Definisi
jenayah ialah sesuatu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang negara.
Terdapat dua jenis jenayah, iaitu jenayah ringan dan jenayah berat. Jenayah
ringan merangkumi perbuatan mencuri, samun, dan meragut. Jenayah berat pula
termasuklah membunuh, merogol, mendera, mengedar dadah serta menyeludup
barangan haram. Dewasa ini, media massa sering melaporkan pelbagai kes jenayah
yang berlaku di seluruh negara. Kita sering digemparkan dengan kes rogol dan
bunuh, gengsterisme, meragut, menyamun, rasuah, dan penyeludupan. Peningkatan
jenayah di negara ini lebih ketara di kawasan bandar berbanding dengan kawasan
luar bandar. Contohnya, bandar raya Kuala Lumpur dan Ipoh mempunyai rekod
jenayah yang paling tinggi setiap tahun. Ada dalam kalangan kita mungkin
tertanya-tanya tentang punca yang menjadi dalang peningkatan kes jenayah di
negara kita, terutamanya di bandar-bandar utama. Oleh itu, punca-punca yang
menunjangi masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.
Banyak
laporan menjelaskan bahawa punca utama kes jenayah meningkat ialah kurangnya didikan agama dalam
kalangan masyarakat hari ini. Hal ini disebabkan generasi hari ini sudah mula
mengabaikan ajaran dan didikan agama kerana mereka berpendapat bahawa ajaran
agama adalah jumud dan sudah ketinggalan zaman. Natijahnya, wujudlah kelompok
masyarakat yang mempunyai keimanan yang rapuh dan nipis senipis kulit bawang
dalam diri mereka. Golongan inilah yang akan terlibat dalam pelbagai jenayah
kerana mereka tidak berpegang teguh kepada ajaran agama. Contohnya, kes rogol
dan bunuh Canny Ong Lay Kian menunjukkan bahawa terdapat segelintir masyarakat
yang sanggup bertindak mengikut hawa nafsu mereka. Mereka yang melakukan
perbuatan terkutuk ini tidak berasa takut mahupun gentar apabila mereka
mengambil sesuatu tindakan yang salah dan bertentangan dengan ajaran agama. Dengan
kata lain, mereka tidak dapat membezakan antara intan dengan kaca. Mereka tidak
dapat menghayati dan mengamalkan peribahasa yang baik dijadikan teladan, yang
buruk dijadikan sempadan. Golongan ini juga gagal menghayati Islam
Hadhari yang mementingkan aspek lahiriah dan rohaniah untuk melahirkan insan
yang seimbang. Jadi, mereka mudah terpengaruh dengan pelbagai anasir negatif
seperti melibatkan diri dalam aktiviti jenayah. Tegasnya, kegoyahan iman akan
lantaran kurangnya pegangan agama yang mantap mendorong seseorang itu terjebak
dalam kancah jenayah.
Di
samping itu, media massa
turut menjadi punca peningkatan masalah jenayah di negara ini. Perkara ini
disebabkan penyiaran rancangan-rancangan berunsur keganasan dan seks yang
melampau telah menyebabkan minda masyarakat dipengaruhi oleh aksi-aksi negatif
tersebut. Senario ini berlaku disebabkan oleh sikap sesetengah penerbit yang lebih
mementingkan keuntungan diri sendiri daripada kepentingan melahirkan masyarakat
yang berkeperibadian yang luhur dan unggul. Sikap penerbit ini dapat dikatakan
umpama enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Sebagai contoh,
stesen televisyen swasta sering menyiarkan rancangan dari Barat yang
menonjolkan unsur-unsur negatif seperti ‘rock’, ‘punk’, dan ‘black metal’.
Terdapat juga sesetengah rancangan televisyen yang menggunakan pelakon-pelakon
yang berpakaian tidak senonoh serta mencolok mata seperti rancangan-rancangan
dari Amerika Latin. Hal ini dapat merangsang hawa nafsu penonton lantas
menyebabkan mereka terlibat dalam aktiviti seks seperti pelacuran dan sumbang
mahram. Maka, tidak hairanlah kadar jenayah khasnya jenayah rogol dalam
kalangan orang yang dikenali meningkat. Masyarakat turut digemparkan dengan kes
rogol dan bunuh Norita Shamsuddin dan Haserawati Saridi yang berumur sembilan
tahun di Menggatal, Sabah. Di Johor, Nurul Huda Abdul Ghani dirogol secara
bergilir-gilir oleh beberapa orang lelaki sebelum dibunuh. Jenayah yang berlaku
ini menyebabkan keadaan hidup masyarakat awam tidak tenteram dan mampu
menggugat ekonomi negara disebabkan peningkatan kadar jenayah. Deduksinya,
peningkatan kadar jenayah juga didorong oleh pengaruh media massa.
Tiada
penyakit yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik
dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah jenayah dapat
dibasmi hingga akar umbi. Salah satu pendekatan yang paling signifikan
termasuklah penguatkuasaan
undang-undang secara tegas dan hukuman setimpal dikenakan terhadap
penjenayah. Contohnya, Akta 302 Kanun Keseksaan perlu dikuatkuasakan dengan
tegas terhadap penjenayah yang didapati membunuh atau merogol mangsanya.
Penjenayah akan dijatuhi hukuman mati mandatori. Serbuan dan tangkapan kini diadakan
lebih kerap dan secara rambang untuk menangkap penjenayah. Hal ini dapat
menyedarkan masyarakat yang ingin berjinak-jinak dengan jenayah. Kerajaan juga telah
bertindak tegas terhadap ceti haram atau ‘ah long’ kerana mereka akan mengancam
keselamatan mangsa dan keluarga mangsa. Tindakan pihak berkuasa menahan dan
menghadapkan pendera seorang pembantu rumah Indonesia, Nirmala Bonat ke
mahkamah adalah amat wajar. Hal ini membuktikan bahawa kerajaan
bersungguh-sungguh dalam membanteras jenayah. Oleh itu, ketelusan dan ketegasan
undang-undang negara mampu menghalang peningkatan kadar jenayah negara.
Di
samping hukuman dan penguatkuasaan undang-undang secara tegas, kempen untuk memerangi jenayah
secara besar-besaran perlu dilancarkan agar masyarakat sedar tentang keburukan
jenayah. Oleh itu, mereka tidak akan bersikap bagai enau dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing sehingga aktiviti jenayah semakin berleluasa.
Sebaliknya, mereka akan menyahut seruan kerajaan untuk membanteras jenayah
bersama-sama dengan pihak berkuasa. Sebagai contoh, seorang insan kerdil yang
prihatin, Rosli Mohamad Saad sanggup menggadai nyawanya untuk menangkap peragut
beg tangan seorang wanita Indonesia. Kesedaran juga dapat dipupuk dalam diri
masyarakat, khasnya golongan muda melalui mata pelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan di sekolah. Golongan muda perlu dididik untuk berkelakuan baik
dan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang sejak muda lagi agar mereka
tidak mudah terpengaruh untuk melibatkan diri dalam aktiviti jenayah apabila
mereka dewasa kelak. Sememangnya mendidik mestilah sejak kecil lagi kerana
melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Kempen yang dijalankan ini perlulah
dilaksanakan secara berterusan atau berketiak ular dan bukannya hanya
hangat-hangat tahi ayam. Pendek kata, peranan kempen turut dapat mengurangkan
peratusan kes jenayah di nusa tercinta ini.
Sudah
terang lagi bersuluh bahawa kes jenayah di negara kita semakin menghantui diri
kita disebabkan oleh dua faktor yang telah dibincangkan di atas dan kemelut
sosial ini dapat diatasi dengan beberapa langkah yang diambil. Api sekadar
meranapkan bangunan namun peningkatan kadar jenayah akan mengacaubilaukan minda
segenap lapisan masyarakat kita. Andai kata kita menyingkap lembaran sejarah
Malaysia, setiap permasalahan yang dihadapi akan dapat diselesaikan dengan
penggemblengan kudrat antara pelbagai pihak. Begitu juga dengan usaha
menyelesaikan masalah kes jenayah. Semua pihak perlu menggembleng tenaga dan
bersinergi supaya masalah jenayah di negara ini dapat diatasi. Pendekatan yang
diambil haruslah dijalankan dengan bijaksana dan berhati-hati bagai menarik
rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Jenayah
dapat diibaratkan sebagai musuh dalam selimut kepada negara. Sekiranya jenayah
tidak ditangani secara bijaksana, adalah mustahil untuk rakyat negara ini hidup
dalam keadaan yang harmoni dan tenteram. Marilah kita bersama-sama membanteras
kegiatan jenayah agar impian untuk melahirkan masyarakat madani dapat
direalisasikan.
Cadangan isi
(a) Punca:
1. Kurangnya didikan agama
2. Pengaruh media massa yang memaparkan
unsur-unsur negatif
3. Sikap masyarakat yang mementingkan
diri sendiri
(b) Langkah:
1. Penguatkuasaan undang-undang yang
tegas
2. Kempen kesedaran
3. Peranan masyarakat yang menjadi mata
dan telinga kepada pihak berkuasa
4. Memberikan didikan agama yang teguh
nice essay ^
ReplyDeletePening lh nk bt krangan ni
ReplyDeleteBetul
DeleteThank u
ReplyDeletebeautiful.
ReplyDeleteNice one:)
ReplyDeleteTq
ReplyDeleteTq because my esei is one esei that beutifull... Tq
ReplyDeleteTq
ReplyDeleteFor help me