Sedasawarsa
ini, pelancongan desa merupakan industri perkhidmatan yang kian berkembang
pesat di negara kita. Pada tahun 2000, purata pelancongan yang berkunjung ke
Malaysia dianggarkan sebanyak 10.2 juta orang. Senario ini menjadikan Malaysia
sebagai negara ketiga paling banyak menerima pelancong Asia Timur selepas China
dan Hong Kong. Lantaran itu, pelancongan desa telah juga mendapat tempat di
mata pelancong asing. Pelancongan desa dapat memberikan pengalaman kepada
pelancong supaya menghargai kehidupan di kampung dan menikmati kebudayaan dan
adat resam sesuai dengan peribahasa masuk kandang kambing mengembek, masuk
kandang kerbau menguak. Pelancongan desa akan bertambah maju sekiranya
pelbagai pihak memainkan peranan penting untuk memajukan industri ini.
Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh kerajaan untuk
memajukan industri ini agar terus berkembang maju?
Minhaj
pertama yang perlu dilaksanakan untuk memajukan pelancongan desa ialah pihak
kerajaan perlu mengadakan kempen melalui media massa dan media elektronik.
Melalui kempen yang dilaksanakan, keunikan dan kelebihan sesebuah desa dapat
disebarkan kepada masyarakat tempatan dan pelancong asing dengan cepat. Dengan
memanfaatkan kecanggihan teknologi yang ada pada masa kini, kerajaan boleh
membina laman sesawang yang mengandungi pelbagai informasi tentang keistimewaan
sesebuah desa di negara kita untuk disebarkan kepada masyarakat luar. Sekiranya
pihak kerajaan memandang enteng dan bersikap lepas tangan dalam usaha
untuk memajukan sektor pelancongan desa, maka industri ini akan terus hilang
ditelan zaman justeru dapat mengurangkan pendapatan penduduk kampung. Oleh itu,
pelaksanaan kempen merupakan langkah pragmatik dalam usaha memajukan
pelancongan desa agar industri ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
ditelan arus kemodenan.
Minhaj
seterusnya untuk memajukan pelancongan desa agar terus berkembang ialah pihak
kerajaan melalui Kementeriaan Pelancongan dan Kebudayaan di bawah pimpinan Datuk Seri Nazri Aziz haruslah menyediakan dan mencekapkan
infrastruktur di negara kita. Dengan adanya kelengkapan infrastruktur yang
sempurna dan kondusif, sudah pasti negara kita akan menjadi destinasi utama
kepada pelancong-pelancong asing. Selain itu, kemasukan pelancong asing akan
dapat meningkatkan ekonomi industri desa di negara kita melalui pengaliran mata
wang asing. Pihak kerajaan juga seharusnya mengeluarkan dana untuk diagihkan
kepada wakil-wakil di setiap negeri bagi menaik taraf infrastuktur seperti
rumah penginapan, siber kafe, bekalan air bersih, kafe dan kemudahan asas yang
lain. Cuba kita bayangkan bagaimana reaksi pelancong asing yang melancong ke
negara kita jika kerajaan tidak mengambil berat terhadap kemudahan
infrastruktur? Seandainya pihak kerajaan menjalankan tanggungjawab seperti melepaskan
batuk di tangga, maka industri desa akan terus berada pada takuk yang
sama. Tegasnya, pihak Kementeriaan Pelancongan perlulah menyediakan dan
mencekapkan infrastruktur agar industri desa di negara kita terus berkembang
maju.
Selain
itu, pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan kerjasama pihak
pengurusan inap desa perlu menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi sebagai satu
minhaj untuk memajukan industri pelancongan desa di negara kita.
Aktiviti-akitiviti rekreasi perlu dilaksanakan dengan lebih efektif kerana
aktiviti tersebut merupakan daya tarikan utama kepada pelancong asing mahupun
pelancong tempatan untuk menyertai aktiviti yang dijalankan sekaligus
meningkatkan industri pelancongan desa. Pihak pengurusan inap desa boleh
menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi. Sebagai contoh, mereka boleh
memperkenalkan permainan tradisional masyarakat Melayu seperti gasing, congkak,
wau, dan sebagainya. Mereka juga boleh mengadakan pertandingan tarian, aktiviti
menuai padi, dan pertandingan membuat kraf tangan. Di samping dapat
memperkenalkan budaya tempatan kepada pelancong asing, aktiviti ini juga dapat
mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mereka. Melalui aktiviti ini,
banyak nilai murni dapat diserap dalam jiwa pelancong-pelancong kerana ketika
menyertai aktiviti-aktiviti tersebut mereka diasuh untuk saling membantu ibarat
hati
gajah sama dilapah,hati kuman sama dicecah. Seandainya aktiviti
rekreasi tidak dilaksanakan dengan penuh komitmen, sudah pasti industri
pelancongan desa akan terus mundur dan berada di takuk lama. Tegasnya, kerjasama
pihak kerajaan dengan pihak pengurusan inap desa dalam menyediakan pelbagai
aktiviti rekreasi juga antara uslub penting untuk memajukan industri
pelancongan desa di negara kita.
Di
samping itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan juga haruslah
memainkan peranan mereka dengan mempromosikan kawasan pelancongan di desa
kepada pelancong dalam dan luar negeri. Selain itu, untuk meningkatkan
keberkesanan promosi ini lagi, pihak kerajaan juga haruslah bekerjasama dengan
agensi-agensi kerajaan dan swasta untuk meningkatkan kehadiran pelancong dalam
negara kita ini lagi. Pihak Kementerian Pelancongan haruslah menitikberatkan
perkara ini kerana tidak banyak rakyat Malaysia dan pelancong asing mengenali
kawasan-kawasan yang strategik untuk melancong dan melawat kawasan desa di
negara kita. Lebih-lebih lagi, ekonomi negara Malaysia juga bergantung kepada
sektor pelancongan dengan pertambahan pelancong dari luar dan dalam negara dan
secara tidak langsung dapat meningkatkan sumber ekonomi negara kita lagi.
Langkah
seterusnya yang dapat diambil untuk mempromosikan kawasan pelancongan di desa
adalah dengan mengadakan kempen. Pihak kerajaan dan pihak media massa juga
haruslah memainkan peranan mereka dalam menjayakan kempen pelancongan ini
dengan menyiarkan dan memaparkan lokasi-lokasi di desa yang strategik untuk
dijadikan kawasan pelancongan. Pihak kerajaan haruslah campur tangan dalam hal
ini dengan mengadakan festival-festival seni dan kebudayaan di kawasan-kawasan
desa yang terpilih untuk menambah minat pelancong lagi untuk mengenali dengan
lebih mendalam tentang kebudayaan dan adat resam sesebuah masyarakat di desa
itu. Secara tidak langsung, pelancong akan mengunjungi kawasan itu untuk
mengetahui dengan lebih mendalam lagi tentang kebudayaan di situ bak kata
pepatah, tak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh, untuk menarik minat
kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara adalah dengan mengadakan pesta
wau, pesta mencanting batik dan pesta kebudayaan masyarakat di kawasan desa
itu. Seandainya langkah untuk mempromosikan kawasan pelancongan di desa tidak
diambil serius oleh pihak kerajaan, kempen Cuti-cuti Malaysia dan Tahun Melawat
Malaysia tidak dapat dijayakan, seterusnya menjatuhkan kekukuhan sektor
pelancongan di negara kita. Tegasnya, peranan pihak kerajaan mempromosikan
kawasan pelancongan di desa kepada pelancong dalam dan luar negeri dapat
menambahkan kehadiran pelancong di negara ini.
Minhaj
seterusnya, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan perlu membangunkan
kawasan desa sebagai langkah untuk memajukan industri pelancongan desa. Berdasarkan
kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa masih terdapat banyak tempat
menarik di Malaysia yang mampu dieksploitasi sebagai tempat pelancongan
khususnya di kawasan-kawasan desa. Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa
tempatan seharusnya mengambil langkah proaktif dengan membangunkan sesebuah
desa menjadi sebuah pusat pelancongan. Pihak kerajaan bolehlah mendirikan
sekurang-kurangnya satu industri dalam sesebuah desa seperti industri
pemprosesan makanan, batik dan kraf tangan. Industri desa haruslah
diperkembangkan supaya tak lapuk dek hujan tak lekang dek
panas serta dapat memberi pulangan yang lumayan dalam industri
pelancongan. Andainya kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan mengambil
langkah sebegini, maka industri pelancongan desa di negara kita dapat terus
berkembang maju. Tegasnya, untuk memajukan industri desa, kerajaan negeri
melalui pihak berkuasa tempatan hendaklah membangunkan kawasan desa sebagai
salah satu pusat pelancongan desa.
Secara
intihanya, peranan pihak kerajaan sangat signifikan dalam memajukan industri
pelancongan desa di negara kita. Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan
bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang
kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju
negara maju dalam abad ini. Selain sudut komersial pelancongan, peningkatan
kunjungan pendatang luar ke negara ini dengan sendirinya dapat memakmurkan
Malaysia di mata dunia luar. Oleh itu, kita sepatutnya mengusahakan industri
pelancongan desa di negara kita dengan sebaik-baiknya. Jadi, semua pihak
haruslah memainkan peranan dan bekerjasama bagai aur dan tebing dalam
merealisasikan modus operandi untuk memajukan pelancongan desa di negara kita.
Diharapkan kemajuan industri desa yang turut menggerakkan kemajuan sektor
pelancongan dapat menangkis pandangan negatif negara-negara Barat yang suatu
ketika dahulu pernah mengatakan negara kita sebagai sebuah negara yang penduduknya
tinggal di atas pokok dan bercawat. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah
matahari terus bersinar dan biarlah industri pelancongan negara dapat menaikkan
nama negara di mata dunia walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di
atas peta.
No comments:
Post a Comment