Tuesday, November 17, 2009

SELAMAT MENDUDUKI SPM 2009

  • Selamat menduduki peperiksaan SPM esok kepada semua murid tingkatan 5 di seluruh Malaysia terutamanya kepada semua murid tingkatan 5 di Sekolah Methodist Wesley Kuala Lumpur.
  • Semoga A+ menjadi milik kalian.
  • INGATLAH! Jawablah soalan esok dengan tenang kerana hati yang tenang mampu menjana idea yang bernas.
  • Bacalah soalan dan arahan baik-baik.
  • Perjuangan kamu esok tanpa berteman dan kamulah yang akan menentukan segalanya.
  • Jangan cuai kerana kecuaian akan mengundang padah tetapi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
  • INGATLAH! Kertas 1 menguji bahasa dan hujah-hujah kamu.
  • Kertas 2 pula menguji tahap pemahaman dan teknik kamu menjawab.
  • Insya-Allah, saya yakin kamu boleh buat yang terbaik jika kamu telah berusaha dan doa saya sentiasa mengiringi kejayaan kamu esok.

SELAMAT MENJAWAB & SEMOGA BERJAYA.....

KEKUATAN SESEBUAH KARANGAN

Isu remaja

1. Keluarga
- Kedangkalan (kekurangan) kasih sayang daripada ibu bapa terhadap remaja juga menyebabkan remaja mudah….
- Dalam menempuh arus globalisasi ini, ibu bapa semakin alpa (lupa) terhadap tanggungjawab mereka kerana mereka terlalu obses(asyik) mengejar arus modenisasi.
- Hadis nabi ada menyebut bahawa, anak-anak diibaratkan sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya sama ada menjadi Nasrani atau Majusi.
-Setiap remaja Islam hendaklah memastikan tidak meninggalkan solat lima waktu sehari kerana Allah S.W.T berfirman bahawa, “Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.”
- Mantan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pernah berkata bahawa wang ringgit bukanlah pengganti kasih sayang malah ibu bapa sanggup mengorbankan apa-apa sahaja untuk cahaya mata mereka.
- Albert Einstein iaitu orang yang paling bijak di dunia ini telah mengatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh.
- Memetik kata-kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, kewujudan keluarga penyayang akan menyebabkan seseorang anggota keluarga tersebut akan berasa lebih senang menghabiskan masa lapangnya di rumah.
- Kajian daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati kebanyakan rakyat yang terlibat dengan gejala negatif terutamanya golongan remaja yang terdiri daripada mereka yang mempunyai konflik keluarga.
- Kempen yang dirasmikan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Sri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi bertemakan ‘Keluarga Penyayang Aspirasi Negara’.
- Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa benih yang bernas apabila jatuh kelaut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan jatuh ke bumi menjadi penawar. Demikainlah betapa besarnya peranan sesebuah keluarga dalam menentukan kesinambungan masyarakat madani.

2. Sekolah
- Menurut penggiat sosial tanah air, Tan Sri Lee Lam Thye, 40 peratus daripada golongan pelajar kita pada hari ini terlibat dalam masalah sosial seperti membunuh, perogol, merompak dan sebagainya.
- Falsafah Pendidikan Negara bermatlamat untuk melahirkan modal insan yang syumul dengan ilmu pengetahuan dan tepu dengan nilai-nilai moral.

3. Kerajaan
- Menerusi Kementerian Belia dan Sukan, banyak aktiviti yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan remaja memanfaatkan hidup remaja dengan aktiviti berfaedah.
- Program Rakan Muda perlu dimanfaatkan oleh remaja untuk menentukan hala tuju bagi memastikan remaja menjadi warganegara yang berguna.
- Pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia perlu bertindak tegas terhadap unsur negatif yang berleluasa dalam masyarakat kita terutamanya apabila melibatkan remaja kita.
- Kerajaan menerusi Kementerian Tenaga, Air dan Telekomunikasi perlu mengawal penyebaran gambar, maklumat dan berita yang dibawa oleh anasir-anasir yang negatif.

Ungkapan menarik tentang isu remaja
- “Berikan saya sepuluh orang remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini,” begitulah ungkapan yang dilontarkan oleh Presiden Parti Indonesia, Soekarno yang menggambarkan betapa gahnya peranan remaja sebagai penentu pembangunan dan kemajuan negara pada masa depan.
- Remaja pada hari ini bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan dan merupakan aset modal insan negara bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
- Janganlah diabaikan pesanan ahli filsuf Tao iaitu jika kita mahu hidup setahun tanamlah gandum, jika kita mahu hidup sepuluh tahun tanamlah pokok dan jika kita mahu hidup selama-lamanya tanamlah jiwa manusia. Sekiranya masa depan remaja kita tidak dipelihara, negara akan kehilangan mutiara yang paling berharga untuk menjadi pelapis kepimpinan negara.
- Berdasarkan salah satu falsafah pemikiran Imam al-Ghazali yang menyebut bahawa seseorang kanak-kanak yang diajarkan erti berkasih sayang, dia akan berlatih mengasihi orang lain.


ISU KERAJAAN / NEGARA

Amalan Gaya Hidup Sihat
- Mantan Perdana Menteri, Tun Sri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pernah melancarkan kempen ‘Tak Nak’ dan ‘Setiap Sedutan Membawa Padah’ pada tahun 2005.
- Berdasarkan petikan hadis yang berbunyi, “Jagalah masa sihat kamu sebelum datang masalah sakit…” jelas menyatakan bahawa kesihatan merupakan aset yang paling bernilai dalam hidup.

Integrasi Nasional/ Perpaduan
- Tun. Dr. Mahathir juga pernah berkata bahawa kita hendaklah mengetepikan emosi yang menimbulkan perpecahan, sebaliknya bersatu-padu membuat kegiatan-kegiatan yang boleh membangunkan negara.
- Mantan Perdana Menteri, Tun Sri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi telah julung-julung kali melancarkan kempen ‘Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni’ pada akhir tahun 2004.
- Pada 31 Oktober 2006, dilaporkan bahawa mantan Timbalan Perdana Mentari Britain, John Prescott menyatakan keinginan Britain mempelajari pengalaman Malaysia mengekalkan formula perpaduan antara kaum dan amalan tolak ansur agama.

Jenayah Negara
- Menurut sejarah dunia, kejatuhan Empayar Rom disebabkan oleh banyaknya kes jenayah dan keruntuhan akhlak berlaku.
- Rakyat perlu menghayati pesanan mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohammad, iaitu seseorang yang lupa akan sejarah pasti akan mengulanginya.
- Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyeru orang ramai agar bersama-sama menggembleng tenaga untuk membanteras jenayah yang berlaku di kawasan kediaman seperti kes pecah rumah, kes culik, kes rogol dan beraneka kes jenayah lagi.

Tuesday, November 10, 2009

Penanda Wacana Karangan

A. PENANDA WACANA UNTUK MEMULAKAN AYAT PENDAHULUAN KARANGAN·

- Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu …

- Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah ….

-Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat.

- Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun di sebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri.

- Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini …

- Sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini memang kita dapat menyaksikan …


B. PENANDA WACANA UNTUK AYAT TERAKHIR PENDAHULUAN KARANGAN·

-Oleh itu, kebaikan dan keburukan yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.

- Sebagai memperkukuhkan lagi penyataan tersebut, punca-punca yang menunjangi masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.

- Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini.

- Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi, saya bersetuju dengan pendapat yang menyatakan …….·

- Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi.


C. PENANDA WACANA UNTUK AYAT PERTAMA SETIAP PERENGGAN·

-Kita dapat menyaksikan betapa…·

-Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana…·

-Lazimnya, dalam keadaan …·

-Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah …·

-Pada hemat saya …/ Pada pandangan saya …·

-Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa …·

-Sebagaimana yang kita ketahui /Sebagaimana yang kita maklumi

- Sejak awal lagi / Kebelakangan ini

- Selain itu, pada masa ini juga

D. PENANDA WACANA UNTUK AYAT 2 DAN SETERUSNYA DALAM KARANGAN·

-Bagi sesetengah orang …·

- Begitu juga dengan …/Begitu juga halnya dengan …·

-Bertitik tolak daripada itu …·

-Bukan itu sahaja …·

-Dalam hal ini …/ Dalam konteks ini ..·

-Dalam zaman yang serba canggih ini …·

-Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa …·

-Dengan adanya … /Dengan berbuat demikian …/ Dengan perkataan lain ..·

-Disebabkan hal itu /Disebabkan keistimewaan inilah kita ..·

-Hal ini berlaku disebabkan / Hal ini penting dalam / Hal ini serupa dengan / Hal yang serupa berlaku apabila...

- Jadi kita perlu / Jadi kita hendaklah

-Keadaan ini tentunya

- Lantaran itu sehingga kini

- Kesemua ini menyumbang kepada

- Kita mengakui hakikat bahawa·

- Kita sering menonton di kaca televisyen / Kita sering membaca di dada-dada akhbar

- Memandangkan keadaan yang sedemikian

- Namun sejak belakangan ini

-Oleh itu, bolehlah dikatakan

- Secara logiknya masa yang

- Sejak seawal usia kemerdekaan negara ini lagi, kita

- Yang paling nyata ialah /Yang perlu kita pastikan ialah


E. PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN STATISTIK·

-Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh didapati sebanyak

- Bukti yang jelas dan terkini yang berkaitan dengan perkara ini menunjukkan

- Statistik yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan oleh Kementerian ….. pada tahun …… menunjukkan bahawa sebanyak …………


F. PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN CONTOH·

-Sebagai contohnya

- Biar kita lihat/ Biar kita ambil contoh

- Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah

- Sebagai analoginya,

- Contoh yang ketara yang paling dekat dengan kita ialah


G. PENANDA WACANA UNTUK KESIMPULAN KARANGAN·

-Intihanya,

- Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas

- Konklusinya,

- Dengan ini diharapkan

- Mudah-mudahan perkara ini

- Dengan keizinan Tuhan yang Maha Esa, kita yakin dan percaya bahawa

- Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insya-Allah perkara ini akan …

- Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama

Fokus Karangan SPM 2009
Isu/tema
1. Pendidikan –Pendidikan maya/sepanjang hayat
2. Pengangkutan awam
3. Pelaburan/Aktiviti menabung/Skim Cepat Kaya
4. Pelancongan
5. Memulihara bangunan bersejarah
6. Perpaduan Antara Kaum
7. Gejala Rasuah
8. Permainan Tradisional
9. Pemanasan Global
10. Barang Buatan Malaysia
11. Telefon Bimbit
12. Kafe Siber
13. Bahasa – Melayu/Inggeris/Asing
14. Gejala sosial
15. Krisis Ekonomi Dunia
16. Kenaikan harga minyak/barang
17. Amalan Membaca-kebaikan/punca/langkah
18. Pengalaman/program yang pernah disertai1
9. Kemalangan Jalan Raya-punca/langkah20. Kokurikulum-kebaikan/punca/langkah
21. Semangat patriotik
22. Bahan Sastera (KOMSAS)
23. Ulasan filem/novel/cerpen
24. Guru/ibu bapa - peranan


Fokus Soalan Pemahaman KOMSAS SPM 2009

Pemahaman Prosa Moden
Cerpen Tg. 4
1. Annyss Sophillea
2. Lambaian Malar Hijau
Cerpen Tg. 5
1. Virus Zel Untuk Abah
Drama Tg. 4
1. Serunai Malam


Pemahaman Prosa Tradisional
Tg. 4
1. Cerita Bayan
2. Sikap terburu-buru Membawa Padah
Tg. 5
1. Sabor
2. Kepahlawanan Tun Beraim Bapa


Pemahaman Puisi
Tg. 4
1. Pantun Kiasan
2. Seloka Pak Kaduk
3.Anak Laut
4. Derita Pertama
5. Jalan-jalan Raya Kotaku
Tg. 5
1. Pantun 6 Kerat
2. Syair Kelebihan Ilmu
3. Duhai Pentafsir
4. Di Ruang Gemanya


Fokus Soalan Novel SPM 2009
1. Kritikan masyarakat
2. Perbandingan antara watak utama
3. Cabaran yang dihadapi oleh watak utama
4. Peranan watak
5. Binaan Plot-5P
6. Teknik Plot
7. Jenis watak
8. Keistimewaan watak
9. Unsur suspens
10. Cara pengarang menggambarkan watak
11. Cara pengarang menggarap nilai
12. Persoalan tentang kasih sayang dan tangungjawab yang terdapat dalam novel.
13. Faedah mempelajari novel

Latihan Karangan Bergambar SPM – Ciri-ciri sekolah selamat

Sekolah atau alma mater merupakan tempat kita belajar. Oleh sebab itu, tempat kita menimba ilmu ini mestilah berada dalam keadaan yang selamat dan selesa. Hal ini penting agar sekolah dapat melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikukum. Sebenarnya, terdapat pelbagai cara yang dapat kita lakukan untuk menjadikan sekolah sebagai tempat yang selamat. Cara-cara berikut mestilah kita ketahui demi menjadikan sekolah sebagai tempat anak-anak belajar yang selamat dan selesa.
Pihak sekolah mestilah menyediakan alat kawalan kebakaran di tempat-tempat yang strategik di kawasan sekolah. Langkah ini amat penting supaya kebakaran dapat dielakkan daripada merebak ke bangunan yang lain. Walau bagaimanapun, kebanyakan sekolah di Malaysia mengalami nasib yang sama, yakni alat kawalan kebakaran seperti pili bomba dan alat kawalan kebakaran berbentuk semburan tidak dapat berfungsi dengan normal kerana rosak atau hilang. Sebenarnya, alat kawalan kebakaran yang rosak dan yang telah dicuri mestilah digantikan yang baharu. Pihak sekolah juga haruslah mendidik murid cara-cara menggunakan alat tersebut pada waktu kecemasan. Dengan ini, sekolah akan menjadi tempat belajar yang selamat.

Selain itu, pihak pentadbir sekolah juga haruslah melukis pelan kecemasan yang dapat digunakan pada saat-saat sekolah ditimpa kecemasan. Hal ini berlaku demikian kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh sebab itu, pelan tangga kecemasan dan pelan larian ke padang mestilah ditampal di tempat-tempat yang mudah dilihat. Dari semasa ke semasa, latihan kebakaran haruslah dijalankan juga. Hal ini dapat memastikan pelajar bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Cara ini pasti dapat mengurangkan kemalangan dan kecederaan dalam kalangan warga sekolah.

Di samping itu, keselamatan pelajar di pintu sekolah juga mestilah dijaga dengan rapi. Setiap pintu sekolah mestilah dijaga oleh beberapa orang pengawal keselamatan. Pondok sekuriti mestilah dibina untuk memastikan para pelajar dapat melaporkan sebarang kejadian yang tidak diingini kepada pihak yang bertugas. Dengan ini, kejadian seperti kes culik dan kes ragut dapat diatasi sekali gus menjamin keselamatan anak-anak yang mahu memasuki pintu sekolah mahupun semasa balik ke rumah. Ibu bapa juga pasti berasa puas hati dengan tahap keselamatan sekolah. Tahap kebimbangan ibu bapa dan keyakinan ibu bapa yang tinggi ini dapat meningkatkan imej sekolah secara tidak langsung.

Sementara itu, keselamatan di jalan-jalan berdekatan dengan kawasan sekolah juga harus ditingkatkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Perhatian harus diberikan oleh pihak kerajaan tempatan dengan menyediakan lampu isyarat di jalan-jalan yang menjadi lintasan pelajar. Penyediaan lintasan zebra juga merupakan langkah penting supaya murid-murid dapat melintas jalan ke sekolah dengan selamat. Kawalan trafik oleh pihak pengawal keselamatan sekolah juga amat penting selain memasang papan tanda isyarat “Kurangkan Kelajuan, Kawasan Sekolah”. Hal ini dapat memberi kesedaran kepada para pemandu supaya mengurangkan kelajuan di kawasan sekolah. Apabila langkah di atas dapat diambil, murid-murid akan berasa selamat dan kes kemalangan di kawasan sekolah dapat dikurangkan.

Kesimpulannya, keselamatan pelajar menjadi tanggungjawab semua pihak. Semua pihak yang terlibat haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menjamin keselamatan anak-anak ke sekolah dan sepanjang berada di sekolah. Para pelajar mestilah dididik mematuhi segala arahan dan peraturan di sekolah. Lebih-lebih lagi, ibu bapa haruslah memastilah anak-anak selamat masuk ke sekolah sebelum beredar ke pejabat. Kempen “Sekolah Selamat” haruslah diuar-uarkan supaya keselamatan anak-anak dapat dijamin. Dengan ini, sekolah akan menjadi tempat belajar yang selamat dan kondusif.