Wednesday, September 12, 2012

GEJALA SOSIAL


1.    BULI DAN LANGKAH MENANGANI

           Menurut Kamus Dewan, perkataan buli bermaksud perbuatan mendera, mempermainkan seseorang supaya dapat menyesuaikan diri dengan suasana yang baharu. Membuli pula bermaksud mempermain-main orang, biasanya orang yang lemah, bertujuan untuk menggertak atau menakutkan orang yang berkenaan. Oleh itu, buli dapat diinterpretasikan sebagai satu perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan atau maksud untuk menunjukkan kekuatan. Secara tidak langsung, menjadikan mereka yang lemah mematuhi atau menghormati mereka. Fenomena buli dapat dikategorikan kepada dua jenis, iaitu buli secara langsung dan tidak secara langsung. Buli secara langsung termasuklah diugut, disepak atau membalas pukulan. Sementara buli secara tidak langsung melibatkan kata-kata (verbal) termasuklah memanggil atau ejek-mengejek, dikacau dan ditertawakan rakan lain. Sejak belakangan ini, masalah buli terutamanya dalam kalangan pelajar bukanlah masalah baharu dan asing di negara kita. Gejala buli tidak mengenal tempat, usia, agama dan bangsa. Fenomena ini menunjukkan golongan pelajar kita semakin berani. Sebelum mencari jalan penyelesaian, kemelut sosial ini perlu dikaji hingga akar umbi dan punca-punca berlaku kemelut ini perlu diperincikan.

            Salah satu punca berlakunya kes buli dalam kalangan pelajar sekolah ialah pengaruh daripada rakan sebaya.  Gejala ini dikatakan berpunca daripada pengaruh rakan sebaya kerana pada zaman ini remaja lebih mengutamakan rakan sebaya dalam kehidupan mereka. Malah, ibu bapa dan guru tidak menjadi model dalam kehidupan remaja kini. Mereka lebih percaya dengan rakan yang seusia untuk berkongsi masalah. Pelajar yang bertubuh besar dan tegap suka membuli pelajar yang saiz tubuhnya lebih kecil. Kejadian membuli melibatkan sekumpulan pelajar dan biasanya usia mereka adalah sebaya. Tekanan rakan sebaya akan mendorong pelajar terpengaruh untuk mengikut  tingkah laku rakan mereka yang suka membuli. Sebagai contoh, Mohammad Afiq Qusyairi bin Baharuddin, seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah agama di Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang cedera selepas dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior di sekolah tersebut. Pelajar berkenaan telah mengalami kecederaan parah dan kemungkinan akan lumpuh kerana kecederaan yang dialaminya berkait rapat dengan saraf tunjang. Ironinya, kumpulan pelajar yang membelasah Mohammad Afiq disebabkan terpengaruh oleh rakan sebaya atau sekadar untuk berseronok-seronok tanpa memikirkan risiko yang bakal diterima kelak. Oleh hal  yang demikian, jelaslah kepada kita bahawa pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu punca yang menyumbang kepada berlakunya kejadian buli dalam kalangan pelajar sekolah.
          Pengaruh media massa turut menjadi punca berlakunya kes-kes buli. Media massa menyiarkan drama atau filem yang memaparkan aksi pergaduhan yang berbahaya lalu mendedahkan kepada pelajar yang menontonnya. Sebahagian besar penonton terdiri dalam kalangan remaja dan kanak-kanak. Mereka mudah terpengaruh oleh apa yang ditontoni oleh mereka dan meniru aksi-aksi yang dipertontonkan tanpa menyedari akibat daripada perbuatan mereka. Tayangan filem-filem aksi dan komik-komik yang dipasarkan mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat terutama golongan remaja yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah. Paparan aksi daripada filem-filem dan komik-komik ini sedikit sebanyak mempengaruhi perilaku remaja ini. Sambutan yang hangat dalam kalangan penonton dan pembaca terhadap filem atau cerita aksi ini menyebabkan stesen-stesen televisyen berlumba-lumba untuk menyiar dan menerbitkan filem berkenaan. Paparan melalui media cetak dan elektronik banyak memaparkan adegan buli. Walaupun pelbagai usaha dilakukan pihak kerajaan melalui FINAS menyekat kebanjiran filem asing terutama dari Hong Kong, Thailand, Indonesia, Singapura dan Hollywood masih ada lagi segelintir masyarakat yang cuba membawa pengaruh filem berkenaan. Lambakan filem aksi yang ada di pasaran mempengaruhi golongan remaja membeli dan menonton filem ini. Antara contoh filem-filem tempatan seperti  filem ‘Buli’,’ ‘Gengster’ ‘KL Menjerit’ dan dari luar negara seperti drama ‘Anak Metropolitan’, ‘Kiss Of The Dragon’ ‘Gen X Cops’ dan lain-lain. Melalui media cetak pula, komik-komik seperti ‘Pedang Setiawan’, ‘Juara Wira’ dan lain-lain banyak dipasarkan secara berleluasa. Maka, izharlah bahawa pengaruh negatif media massa akan menjadikan kes buli semakin serius. 

