1. PEMBENTUKAN
KELUARGA YANG BAHAGIA BUKAN SAHAJA BERGANTUNG PADA PERANAN IBU BAPA TETAPI JUGA
PADA FAKTOR-FAKTOR LAIN. BERIKAN
PENDAPAT ANDA TENTANG PERNYATAAN INI.
Marcapada, masyarakat hari ini
lebih ghairah mengejar kemewahan dan habuan duniawi di atas tanah datar ini.
Masyarakat pada era golbalisasi ini dikatakan lebih individualistik bagai enau
dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan lebih bersikap materialistik
atau bermata duitan. Tanpa disedari, kepentingan keluarga terabai oleh
masyarakat. Senario ini lebih membimbangkan apabila Mahkamah Syariah Kuala
Lumpur melaporkan setiap 15 minit satu kes perceraian dilaporkan berlaku.
Statistik ini menunjukkan betapa rapuhnya institusi kekeluargaan di negara kita
pada hari ini sedangkan sebahagian daripada kesempurnaan kebahagiaan di dunia
adalah dengan memiliki keluarga yang bahagia. Menurut mantan Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato` Seri Shahrizat Abdul Jalil,
keluarga bahagia merupakan asas kepada pembentukan masyarakat penyayang. Beliau
juga mengatakan bahawa dengan pembentukan keluarga bahagia, masyarakat dapat
hidup dalam keadaan yang aman dan harmonis tanpa pertelingkahan serta
perselisihan faham. Melalui pembentukan keluarga bahagia, individu yang kamil
dan dihormati dapat dilahirkan yang sudah tentu akan dapat memberikan sumbangan
terhadap pembangunan negara. Tanggungjawab membentuk keluarga bahagia tidak
hanya bergantung pada satu pihak sahaja sebaliknya memerlukan kerjasama dan
komitmen daripada pelbagai pihak bak kata peribahasa Melayu, “bagai aur dengan tebing”.
Tidak dapat disangkal bahawa ibu bapa menggalas kewajipan yang dominan bagi
membentuk keluarga bahagia, namun terdapat juga pihak lain yang memainkan
peranan yang penting dalam membentuk keluarga bahagia.
Ibu bapa menggalas tanggungjawab
yang penting bagi membentuk keluarga bahagia. Ibu bapa merupakan ketua keluarga
yang akan membawa ahli keluarganya ke arah kehidupan yang bahagia dan
semmpurna. Nabi Muhammad s.a.w pernah besabda bahawa anak-anak merupakan kain
putih ibu, bapa yang memainkan peranan untuk mencorakkan kehidupan anak-anak sama
ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Didikan dan asuhan ibu bapa penting supaya
anak-anak menjadi golongan berkualiti serta dihormati dan tidak menjadi
golongan barbar yang menjadi agen perosak terhadap pembangunan negara. Dalam
hal ini, ibu bapa yang merupakan tulang belakang keluarga dapat mewujudkan
keharmonian dalam rumah tangga dengan memperingati hari jadi ahli keluarga, mengadakan
hari keluarga, melancong dan sebagainya. Apabila wujudnya suasana yang harmoni
di rumah, anak-anak akan berasa lebih selamat dan selesa untuk berada di rumah
daripada membazirkan masa dengan berpeleseran di luar rumah. Ibu bapa harus
mentarbiah anak-anak mereka dengan menyemai nilai-nilai murni dan budaya
ketimuran dalam sanubari anak-anak sejak berumur setahun jagung lagi bak kata
pepatah bagai ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Ibu bapa harus meluaskan
harizon pemikiran mereka dengan bersikap lebih terbuka. Mereka harus menerima
pandangan anak-anak serta sentiasa berbincang dengan mereka supaya anak-anak
akan berasa lebih selesa meluahkan perasaan kepada ibu bapa. Ibu bapa juga
perlu memastikan anak-anak mereka menelusuri jalan kehidupan yang betul dengan
memberikan perhatian dan kasih sayang yang secukupnya bagai ‘menatang minyak
yang penuh’. Ibu bapa juga seyogiannya memberi hadiah dan galakan atas kejayaan
ank-anak. Hal ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pembentukan
masyarakat penyayang yang merupakan cabaran yang ketujuh dalam usaha mencapai
visi dan kudsi Wawasan 2020. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam
usaha membentuk keluarga bahagia demi kemajuan masyarakat dan negara.
Namun begitu, peranan pihak lain tidak wajar dikesampingkan. Selain ibu bapa, masyarakat
juga memainkan peranan yang penting dalam pembentukan keluarga bahagia. Masyarakat merupakan antara elemen penting
yang dapat menetukan pembentukan seorang individu yang kamil dan seterusnya
menyumbang kepada pembentukan keluarga bahagia.
Masyarakat di sesuatu kawasan tempat tinggal hendaklah sentiasa
bekerjasama antara satu sama lain seperti aur dengan tebing dengan mengadakan
kenduri, gotong royong, sukaneka dan rumah terbuka. Penduduk yang menghadiri majlis rumah terbuka
bersama keluarga mereka dapat menjalin semangat ukhuwah yang baik dengan
penduduk setempat. Dengan ini ahli
keluarga dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan selesa. Sudah menjadi fitrah dalam melayari bahtera
perkahwinan ada masam manisnya kerana langit tidak selalu cerah. Oleh itu,
masyarakat setempat hendaklah mengamalkan sikap menjaga tepi kain orang bagi
membendung krisis rumah tangga yang berlaku dalam kalangan jiran kita.
Masyarakat perlulah menasihati pasangan yang menghadapi konflik supaya berdamai
demi kebaikan bersama terutamanya kepada generasi muda. Dengan adanya keluarga yang harmoni, anak-anak
tidak akan terlibat dalam kancah negatif seperti penyalahgunaan dadah, vandalisme
dan gengsterisme. Perkara ini akan
menjamin golongan yang baru berdarah setampuk pinang ini dapat menelusuri penitian jalan hidup dengan betul
bagi menjadi individu yang berkualiti dan mengharumkan nama keluarga. Jelaslah bahawa masyarakat turut memainkan
peranan yang penting dalam usaha membentuk keluarga bahagia.
Jika dilihat dari dimensi yang lain,
pihak kerajaan juga menggalas kewajipan yang setimpal dalam usaha membentuk
keluarga bahagia. Pihak kerajaan harus
menguatkuasakan undang-undang yang melibatkan hak kanak-kanak dan hak
keluarga. Hal ini dapat menyedarkan dan
menginsafkan orang ramai tentang hak insan yang lemah terutamanya anak-anak. Tamsilannya,
Akta Perlindungan Kanak-kanak 1948 memberikan perlindungan kepada anak-anak
yang didera. Akta ini melindungi hak
kanak-kanak sebagai individu yang harus menikmati kehidupan yang selamat dan
bahagia. Ibu bapa akan mengambil
inisiatif untuk melindungi kanak-kanak daripada sebarang penderaan dan
seterusnya mendidik mereka menjadi insan yang berguna. Kerajaan juga mestilah menyediakan
penghargaan kepada ibu bapa yang berjaya mewujudkan keluarga bahagia. Hal ini
merupakan salah satu langkah optimum bagi membentuk masyarakat madani pada hari
muka. Sebagai misalan, pemberian Anugerah
Ibu Mithali yang mengiktiraf kejayaan seorang ibu mentarbiah anak-anaknya menjadi
individu cemerlang menjurus ke arah pembentukan modal insan minda kelas pertama
yang seimbang dari segi jasmani, ekonomi, rohani dan intelek merupakan satu
usaha yang berkesan untuk mendorong kaum ibu melaksanakan tanggungjawabnya
dengan efektif. Ringkasnya, kerajaan
memainkan peranan yang afdal dalam pembentukan keluarga yang bahagia yang akan menjamin
kehormanian masyarakat.
Dalam nada yang berbeza, media massa
juga turut berperanan dalam melahirkan keluarga yang bahagia. Hal ini dikatakan
demikian kerana media massa merupakan wahana atau medium yang berkesan untuk
mempengaruhi minda dan tingkah laku seseorang. Lebih-lebih lagi, pada zaman
digital ini media massa telah semakin canggih seiring dengan kehendak arus
modenisasi dan globalisasi yang pantas bergerak bagai belut diketil ekor ini.
Sebagai buktinya, kini wujud buku digital, akhbar digital, laman sesawang yang
kaya dengan laman sosial yang pelbagai seperti laman ‘blog’, ‘facebook’, ‘instagram’,
‘we chat’, ‘whatsApp’ dan sebagainya. Kecanggihan media massa pada hari ini
dapat memudahkan usaha untuk melahirkan keluarga bahagia melalui kempen-kempen
kesedaran yang efektif. Contoh kempen yang wajar dijalankan ialah kempen ‘Sayangi
Keluarga Anda’, kempen ‘Keluarga Bahagia Teras Kemakmuran Negara’ dan kempen ‘Rumahku
Syurgaku’. Kempen-kempen seumpama ini mestilah dijalankan secara berterusan
atau berketiak ular dan bukannya hangat-hangat tahi ayam. Dengan adanya
kempen-kempen ini, sudah pasti setiap anggota masyarakat mengetahui signifikan memiliki
sebuah keluarga yang bahagia dan sakinah. Secara tidak langsung, mereka akan
menjauhi daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan keharmonian
keluarga mereka seperti pertengkaran antara ahli keluarga sebaliknya mereka
akan berusaha untuk menanam benih-benih kasih sayang terhadap ahli keluarga
mereka. Jadi, peranan media massa dengan menjalankan kempen kesedaran tentang
peri pentingnya keluarga yang harmoni dapat mewujudkan keluarga yang bahagia
dan marem.
Sebagai konklusinya, dapat
disimpulkan bahawa terdapat peranan pelbagai pihak selain ibu bapa dalam usaha
melahirkan keluarga bahagia turut dianggap signifikan. Sesungguhnya mencintai
keluarga adalah amanah bagi setiap manusia. Rasul saw bersabda, “Paling dekat
denganku kedudukannya kelak pada hari kiamat adalah orang yang paling baik
akhlaknya dan sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya.” Betapa tingginya darjat manusia yang sentiasa
berbuat baik terhadap ahli keluarganya. Bertitik tolak dari sini, peranan ibu
bapa untuk melahirkan keluarga bahagia memang tidak dapat dipertikaikan lagi.
Namun begitu, usaha ini tidak harus dipertanggungjawabkan kepada satu pihak
sahaja kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Oleh itu, semua pihak
perlulah bersinergi umpama ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk memastikan
insitisusi kekeluargaan di negara kita tidak goyah walaupun diasak oleh
pelbagai faktor. Diharapkan komitmen jitu daripada pelbagai pihak dapat
menjamin keutuhan institusi kekeluargaan di negara kita demi menjamin
kemakmuran negara. Dengan lahirnya keluarga yang bahagia, impian untuk mencapai
Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh Perdana Menteri keempat dapat direalisasikan
dengan mudah. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepeohon terus bergoyang
dan biarlah imej negara terus terpelihara dengan sokongan dan dorongan daripada
keluarga bahagia di negara kita. Maju keluarga, majulah negara.
2.
PERANAN
IBU BAPA UNTUK MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA
Daripada keluarga, terpancarnya sinar kasih sayang
di antara ahlinya
Daripada keluarga, lahir rasa menghormati dan saling
memerlukan yang tidak terucapkan
Daripada keluarga, lahirnya insan yang
bertanggungjawab terhadap dirinya serta insan lain yang memerlukan
Ayat-ayat di atas memaparkan
signifikannya keluarga dalam kehidupan seseorang. Keluarga merupakan satu
institusi yang amat penting dalam sesebuah masyarakat. “Baiti Jannati” atau
“Rumahku Syurgaku” merupakan pepatah Arab yang sudah tidak asing lagi dalam
kehidupan seharian kita. Rumah merupakan tempat terperciknya sinar kebahagiaan dalam
kehidupan seseorang. Rumah tangga yang bahagia dan ceria akan melahirkan warga
yang juga memiliki ciri-ciri kejiwaan yang sihat seperti gembira, yakin akan
kebolehan diri dan sebagainya. Namun begitu, langit tidak selalunya cerah. Allahyarham
seniman agung tanah air, Tan Sri P.Ramlee pernah mengatakan bahawa sedangkan
lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Kehidupan berkeluarga tidak lari
daripada pergolakan dan perselisihan. Senario ini terbukti apabila Mahkamah
Syariah Kuala Lumpur melaporkan setiap 15 minit satu kes perceraian dilaporkan
berlaku. Statistik ini menunjukkan betapa rapuhnya institusi kekeluargaan di
negara kita pada hari ini sedangkan sebahagian daripada kesempurnaan kebahagiaan
di dunia adalah dengan memiliki keluarga yang bahagia. Menurut mantan Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato` Seri Shahrizat Abdul Jalil,
keluarga bahagia merupakan asas kepada pembentukan masyarakat penyayang.
Sebagai nakhoda dalam melayari bahtera perkahwinan, ibu bapa memikul obligasi
yang berat untuk memastikan mahligai yang bina berada dalam kebahagiaan.
Persoalannya, apakah peranan yang wajar dimainkan oleh ibu bapa untuk membentuk
sebuah keluarga yang bahagia seperti yang diimpikan oleh semua pihak?
Peranan
ibu bapa yang dominan ialah ibu bapa perlulah menjadi suri teladan kepada anak-anak.
Peranan ibu bapa dalam usaha membentuk keluarga sakinah adalah amat penting.
Ibu bapa perlu menjadi ‘role-model’ kepada anak-anak. Mereka harus sentiasa
menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak. Sebagai contoh,
seorang bapa perlu berinteraksi dengan sopan dan lemah-lembut dengan isteri dan
anak-anaknya. Ibu dan bapa juga perlu saling menghormati antara satu sama lain.
Kata orang, “ Yang tua dihormati, yang muda disayangi, barulah keluarga harmoni.”
Apabila anak-anak melihat keharmonian kedua-dua orang tua mereka, mereka juga
akan meneladani sikap baik itu apabila berinteraksi sesama mereka kerana
bagaimana acuan begitulah kuihnya. Jika
contoh yang murni diperlihatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak seperti sayang-menyayangi,
toleransi serta prihatin akan membantu perkembangan jiwa anak-anak dan juga
akan mengeratkan hubungan dalam kalangan anak. Jika hal ini terjadi, rumah akan
menjadi syurga kepada anak-anak. Apabila kebahagiaan di rumah dapat dinikmati,
maka anak-anak akan berusaha untuk membahagiakan ahli keluarganya dengan
memelihara maruah ahli keluarga walau di mana sekalipun mereka berada kerana
benih yang baik dicampak ke laut menjadi pulau. Tegasnya, tingkah laku yang
baik yang dipaparkan oleh ibu bapa kepada anak-anak bakal dapat mewujudkan
keluarga yang bahagia kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Selain itu, ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan keibubapaan bagi memahami tanggungjawab besar yang terletak di atas bahu mereka dalam memastikan kebahagiaan keluarga mereka. Pengetahuan keibubapaan ini penting dapat dijadikan panduan kepada ibu bapa atau pasangan yang ingin mendirikan mahligai perkahwinan mereka terutamanya kepada pasangan yang masih mentah. Sememangnya alam perkahwinan penuh dengan asam garamnya. Itulah hakikat yang tidak dapat disangkalkan lagi. Sebagai contoh, bakal-bakal ibu dan bapa boleh mengikuti kursus-kursus praperkahwinan serta kursus pascaperkahwinan yang dikendalikan oleh pejabat agama daerah masing-masing. Dalam kursus-kursus tersebut, suami isteri akan mendapat ilmu untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagia melalui ceramah dan bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang berwibawa. Selepas mendapat ilmu tersebut, perkara yang lebih penting adalah bagi mereka mempraktikkannya untuk melahirkan sebuah rumah tangga yang penuh dengan sinar kebahagiaan. Dengan ini, banyaklah keluarga yang mithali dapat dilahirkan dan masalah keganasan rumah tangga dapat dielakkan. Pendek kata, ilmu pengetahuan keibubapaan yang dimiliki oleh mampu merealisasikan impian untuk melahirkan keluarga yang bahagia.
Jika
kita lihat dari dimensi yang lain, pemberian perhatian dan kasih sayang yang
secukupnya dari ibu bapa kepada ahli keluarganya juga dapat mewujudkan keluarga
yang bahagia. Kasih sayang merupakan kunci utama kebahagiaan. Namun begitu, pada
era yang penuh dengan persaingan yang sengit ini, masyarakat bertambah sibuk
dengan usaha mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Hal
ini disebabkan kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat. Statistik telah
menunjukkan bahawa hampir 90 peratus ibu yang bekerja hanya bercakap dengan
anak-anak mereka selama empat minit sehari. Hal ini merupakan perkara yang amat
menyedihkan kerana anak-anak merupakan golongan yang memerlukan kasih sayang
dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa mereka. Oleh itu, demi
membentuk keluarga yang bahagia, ibu bapa yang merupakan peneraju kehidupan
dalam sesebuah keluarga perlu meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama
dengan anak-anak mereka. Atas kepentingan ini, kerajaan telah mengumumkan hari
Sabtu dan Ahad sebagai cuti umum bagi kakitangan awam. Manakala pihak swasta
pula, turut memberikan pelepasan kepada para pekerja mereka pada Sabtu pertama
setiap bulan. Ibu dan bapa seharusnya merebut kesempatan ini untuk bermesra
dengan keluarga sambil merehatkan minda setelah penat bekerja. Menghabiskan
waktu cuti dengan berkelah atau berekreasi bersama keluarga akan memberikan
peluang kepada ahli keluarga untuk berhibur di samping meluangkan masa untuk
mengeratkan hubungan di antara mereka. Oleh itu, sekiranya masa yang berkualiti
untuk bersama-sama dengan anak-anak, tidak mustahil kebahagiaan dalam sesebuah
keluarga akan dapat diwujudkan.
Dalam nada
yang sama, pemberian didikan agama dan moral yang sempurna dalam kalangan
generasi muda juga dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga yang
bahagia. Hal ini disebabkan oleh pegangan agama serta nilai moral yang kuat
dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi di kalangan generasi muda. Kualiti
ini akan melahirkan ibu dan bapa yang bertanggungjawab serta dapat memikul
tugas membangunkan rumah tangga dengan efektif. Golongan yang berpendidikan
agama ini akan mampu mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama
suami isteri. Kesabaran kerana iman yang tebal juga akan mengelakkan keluarga
daripada bercerai-berai disebabkan alasan yang kadang kala tidak munasabah. Sebagai
ibu dan bapa, kita perlu memberikan didikan agama yang kukuh serta menerapkan
nilai-nilai akhlak dan moral dalam kalangan anak-anak. Anak-anak yang sopan
akan menghormati orang tua mereka serta saling bekerjasama sesama adik beradik.
Benarlah kata orang tua-tua, yang berat
sama dipikul, yang ringan sama dijinjing dan hati gajah sama dilapah, hati
kuman sama dicecah. Maka, jika semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap
ahli keluarga oleh ibu bapa, sudah pasti sebuah keluarga yang mantap dan
harmoni akan dapat dilahirkan.
Akhir kalam, bayang kian jelas bahawa ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Institusi keluarga boleh diibaratkan sebuah bangunan yang terdiri daripada berjuta-juta batu-bata. Tanpa keluarga bahagia, sudah pasti kemakmuran negara akan terjejas. Banyak anak muda akan terlibat dalam kebejatan sosial yang sekali gus akan menjahanamkan agenda pembangunan negara sama ada dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Oleh itu, ibu bapa sebagai pemimpin atau khalifah keluarga mestilah memainkan peranan dengan sebaik-baiknya untuk memastikan keluarga yang dibina bahagia tanpa persengketaan. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab berat ini atas pundak ibu bapa sahaja kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Oleh itu, keluarga yang harmoni dan bahagia hanya akan dapat diwujudkan jika setiap individu yang menganggotainya telah melalui pelbagai proses pemupukan kejiwaan yang berkesan sejak kecil. Kesediaan setiap anggota untuk bersedia berkorban dan bertolak asur sesama mereka akan memudahkan proses pemupukan keluarga harmoni dan bahagia ini. Komitmen jitu daripada semua pihak ini sudah pasti dapat merealisasikan impian negaran untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat digapai dengan mudah. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah keluarga bahagia di negara kita dapat menyinari kemajuan dan kemakmuran negara sehingga diteladani oleh mancanegara. Keluarga Asas Pembentukan Masyarakat. Maju keluarga, majulah masyarakat. Pincang keluarga, musnahlah masyarakat.
Akhir kalam, bayang kian jelas bahawa ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Institusi keluarga boleh diibaratkan sebuah bangunan yang terdiri daripada berjuta-juta batu-bata. Tanpa keluarga bahagia, sudah pasti kemakmuran negara akan terjejas. Banyak anak muda akan terlibat dalam kebejatan sosial yang sekali gus akan menjahanamkan agenda pembangunan negara sama ada dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Oleh itu, ibu bapa sebagai pemimpin atau khalifah keluarga mestilah memainkan peranan dengan sebaik-baiknya untuk memastikan keluarga yang dibina bahagia tanpa persengketaan. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab berat ini atas pundak ibu bapa sahaja kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Oleh itu, keluarga yang harmoni dan bahagia hanya akan dapat diwujudkan jika setiap individu yang menganggotainya telah melalui pelbagai proses pemupukan kejiwaan yang berkesan sejak kecil. Kesediaan setiap anggota untuk bersedia berkorban dan bertolak asur sesama mereka akan memudahkan proses pemupukan keluarga harmoni dan bahagia ini. Komitmen jitu daripada semua pihak ini sudah pasti dapat merealisasikan impian negaran untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat digapai dengan mudah. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah keluarga bahagia di negara kita dapat menyinari kemajuan dan kemakmuran negara sehingga diteladani oleh mancanegara. Keluarga Asas Pembentukan Masyarakat. Maju keluarga, majulah masyarakat. Pincang keluarga, musnahlah masyarakat.
3. Anda
ingin menulis sebuah rencana yang bertajuk “Keluarga Impian Saya” untuk
dimuatkan dalam ruangan akhbar tempatan. Tulis rencana itu selengkapnya.
Format : Rencana
Tajuk: Keluarga Impian Saya
Kata kunci: Ciri-ciri keluarga impian saya
Isi:
1. Keluarga
yang menitikberatkan ajaran agama
2. Keluarga
yang kaya dengan kasih sayang
3. Keluarga
yang mementingkan pendidikan akademik
4. Keluarga
yang mementingkan aspek penjagaan kesihatan
5. Keluarga yang prihatin akan masalah ahli
keluarganya*** Gunakan kata ganti nama diri SAYA dalam karangan
Nice one 👌👌
ReplyDeleteSaya minta izin utk copy ya
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
DeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteterima kasih atas contoh karangan yang sangat membantyu kerja rumah saya hihi!
ReplyDeletewow
DeleteBoleh tak cg.berikan cth rencana tentang "Keluarga bahagia tonggak keharmonian dalam kehidupan"
ReplyDeleterip
DeleteTerima kasih, sangat membantu saya membuat nota :)
ReplyDeleteBoleh tak cikgu berikan contoh karangan tentang kepentingan memiliki keluarga bahagia??
ReplyDeleteTerima kasih kerana telah membantu saya membuat kerja rumah.saya sangat berterima kasih kepada cikgu yang membuat karangan yang sangat baik��
ReplyDeleteminta izin copy
ReplyDelete