyatnya.
Secara intihanya, semua remaja dan belia
negara termasuklah saya mempunyai tanggungjawab dan obligasi masing-masing
untuk menjanakan pembangunan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Pemusa-pemudi negara merupakan tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara
kita haruslah merdeka daripada belenggu
angkara sosial. Hanya remaja dan belia yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara.
Jika mereka tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak
dapat menjadi realiti. Oleh itu, generasi yang merupakan aset negara ini perlu
terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri
yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Semoga negara
kita dapat berdiri dengan gah di
pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di
seantero dunia.
Terima kasih cikgu atas karangan yg sangat membantu!!!!
ReplyDeleteTerima kasih cikgu atas karangan yg sangat membantu!!!!
ReplyDeleteSama-sama Rania. Moga kamu berjaya dengan cemerlang dalam SPM nanti. Selamat maju jaya.
DeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteFantastic!!! Power la cikgu buat karangan
ReplyDeleteCg sgt sgt sgt terbaikkkkkkk..krngn2 cg x prnh mnghmpakn!.. Pnh dgn istilah canggih Dan frasa.menarik.
ReplyDeleteCikgu..mnta izin .saya guna krangan cikguu
ReplyDeleteTerima kasih cikguu!! Sangat berguna untuk saya!.. Saya nak tanya.. Dalam kesimpulan,memang lebih baik kalau letak harapan eh?
ReplyDelete😍😍
ReplyDelete