Wednesday, September 5, 2012

1. MESEJ NOVEL


Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan dua mesej yang terdapat dalam novel tersebut. (7 markah)

          Berdasarkan novel Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain yang saya kaji, terdapat beberapa mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang  kepada para pembaca.

          Antara mesej yang terdapat dalam novel termasuklah kita perlu tabah menghadapi cabaran dalam kehidupan. Kita boleh mencontohi sikap tabah watak utama, Hilmi dalam menghadapi masalah dalam kehidupannya. Misalnya, Hilmi tabah menghadapi cacian  Datin Salmah, iaitu emak saudaranya, yang amat mementingkan status. Datin Salmah menganggap bahawa Hilmi yang hanya bersetakat darjah empat sekolah Melayu itu memalukan keluarganya sehingga sanggup mengelarkan Hilmi sebagai seorang tukang kebun sahaja dan bukan sebagai ahli keluarganya. Hilmi pula sabar dan tabah menghadapi segala cacian dan cemuhan walaupun Datin Salmah sering mengambil kesempatan untuk menyusahkannya. Tugasnya sebagai tukang kebun turut dilaksanakan dengan begitu baik sehingga mendapat pujian daripada jiran Datuk Johari, yakni Doktor Nathan. 

          Di samping itu, novel ini juga menyampaikan mesej kita hendaklah membantu orang yang memerlukan bantuan tanpa mengharapkan balasan. Pengajaran ini jelas ditonjolkan oleh Encik Bakar yang sanggup mengajar Hilmi bermain alat muzik tanpa mengenakan bayaran kerana bersimpati dengan anak muda itu. Dengan bantuan Mamat yang merupakan drebar Dr. Nathan, Hilmi berjaya menemui Encik Bakar. Beliau merupakan seorang ahli muzik yang berpengalaman dan beliau mengasah bakat Hilmi dalam bidang muzik. Oleh itu, beliau mengajar Hilmi mengenali not-not muzik, bermain pelbagai jenis alat muzik dan memberikan bimbingan kepada Hilmi atas segala masalah yang dihadapi dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas. Akhirnya, jasa baik beliau terbalas apabila Hilmi memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam bidang muzik sehingga dijemput untuk memberikan persembahan di Pertunjukan Orkes Perdana.

Mesej Novel Papa:
1.     Kita hendaklah menyayangi dan bertanggungjawab terhadap ahli keluarga kita – Jeffri sanggup menjaga isterinya yang koma selama lebih tiga tahun
2.     Kita hendaklah bersabar dan tabah menghadapi dugaan dan ketentuan daripada Tuhan – Jeffri sabar menjaga isterinya yang koma dan kematian anak kembarnya
3.     Kita hendaklah belajar bersungguh-sungguh supaya berjaya dalam kehidupan – Intan Julia belajar bersungguh-sungguh sehingga cemerlang dalam peperiksaan SPM dan melanjutkan pelajarannya ke Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA)
4.     Kita janganlah melakukan perkara yang dilarang oleh agama – Perbuatan Encik Muaz al-Khalibi yang menodai pengemas biliknya warga Indonesia perlu dihindari oleh anggota masyarakat – Perbuatan pembuangan Rasylan di tepi longkang besar oleh pengemas bilik sewajarnya menjadi pengajaran kepada semua

Disediakan oleh Carmen Lim (5W)

No comments:

Post a Comment