Setelah
menghela nafas kemerdekaan selama 57 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas
daripada cengkaman penjajah begitu pesat membangun bagaikan cendawan
tumbuh selepas hujan. Sehubungan dengan hal itu, peribahasa ada
menyebut bahawa, ada bukit, ada
paya, namun kita tidak boleh mendabik dada kerana di
sebalik kemajuan yang sedang dikecapi, negara kita masih lagi terkongkong dalam
gelombang inflasi yang semakin rumit. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan
sering meniti di bibir masyarakat, tetapi pernahkah terlintas dalam benak
fikiran kita, apakah yang dimaksudkan dengan inflasi? Mengikut penjelasan
yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, inflasi didefinisikan sebagai
keadaan kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh bertambahnya kuasa
membeli. Oleh itu, masalah ini tidak boleh dipandang remeh dan formula
penyelesaian harus diimplimentasikan untuk merungkai masalah ini bak kata
peribahasa, tak ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang tak
dapat dituruni.
Setiap
penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap masalah ada jalan penyelesaian
yang berkesan, oleh itu, pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif
dengan menganjurkan kempen berhemat secara istiqamah dan konsisten ke
seluruh pelosok negara dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga.
Memetik
kata-kata azimat Lootze, kehidupan membazir dan tamak haloba mendorong
manusia ke arah kebinasaan. Lantaran itu, kempen tersebut haruslah
menekankan kepentingan amalan berjimat cermat supaya nilai murni ini dapat
dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Tindakan yang lebih
afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan
sendiri ibarat mengukur baju di badan sendiri dan usahlah bersikap
membesarkan kerak nasi. Cara berbelanja dengan mengikut hawa
nafsu akan membawa padah yang buruk kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, ikut
nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Bukan itu sahaja,
pihak kerajaan juga harus mengadakan pertandingan yang dapat menarik
penyertaaan khalayak seperti sayembara puisi, menulis esei, persembahan artis
dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan kempen tersebut. Jelaslah bahawa
penganjuran kempen berhemat secara berterusan dan holistik merupakan perisai yang
ampuh untuk merungkai masalah kenaikan harga barangan.
Jika satu
pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk menyelesaikan sebarang kesulitan
yang berlaku di negara kita termasuk isu kenaikan harga barang. Namun begitu.
kita tetap melihat dan kemudiannya menyesal kerana pintu penyelesaian itu
tertutup terlalu lama sehingga kita tidak dapat melihat pintu lain yang telah
terbuka. Begitulah gambaran implikasi daripada kata-kata mutiara Alexander
Graham Bell, seorang ahli sains dan matematik Barat yang menunjukkan bahawa
setiap masalah pasti ada cara yang berkesan untuk mengatasinya. Sebagai
kesinambungan idea, tindakan agensi bukan kerajaan atau NGO melindungi
hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan
langkah konkrit yang patut dilaksanakan sepanjang masa. Organisasi atau agensi
yang menyokong peranan kerajaan ini seperti Gabungan Persatuan Pengguna
Malaysia atau FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP, telah
mendukung obligasi untuk melindungi hak para pengguna. Pihak-pihak ini
berperanan untuk menerima sebarang aduan dan menyiasat segala permasalahan yang
dihadapi termasuklah masalah kenaikan harga barangan keperluan, penjualan
barangan yang telah luput tarikh, caj perkhidmatan yang melampau dan sebagainya.
Seterusnya FOMCA dan CAP haruslah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk
memastikan hak golongan pengguna akan terpelihara dan tidak mudah dieksploitasi
oleh peniaga-peniaga yang licik dan tidak bertanggungjawab.
Organisasi-organisasi ini haruslah menjalinkan hubungan ukhuwah ibarat
seikat bak sirih, serumpun bak serai dan kita juga berpegang pada falsafah
Confusius, apakah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi kita
lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita tetap
sama. Deduksinya, melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga
barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan tindakan efektif oleh agensi bukan
kerajaan atau NGO.
Tokoh
psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa tiada masalah yang tidak boleh
diselesaikan, sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah adalah kosong.
Kata-kata ini memang ada kebenarannya dan semua rakyat di negara ini perlu
berpijak di bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi mesti ada uslub
dan minhaj yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, pihak
berkuasa seharusnya sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas
terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa
memperoleh kelulusan daripada pihak berwajib. Pegawai kerajaan berkaitan juga
haruslah memainkan peranan yang penting untuk mengadakan pemeriksaan secara
mengejut ke premis-premis perniagaan dari semasa ke semasa untuk memastikan
para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap
seperti lintah darat. Sementelahan itu, pihak kerajaan juga
haruslah melunaskan tanggungjawab yang terletak di atas pundak mereka untuk
menggubal, mengkodifikasikan seterusnya menguatkuasakan undang-undang secara
serius dan telus supaya dapat memberi peringatan kepada golongan peniaga.
Mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan atau memasang lukah
di pergentingan hendaklah didakwa di mahkamah agar kesalahan sebegini
tidak berulang ibarat pisang berbuah dua kali. Oleh itu, usaha
pihak berkuasa yang sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas
terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab dapat mengekang masalah kenaikan
harga barangan di pasaran.
Lampu
Aladdin tidak akan bersinar sendiri, tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih
dahulu, persis ungkapan kata Alex Osborn telah membuktikan bahawa
kejayaan semanis madu tidak akan terjana tanpa curahan usaha yang
bersungguh-sungguh kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tak
dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hakikatnya, media massa
juga menggalas kewajipan untuk menyebarluaskan informasi berkaitan ilmu
kepenggunaan merupakan prakarsa bagi menangkis masalah kenaikan harga barang.
Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa ilmu kepenggunaan dalam kalangan
masyarakat Malaysia masih kurang meluas dan berada di takuk yang lama. Oleh
itu, tidak hairanlah sekiranya segelintir golongan peniaga yang mengutamakan
keuntungan akan bersikap ibarat menangguk di air keruh, menindas
gologan pengguna yang tidak berdosa. Oleh hal yang sedemikian, media massa
haruslah menyumbang tenaga secara optimum dengan menerapkan pengetahuan
berkaitan hak-hak pengguna kepada seluruh strata masyarakat. Dengan komitmen
pihak media massa, pengguna akan mengetahui kaedah yang efisien untuk menuntut
hak mereka daripada dimanipulasikan oleh para peniaga yang durjana. Misalnya,
apabila berlaku kenaikan harga barangan, pengguna akan dapat membuat aduan
kepada pihak berwajib dan agensi bukan kerajaan supaya hak-hak mereka dapat
dipertahankan. Melalui penyebaran maklumat oleh media cetak dan media
elektronik, para pengguna termasuk suri rumah tangga akan memperoleh ilmu
kepenggunaan secara total dan bertindak berani kerana benar dalam
memperjuangkan hak mereka seterusnya mengatasi kemelut kenaikan harga barangan
di negara ini.
Dari
dimensi yang berbeza, kurikulum
dan kokurikulum tentang ilmu kepenggunaan di sekolah adalah
pendekatan yang ampuh untuk melahirkan pengguna muda yang bijak. Hal ini
disebabkan oleh proses pendidikan yang berkesan hanya dapat dilakukan oleh
pihak sekolah untuk melahirkan generasi yang berilmu terutamanya ilmu
kepenggunaan. Ilmu kepenggunaan perlu disuntik kepada sanubari pelajar
kita ketika masih di bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Melalui mata pelajaran Kemahiran Hidup, pelajar telah disalurkan pengetahuan
tentang hak-hak pengguna. Di samping itu, semua sekolah juga digalakkan supaya
menubuhkan Kelab Pengguna kepada remaja yang berusia setahun jagung dan
berdarah setampuk pinang. Pelbagai aktiviti boleh dianjurkan seperti
perbahasan, pidato, perbicaraan mahkamah pengguna dan sebagainya. Tindakan ini
amat penting supaya anak muda kita akan menjadi jauhari yang mengenal manikam,
iaitu menjadi pengguna yang bijak. Kesannya, ketika melangkah ke alam kedewasaan,
golongan tersebut dapat menggunakan kuasa pengguna daripada terus ditindas oleh
pengguna yang tamak dan tidak beramanah. Ternyatalah bahawa ilmu kepenggunaan
dapat dipupuk dari alam persekolahan lagi.
Setelah
meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat pelbagai minhaj
yang dapat diambil untuk menangani masalah
kenaikan harga barang di negara kita. Oleh itu, segenap lapisan
masyarakat mesti bersama-sama menggembleng tenaga untuk mengekang kenaikan
harga barangan dari peringkat akar umbinya. Sebagai manusia yang kamil dan
soleh, kita tidak wajar menadah tangan ke langit menunggu kejatuhan lampu ajaib
Aladdin kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, yang bulat tak datang
bergolek, yang pipih tak datang melayang. Oleh itu,semua anggota
komuniti haruslah mendukung semangat habis kapak berganti beliung
untuk membendung masalah tersebut. Oleh itu, Wawasan 2020 yang dicetuskan
oleh mantan Perdana Menteri kita yang keempat, Tun Mahathir bin Mohamad bukan
lagi menjadi angan-angan Mat Jenin. Diharapkan
usaha yang dimainkan dapat memelihara kestabilan ekonomi pelbagai pihak.
fantastic ~
ReplyDeleteIndahnya bahasa yang cikgu gunakan! Sangat cemerlang bagi saya. :D
ReplyDelete