          Masalah desakan hidup juga menjadi punca berlakunya masalah buli. Hal ini dikatakan demikian kerana pengabaian ibu bapa terhadap tanggungjawab mendidik anak-anak sehinggakan mendorong mereka mencari kebebasan di luar rumah. Keadaan ini menyebabkan anak-anak mudah memberontak, menghadapi tekanan perasaan dan berasa kurang mendapat perhatian. Tekanan perasaan yang dialami oleh remaja disebabkan oleh desakan hidup seperti masalah kewangan, penderaan, kepincangan institusi keluarga dan kesunyian hidup menyebabkan mereka melepaskan tekanan perasaan dengan pelbagai cara seperti membuli rakan yang lain semata-mata dengan niat melepaskan kemarahan terhadap ibu bapa mereka. Pada 20 Mac 2005, Jeff Weise seorang pelajar di Red Lake High School, Minnesota, Amerika Syarikat telah mengamuk dan menembak lima orang rakannya, seorang guru dan seorang pengawal keselamatan. Persoalannya, adakah tindakan ini berpunca sama ada daripada tekanan perasaan atau desakan hidup dalam keluarga yang bermasalah?. Sudah pasti, jawapannya ya. Tegasnya, desakan hidup yang semakin mencabar menyebabkan remaja menghadapi masalah tekanan emosi lalu kes buli semakin sukar dikawal.

               Setiap penyakit pasti ada penawarnya kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Begitu juga dengan kes buli. Kes buli dapat ditangani dengan keprihatinan ibu bapa dalam mendidik anak-anak agar mereka tidak menconteng arang ke muka keluarga. Janganlah sebab nila setitik, rosak susu sebelanga. Peranan ibu bapa penting dalam menangani masalah buli. Penglibatan ibu bapa dalam menangani kes buli di sekolah kini menjadi semakin penting. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapalah merupakan asas permulaan pembentukan peribadi anak-anak sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Malahan, ibu bapa juga insan yang paling hampir dengan anak-anak. Ibu bapa boleh memberikan pendidikan agama kepada individu sejak kecil merupakan langkah berkesan untuk mengatasi masalah ini. Pendidikan agama penting kerana boleh melahirkan manusia yang bermaruah dan mengamalkan budi pekerti mulia. Di samping itu, ibu bapa perlu memantau pergerakan anak-anak bagi memastikan mereka tidak bergaul dengan rakan sebaya yang tidak bermoral. Sebagai contoh, ibu bapa perlu berbincang dengan guru jika didapati anak mereka bertukar sikap, menjadi pendiam atau kurang selera untuk makan.  Janganlah kita jadi seperti sudah terhantuk baru tengadah. Ringkasnya, peranan ibu bapa dalam menangani kes buli tidak boleh disangkal dan wajar bagi setiap ibu bapa menjadi ‘role model’ kepada anak-anak.

