Sunday, August 24, 2014

CONTOH KARANGAN PRAPERCUBAAN SPM 1



TAJUK 1 : KEPENTINGAN HIDUP BERJIRAN
RANGKA ISI:
  • mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk.
  • mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni, aman damai dan sejahtera.
  • mewujudkan persekitaran yang lebih selamat.
  • menjamin keselamatan kawasan kejiranan.
  • memupuk semangat bekerjasama dan tolong-menolong.
  • membantu meningkatkan perkembangan ekonomi masyarakat dan negara.
  • membantu menjayakan projek masyarakat setempat.
  • mengelakkan berlakunya kes-kes jenayah seperti pecah rumah, kecurian dan lain-lain.
  • menghapuskan perasaan hasad dengki, fitnah-memfitnah dan berburuk sangka antara jiran.
  • menjana perkembangan dan kemajuan sesebuah kawasan kejiranan.
  • membantu mengatasi masalah kemiskinan, pengangguran, buta huruf dalam kawasan kejiranan.
  • memberikan gambaran yang positif kepada masyarakat sekeliling, pelancong dan lain-lain.
            Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat  peribahasa seikat bak sirih, serumpun bak serai.  Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat yang hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, jiran boleh ditakrifkan sebagai orang yang tinggal berhampiran dengan rumah seseorang. Namun begitu, terdapat lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa amalan kehidupan berjiran dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin sirna ibarat hidup segan mati tak mahu. Sebahagian rakyat yang hidup dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini lebih cenderung kepada sifat nafsi ataupun individualistik dan bersilengah.  Mereka ini tidak menyedari akan kepentingan hidup berjiran terutamanya dalam kehidupan hari ini yang berwarna-warni. Persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah apakah kepentingan hidup berjiran kepada individu, masyarakat dan negara?
            Salah satu signifikan hidup berjiran ialah semangat kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat dapat dipupuk. Semangat kerjasama amat penting dalam kehidupan berkomuniti untuk mewujudkan kehidupan yang harmoni dengan tolong-menolong antara satu sama lain. Tanpa kerjasama antara satu sama lain sudah pasti sesuatu kerja yang sukar tidak dapat diselesaikan dengan mudah. Kerjasama ini mampu dipupuk menerusi penglibatan anggota masyarakat secara holistik dalam menjayakan aktiviti yang dilaksanakan di kawasan perumahan mereka. Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan  atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan. Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Menurut laporan majalah “The Times” di Australia, kegiatan gotong -royong yang diamalkan di Malaysia merupakan antara yang terbaik di dunia.  Impaknya, dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti berfaedah seperti ini akan membawa anjakan paradigma bukan sahaja kepada kawasan perumahan malah kepada kesihatan anggota masyarakat itu sekali. Hal ini kerana dengan mengadakan aktiviti gotong-royong kawasan perumahan bukan sahaja akan kelihatan kemas bahkan juga membawa kebaikan kepada kesihatan masyarakat itu sendiri. Tegasnya, sikap kerjasama dapat dipupuk melalui kehidupan berjiran dan seterusnya dapat membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.
            Selain itu, hidup berjiran juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Hal ini kerana apabila setiap rakyat hidup berjiran maka secara tidak langsung dapatlah menyahut proklamasi Perdana Menteri Malaysia , Dato’ Seri Najib Tun Razak iaitu 1Malaysia yang menekankan semangat perpaduan antara kaum di Malaysia. Sinergi dan usahasama sebeginilah sewajarnya dijadikan panduan dan diaplikasikan  dalam institusi masyarakat  bagi mencetuskan semangat kejiranan yang utuh persis peribahasa Melayu, ‘ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua’.  Contoh pendekatan yang boleh diambil untuk memupuk semangat perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat adalah dengan mengadakan aktiviti-aktiviti yang melibatkan semua kaum dalam pada masa yang sama seperti mengadakan “Rumah Terbuka Kebangsaan” bagi setiap perayaan yang terdapat di Malaysia. Melalui pengimplimentasian program ini, semangat kejiranan dapat dijalinkan dalam masyarakat yang berbilang kaum ini agar boleh meluaskan horizon pemikiran dek kerana berpeluang mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar  dapat diterapkan dengan nilai saling menghormati, bertolenrasi  dan saling menyayangi antara satu sama lain. Secara tidak langsung, tragedi 13 Mei  1969 yang merupakan sejarah hitam negara di mana berlaku perbalahan antara kaum di Malaysia sehingga mengakibatkan rakyat huru-hara dan negara kucar-kacir hanya akan berada dalam kotak memori sahaja, dan bukan untuk diulangi lagi kelak. Ringkasnya, hidup berjiran mampu membentuk masyarakat berbilang kaum yang stabil dari segi spiritual serta fizikal dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.
            Di samping itu, hidup berjiran juga penting kepada negara kerana dapat memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat’ menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastruktur di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif kehidupan berjiran dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Kesannya, bukan sahaja masyarakat akan menikmati pelbagai keselesaan  yang disediakan bahkan juga masyarakat akan pembangunan modal insan yang seimbang dapat dicapai. Situasi ini dapat dikatakan sambil menyelam minum air. Jelaslah bahawa kehiduppan berjiran penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan sekali gus membantu kerajaan melaksanakan pembagai program rakyat.
            Kehidupan berjiran juga merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan  semangat cinta akan negara. Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata. Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan yang gemilang. Melalui hubungan kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan seperti mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan  contoh paling jelas, dan atas sokongan  rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka  melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi melonjakkan Malaysia di persada antarabangsa. Ringkasnya, anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan  semangat cinta akan negara dapat dilahirkan melalui kehidupan berjiran.
            Dari sudut yang berbeza, hidup berjiran yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar dan mampu memikat hati barisan pemimpin dunia untuk mempelajari formula Malaysia dalam mengekalkan perpaduan antara rakyat seperti yang diutarakan Mantan Timbalan Perdana Menteri Britain, John Presscott suatu ketika dahulu. Sebagai contohnya, pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita yang amat  disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti Program ’Homestay’ atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan kemaslahatan hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya. Secara implisitnya, ekonomi negara yang memberangsangkan akan dapat dicapai oleh Malaysia. Pendek kata, kehidupan berjiran dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dalam industri pelancongan negara.
            Kalau ditelusuri dari sudut yang lain, hidup berjiran dalam kalangan masyarakat akan membawa impak positif kepada masyarakat konvensional itu sendiri iaitu kesedaran hidup berjiran mampu membawa kepada jaminan keselamatan penduduk setempat. Hal ini kerana dengan wujudnya Rukun Tetangga yang terdiri daripada ahli-ahli masyarakat di kawasan kejiranan itu sendiri, mereka akan menjalankan rondaan pada waktu malam secara berkumpulan bagi memastikan kawasan perumahan mereka berada dalam keadaan selamat sejahtera. Program ini juga  mampu membantu pihak polis dalam usaha untuk mengurangkan  kegiatan jenayah yang biasa berlaku di kawasan perumahan seperti pecah masuk rumah. Jika perkara ini tidak ditegah secara serius, dikhuatiri akan  membawa kepada banyak implikasi seperti harta benda dirompak dan yang paling memilukan jika membawa maut kepada ahli rumah yang menjadi mangsa keadaan dalam kegiatan kebejatan moral ini. Maka, apabila terlaksananya program sebegini yang melibatkan semua pihak, purata kes jenayah dalam negara akan berkurangan dari semasa  ke semasa. Secara tidak langsung, nama Malaysia juga harum di segenap seantero mayapada dek kerana Malaysia merupakan antara negara paling selamat untuk didiami di dunia hasil daripada kajian yang dilakukan oleh “The World Justice Project” yang bertempat di New York, Amerika Syarikat. Hal ini sama dengan cogan kata “jiran sepakat membawa berkat”. Tegasnya, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat mampu menjana kawasan perumahan yang harmoni dan aman.
          
