Sunday, November 4, 2012

NOVEL 7: KESESUAIAN JUDUL


Berdasarkan novel yang anda pelajari, wajarkah pengarang menjudulkan novel itu dengan judul tersebut? Berikan alasan anda. (7 markah)

            Berdasarkan novel yang telah saya kaji, iaitu novel Papa...(akhirnya kau tewas jua!) karya Deana Yusof, saya berpendapat bahawa pengarang wajar menjudulkan novel itu dengan judul tersebut.

            Antara sebab saya bersetuju dengan judul tersebut ialah papa Julia, Jeffri akhirnya menangis juga selepas mama menghembuskan nafasnya yang terakhir di hadapan papa. Selama ini, papa seorang yang tabah menerima segala dugaan yang menimpa keluarganya. Dia reda menerima ketentuan Ilahi. Walaupun anak kembar Siam papa meninggal dunia, papa tidak mengeluarkan air matanya. Namun begitu, air mata papa tewas apabila insan yang paling disayanginya, mama pergi buat selama-lamanya. Buktinya, Julia melihat kelopak mata papa berair dan jatuh ke pipinya buat kali pertamanya.

            Selain itu, papa juga tewas dalam membuktikan kesetiaannya kepada mama. Papa telah berjanji akan setia kepada mama. Namun begitu, papa telah memungkiri janjinya dengan berkahwin buat kali kedua dengan Aisyah lantaran kesunyian hidup. Hidup papa sunyi kerana mama koma selepas melahirkan anak kembar Siamnya. Tindakan papa yang tidak mengotakan janjinya kepada mama telah mengecewakan mama dan akhirnya, mama meninggal dunia selepas papa memperkenalkan isteri baharunya kepada mama.

        Demikianlah alasan-alasan yang membuktikan kewajaran penulis menjudulkan novel itu dengan judul yang telah diberikan.


KESESUAIAN JUDUL KONSERTO TERAKHIR
  1.  Watak utama, Hilmi telah banyak menganjurkan konsert sebelum ini di merata-rata tempat, termasuk di Kota Bharu, Kelantan sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan D.Y.M.M. Sultan Kelantan. Konsert yang dianjurkan oleh Hilmi medapat sambutan daripada peminatnya. Atas kejayaan Hilmi memenangi pesta muzik tahunan yang dianjurkan oleh RTM selama tiga tahun berturut-turut, maka Hilmi diberi penghormatan untuk memimpin orkesnya dengan gabungan orkes RTM dalam satu Pertunjukan Orkes Perdana yang dihadiri oleh D.Y.M.M. Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, dan pembesar-pembesar negeri. Pertunjukan itu ialah pertunjukan terakhir yang dijayakan oleh Hilmi walaupun dia tidak dapat memimpinnya pada malam itu kerana dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia. Jadi, pengarang menamakan novel itu Konserto Terakhir
  2. Peminat Hilmi tidak dapat lagi menonton konsertnya selepas Pertunjukan Orkes Perdana, iaitu konsert terakhir yang sepatutnya dipimpin oleh Hilmi kerana Hilmi meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur menjelang subuh selepas Pertunjukan Orkes Perdana. Oleh itu, peminat tanah air tidak lagi berpeluang untuk menyaksikan konsert yang dipimpin oleh Hilmi, tetapi hanya dapat menghayati lagu-lagu ciptaannya melalui lagu-lagu yang telah dirakamkan.

3 comments: