Dato’ Dr.
Fadzilah Kamsah pernah menekankan bahawa kehidupan bermasyarakat merupakan satu
ciri signifikan dalam kamus hidup rakyat Malaysia. Malangnya, semangat
kehidupan bermasyarakat dan nilai-nilai kemasyarakatan, terutamanya konsep jiran sepakat membawa berkat
dalam kalangan masyarakat kita semakin terhakis. Menurut beliau, mereka hidup
berkonsepkan enau dalam belukar melepaskan
pucuknya masing-masing. Pandangan beliau ini memang tidak dapat
disangkalkan lagi kerana rakyat kita tidak merasakan diri mereka
bertanggungjawab untuk mengetahui keadaan sekitar rumah mereka sama ada rumah
jiran dimasuki pencuri, anak jiran menghidu gam, isteri jiran curang, anak
jiran menjadi mangsa penderaan ataupun anak gadis jiran lari dari rumah. Jadi,
langkah-langkah proaktif dan pragmatik haruslah diambil dalam usaha
menghidupsuburkan semangat kehidupan bermasyarakat sebelum kudis menjadi tokak.
Kehidupan
bermasyarakat dapat diamalkan menerusi semangat kejiranan. Antara
amalan ini termasuklah amalan bertegur sapa sesama jiran, meluangkan masa untuk
bertandang ke rumah jiran, menghulurkan bantuan kepada jiran, aktiviti
bergotong-royong seperti berderau, perkelahan keluarga, dan aktiviti riadah.
Semangat ini dapat menjalin persaudaraan, mewujudkan keharmonian, memupuk
perpaduan, dan melahirkan masyarakat yang prihatin. Apabila jiran tetangga
ditimpa nasib malang, seperti mangsa kebakaran, kita bukan sahaja perlu
menyumbangkan wang ringgit malah memberikan sokongan moral. Dengan ini, konsep berat mata memandang, berat lagi
bahu memikul terpupuk dalam lubuk kalbu masyarakat. Apabila tanah sawah
diusahakan secara berderau, kerja yang berat dapat diringankan bak kata pepatah
berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Lebih-lebih lagi, bertandang
ke rumah jiran tetangga pada hari perayaan mahupun kenduri perkahwinan dapat
menjalin tali persahabatan yang erat. Dengan erti kata lain, semangat kejiranan
dalam pelbagai aspek kehidupan dapat mewujudkan kehidupan bermasyarakat.
Sistem hidup bermasyarakat juga dapat dihidupsuburkan melalui majlis-majlis
sosial dan perayaan. Kegiatan-kegiatan sosial dapat memupuk konsep bulat air dek pembetung, bulat manusia
dek muafakat dan ke bukit
sama didaki, ke lurah sama dituruni dalam kalangan penduduk setempat.
Antara aktiviti kemasyarakatan yang menekankan konsep hidup bermasyarakat
termasuklah Hari Keluarga, Rumah Terbuka, dan sebagainya. Dalam hal ini,
masyarakat tidak seharusnya melibatkan ahli-ahli keluarga sahaja, sebaliknya
haruslah meluaskan skopnya dengan membabitkan seluruh masyarakat setempat,
sanak saudara, dan sahabat handai. Dalam menjayakan majlis-majlis tersebut,
semua anggota masyarakat berganding bahu menyediakan juadah dan minuman,
mendirikan tenda, dan menyusun atur kerusi meja untuk tetamu. Dalam situasi
inilah, rakyat dapat berinteraksi dan berkomunikasi sekali gus mempererat tali
silaturahim antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit, budaya, agama,
adat, dan kepercayaan, di samping memeriahkan suasana majlis ataupun perayaan
lagi. Pendek kata, aktiviti-aktiviti sosial perlu diperbanyak dan dipergiat
demi menyuburkan budaya bermasyarakat dalam kalangan warga desa mahupun warga
bandar.
