Sunday, May 6, 2012

6. Cara-cara Melaksanakan Pembangunan yang Lestari


"Kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada generasi akan datang. Oleh itu, jagalah alam sekitar supaya anak dan cucu kita dapat menikmatinya." Kata-kata Mahatma Gandhi ini sudah cukup membuktikan bahawa alam sekitar merupakan harta paling berharga yang perlu dijaga kepentingannya. Alam semula jadi menjadi tonggak utama negara sebagai kawasan tadahan hujan, habitat flora fauna dan sumberkayu-kayan. Malangnya, Hari Bumi yang disambut setiap 22 April bagaikan tiada kesan apabila sumber-sumber alam ini masih lagi rakus diterokai untuk manusia menikmati pembangunan. Oleh itu, kita perlu merencanakan pembangunan yang mapan atau pembangunan lestari.  Pembangunan mapan atau pembangunan lestari merupakan gabungan antara pembangunan yang maju dengan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar. Kita perlu menitikberatkan pembangunan yang seimbang. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita harus melakukan anjakan paradigma untuk mewujudkan pembangunan yang lestari dengan melakukan beberapa pendekatan yang pragmatik.

      Program kitar semula memainkan peranan yang penting dalam menyokong dasar strategik kerajaan bagi pengurusan alam sekitar dan sumber semula jadi yang mapan dan lestari. Secara spesifik, program ini bertujuan untuk mengurangkan intensiti pencemaran dan sisa daripada aktiviti pembandaran dan perindustrian, di samping memastikan alam sekitar bersih dan sihat supaya dapat memenuhi keperluan dan aspirasi rakyat. Amalan kitar semula harus bercambah, berakar dan menghijau di setiap pelosok tanah air. Amalan kitar semula boleh dijalankan di peringkat nasional, kawasan, komuniti, serta individu. Oleh itu, kejayaan program kitar semula banyak bergantung kepada kerjasama yang erat dalam kalangan semua pihak. Semua pihak perlulah menjadikan kitar semula sebagai amalan hidup. Pelaksanaan program kitar semula ini mesti diteruskan secara berpanjangan, bukannya bermusim seperti hangat-hangat tahi ayam.  Usaha untuk memastikan program ini berjaya perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda yang bakal mewarisi teraju kepimpinan negara kelak. Tegasnya, program kitar semula dapat mencapai pembangunan yang lestari, berkualiti dan seimbang.

      Selain itu, orang ramai digalakkan menggunakan petrol tanpa plumbum bagi kenderaan bermotor. Mencari alternatif selain minyak juga adalah penting bagi tujuan mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar. Dewasa ini, kajian bagi menghasilkan minyak enjin biomass daripada tumbuh-tumbuhan sedang giat dijalankan. Contohnya, di negara kita, ahli sains telahpun menemukan sejenis minyak daripada kelapa sawit yang boleh mengurangkan pencemaran udara tanpa menjejaskan kecekapan enjin. Sungguhpun penemuan ini masih terlalu baharu untuk dipastikan sama ada praktikal ataupun tidak namun penemuan ini patut dijadikan satu titik permulaan bagi meningkatkan usaha kita ke arah mencapai konsep pembangunan lestari. Oleh itu, penggunaan petrol tanpa plumbum turut membantu dalam melaksanakan pembangunan lestari.
 
Salah satu langkah lain yang dapat digunakan untuk mewujudkan pembangunan lestari ialah pihak berwajib perlu menjatuhkan hukuman terhadap  individu atau organisasi yang telah didapati bersalah memusnahkan alam sekitar semata-mata untuk kepentingan diri sendiri. Pihak berwajib seperti Kementerian Sains, Teknologi, dan Alam Sekitar wajar menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada untuk menghukum pihak-pihak yang berkenaan. Hukuman yang dikenakan hendaklah setimpal dengan kesalahan pihak terbabit mencemarkan dan memusnahkan alam seperti mengenakan dendaan yang tinggi. Selain itu tindakan penguatkuasaan undang-undang hendaklah dilaksanakan tanpa sikap memilih bulu dan dilakukan secara tekal dan tidak seperti melepaskan batuk di tangga. Individu dan organisasi yang mencemarkan alam biasanya tidak serik dengan hukuman yang dikenakan. Mereka akan mengulangi perbuatan keji ini jika hukuman yang dikenakan terhadap mereka tidak begitu berat. Malahan ada yang sanggup membayar denda kerana mencemarkan alam sekitar kerana mereka tahu denda tersebut hanya sekali sahaja. Mereka bebas melakukan kesalahan setelah menjelaskan denda yang dikenakan. Oleh itu pihak berwajib mestilah lebih tegas dalam mengenakan hukuman terhadap pihak yang merosakkan alam sekitar. 

      Di samping itu, pihak sekolah hendaklah memperkenalkan pendidikan alam sekitar kepada murid-murid sekolah. Pendidikan alam sekitar melibatkan pelbagai aspek yang menjurus ke arah pengekalan alam yang sejahtera. Satu kurikulum yang khusus perlu digubal agar pendedahan yang sistematik dapat dilaksanakan. Kurikulum ini boleh diselitkan dalam mata-mata pelajaran lain dan boleh juga dijadikan mata pelajaran khusus. Hal ini bertujuan untuk menyemaikan kesedaran secara lebih berkesan. Murid sekolah khususnya yang belajar di sekolah rendah wajar didedahkan dengan pengetahuan tentang alam sekitar dengan lebih sistematik. Jika sejak kecil mereka diberikan pendedahan sedemikian, mereka akan berasa lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar apabila mereka dewasa nanti kerana alah bisa tegal biasa. Langkah ini akan melahirkan generasi yang dapat menguruskan pembangunan negara yang lestari dan mapan. Jadi, pengenalan pendidikan alam sekitar di peringkat sekolah merupakan satu langkah untuk mewujudkan pembangunan yang lestari. 

      Jika kita lihat dari sudut yang lain pula, aktiviti penanaman semula perlu dilakukan. Hal ini dikatakan demikian kerana  penanaman semula dapat menggantikan pokok-pokok yang telah ditebang untuk melakukan projek pembanguan negara. Dengan ini, keseimbangan alam sekitar dan ekologi negara tercapai. Sesungguhnya, memang tidak dapat kita nafikan bahawa negara kita perlu membangun untuk mencapai negara kelas pertama. Namun begitu, kita tidak boleh bertindak mengikut nafsu tanpa memikirkan risiko yang bakal menimpa. Kita haruslah memiliki minda yang lestari iaitu setiap pokok yang ditebang perlu diganti kembali. Pengusaha kayu balak dan pihak  pemaju tidak harus bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan mereka seharusnya berminda lestari dalam memastikan pembangunan lestari tercapai. Ironinya, pembangunan lestari dapat dicapai melalui aktiviti penanaman semula.
 
      Sebagai konklusinya, terdapat pelbagai langkah yang dikenal pasti dapat membangunkan negara dengan lestari jika dilaksanakan dengan penuh iltizam. Dalam hal ini, semua pihak perlulah bekerjasama untuk memastikan langkah-langkah yang dirancangkan dapat dilaksanakan dengan berkesan kerana alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Jika pembangunan lestari terbantut, generasi akan datang pasti menghadapi masalah alam sekitar yang lebih buruk. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak menyelesaikan masalah ini diharapkan dapat  mewujudkan pembangunan yang seimbang tanpa melakukan kemusnahan alam sekitar.  Semoga generasi cucu cicit kita dapat menikmati kemajuan dan pembangunan negara  dengan diselimuti  kehijauan alam sekitar.

18 comments:

  1. Perkongsian yg bemanfaat buat saya

    ReplyDelete
  2. melepaskan batuk? ataupun batok ye cikgu?

    ReplyDelete