           Selain itu , pihak kerajaan juga bertanggungjawab memastikan kejadian buli tidak menular dalam kalangan masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak kerajaan merupakan badan yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan rakyat terpelihara terutamanya bagi insan yang kerdil lagi lemah iaitu golongan pelajar . Pihak kerajaan perlu memastikan undang-undang sedia ada dipatuhi dan dilaksanakan. Mendengar sahaja perkataan hukuman, naluri semula jadi seorang pelajar akan menjadi gerun ditambah dengan hukuman yang berat. Mereka akan mencuba sedaya upaya membendung niat mereka dan lama-kelamaan gejala buli ini akan pudar ditelan masa. Hukuman yang boleh dilaksanakan ialah sebatan mandatori, penjara, dihantar ke pusat pemulihan dan dibuang sekolah. Hukuman-hukuman berat seperti ini akan menjadi penahan dan penghalang terbaik kepada pelajar yang suka membuli. Di samping itu, pihak–pihak berwajib juga perlu menggembleng tenaga mengatasi gejala ini. Sebagai contoh, Jawatankuasa  Petugas Khas Menangani Gejala Disiplin di sekolah ditubuhkan ekoran kematian Muhammad Farid Ibrahim, pelajar tingkatan empat yang dipercayai dibuli oleh sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor, Ampangan, Seremban pada 28 Mac 2004. Oleh itu, sebagai institusi yang dipilih oleh rakyat untuk memerintah, kerajaan hendaklah berusaha menjamin keamanan dan keselamatan dengan mengambil langkah berkesan bagi membanteras gejala ini agar tidak menjadi barah dalam masyarakat dan menjadi seperti api dalam sekam.

         Seperkara lagi, pihak sekolah juga memainkan peranan yang signifikan dalam menangani kes buli di negara kita. Sekolah atau dikenali dengan alma meter merupakan tempat formal individu menimba ilmu. Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan merupakan langkah yang paling berkesan untuk mengekang masalah buli dan menjadi tunjang atau paksi utama yang dapat mengubati penyakit sosial ini. Pendidikan sekular secara formal juga perlu diberikan kepada anak-anak agar mereka dapat melalui perkembangan rohani, jasmani, emosi dan intelek secara seimbang, iaitu sebagaimana yang diaspirasikan oleh Falsafah Pendidikan Negara. Pendidikan yang sempurna dapat membuka minda seseorang dan membentuk sikap serta keperibadian yang lebih terbuka dan liberal. Pihak sekolah misalnya melalui pendekatan disiplin asertif  boleh menggariskan syarat kepada pelajar sekiranya mereka melakukan tingkah laku yang tidak wajar akan dikenakan hukuman. Tindakan fizikal kepada orang lain, bahasa yang menjatuhkan air muka orang lain, isyarat tidak wajar,  merosakkan harta sekolah, menentang pihak berkuasa atau terlibat dengan dadah membolehkan individu terbabit disabitkan kesalahan. Seterusnya, program yang memberikan penekanan kepada pendekatan penyelesaian masalah dan program antibuli perlu diterapkan di dalam kelas. Hal ini dikatakan demikian kerana di dalam kelas ialah tempat yang paling banyak berlakunya tingkah laku buli. Sebuah sekolah di Kuala Lumpur berjaya mengurangkan kejadian buli apabila guru besar sendiri menubuhkan kumpulan petugas khas dalam kalangan murid untuk memberi laporan kejadian buli di dalam kelas dan di dalam sekolah. Implikasinya, pendekatan ini mampu mengurangkan 80 peratus kejadian buli dalam tempoh dua bulan. Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa institusi pendidikan yang merupakan tempat formal untuk menimba ilmu mampu menangkis gejala buli daripada berleluasa. 