Selain itu, budaya hidup bermasyarakat dapat dipupuk melalui didikan
agama dan moral. Dalam masyarakat Melayu tradisional, umpamanya, fungsi
dan tanggungjawab jiran dianggap penting dari segi agama. Hal ini dikatakan demikian
kerana agama menegaskan keperluan yang dipikul bersama oleh semua anggota
masyarakat bagi menunaikan sesuatu ibadat. Ketika menyambut Hari Raya Aidiladha
ataupun Hari Raya Korban, umat Islam menggembleng tenaga untuk menyembelih
korban untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Dari perspektif yang lain pula,
semangat kejiranan dapat diterapkan melalui didikan moral. Dalam konteks ini,
pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam memupuk dan menyemaikan
semangat bekerjasama dan bertolak ansur dalam kalangan warga sekolah. Melalui
kempen gotong-royong, warga sekolah bukan sahaja akan membantu menceriakan
pekarangan sekolah malah menjalin tali ukhuwah antara satu sama lain. Dengan
ini, kehidupan bermasyarakat akan menjadi sebati atau menjadi darah daging
masyarakat kita. Pendek kata, didikan agama dan moral yang mantap dalam
sanubari masyarakat juga merupakan uslub yang berkesan untuk menyuburkan amalan
kehidupan bermasyarakat di negara kita ini.
Akhir sekali, masyarakat sendiri perlu mempunyai kesedaran untuk berubah. Dalam mencipta satu resipi
makanan misalnya, kita memerlukan bahan yang benar-benar berkualiti bagi hasil
yang memberangsangkan. Begitu juga dengan amalan kemasyarakatan yang ingin
dibentuk. Kita memerlukan unit masyarakat yang syumul dan mahukan perubahan.
Nescaya, kerjasama dan sinergi yang ampuh antara ahli masyarakat amat
diperlukan bagi memanifestasikan sebuah komuniti yang bersatu. Janganlah
menjadi seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Malah, hasil
kajian Jabatan Perpaduan Malaysia menunjukkan sikap mementingkan diri merupakan
faktor utama kelunturan semangat kemasyarakatan. Izharlah bahawa sesebuah
organisasi masyarakat itu perlu bersedia melakukan anjakan paradigma demi
kebaikan bersama.
Sebagai
intiha, kehidupan bermasyarakat dapat menjadi realiti sekiranya langkah-langkah
yang dibincangkan dipraktikkan oleh segenap lapisan masyarakat. Semangat ini
dapat mendorong terjalinnya hubungan baik antara kaum dan mewujudkan integrasi
kaum. Perpaduan kaum akan membolehkan rakyat Malaysia hidup harmoni dan sejahtera,
bak kata pepatah bersatu kita teguh,
bercerai kita roboh. Jadi, semua pihak sewajarnya menjadikan kehidupan
bermasyarakat sebagai agenda kehidupan demi menikmati kebahagiaan, kemakmuran,
keamanan, dan kemajuan. Dengan ada kesedaran ini, bunga-bunga kesejahteraan,
kegemilangan dan keharmonian akan mekar di empat pojok di tanah tumpah darah
kita. Tidak ketinggalan juga, konsep 1Malaysia dan Wawasan 2020 akan menjadi
kenyataan dan kita dapat duduk sama
rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa maju yang lain di
persada antarabangsa
Cadangan
isi:
1.
Semangat kejiranan
2.
Majlis-majlis sosial dan perayaan
3.
Didikan agama dan moral
4.
Kesedaran untuk berubah
5.
Suri teladan daripada ibu bapa
6. Kempen melalui media massa
7. Pengisian kurikulum dan kokurikulum di sekolah
Assalamualaikum cg.
ReplyDeletekeselamatan dan keharmonian hidup dalam sesuatu ekonomi masyarakat bergantung pada kemuafakatan hidup berjiran.ulas pernyataan tersebut.ni karangan bebas ke??kalau ulas tntg kebaikan hidup berjiran boleh tak?? atau karangan cg ni bleh tak masukkan dlm krgn saya.tk