Sunday, November 4, 2012

NOVEL 6: TEKNIK PLOT


(i) Berdasarkan dua buah novel yang telah anda pelajari, jelaskan satu teknik plot yang digunakan berserta contoh dalam setiap novel.   

            Dua buah novel yang telah saya kaji ialah Papa, karya Deana Yusof dan Konserto Terakhir, karya Abdullah Hussain. Beberapa teknik plot telah digunakan oleh pengarang masing-masing untuk menghasilkan novel yang lebih menarik.

            Dalam novel Papa, teknik plot saspens telah digunakan oleh pengarang. Saspens bermaksud seseorang pembaca itu berada dalam keadaan tertanya-tanya atau ingin tahu akan lanjutan peristiwa berkenaan. Contohnya, pembaca tertanya-tanya dalam novel Papa akan nasib yang akan menimpa Intan Maliana setelah doktor memaklumkan bahawa dia perlu menjalani satu pembedahan kerana ada komplikasi terhadap kandungannya.

            Dalam novel Konserto Terakhir pula terdapat teknik plot imbas kembali. Imbas sekali ialah lintasan-lintasan dan bayangan atau ingatan watak-watak terhadap sesuatu yang telah terjadi atau yang telah dialami. Contohnya, semasa Datuk Johari menemui Hilmi di bilik yang diberikan kepadanya, Datuk Johari telah bertanya tentang masa Hilmi bertolak dari kampung. Hilmi menceritakannya dan pada masa yang sama Datuk Johari teringat kisahnya dahulu yang pernah berlaku di kampung tersebut iaitu melarikan diri selepas perkahwinannya dengan seorang gadis kampung.

Teknik Plot Novel Papa
  1. Dialog – pertuturan / perbualan antara watak dalam novel. Contoh: perbualan Jeffri dengan Rasylan tentang latar belakang Rasylan. Rasylan memberitahu Jeffri bahawa dia merupakan anak angkat Datuk Mustakim yang diambil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  2. Monolog – tutur kata atau pengucapan oleh watak secara sendirian. Contoh: Jeffri berkata kepada isterinya, Intan Maliana yang sedang koma bahawa Intan Julia telah mendapat keputusan SPM yang baik dan dia hendak memohon kemasukan ke matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa.

Oleh: Lee Slyvia (5W WMSKL)
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

(ii) Unsur saspens digunakan dalam novel untuk menarik perhatian pembaca. Jelaskan unsur saspens yang terdapat dalam sebuah novel yang telah anda pelajari.

            Novel  yang saya kaji ialah novel Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain. Saspens bermaksud seseorang pembaca itu berada dalam keadaan tertanya-tanya atau ingin tahu akan lanjutan peristiwa berkenaan. Penulis, iaitu Encik Abdullah Hussain telah berjaya memasukkan beberapa unsur saspens ke dalam cerita Konserto Terakhir dan menjadikan jalan cerita lebih menarik.

            Antara peristiwa yang mengandungi unsur saspens termasuklah rancangan Hilmi setelah meninggalkan rumah Datuk Johari. Apabila Hilmi sudah tidak tahan dengan kerenah Datin Salmah, maka Hilmi menaiki bas untuk pulang ke kampung. Dalam konteks tersebut, pembaca teringin-ingin tahu apakah pekerjaan yang akan dilakukan Hilmi apabila tiba di kampung. Sebaliknya, semasa di Tanjung Malim, Hilmi menaiki teksi ke Kuala Lumpur. Pembaca teringin-ingin sekali lagi mengenai liku-liku hidup yang akan dilalui oleh Hilmi apabila dia tiba di Kuala Lumpur.

            Selain itu, unsur saspens juga boleh didapati ketika Encik Bakar dipanggil oleh Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional. Encik Bakar telah melanggar arahan Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional kerana menggunakan khidmat Hilmi untuk mengadakan persembahan di Hotel Titiwangsa. Pembaca tertanya-tanya sama ada Encik Bakar akan dikenakan hukuman yang berat oleh tatatertib apabila dia dipanggil oleh jawatankuasa persatuan itu kerana melanggar arahan mereka.

            Di samping itu, perjumpaan antara Hayati dengan Hilmi telah menyebabkan pembaca ingin mengetahui perkembangan lanjut tentang cerita Konserto Terakhir. Sebelum Hayati berangkat ke London dengan Mohsin yang sudah menjadi suaminya, Mamat telah mengatur perjumpaan Hayati dengan Hilmi di kebun bunga. Perkara utama yang pembaca ingin tahu ialah sebab-sebab Hayati ingin menemui Hilmi dan perkara yang hendak disampaikan oleh Hayati kepada Hilmi.


SASPENS DALAM NOVEL PAPA

1.      Pembaca tertanya-tanya tentang keadaan Maliana yang mengandung itu. Maliana masih meneruskan kebajikan itu walaupun menyedari bahawa risikonya amat tinggi terutama selepas mengalami masalah ketika melahirkan Julia dulu.
2.      Saspens ketika Intan Maliana berada di dalam bilik pembedahan di HUKM untuk melahirkan anak keduanya – pembaca tertanya-tanya tentang keselamatan Intan Maliana dan bayi yang bakal dilahirkannya – pembaca ingin tahu sama ada Intan Maliana akan menghadapi komplikasi yang sama ketika melahirkan Intan Julia atau sebaliknya
3.      Pembaca tertanya-tanya tentang kesudahan hubungan papa dan Aisyah. Julia menentang hubungan itu dan melihat hubungan mereka itu sebagai tidak elok atau curang kerana mama masih hidup.
4.      Pembaca tertanya-tanya nasib Marliana yang dalam keadaan koma itu. Sebaik sahaja melahirkan anak kembarnya, Marliana tidak sedar diri lalu pembaca ingin tahu sama ada Marliana akan pulih atau tidak

Oleh: Nicholas Yee (5P WMSKL)
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

(iii) Penulis sesebuah novel mengembangkan sesuatu peristiwa dengan pelbagai teknik plot seperti pemerian. Jelaskan kepentingan teknik pemerian berdasarkan sebuah novel yang telah anda kaji.
           
            Berdasarkan novel yang telah saya kaji iaitu Konserto Terakhir hasil nukilan Abdullah Hussain, teknik pemerian banyak digunakan dalam novel ini. Teknik pemerian memberikan penjelasan tentang seseorang watak secara langsung oleh pengarang dalam sesebuah novel.

            Teknik pemerian dapat menggambarkan keadaan fizikal watak kepada para pembaca. Teknik ini memberikan gambaran jelas keadaan Hilmi ketika mula sampai di rumah Datuk Johari. Buktinya ialah Hilmi mempunyai rambut sedikit ikal, anak matanya agak liar dan ketinggiannya ialah lima kaki lima inci. Pakaiannya agak miskin terbuat daripada bahan kain yang murah, seluarnya berkeredut dan bajunya sudah hilang warna asalnya.

            Selain itu, teknik pemerian juga dapat memberitahu pembaca tentang perasan yang dialami oleh seseorang watak. Misalnya, teknik ini menggambarkan kesedihan Datuk Johari apabila Pak Long Karim memberitahunya bahawa Hilmi merupakan anak Datuk Johari dan bukan anaknya. Hal ini dapat dibuktikan ketika Datuk Johari memikirkan kekejamannya yang telah menyeksa isteri pertamanya dan Hilmi serta hal ini telah menyedihkannya. Air mata Datuk Johari kemudiannya berlinang di matanya.

            Di samping itu, teknik pemerian dapat memberikan penjelasan tentang reaksi watak terhadap sesuatu peristiwa kepada pembaca. Contohnya adalah apabila Datuk Johari menerima panggilan daripada pihak hospital yang memberitahunya bahawa Hilmi telah meninggal dunia. Hanya sepatah perkataan yang dapat keluar daripada mulut Datuk Johari dan beliau jatuh terjatuh dengan gagang telefon tergenggam erat di dalam tangannya. Datin Salmah yang terpekik dan menerpa kepada suaminya cuba untuk mengangkat Datuk Johari dengan pertolongan Mak Minah tetapi Datuk Johari telah pun meninggal dunia.

Oleh: Calvin Chew (5P WMSKL)

2 comments:

  1. cikgu satu konflik yang dihadapi watak dalam novel macam mana?... dalam buku komsas ting. 5 tak ada pun...

    ReplyDelete