          Konklusinya, setiap masalah termasuklah kes buli pasti ada sebab musababnya dan jalan penyelesaiannya. Namun begitu, selagi masalah buli di negara kita masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-mata. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan bak kata peribahasa Melayu, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa di persada dunia. 


 
2. PONTENG SEKOLAH

            Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pelajaran, kes ponteng sekolah tercatat bilangan yang tertinggi berbanding dengan kes-kes disiplin yang lain. Menurut beliau, peningkatan kadar masalah disiplin di sekolah-sekolah Malaysia yang mendadak menimbulkan tanda tanya kepada pelbagai pihak mengenai pokok pangkal fenomena ini. Isu ini mula mendapat tempat di media massaapabila Pengarah Pelajaran sebuah negeri membuat kenyataan bahawa separuh daripada pelajar di sebuah sekolah ponteng pada hari Khamis dan Jumaat. Siapakah yang harus bertanggungjawab dalam hal ini? Apakah kepincangan sistem pendidikan kita? Adakah pihak ibu bapa lepas tangan dalam soal pendidikan atau, adakah gejala ini berpangkal daripada pengaruh rakan sebaya? Gejala ini dipandang berat kerana perlakuan tersebut memungkinkan seseorang pelajar hilang sifat bertanggungjawab, akan ketinggalan dalam pelajaran, dan yang paling dikhuatiri mereka akan melibatkan diri dengan kegiatan-kegiatan sosial yang negatif.  Persoalannya, apakah penentu-penentu perdana yang menyumbang kepada gejala ponteng sekolah atau bolos yang kian meruncing dalam kalangan pelajar kita ini?

            Antara penyumbang utama kepada gejala ponteng sekolah ialah kurangnya minat untuk bersekolah. Kebanyakan pelajar ini mempunyai pencapaian akademik yang rendah dan mereka juga malas untuk membuat latihan yang diberikan oleh guru dan mereka bukannya ulat buku. Mereka beranggapan bahawa hadir di sekolah merupakan satu bebanan kerana terpaksa belajar dari pagi hingga tengahari di samping terpaksa membuat pelbagai latihan dan kerja rumah yang diberikan oleh guru. Jalan penyelesaian yang dipilih oleh mereka adalah dengan ponteng sekolah. Pelajar dalam kategori ini lazimnya keluar rumah pada waktu pagi dengan memakai pakaian sekolah yang lengkap. Malangnya, destinasi pagi mereka bukan sekolah, sebaliknya mereka berkumpul di mana-mana tempat lain untuk berseronok-seronok. Di kawasan pekan atau bandar, tempat yang menjadi tumpuan utama pelajar seperti ini adalah pusat snuker atau pusat permainan video. Tegasnya, kurang kesedaran pelajar akan kepentingan menimba ilmu di sekolah akan menyebabkan minat pelajar ke sekolah semakin terhakis dan menjadikan masalah ponteng sekolah semakin meruncing.

            Selain itu, senario persekitaran rumah tangga yang tidak kondusif juga antara penyebab gejala ponteng sekolah. Rumah tangga yang porak-peranda ataupun institusi keluarga yang retak gara-gara perceraian ataupun tiadanya persefahaman antara ibu dengan bapa menyebabkan pelajaran anak terabai. Oleh sebab konflik dan tekanan jiwa, mereka langsung tidak mengambil berat tentang pelajaran anak mereka. Implikasinya, baik kerja-kerja rumah mahupun ulang kaji pelajaran tidak dipedulikan sehingga tercicir dalam pelajaran. Apabila terkandas dalam pelajaran, mereka akan memencilkan diri dan berjinak-jinak dengan rakan sebaya yang menghadapi masalah yang sama. Menurut Dr. Ting Chew Peh, segelintir pelajar yang membolos sekolah berkait rapat dengan keruntuhan rumah tangga. Beliau mengatakan bahawa kepincangan keluarga mempengaruhi pencapaian akademik kerana ibu bapa bersikap acuh tak acuh terhadap prestasi akademik anak-anak mereka. Implikasinya, kecenderungan mereka terhadap pelajaran terbantut sekali gus mencari jalan keluar untuk menangani kemelut itu dengan ponteng sekolah. Pendek kata, kepincangan rumah tangga menjejaskan akademik anak sekali gus mendorong mereka ponteng sekolah.

