Saturday, September 8, 2012

Soalan 13 & 14 – LATAR MASYARAKAT & KEPENTINGAN TEKNIK PEMERIAN


(a)  Jelaskan tiga latar masyarakat yang terdapat dalam sebuah novel yang telah anda pelajari.

      Berdasarkan novel yang telah saya kaji iaitu Konserto Terakhir hasil nukilan Abdullah Hussain, terdapat beberapa latar masyarakat yang menggambarkan keadaan masyarakat terkandung dalam novel ini. 

        Antara latar masyarakat yang terkandung dalam novel ini termasuklah masyarakat yang memiliki kesantunan dan budi bahasa yang tinggi dengan sesiapa sahaja. Gambaran masyarakat yang berbudi bahasa dengan sesiapa sahaja dapat dilihat daripada perwatakan Hilmi yang lemah lembut apabila berhadapan dengan Datuk Johari dan Datin Salmah. Hilmi menghormati mereka dengan bersalaman dengan mereka apabila bertemu. Hilmi kemudian menyampaikan salam yang dikirimkan oleh keluarganya di kampung kepada Datuk Johari dan Datin Salmah.
           
     Selain itu, latar masyarakat yang senantiasa beribadat kepada Tuhan juga terkandung dalam novel ini. Latar masyarakat ini dapat dilihat apabila Hilmi tidak pernah meninggalkan sembahyang dan sentiasa mendirikan solat apabila tiba masanya. Walaupun terlalu sibuk, Hilmi masih mendirikan sembahyang. Ketika bekerja di rumah Datuk Johari, Hilmi senantiasa menunaikan sembahyang. Buktinya ialah Hilmi berhenti melakukan kerja perkebunan di belakang rumah Datuk Johari apabila hari sudah lewat petang untuk menunaikan sembahyang Asar.
          
    Di samping itu, terdapat juga latar masyarakat yang mengamalkan budaya ‘morning coffee’. Latar masyarakat ini dapat dilihat pada watak Datin Salmah dan rakan-rakannya seperti Datin Faridah, Datin Mariam dan lain-lain. Buktinya, Datin Salmah pergi ke rumah Datin Faridah kerana ‘morning coffee’ di sana apabila Hilmi mula tiba di rumah mereka. Dalam pertemuan secara tidak rasmi ini, isteri orang-orang besar ini membincangkan pelbagai hal, sama ada hal-ehwal semasa atau tentang diri dan keluarga masing-masing. Misalnya, Datin Mariam yang gemuk seperti tong dan suka mengunyah sirih selalu menceritakan hal-hal dukun.


(b) Penulis sesebuah novel mengembangkan sesuatu peristiwa dengan pelbagai teknik plot seperti pemerian. Jelaskan kepentingan teknik pemerian berdasarkan sebuah novel yang telah anda kaji.

       Berdasarkan novel yang telah saya kaji iaitu Konserto Terakhir hasil nukilan Abdullah Hussain, teknik pemerian banyak digunakan dalam novel ini. Terdapat beberapa kepentingan teknik ini dimasukkan oleh penulis  dalam hasil karyanya.

          Teknik pemerian menggambarkan keadaan fizikal watak kepada para pembaca. Teknik ini memberikan gambaran jelas keadaan Hilmi ketika mula sampai di rumah Datuk Johari. Buktinya ialah Hilmi mempunyai rambut sedikat ikal, anak matanya agak liar dan ketinggiannya ialah lima kaki lima inci. Pakaiannya agak miskin terbuat daripada bahan kain yang murah, seluarnya berkeredut dan bajunya sudah hilang warna asalnya.

        Selain itu, teknik pemerian juga memberitahu pembaca tentang perasan yang dialami oleh seseorang watak. Misalnya, teknik ini menggambarkan kesedihan Datuk Johari apabila Pak Long Karim memberitahunya bahawa Hilmi merupakan anak Datuk Johari dan bukan anaknya. Hal ini dapat dibuktikan dengan Datuk Johari berfikir tentang kekejamannya yang telah menyeksa isteri pertamanya dan Hilmi serta hal ini telah menyedihkannya. Air mata Datuk Johari berlinangan.

        Di samping itu, teknik pemerian memberikan penjelasan tentang reaksi watak terhadap sesuatu peristiwa kepada pembaca. Contohnya, Datuk Johari menerima panggilan daripada pihak hospital yang memberitahunya bahawa Hilmi telah meninggal dunia. Hanya sepatah perkataan yang dapat keluar daripada mulut Datuk Johari dan beliau jatuh dengan gagang telefon tergenggam erat di dalam tangannya. Datin Salmah yang terpekik dan menerpa kepada suaminya cuba untuk mengangkat Datuk Johari dengan pertolongan Mak Minah tetapi Datuk Johari telahpun meninggal dunia.

 Oleh : Calvin Chew (5P)

No comments:

Post a Comment