Sunday, November 6, 2016

KARANGAN SPM 2/16



Soalan:
Murid memainkan peranan yang penting untuk merealisasikan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’. Bincangkan peranan yang dapat anda mainkan untuk merealisasikan konsep tersebut.

Karangan Contoh:

      Ungkapan "Sekolahku Syurgaku" sering diperkatakan baik dalam kalangan pendidik mahupun pelajar. Malah kita dapat melihat pada dinding-dinding sekolah juga terukir ungkapan tersebut. Ungkapan itu amat bermakna jika diteliti, diselusuri dan difahami akan maksudnya. Sekolah yang juga dikenali sebagai alma mater dapat ditakrifkan secara umum sebagai tempat untuk menimba ilmu. Manakala syurga pula ditafsirkan sebagai tempat yang indah, menarik dan gembira ketika berada di dalamnya. Oleh yang demikian, ungkapan "Sekolahku Syurgaku" melambangkan bahawa sekolah merupakan tempat yang indah dan menarik ketika menjejakkan kaki ke dalamnya. Malangnya, situasi sekolah pada hari ini  tidak lagi diumpamakan seperti syurga oleh para murid. Hal ini terbukti apabila banyak masalah sosial seperti buli, vandalisme dan melawan serta memukul guru berlaku di sekolah. Hal ini membimbangkan pelbagai pihak kerana melibatkan masa hadapan para murid yang merupakan peneraju tampuk pemerintahan negara pada masa hadapan kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Sebelum terlewat, saya sebagai murid yang bertanggungjawab perlu memainkan peranan yang penting supaya konsep ‘Sekolahku Syurgaku’ dapat menjadi kenyataan.

      Sebagai membuka tirai perbincangan kita, salah satu peranan signifikan saya ialah saya akan membantu pihak sekolah menjaga kawasan persekitaran sekolah agar sentiasa bersih. Apabila persekitaran sekolah sentiasa dijaga dengan baik, sudah tentu murid-murid tidak akan menerima sebarang masalah yang akan mengganggu mereka. Aktiviti bergotong-royong harus diadakan berkala untuk membersihkan kawasan sekolah dan saya akan menyertai aktiviti ini bersama dengan warga sekolah yang lain. Gotong-royong bertujuan untuk memastikan setiap warga sekolah dapat bekerjasama untuk menjaga kebersihan sekolah. Selain itu, kerja dapat disiapkan dengan cepat dan mudah, bak kata pepatah,yang berat sama dipikul, yang ringan sama dengan dijinjing.  Pada hujung minggu,pelajar sekolah boleh hadir untuk aktiviti gotong-royong. Contohnya, saya akan memungut sampah atau membersihkan longkang. Dengan ini, murid-murid tidak dijangkiti dengan wabak penyakit yang berbahaya seperti demam denggi yang kini semakin menular di negara kita. Suasana persekitaran sekolah yang bersih akan menyebabkan murid-murid berasa kondusif untuk menuntut ilmu. Tegasnya, penjagaan kebersihan sekolah merupakan antara peranan saya untuk merealisasikan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’. 

      Peranan saya yang seterusnya ialah saya akan membantu pihak sekolah mengadakan taman bunga di sekolah. “Program Sekolah dalam Taman” patut diadakan dengan menanam  pokok-pokok bunga dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau di kawasan sekolah. Lantarannya persekitaran sekolah lebih nyaman dan berudara segar.  Dalam situasi ini,  saya dan rakan-rakan juga boleh membawa pokok bunga dari rumah untuk ditanam di kawasan sekolah. Landskap sekolah juga patut dilengkapi dengan kolam ikan dan gunung-gunungan serta pondok atau bebalai untuk membaca. Nescaya murid-murid lebih selasa dan minat untuk menuntut ilmu dalam persekitaran seperti taman daripada bangunan konkrit yang kaku. Bukan itu sahaja, suasana yang seumpama taman ini dapat memberikan ketenangan jiwa dan melepaskan tekanan murid-murid yang telah berhempas-pulas melaksanakan tanggungjawab mereka di dalam kelas. Mereka boleh menikmati keindahan taman ini pada waktu rehat sambil berbual-bual dengan rakan-rakan untuk berkongsi cerita dan mengeratkan hubungan silaturahim antara mereka bagai isi dengan kuku. Jelaslah bahawa usaha saya untuk mengadakan taman bunga di sekolah bersama pihak sekolah dapat menjayakan konsep ‘Sekolahku, Syurgaku’.

      Jika dilihat dari sudut yang berbeza, saya juga akan membantu pihak sekolah mengecat bangunan sekolah semula.  Mengecat bangunan boleh mencantikkan sekolah. Pelajar juga akan berasa seronok untuk datang ke sekolah yang berseri-seri. Cogan kata ‘Sekolahku Syurgaku’ perlu ditulis pada bangunan sekolah supaya murid-murid sentiasa membaca dan menyedari tanggungjawab mereka untuk menjadikan sekolah sebagai syurga dan bukannya neraka untuk mereka. Untuk menjayakan program ini, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlulah berkolaborasi dengan pihak sekolah dalam penyediaan cat dan berus cat. Saya dan murid-murid yang lain juga boleh bekerjasama bagai ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk mengecat pagar dan dinding bangunan sekolah.  Kelab atau persatuan kokurikulum juga digalakkan melukis di dinding sekolah. Mereka boleh melukis gambar landskap, pemandangan, lukisan dan corak serta cogan kata yang bermotivasi. Dalam konteks ini, sekolah kelihatan lebih cantik dan lebih sesuai untuk belajar. Ringkasnya, bangunan sekolah yang dicat semula akan menjadikan sekolah lebih menarik dilihat dan dapat merealisasikan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’.

      Dalam nada yang lain, konsep ‘Sekolahku Syurgaku’ dapat dicapai sekiranya sesebuah sekolah itu tidak mempunyai sebarang kes disiplin yang melibatkan pelajar seperti kes buli, ponteng kelas, vandalisme, gangsterisme dan banyak lagi. Keadaan ini bukan sahaja mengundang nama buruk sekolah, tetapi juga menyebabkan terdapat segelintir pelajar berasa takut untuk menghadirkan diri ke sekolah. Hal ini secara langsung, mencemarkan keharmonian sesebuah sekolah. Oleh itu, saya tidak akan melibatkan diri dalam masalah sosial di sekolah dan sentiasa berdisiplin kerana disiplin merupakan tunjang kepada keharmonian serta kejayaan sesebuah sekolah. Saya akan sentiasa mematuhi peraturan yang telah digariskan oleh pihak sekolah seperti menepati masa, bersopan santun ketika bertutur, menghormati guru-guru dan rakan-rakan, dan menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan amanah. Saya juga akan sentiasa peka akan masalah disiplin yang berlaku di sekolah dan segera melaporkan kepada pihak sekolah jika berlakunya kes ugut, vandalisme dan merokok di sekolah. Tindakan saya ini dapat mengelakkan masalah disiplin daripada berleluasa dari peringkat awal lagi kerana mencegah lebih baik daripada mengubati dan sebelum nasi menjadi bubur. Murid-murid juga akan berasa selamat berada di sekolah dan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar. Pendek kata, pengelakan saya daripada terjebak dalam masalah disiplin di sekolah turut dapat memudahkan usaha untuk merealisasikan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’.


      Sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat beberapa peranan yang perlu saya mainkan untuk merealisasikan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’. Sekiranya sekolah dapat diumpamakan seperti syurga, sudah pasti setiap individu akan merasai ketenangan dan keseronokan apabila berada di sekolah. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, semua orang pastinya tidak akan menolak jika mereka diberi peluang untuk belajar dan mengajar di sekolah seperti ini. Oleh itu, peranan pihak sekolah amat penting untuk menjayakan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’ supaya iklim kawasan sekolah lebih menarik dan kondusif untuk meningkatkan prestasi murid-murid sama ada dalam bidang kurikulum atau kokurikulum. Namun begitu, kita tidak seyogianya meletakkan tugas ini di atas pundak pihak sekolah semata-semata kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Lantaran itu, semua pihak perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menjayakan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’ kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Dengan ini, impian negara untuk melahirkan modal insan yang berminda kelas pertama tidak lagi menjadi angan-angan Mat Jenin dan kemajuan negara akan setaraf dengan negara-negara lain di pentas global ibarat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Marilah kita bersama-sama menjayakan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’.

10 comments:

  1. Semoga calon2 SPM boleh mengikut jejak langkah cikgu dalam membina karangan seperti ini.😊

    ReplyDelete
  2. πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ˜»

    ReplyDelete
  3. Wow... Wow.... no one can write a essay like this.A wonderful points.Keep it up😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍

    ReplyDelete
  4. Memang menyentub hati..haraplh dpt buat karangan seperti ini

    ReplyDelete
  5. semoga dapat membuat karangan seperti ini masa spm nnti aminn😊

    ReplyDelete
  6. Penggunaan ayat yang sgt gramatis

    ReplyDelete