            Selain keadaan persekitaran yang tidak kondusif, kurangnya pemantauan ibu bapa yang seperti melepaskan batuk di tangga juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan anak-anak berani untuk ponteng sekolah. Sebilangan ibu bapa sibuk bekerja untuk mencari nafkah tambahan bagi anak-anak mereka sehingga mereka tidak menyedari serta mengambil tahu tentang aktiviti anak-anak mereka di luar rumah. Keadaan menjadi semakin rumit apabila sesetengah ibu bapa enggan datang ke sekolah bagi membincangkan permasalahan anak mereka. Hal ini menyulitkan lagi proses untuk menangani pelajar-pelajar yang bermasalah seperti ini. Tegasnya, sikap ibu bapa yang bertunjangkan nawaitu materialistik menjadikan masalah ponteng sekolah semakin meruncing.

            Pengaruh rakan sebaya yang menyumbang kepada berleluasnya gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar tidak dapat dinafikan. Kawan-kawan menjadi orang yang rapat dengan mereka; kawan yang baik boleh membimbing mereka ke arah kebaikan, namun jika tersilap langkah dalam memilih kawan, akan mempengaruhi mereka kepada perkara-perkara yang buruk, terutamanya ponteng sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja yang baru berumur setahun jagung, berdarah setampuk pinang terlalu mudah mempercayai rakan sebaya dan tidak dapat membezakan intan daripada kaca.  Menurut Prof. Dr. Fatimah Yusoff, seandainya mereka merasakan rakan-rakan mereka lebih rapat dan kononnya lebih memahami perasaan mereka, dengan mudah mereka mengikut mereka ponteng sekolah dan melepak di pusat beli-belah dan sebagainya. Mereka terlupa bahawa kawan juga kadangkala boleh makan kawan. Tegasnya, pengaruh rakan sebaya merupakan pokok pangkal berleluasanya gejala ponteng sekolah.

            Seperkara lagi, kepincangan sistem pendidikan turut mencetuskan masalah ponteng sekolah.  Dalam konteks ini, sistem pendidikan kita yang terlalu berorientasikan peperiksaan menyebabkan para pelajar, khususnya pelajar lembap dalam pelajaran, berasa tertekan.  Misalnya, isi kandungn sukatan pelajaran, iaitu mata pelajaran yang ‘mendesak’ pelajar supaya menghafaz fakta-fakta sejarah, geografi, pendidikan moral dan sebagainya. Mereka pun hilang kecenderungan untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Implikasinya, mereka yang lemah semangat dan keimanan mudah berputus asa akibat tidak dapat memberikan saingan kepada rakan-rakan pelajar yang lebih tekun dan cerdas. Buktinya, kes ponteng banyak membabitkan pelajar yang lemah berbanding dengan pelajar yang cerdas. Mereka pun bertindak untuk ponteng sekolah bersama-sama dengan rakan kerana tertinggal atau tercicir dalam bidang akademik. Dengan erti kata lain, gejala ponteng sekolah bertitik tolak daripada kelemahan sistem pendidikan kita.

            Intihanya, masalah ponteng sekolah disebabkan oleh faktor keluarga, rakan sebaya, dan sekolah. Sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak perlu berganding bahu dalam menangani masalah ini. Dalam hal ini, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta Unit Bimbingan dan Kaunseling haruslah memainkan peranan yang penting dalam usaha mencelikkan mata para pelajar bahawa gejala ponteng sekolah merupakan titik tolak kepada gejala-gejala sosial seperti merokok, arak, seks bebas, laku musnah, dadah, budaya samseng, dan sebagainya. Pihak kerajaan haruslah merombak sistem pendidikan, bukannya memansuhkan peperiksaan awam, agar tidak terlalu ‘mendera’ para pelajar dari segi mental dan emosi.  Dengan wujudnya kerjasama ini, bukan sahaja kita dapat mencapai ‘ponteng sifar’ bahkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat dilahirkan agar dapat bersaing di persada antarabangsa.



3. PEMBUANGAN BAYI

Hamka pernah mengungkapkan, “Anak adalah untuk zaman yang akan datang, bukan untuk zaman kita”. Setiap pasangan yang berkahwin sememangnya mengimpikan untuk mempunyai anak sama ada lelaki atau perempuan sebagai penyambung keturunan mereka di dunia ini. Anak yang dilahirkan akan dijaga dengan penuh kasih sayang sehingga ada yang sanggup berjaga siang dan malam demi anak tersayang. Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini kita selalu dihidangkan dengan berita pembuangan bayi yang dilakukan oleh segolongan manusia yang berjiwa binatang. Bayi yang dilahirkan dibuang bagaikan sampah di merata-rata tempat tanpa belas kasihan. Oleh sebab itu, punca-punca dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah pembuangan bayi akan dibincangkan demi kepentingan bersama.

Pada pendapat saya, punca utama yang menyebabkan pembuangan bayi ialah keruntuhan institusi kekeluargaan dalam masyarakat kita. Ibu bapa yang merupakan ketua keluarga telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka mendidik anak-anak menjadi insan yang bersahsiah dan berkeperibadian mulia. Mereka sibuk dengan tugas-tugas seharian sehingga anak-anak terabai. Anak-anak yang kekurangan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa mereka lebih cenderung untuk mencari keseronokan di luar rumah. Akibatnya, mereka terjebak ke kancah permasalahan sosial seperti melakukan seks bebas sehingga mengandungkan anak luar nikah. Pada masa itu, barulah mereka sedar bahawa mereka sudah terlanjur dan jalan terbaik untuk menyelesaikan permasalahan tersebut adalah dengan membuang bayi yang dikandungkan. Mereka melakukan perbuatan terkutuk ini adalah untuk menyembunyikan perbuatan keji mereka daripada pengetahuan ibu bapa. Jelaslah bahawa kerapuhan institusi kekeluargaan merupakan punca perdana berlakunya masalah pembuangan bayi di negara kita.

            Seterusnya, masalah pembuangan bayi juga berlaku disebabkan golongan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Sewaktu bercinta semuanya indah belaka sehingga si wanita sanggup menyerahkan segalanya untuk membuktikan kesetiaan dan cinta kepada pasangan mereka. Mereka mudah lemah kepada pujuk rayu kekasih hati yang kononnya berjanji mahu sehidup semati dengan mereka. Akhirnya, mereka rela bersekedudukan dengan pasangan bagaikan pasangan suami isteri walaupun tiada ikatan perkahwinan. Setelah si wanita hamil maka berlakulah konflik dalam kehidupan kerana si lelaki mahu melepaskan diri daripada tanggungjawab. Wanita yang hamil tersebut dipaksa untuk membuang atau menggugurkan bayi dalam kandungan demi menutup aib kerana mengandungkan anak luar nikah. Sekiranya tidak mahu berbuat seperti yang diarahkan, mereka akan ditinggalkan. Dalam situasi sebegini, si wanita tiada pilihan lain selain menurut kehendak pasangan mereka, bak kata pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapa.

            Selanjutnya, masalah pembuangan bayi semakin berleluasa di negara kita disebabkan bertambahnya pusat-pusat hiburan di negara kita terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Remaja lelaki dan perempuan biasanya berkumpul di pusat-pusat hiburan ini pada setiap hujung minggu. Mereka bergaul bebas antara lelaki dan perempuan sambil meminum minuman keras. Dalam keadaan separuh sedar, remaja perempuan biasanya mudah digoda oleh remaja lelaki. Golongan remaja sebegini tidak berfikir panjang dalam melakukan sesuatu kerana bagi mereka yang penting ialah keseronokan. Perlakuan seks bebas yang berleluasa di pusat-pusat hiburan menyebabkan ramai remaja yang terpengaruh sehingga ada dalam kalangan mereka yang mengandungkan anak luar nikah. Apabila sudah mengandung barulah mereka sedar kesilapan diri, ibarat kata pepatah, sudah terhantuk baru nak tengadah. Walau bagaimanapun, segalanya sudah tidak berguna kerana nasi sudah menjadi bubur. Akibatnya, mereka mengambil keputusan mudah iaitu membuang bayi yang dikandungkan.

Bagi mengatasi masalah ini, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling hendaklah diperluas dalam kalangan remaja yang bermasalah. Remaja perempuan yang sudah terlanjur sehingga mengandungkan anak luar nikah hendaklah dibantu bukannya disisihkan dan dicerca. Ibu bapa hendaklah membawa mereke berjumpa dengan kaunselor untuk memulihkan semangat dan keyakinan mereka sehingga anak yang dikandungkan dilahirkan dengan sempurna. Kita harus tahu bahawa setiap insan melakukan kesalahan, ibarat kata pepatah, bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora. Jika kita prihatin terhadap permasalahan mereka, sudah pasti mereka tidak akan kehilangan arah dan hilang pertimbangan. Oleh itu, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling hendaklah diperhebat dan lebih mesra remaja agar mereka tidak segan-segan menceritakan masalah dengan kaunselor apabila mereka berhadapan dengan situasi sebegini.

Selain itu, ibu bapa harus menilai semula peranan mereka sebagai ketua keluarga. Mereka tidak boleh terlalu materalistik sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada anak-anak. Mereka harus meluangkan masa pada setiap hari untuk berkomunikasi dengan anak-anak agar mereka tidak kehilangan tempat untuk mengadu. Para ibu bapa harus sedar, wang ringgit yang diberikan kepada anak-anak tidak dapat dijadikan penganti diri kerana wang ringgit itulah yang boleh menghancurleburkan kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah ambil tahu segala aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka di luar rumah. Mereka tidak boleh lepas tangan kerana malang tidak berbau. Ruang kebebasan yang diberikan terlalu banyak boleh membuka ruang kepada anak-anak terpengaruh dengan pelbagai gejala sosial di luar rumah. Jika kita mahu mengatasi masalah pembuangan bayi hingga ke akar umbi, peranan ibu bapa hendaklah diperkasakan semula kerana pendidikan seharusnya bermula dari rumah.

Konklusinya, masalah pembuangan bayi merupakan masalah yang memerlukan komitmen semua pihak untuk mengatasinya. Kita hendaklah berganding bahu membenteras masalah ini sehingga ke akar umbi ibarat kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Pihak kerajaan hendaklah mengadakan pelbagai program yang bermanfaat untuk golongan remaja agar masa lapang mereka terisi dengan aktiviti yang bermaslahat. Remaja tidak boleh dibiarkan sendirian mengemudikan kehidupan mereka kerana mereka bukanlah nakhoda profesional. Apabila dihempas gelombang, mereka pasti akan karam. Oleh itu, didikan keagamaan hendaklah dipasak teguh dijiwa mereka pada setiap masa sebagai panduan yang berguna agar mereka tidak hidup bertuhankan nafsu nafsi semata-mata. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan remaja Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang akan menjadi realiti dan masalah pembuangan bayi tidak lagi menghantui masyarakat kita. 


2. 

7 comments: