Di rumah Pak Cik Aziz perbincangan tentang pengambilalihan Chalet Iwana-Iwani sedang berjalan rancak. Pak Cik Aziz menerangkan punca dia diisytiharkan muflis kerana penyelewengan yang dilakukan oleh pekerja-pekerjanya. Ghazi dan Waheeda amat berminat untuk membantu Pak Cik Aziz untuk mengambil alih Chalet Iwana-Iwani di Cameron Highlands setejah pergi melihat sendiri esok. Urusan mengambil alih berlaku dan urusan dengan Bank Rakyat berjalan lancar. Dalam pada itu Waheeda menyuarakan hasratnya untuk tinggal di Cameron Highlands kepada Ghazi. Dia ingin melupakan kenangan pahit antara dia dan Zahid di Tajau Emas dan Seri Gading. Dia mengharapkan Tajau Emas dapat diuruskan oleh Ghazi dan keluarga. Chalet Iwana-Iwani diberi nama baharu dan Waheeda mengharapkan anaknya Izzati akan menjejak langkahnya menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya.
BAB 22: BAGAIKAN AIR GUNUNG
Sambil dia berehat, Waheeda teringat akan laporan DNA yang disimpannya berpuluh-puluh tahun dahulu. Laporan itu membuktikan bahawa Izzati ialah anaknya dan Zahid. Dia membacanya. Tanpa disedarinya Izzati hadir menunjukkan gambar-gambar yang diambilnya semasa dia menerima Ijazah. Mereka terus berbincang tentang rupa paras masing-masing. Izzati hairan melihatkan wajahnya tidak secantik ibunya. Hidungnya penyet tetapi hidung ibunya mancung. Namun Waheeda terus menguatkan keyakinan diri anaknya bahawa kecantikan rupa paras tidak semestinya membawa bahagia malah kecerdikan otak amat perlu. Waheeda terus mengharapkan Izzati terus bersyukur kerana Allah mengurniakannya otak yang pintar. Dengan kebijaksanaan dan kelulusan Izzati dalam bidang pelancongan, Chalet Aya-Sajinah (nama baru kepada Chalet Iwana-Iwani) telah berkembang maju dan dikunjungi oleh ramai pelancong dari dalam dan luar negeri. Rezeki yang diterima oleh Waheeda dan Izzati melimpah-ruah bagaikan curahan air dari gunung. Keterampilan Izzati mengendalikan Aya-Sajinah terbukti apabila pada suatu pagi Lais melihat Izzati menghormati dua orang pelancong warga emas yang mula mendaftar di chalet itu.
BAB 23: SEJUK-SEJUK TROPIKA
Pada petang itu, Zahid dan Aiman menghabiskan masa santai di Cafe Iwani. Sambil menghirup kopi panas dan menikmati kesegaran udara di situ, Zahid menceritakan kisah hidupnya kepada Aiman. Bermula dengan kecantikan bekas isterinya, kecurigaannya akan kesetiaan, kelahiran anaknya yang tidak langsung serupa dengan wajahnya dan isterinya sehingga tindakannya menceraikan isterinya. Aiman baru saja mengetahui bahawa Zahid sudah keseorangan semula sekarang. Zahid juga mengatakan bahawa kecantikan itu hanyalah tirani. Zahid juga mengakui bahawa kesempurnaan fizikal juga hanya sementara, kerana pada bila-bila masa manusia boleh menjadi cacat sebagaimana dirinya yang menjadi tempang akibat kemalangan.
Lais juga mengajak Izzati berada di kaunter pada waktu malam untuk mendengar perbualan antara dua orang tetamu mereka yang mendaftar pagi tadi. Izzati bersetuju untuk menemani Lais selepas waktu isyak di kaunter. Pada malam itu, Zahid dan Aiman masuk ke cafe. Zahid sempat bertembungan mata dengan Lais dan Izzati di kaunter. Wajah dan senyuman Izzati amat meninggalkan kesan di hati Zahid dan menyatakan kepada Aiman bahawa gadis di situ anggun. Perbualan antara Aiman dan Zahid berkisar tentang kekesalan Zahid yang menceraikan isterinya akibat curiga dan menuduh isterinya curang melahirkan anak yang tidak mewarisi wajah mereka berdua. Zahid juga menceritakan kepada Aiman tentang sikapnya yang tidak mahu membaca laporan data DNA tentang anak mereka. Zahid juga kesal kerana telah ditimpa kemalangan jalan raya di Los Angeles mengakibatkan kakinya tempang dan doktor mengesahkan bahawa dia tidak lagi berdaya mendapat zuriat. Izzati yang mendengar terkedu. Ketika ingin membuat pembayaran di kaunter, Zahid sempat menenung wajah Izzati dengan satu tenungan yang agak berlainan dan menyatakan bahawa apabila dia memandang wajah Izzati dia teringat akan anaknya. Apabila ditanya, Zahid mengatakan anaknya bernama Izzati. Izzati terharu dan terkejut. Izzati pulang dengan wajah yang agak pelik dan berlainan menyebabkan Waheeda juga agak hairan melihat tingkah laku anak gadisnya itu.
BAB 24: KAMA HATI
Sekembalinya ke bilik pada malam itu, Zahid amat sukar melelapkan mata. Ingatannya terpaku kepada gadis di cafe tadi, yang benar-benar menggugat fikirannya. Zahid amat menyesali dirinya yang enggan melihat laporan DNA dulu sekurang-kurangnya dia akan pasti anak itu anaknya atau bukan. Zahid memohon agar Allah memberi petunjuk kepadanya. Pada pagi esoknya, Zahid muncul awal di Restoran Iwana. Harapannya akan dapat melihat wajah Izzati dengan lebih dekat lagi. Akhirnya pertemuan Zahid dengan Izzati mengungkapan rasa kesal, sedih, dan reda kerana gadis yang dilihatnya dalam tiga hari itu ialah anaknya yang selama ini dirinduinya. Zahid juga ingin menemui Waheeda untuk meluahkan perasaan rindu, kesal dan bersalah akibat tindakannya mengabaikan dan meninggalkan Waheeda dan Izzati selama 20 tahun. Pertemuan Zahid dan Waheeda pada petang itu dalam suasana marah, kesal, sedih dan sayu seolah-olah Waheeda tidak mahu memaafkannya. Namun Waheeda berasa amat bertuah kerana Allah telah mengurniakan seorang anak yang sangat mulia jiwanya dan meminta ibunya memaafkan ayahnya.
∞∞∞∞∞∞∞∞∞∞∞ TAMAT ∞∞∞∞∞∞∞∞∞∞∞