Sedasawarsa ini, pelancongan desa merupakan industri
perkhidmatan yang kian berkembang pesat di negara kita. Pada tahun 2000, purata
pelancongan yang berkunjung ke Malaysia dianggarkan sebanyak 10.2 juta orang.
Senario ini menjadikan Malaysia sebagai negara ketiga paling banyak menerima
pelancong Asia Timur selepas China dan Hong Kong. Lantaran itu, pelancongan
desa telah juga mendapat tempat di mata pelancong asing. Pelancongan desa dapat
memberikan pengalaman kepada pelancong supaya menghargai kehidupan di kampung
dan menikmati kebudayaan dan adat resam sesuai dengan peribahasa masuk
kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Pelancongan
desa akan bertambah maju sekiranya pelbagai pihak memainkan peranan penting
untuk memajukan industri ini. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu
diambil untuk memajukan industri ini agar terus berkembang maju?
Minhaj pertama yang perlu
dilaksanakan untuk memajukan pelancongan desa ialah pihak kerajaan perlu
mengadakan kempen melalui media massa dan media elektronik. Melalui kempen yang
dilaksanakan, keunikan dan kelebihan sesebuah desa dapat disebarkan kepada
masyarakat tempatan dan pelancong asing dengan cepat. Dengan memanfaatkan
kecanggihan teknologi yang ada pada masa kini, kerajaan boleh membina laman
sesawang yang mengandungi pelbagai informasi tentang keistimewaan sesebuah desa
di negara kita untuk disebarkan kepada masyarakat luar. Sekiranya pihak
kerajaan memandang enteng dan bersikap lepas tangan dalam usaha untuk
memajukan sektor pelancongan desa, maka industri ini akan terus hilang ditelan
zaman justeru dapat mengurangkan pendapatan penduduk kampung. Oleh itu, pelaksanaan
kempen merupakan langkah pragmatik dalam usaha memajukan pelancongan desa agar
industri ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas ditelan arus
kemodenan.
Minhaj seterusnya untuk memajukan pelancongan desa agar
terus berkembang ialah pihak kerajaan melalui Kementeriaan Pelancongan di bawah
pimpinan Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen haruslah menyediakan dan mencekapkan
infrastruktur di negara kita. Dengan adanya kelengkapan infrastruktur yang
sempurna dan kondusif, sudah pasti negara kita akan menjadi destinasi utama
kepada pelancong-pelancong asing. Selain itu, kemasukan pelancong asing akan
dapat meningkatkan ekonomi industri desa di negara kita melalui pengaliran mata
wang asing. Pihak kerajaan juga seharusnya mengeluarkan dana untuk diagihkan
kepada wakil-wakil di setiap negeri bagi menaik taraf infrastuktur seperti
rumah penginapan, siber kafe, bekalan air bersih, kafe dan kemudahan asas yang
lain. Cuba kita bayangkan bagaimana reaksi pelancong asing yang melancong ke
negara kita jika kerajaan tidak mengambil berat terhadap kemudahan
infrastruktur? Seandainya pihak kerajaan menjalankan tanggungjawab seperti melepaskan
batuk di tangga, maka industri desa akan terus berada pada takuk yang
sama. Tegasnya, pihak Kementeriaan Pelancongan perlulah menyediakan dan
mencekapkan infrastruktur agar industri desa di negara kita terus berkembang
maju.
Selain itu, pihak pengurusan inap
desa perlu menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi sebagai satu minhaj untuk
memajukan industri pelancongan desa di negara kita. Aktiviti-akitiviti rekreasi
perlu dilaksanakan dengan lebih efektif kerana aktiviti tersebut merupakan daya
tarikan utama kepada pelancong asing mahupun pelancong tempatan untuk menyertai
aktiviti yang dijalankan sekaligus meningkatkan industri pelancongan desa.
Pihak pengurusan inap desa boleh menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi.
Sebagai contoh, mereka boleh memperkenalkan permainan tradisional masyarakat
Melayu seperti gasing, congkak, wau, dan sebagainya. Mereka juga boleh
mengadakan pertandingan tarian, aktiviti menuai padi, dan pertandingan membuat kraf
tangan. Di samping dapat memperkenalkan budaya tempatan kepada pelancong asing,
aktiviti ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mereka.
Melalui aktiviti ini, banyak nilai murni dapat diserap dalam jiwa
pelancong-pelancong kerana ketika menyertai aktiviti-aktiviti tersebut mereka
diasuh untuk saling membantu ibarat hati gajah sama dilapah,hati kuman sama
dicecah. Seandainya aktiviti rekreasi tidak dilaksanakan dengan penuh
komitmen, sudah pasti industri pelancongan desa akan terus mundur dan berada di
takuk lama. Tegasnya, pihak pengurusan inap desa perlu menyediakan pelbagai
aktiviti rekreasi sebagai uslub penting untuk memajukan industri pelancongan
desa di negara kita.
Di samping itu, pihak kerajaan melalui Kementerian
Pelancongan juga haruslah memainkan peranan mereka dengan mempromosikan kawasan
pelancongan di desa kepada pelancong dalam dan luar negeri. Selain itu, untuk
meningkatkan keberkesanan promosi ini lagi, pihak kerajaan juga haruslah
bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta untuk meningkatkan
kehadiran pelancong dalam negara kita ini lagi. Pihak Kementerian Pelancongan
haruslah menitikberatkan perkara ini kerana tidak banyak rakyat Malaysia dan
pelancong asing mengenali kawasan-kawasan yang strategik untuk melancong dan
melawat kawasan desa di negara kita. Lebih-lebih lagi, ekonomi negara Malaysia
juga bergantung kepada sektor pelancongan dengan pertambahan pelancong dari
luar dan dalam negara dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sumber
ekonomi negara kita lagi.
Minhaj yang lain adalah dengan mengadakan kempen secara giat dan efektif. Pihak media massa
dan media elektronik juga haruslah memainkan peranan mereka dalam menjayakan
kempen pelancongan ini dengan menyiarkan dan memaparkan lokasi-lokasi di desa
yang strategik untuk dijadikan kawasan pelancongan. Pihak kerajaan juga
haruslah campur tangan dalam hal ini dengan mengadakan festival-festival seni
dan kebudayaan di kawasan-kawasan desa yang terpilih untuk menambah minat
pelancong lagi untuk mengenali dengan lebih mendalam tentang kebudayaan dan
adat resam sesebuah masyarakat di desa itu. Secara tidak langsung, pelancong
akan mengunjungi kawasan itu untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi
tentang kebudayaan di situ bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Sebagai
contoh, untuk menarik minat kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara
adalah dengan mengadakan pesta wau, pesta mencanting batik dan pesta kebudayaan
masyarakat di kawasan desa itu. Seandainya langkah untuk mempromosikan kawasan
pelancongan di desa tidak diambil serius oleh pihak kerajaan, kempen Cuti-cuti
Malaysia dan Tahun Melawat Malaysia tidak dapat dijayakan, seterusnya
menjatuhkan kekukuhan sektor pelancongan di negara kita. Tegasnya, peranan
pihak kerajaan mempromosikan kawasan pelancongan di desa kepada pelancong dalam
dan luar negeri dapat menambahkan kehadiran pelancong di negara ini.
Minhaj seterusnya, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa
tempatan perlu membangunkan kawasan desa sebagai langkah untuk memajukan
industri pelancongan desa. Berdasarkan kajian yang telah dibuat menunjukkan
bahawa masih terdapat banyak tempat menarik di Malaysia yang mampu
dieksploitasi sebagai tempat pelancongan khususnya di kawasan-kawasan desa. Sehubungan
dengan itu, pihak berkuasa tempatan seharusnya mengambil langkah proaktif
dengan membangunkan sesebuah desa menjadi sebuah pusat pelancongan. Pihak
kerajaan bolehlah mendirikan sekurang-kurangnya satu industri dalam sesebuah
desa seperti industri pemprosesan makanan, batik dan kraf tangan. Industri desa
haruslah diperkembangkan supaya tak lapuk dek hujan tak lekang dek
panas serta dapat memberi pulangan yang lumayan dalam industri
pelancongan. Andainya kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan mengambil
langkah sebegini, maka industri pelancongan desa di negara kita dapat terus
berkembang maju. Tegasnya, untuk memajukan industri desa, kerajaan negeri
melalui pihak berkuasa tempatan hendaklah membangunkan kawasan desa sebagai
salah satu pusat pelancongan desa.
Intihanya, peranan semua pihak sangat signifikan dalam
memajukan industrI pelancongan desa di negara kita. Oleh itu, semua pihak
haruslah memainkan peranan dan bekerjasama bagai aur dan tebing dalam
merealisasikan modus operandi untuk memajukan pelancongan desa di negara kita.
Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan
industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana
dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini. Selain sudut
komersial pelancongan, peningkatan kunjungan pendatang luar ke negara ini
dengan sendirinya dapat memakmurkan Malaysia di mata dunia luar. Senario ini
secara tidak langsung dapat menangkis pandangan negatif negara-negara Barat
yang suatu ketika dahulu pernah mengatakan negara kita sebagai sebuah negara yang
penduduknya tinggal di atas pokok dan bercawat. Industri pelancongan secara
tidak langsung dapat menaikkan nama negara di mata dunia walaupun negara kita
merupakan satu titik kecil di atas peta. Oleh itu, kita sepatutnya mengusahakan
industri pelancongan desa di negara kita dengan sebaik-baiknya.
Terima kasih saya ucapkan kepada admin blogspot ini kerana karangan yang disediakan cukup bermanfaat malah mempunyai banyak isi-isi yang baik bagi sesuatu karangan. Semoga ALLAH melindungi admin dan memberi kejayaan di DUNIA dan AKHIRAT sana. Insyaallah
ReplyDeleteSalam. . Cikgu , boleh tak berikan kepada saya contoh karangan mengenai sukan . . :)
ReplyDeleteSalam . Cikgu , terima kasih atas perkongsian . semoga dipermudahkan segala urusan
ReplyDeleteModerate
ReplyDeleteModerate
ReplyDelete