           Secara intihanya, sudah terang lagi bersuluh bahawa kehidupan berjiran merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang signifikan. Amalan yang murni ini menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Oleh itu, semua rakyat Malaysia perlu bangkit dan lari daripada kealpaan tentang mengamalkan kehidupan berjiran ini. Rakyat Malaysia tidak seharusnya mempunyai sikap evasif dan bernafsi-nafsi bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing malah perlu berganding bahu ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dalam usaha untuk menjayakan amalan kejiranan ini. Diharapkan agar komitmen padu daripada semua pihak ini dapat memupuk dan meningkatkan lagi semangat perpaduan dan bekerjasama dalam sanubari setiap rakyat Malaysia yang sangat dituntut untuk mengekalkan keamanan yang telah dikecapi. Semoga aspirasi Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020 akan tercapai jua dengan terzahirnya permuafakatan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa. Ingatlah bahawa rakyat bersatu, negara maju!

25 comments:

  1. aiyo...damn long..took 1 hour to copy

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. blehka sya guna utk karangan kepentingan amalan kejiranan ?

    ReplyDelete
  5. seronok baca .. mohon izin nak guna isi ...

    ReplyDelete
  6. peribahasa die bagus2 sya suka and nk mintak izin mau copy untuk tugasan skolh.

    ReplyDelete
  7. best jga nie essay..memenuhi khndak mrkah spm..

    ReplyDelete
  8. 4jam aq salin ni utk buat kerja sekolah🤣🤣🤣

    ReplyDelete
  9. izin copy sbgai rujukan , terima kasih

    ReplyDelete