Sunday, November 4, 2012

NOVEL 4: NILAI



(a)    Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu nilai keberanian yang terdapat dalam novel.
 
                         Dua buah novel yang telah saya pelajari ialah novel ‘Papa’ karya Deana Yusof  dan  
           ‘Konserto Terakhir’ karya Abdullah Hussain. Dalam kedua-dua novel ini, pengarang dengan 
           bijaknya telah menyelitkan pelbagai nilai murni bagi dijadikan  teladan pembaca. Antara nilai yang 
           terdapat dalam kedua-dua novel ini ialah nilai keberanian.
    
        Dalam novel ‘Papa’, nilai keberanian ialah keberanian dalam membuat keputusan demi memenuhi keinginan seorang suami. Nilai ini jelas dipaparkan oleh watak Intan Maliana. Intan Maliana merupakan isteri Jeffri dan juga ibu kepada Intan Julia. Walaupun dia pernah mengalami komplikasi apabila melahirkan Intan Julia, Intan Maliana tetap ingin meneruskan kandungan kembarnya demi kebahagiaan suaminya, Jeffri. Dia memaparkan nilai keberanian apabila masih tegas dengan keputusannya untuk mengambil risiko yang besar bagi melahirkan anak kembar tersebut walaupun telah ditegur dan dinasihati oleh Cikgu Suzie dan Mak Cik Noraini. Akhirnya, kedua-dua anaknya meninggal dunia dan dia pula jatuh koma.

                        Dalam novel ‘Konserto Terakhir’ pula, nilai keberanian ialah keberanian berhijrah ke bandar untuk mencipta kejayaan hidup yang dapat dilihat melalui watak Hilmi. Hilmi datang dari kawasan kampung. Dia juga hanya berpendidikan hingga darjah empat sekolah Melayu. Walau bagaimanapun, Hilmi menunjukkan nilai keberanian apabila dia membuat keputusan hendak ke bandar untuk mencari pekerjaan atas permintaan ‘bapa’nya, Pak Karim. Hilmi tetap berani mengembara ke bandar dengan kemampuan dan kemahirannya yang rendah dan akhirnya, dia berjaya manjadi pemuzik yang terkenal atas keberaniannya.

            Oleh: Chloe Soh (5W, WMSKL)

___________________________________________________________________________________


(b)   Jelaskan tiga nilai murni yang terdapat dalam sebuah novel yang telah anda pelajari. (8 markah)
                        
          Berdasarkan novel yang saya kaji iaitu novel Konserto Terakhir hasil karya Abdullah Hussain, terdapat beberapa nilai murni yang dapat diperoleh dalam novel tersebut.

           Antara nilai murni yang terdapat dalam novel termasuklah nilai kasih sayang. Contohnya, walaupun Pak Long Karim mengetahui Hilmi bukan anak kandungnya, dia tetap memeliharanya dengan penuh kasih sayang seperti anaknya sendiri. Dia hanya meminta Hilmi supaya pergi ke Kuala Lumpur untuk berdikari dan mencari pekerjaan di sana. Datuk Johari dan Datin Salmah memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak mereka, Hayati, manakala Encik Bakar dan isterinya memberikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak mereka, Azizah.

         Selain itu, terdapat juga nilai keikhlasan. Nilai keikhlasan dapat dilihat dalam  watak Encik Bakar. Dia sanggup mengajarkan muzik kepada Hilmi tanpa sebarang bayaran. Hai ini disebabkan dia menganggap ilmu yang dimilikinya itu tidak boleh dibawa ke kubur. Oleh itu, walaupun Azizah memintanya supaya tidak mengajar Hilmi kerana Hilmi seorang tukang kebun, Encik Bakar menyatakan bahawa dia mengajar bukan kerana balasan daripada Hilmi, tetapi dia mengetahui Hilmi mmepunyai bakat dan bakat itu perlu dikembangkan.

        Di samping itu, terdapat juga nilai bertanggungjawab. Nilai bertanggungjawab dapat dilihat dalam watak Hilmi. Buktinya, Hilmi menunjukkan sikap bertanggungjawab kepada Encik Bakar yang menjadi pemimpin ‘quartet’ di kelab malam Hotel Titiwangsa. Walaupun dia terlalu ingin untuk menghantar Hayati ke lapangan terbang namun niatnya itu diabaikan kerana dia bermain muzik pada malam itu. Malah, dia pergi ke tempat kerjanya sebaik sahaja selesai pertemuan dengan Hayati di kebun bunga pada malam Hayati hendak ke London.


Novel Papa

1.      Nilai berdikari - Contohnya, Julia memilih untuk tinggal di kolej Pusat Matrikulasi UIA kerana tidak mahu menyusahkan keluarganya.
2.      Nilai kesabaran - Contohnya, Jeffri bersabar dan menerima ketentuan Tuhan apabila isterinya koma dan kedua-dua bayinya meninggal dunia.
3.      Nilai ketaatan - Contohnya, Julia taat kepada perintah papa dan mamanya. Dalam novel ini turut dipaparkan Intan Julia menunaikan solat seperti yang dituntut oleh agama.


Oleh: James Low (5P, WMSKL)                                                                      

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------- 

(c)    Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, huraikan tiga nilai kekeluargaan yang terdapat dalam novel tersebut.

            Novel Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain yang telah saya kaji telah memaparkan nilai kemanusiaan. 

            Antara nilai kekeluargaan yang terdapat dalam novel ini termasuklah nilai simpati. Apabila Datuk Johari meninggalkan isterinya yang pertama untuk berpindah ke Kuala Lumpur, pergaduhan berlaku antara bapa Datuk Johari dengan bekas mentua Datuk Johari kerana bekas isterinya bukan lagi anak dara. Pak Long Karim sanggup mengahwini bekas isteri Datuk Johari untuk mengelakkan berlakunya pergaduhan yang berpanjangan kerana bersimpati terhadap bapa Datuk Johari dan bekas isterinya. 

            Selain itu, nilai kasih sayang juga wujud dalam novel ini. Walaupun Pak Long Karim mengetahui Hilmi bukan anak kandungnya, dia tetap memelihara Hilmi dengan penuh kasih sayang seperti anak sendirinya. Hal yang sama juga berlaku dalam keluarga Datuk Johari. Datuk Johari dan Datin Salmah memberikan kasih sayang yang sepenuhnya terhadap Hayati. Datuk Johari juga amat mementingkan masa depan Hayati. Oleh itu, beliau menunangkan Hayati dengan Mohsin kerana percaya bahawa Mohsin boleh memberikan kehidupan yang bahagia kepada Hayati.

            Di samping itu, nilai ketaatan iaitu tidak menderhaka kepada ibu bapa juga wujud dalam novel ini. Semenjak peninggalan Hilmi, Hayati memencilkan diri daripada keluarganya dan tidak seceria dahulu lagi. Pada ketika itu, Mohsin berada di London kerana berkursus selama enam bulan. Hayati mulai mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan mendirikan sembahyang dan membaca buku-buku agama. Akhirnya, dia mendapat petunjuk bahawa dia mesti mematuhi kehendak orang tuanya supaya tidak dianggap sebagai anak derhaka. Oleh itu, apabila balik ke tanah air, Hayati memberikan layanan baik kepada Mohsin dan akhirnya, dia berkahwin dengan Mohsin atas kehendak ibu bapanya.

Oleh: Jonathan Choy (5P, WMSKL)
 -----------------------------------------------------------------------------------------------------
 
(d)   Berdasarkan dua novel yang anda pelajari, jelaskan dua contoh peristiwa yang menunjukkan nilai bertanggungjawab dalam setiap novel.

          Novel yang saya kaji dalam Tingkatan 4 ialah novel Papa karya Daena Yusof dan dalam Tingkatan 5 ialah novel Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain. Dalam kedua-dua novel ini, terdapat watak-watak yang menunjukkan nilai bertanggungjawab. 

                        Dalam novel Papa, peristiwa yang menunjukkan nilai bertanggungjawab ialah  peristiwa  
          apabila isteri Encik Jeffri, Intan Maliana koma selepas mengalami  komplikasi semasa melahirkan    
        anak  kembar siam yang telah meninggal dunia. Anak gadis mereka, Intan Julia yang berumur tujuh 
       belas tahun amat sedih dan bimbang akan keadaan ibunya. Pada masa ini, Encik Jeffri mengambil alih 
       tugas isterinya untuk menjaga Julia. Encik Jeffri telah menunjukkan nilai bertanggungjawab dengan      
      menjaga anaknya sebagai tanggungjawab seorang bapa. Encik Jeffri telah melakukan tugas membawa 
      Julia ke sekolah dan menyediakan semua sarapannya.
             
        Dalam novel Konserto Terakhir, peristiwa yang menunjukkan nilai bertanggungjawab ialah peristiwa Hilmi menjalankan semua tanggungjawab yang diberikan kepadanya. Hilmi yang merupakan watak utama novel ini telah menjadi tukang kebun di rumah bapa saudaranya, Datuk Johari kerana hanya berpendidikan setakat darjah empat sekolah Melayu. Hilmi telah melakukan tanggungjawabnya dengan sempurna dan baik. Setiap hari, dia melakukan tugas menjaga kebun sayur dan tanaman bunga di pekarangan rumah Datuk Johari. Kebun sayur yang diusahakan oleh Hilmi telah mengeluarkan hasil sehingga dapat diberikan kepada rakan-rakan ‘morning coffee’ Datin Salmah, ibu saudaranya.

      Oleh : Amanda Tan (5P, WMSKL)

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
(e)    Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua peristiwa yang dapat dikaitkan dengan nilai kemanusiaan

                        Novel yang saya kaji ialah Konserto Terakhir karya Abdullah Husain. Terdapat beberapa peristiwa yang melambangkan nilai kemanusiaan.

                        Antara peristiwa tersebut ialah peristiwa Pak Long Karim menjaga Hilmi. Pak Long Karim sanggup menjaga Hilmi walaupun dia bukan anak kandungannya. Dia memeliharanya dengan penuh kasih sayang dan berharap dia dapat mencapai kejayaan dalam kehidupannya. Peristiwa tersebut melambangkan nilai kasih sayang.
                         
                   Selain itu, peristiwa Encik Bakar mengajar Hilmi tanpa mengharapkan sebarang balasan juga melambangkan nilai kemanusiaan. Encik Bakar sanggup mengajar Hilmi bermain alat muzik dan mengenal not-not muzik tanpa bayaran kerana dia seorang yang ikhlas. Dia mengetahui Hilmi mempunyai bakat untuk  menjadi seorang ahli muzik termasyhur. Peristiwa tersebut melambangkan nilai keikhlasan.


PERISTIWA NILAI KEMANUSIAAN NOVEL PAPA:
  1. Jeffri dan Intan Maliana saling menyayangi sehingga Julia menyatakan keakraban mereka seperti belangkas. Jeffri dan Intan Maliana juga amat menyayangi Intan Julia (Nilai kasih sayang)
  2. Intan Julia memilih untuk tinggal di Kolej Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kerana tidak mahu menyusahkan keluarganya. Hal yang sama juga berlaku pada Rasylan yang mengurus segala urusan pendaftarannya sendiri di Pusat Marikulasi UIA. (Nilai berdikari)
  3. Jeffri bersabar dan menerima ketentuan Tuhan apabila isterinya, Intan Maliana koma dan kedua-dua bayi kembar Siamnya meninggal dunia. (Nilai kesabaran)
Oleh Kimberly Lim (5W, WMSKL) 
---------------------------------------------------------------------------------------------------------

(f)    Huraikan tiga contoh yang memperlihatikan nilai kerjasama.    

     Novel yang telah saya kaji ialah novel Konserto Terakhir, karya Abdullah Hussain. Dalam novel ini, pengarang telah banyak menerapkan nilai murni dalam perwatakan baik watak utama mahupun watak sampingan. Antara nilai murni yang berjaya dipaparkan oleh pengarang termasuklah nilai kerjasama.

     Salah satu peristiwa yang dapat memperlihatkan nilai kerjasama dalam novel Konserto Terakhir termasuklah apabila Mamat berusaha untuk mencari seorang guru muzik bagi Hilmi kerana dia berpendapat bahawa Hilmi merupakan seorang yang mempunyai bakat dalam bidang muzik dan dapat bermain piano dengan baik. Mamat telah mengamalkan nilai kerjasama dan mencadangkan kepada Hilmi supaya belajar daripada Encik Bakar. Mamat telah membawa Hilmi ke rumah Encik Bakar, iaitu seorang drebar dan juga ahli muzik di kelab malam. Oleh sebab sikap kerjasama yang telah diamalkan oleh Mamat, Hilmi telah mendapat peluang untuk berlajar bermain pelbagai alat muzik dan membaca not muzik daripada Encik Bakar tanpa bayaran. 

       Selain itu, nilai kerjasama juga telah diamalkan oleh Hayati. Contohnya, apabila Hilmi terjatuh dan telah dihantar ke hospital, Hayati telah menawarkan diri kepada Ketua Pengarah RTM supaya dapat menjadi pengganti Hilmi dan mengambil alih tempat Hilmi. Hayati telah mengamalkan nilai kerjasama dengan menunjukkan ijazah yang diperolehnya dan ‘arrangement’ muzik Hilmi kepada Ketua Pengarah RTM. Akhirnya, Ketua Pengarah RTM telah mengizinkan Hayati untuk mengambil alih Hilmi. Hayati berjaya memimpin orkes itu dengan baik dan mendapat sambutan daripada penonton di dewan dan juga penonton di rumah.

     Di samping itu, nilai kerjasama juga dapat diperlihat dalam perwatakan Mohsin. Pada malam Hayati dan Mohsin hendak berangkat di London, Hayati mendapat keizinan daripada Mohsin untuk bertemu dengan Hilmi. Mohsin telah memberi kerjasama yang sepenuhnya dengan memberikan keizinan kepada Hayati untuk bertemu dengan Hilmi. Pertemuan mereka itu diatur dengan rapi oleh Mamat dan Esah tanpa pengetahuan Datuk Johari dan Datin Salmah. Dalam pertemuan itu, Hayati telah meluahkan rasa hatinya dan masalahnya kepada Hilmi.

 
Novel Papa

1. Mak Cik Noraini
- memberikan kerjasama kepada Jeffri dan Mama dengan menjaga Julia dengan baik.

Intan Julia
- memberikan kerjasama kepada ibu bapa dengan bertekad  untuk belajar dengan bersungguh-sungguh supaya mencapai kecemerlangan yang diharapkan oleh ibu bapanya, dan akhirnya dia berjaya lulus dengan cemerlang dalam SPM dan menlanjutkan pelajaran ke universiti.

Oleh: Kong Shin Wei (5P, WMSKL)
 ------------------------------------------------------------------------------------------------------------

(g)   Nilai hormat-menghormati

              Novel yang saya kaji ialah novel Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain. Dalam novel ini, terdapat nilai hormat-menghormati yang ditunjukkan oleh pelbagai watak dalam pelbagai aspek.

            Hayati menunjukkan nilai menghormati tetamu. Hayati mempelawa Hilmi masuk ke dalam rumahnya setelah dia mengetahui Hilmi itu tetamunya. Apabila Hilmi sudah masuk ke ruang tamu, dia mempelawanya duduk dan kemudian meminta Mak Minah menyediakan minuman untuk Hilmi. Hayati juga membawa Hilmi ke bilik yang diarahkan oleh ibunya. 

            Selain itu, Hilmi menunjukkan nilai hormat menghormati orang tua. