Wednesday, August 27, 2014

CONTOH KARANGAN PRAPERCUBAAN SPM 7



TAJUK 7 : LANGKAH-LANGKAH MENERAPKAN NILAI  MURNI DALAM KALANGAN REMAJA
PENDAHULUAN

(T) Nilai murni merupakan amalan baik yang perlu ada pada setiap orang agar segala tindakan mereka terpimpin dan tidak menyeleweng dari norma-norma sosial yang dikehendaki  dalam masyarakat. Amalan ini penting untuk melahirkan insan yang mulia, unggul dan utopia demi merealisikan misi nasional negara ke arah Wawasan 2020. Iman al-Ghazali mengatakan, “Apabila kamu hendak mengenali wajah lihatlah pada cermin, tetapi apabila kamu hendak mengenali diri lihatlah pada wajah”.  Kata-kata tersebut mengambarkan betapa keperibadian dan akhlak mulia menjadi tali pengukur kepada setiap individu. Sesungguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut budaya, peradaban dan agama kita. (I) Namun begitu, dalam mengharungi era ledakan sains dan teknologi, amalan nilai murni dalam kalangan masyarakat semakin lenyap dalam sanubari golongan dewasa dan remaja. Berita tentang remaja bertindak liar di luar batas-batas kehidupan dengan terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah seperti gengsterisme, vandalisme dan pornografi sering terpampang di dada akhbar dan kaca televisyen. Hal ini jelas menunjukkan betapa kroniknya masalah kelunturan amalan nilai murni dalam kalangan masyarakat. (A) Sebelum keadaan menjadi lebih parah, amalan ini perlulah dijadikan sebagai budaya dalam kehidupan seharian kita kerana seribu satu kemaslahatan boleh diperoleh. 

(L1): Menyedari akan pelbagai kemaslahatan, kita haruslah mengambil langkah-langkah yang pragmatik dan efektif untuk memastikan amalan ini dapat dipupuk dalam setiap sanubari remaja kita. Oleh itu,kita perlu bertindak mulai dari sekarang kerana perjalanan yang beribu-ribu batu mestilah bermula dengan langkah yang pertama. Salah satu langkah yang dominan adalah melalui rombakan sistem pendidikan. Dalam hal ini, kita terpaksa meletakkan tanggungjawab penting ini kepada pihak pendidikan. (M) Pendidikan merupakan wahana yang berkesan untuk mentarbiah masyarakat. Melalui pendidikan, kita diajar, dibimbing dan diasuh untuk menjadi insan yang kamil dan holistik sama ada dari aspek jasmani, rohani dan intelek. Bukan itu sahaja, pendidikan juga mampu melahirkan insan yang berhemah tinggi dan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni. (B) Hal ini juga turut disedari oleh Menteri Pelajaran kita. Oleh sebab itu, beliau telah mengarahkan agar kurikulum semua mata pelajaran yang sedia ada dirombak semula. Rombakan ini dapat dilihat melalui penerapan nilai-nilai murni yang berkaitan dengan amalan budi bahasa dalam mata pelajaran Bahasa Melayu iaitu melalui cerpen, novel, drama dan puisi yang diajarkan dari peringkat Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah menyatakan bahawa kita perlu mencontohi sikap masyarakat Jepun. Walaupun negara mereka semakin maju namun, masyarakatnya masih mengekalkan nilai-nilai murni di samping mengamalkan budaya dan adat resam bangsa mereka. (K) Mereka percaya bahawa dengan mengenali asal usul bangsa serta keindahan bahasa dan budaya mereka, mereka dapat melahirkan rakyat yang tinggi semangat cinta akan negaranya. Semangat inilah yang membawa negara mereka pada kemajuan kerana rakyatnya sanggup berkorban jiwa dan raga demi negara yang tercinta. (P) Jelaslah bahawa dalam usaha untuk memupuk amalan nilai murni, maka tidak boleh tidak, perubahan dalam sistem pendidikan perlu dilaksanakan.

(L2): Jika kita lihat dari sudut yang lain, pihak sekolah perlu juga melaksanakan aktiviti kokurikulum dengan lebih giat dan berkesan. (M) Kita perlu sedar bahawa aktiviti kokurikulum merupakan wadah yang paling berkesan dalam membentuk nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama dan hormat-menghormati dalam diri para pelajar. Para guru pula dianggap sebagai arkitek pembangunan manusia diarahkan untuk mengadakan pelbagai program bagi memupuk amalan nilai murni ini kerana pelajar ibarat pohon yang baru ditanam. Lantaran itu, mereka perlu dibajai, diairi dan diberi cahaya matahari yang secukupnya. (B) Sebagai contoh, aktiviti perkhemahan yang dianjurkan oleh badan-badan beruniform seperti Pengakap dan Kadet Remaja Sekolah akan membentuk semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan ahlinya. Mereka akan bersama-sama mendirikan khemah, mematuhi giliran memasak dan sebagainya, sepanjang perkhemahan diadakan. Selain itu, aktiviti bergotong-royong oleh persatuan-persatuan dan kelab-kelab sama ada di sekolah, mahupun di kawasan sekitar sekolah pula akan menanamkan nilai bertanggungjawab para pelajar terhadap alam sekitar serta sekolah mereka bak kata pepatah, ‘tak kenal , maka tak cinta.’ (K) Melalui program-program yang dijalankan ini, para pelajar akan membentuk jati diri dan sikap positif dalam diri mereka. Mereka akan lebih bersikap ‘membina’ daripada ’meruntuhkan’ atau membinasakan sesuatu. Mereka juga akan lebih bertanggungjawab terhadap segala kemudahan yang disediakan untuk kegunaan ramai. Oleh itu, melalui pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang lebih berkesan, kita berharap agar tidak ada lagi telefon awam yang dirosakkan, atau tandas awam yang diconteng dengan kata-kata yang tidak menyenangkan mata memandang. Sebaliknya, kita akan dapat menyaksikan masyarakat yang lebih bertolak-ansur, umpamanya, mereka tidak berebut-rebut lagi ketika menaiki bas awam atau komuter. Anak-anak muda kita juga akan lebih menghormati golongan yang tua. (P) Pendek kata, amalan nilai murni sememangnya dapat dipupuk melalui aktiviti kokurikulum yang dijalankan oleh pihak sekolah.

(L3): Seperkara lagi, peranan ibu bapa juga amat penting dalam melahirkan insan kerdil yang mengamalkan nilai-nilai murnil. (M) ‘Bagaimana acuan, begitulah kuihnya,’ begitulah peribahasa yang membawa maksud bahawa peribadi serta perlakuan ibu bapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak mereka. Memang tidak dapat kita nafikan ibu bapa merupakan guru pertama dalam kehidupan anak-anak sejak dalam rahim ibu lagi. Hal ini membuktikan bahawa ibu bapa merupakan ejen pembentukan karakter anak-anak yang paling ampuh untuk melahirkan insan yang kaya nilai murni. (B) Oleh itu, sesuatu perkara itu perlu dipupuk dari kecil oleh ibu bapa kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya  agar apabila anak-anak memasuki alam persekolahan, nilai-nilai asas yang positif seperti hormat-menghormati, beradab sopan dan bertolak-ansur telah sedia wujud dalam diri anak-anak mereka. Sebagai contoh, anak-anak yang lebih muda perlu menghormati kakak atau abang mereka yang lebih tua. Anak-anak juga diajar agar menghormati harta benda milik adik-beradik mereka serta harta benda bersama. Dalam hal ini, ibu bapa tidak boleh bersikap seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan betul. Oleh itu, ibu dan bapa perlu sentiasa menunjukkan bahawa mereka juga saling menghormati sesama mereka agar nilai positif ini diikuti oleh anak-anak. (K) Dengan ini, hubungan kemesraan keluarga akan dapat ditingkatkan di samping dapat mewujudkan ‘baiti jannati’. Malah yang lebih penting, anak-anak akan lebih beradab dan bernilai murni yang akan mencerminkan maruah keluarga tersebut. Anak-anak seumpama ini tidak akan bersikap biadab yang mampu menconteng arang ke muka keluarga sendiri. (P) Sesungguhnya, peranan ibu bapa yang mempamerkan contoh terbaik kepada anak-anak dapat memupuk amalan nilai dalam diri anak-anak.

(L4) Pilihan kita yang terakhir untuk membentuk masyarakat yang bernilai murni adalah melalui kempen yang berkesan. (M) Hal ini dikatakan demikian kerana kempen-kempen yang diadakan mampu menyedarkan masyarakat tentang kepentingan amalan ini dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita. Masyarakat pada hari hari lebih mudah dipengaruhi dan dikuasai dengan kempen-kempen yang diadakan. (B) Sembilan tahun lalu iaitu pada 11 Februari 2005 Kementerian Kebudayaan dan Warisan (KEKWA) melancarkan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni. Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni sama sekali tidak diwujudkan kalau masyarakat kita mengamalkan nilai murni. Kempen yang dicetuskan oleh Dr. Rais Yatim semasa memimpin KEKWA ini mengejutkan kita yang terlena dalam mengejar fatamorgana hidup sehingga sanggup merendahkan tahap nilai murni kita. Suatu ketika dahulu , majalah Readers Digest telah menyiarkan hasil kajian kesantunan di 36 bandar raya di dunia. Hasilnya, Kuala Lumpur menjadi bandar raya kedua paling biadab. Kajian ini amat membimbangkan dan memalukan kita. Oleh itu, kempen seumpama ini haruslah diadakan secara berterusan serta giat dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga. (K) Dengan ini, diharapkan kempen yang bersungguh-sungguh ini dapat
menyemarakkan dan menyemai semula nilai-nilai murni ke dalam jiwa remaja serta meletakkan nilai murni sebagai satu asas dan tunjang dalam kehidupan kita. Secara implisitnya, negara akan menjadi agung jika warganya terdiri dari insan-insan yang mengamalkan budaya murni. Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya dari segi kebendaan tapi muflis dari segi keperibadian. (P) Izharlah bahawa peranan kempen juga penting untuk membudayakan amalan murni ini dalam kehidupan seharian kita.

Dari kaca mata yang berbeza pula, amalan nilai murni dalam kalangan remaja dapat dipupuk melalui aktiviti komuniti yang dianjurkan oleh masyarakat setempat. Masyarakat sekeliling mampu mempengaruhi tingkah laku para remaja yang dianggap separa matang dan belum keras ubun-ubunnya. Aktiviti komuniti seperti gotong-royong, kenduri-kendara dan rukun tetangga dapat dijayakan dengan penglibatan dan kerjasama daripada masyarakat setempat. Biar kita ambil contoh aktiviti gotong-royong. Aktiviti ini diadakan dengan tujuan untuk membersihkan kawasan kediaman bersama-sama tanpa mengira status, agama dan bangsa. Sikap enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing tidak wujud ketika menjalankan aktiviti ini malah sikap bekerjasama bagai aur dengan tebing terpapar semasa aktiviti ini dijalankan. Kesannya, pelbagai nilai murni dapat diterapkan seperti nilai kerjsama, prihatin, tolong-menolong dan sebagainya. Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri ke-4 pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri. Bukan itu sahaja, kebersihan kawasan kediaman juga akan terjamin dan sekali gus dapat menghindarkan penyakit berbahaya seperti demam denggi. Izharlah bahawa aktiviti kemasyarakatan yang diadakan mampu memupuk nilai-nilai murni dalam diri remaja kita.

PENUTUP
(K) Sudah terang lagi bersuluh bahawa dapat disimpulkan bahawa terdapat pelbagai langkah yang dapat diimplementasikan untuk memupuk amalan nilai murni dalam sanubari remaja kita. Amalan nilai murni amat mustahak untuk negara mencapai taraf negara maju yang disegani oleh negara-negara gergasi yang lain di dunia. ‘Yang merah itu saga, yang kurik itu kendi, yang indah itu bahasa, yang elok itu budi’, demikianlah ungkapan yang menggambarkan kepentingan berbudi bahasa dan amalan nilai murni dalam kehidupan masyarakat kita. (C) Oleh itu, sifat sifat luhur dan amalan berbudi bahasa yang dahulunya menjadi kebanggan masyarakat timur tetapi kian terhakis ini wajarlah dipulihkan dan dihidupkan semula. Lantaran itu, semua pihak wajarlah bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengelakkan sikap masing-masing perahu, masing-masing kayuh dalam menanam amalan berbudi bahasa dalam diri setiap individu. Kita tidak seharusnya mengharapkan sebelah pihak sahaja  untuk memupuk amalan murni ini dalam setiap jiwa rakyat Malaysia kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.  Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni perlulah diimplementasikan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kesedaran rakyat. (H) Profesor DiRaja, Ungku Aziz pernah berkata, “Malaysia yang aman dan damai akan lenyap dalam sedikit masa jika rakyatnya tidak bermoral dan nilai budi bahasa yang kian terhakis dari jiwa mereka”. Jadi, kita mengharapkan agar menjelang tahun 2020, tabiat buruk seperti kegiatan gengsterisme dan bercakap kasar sudah lupus dari memori setiap rakyat Malaysia supaya negara akan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah negara Malaysia terus disegani kerana ketinggian nilai murni rakyatnya.

16 comments: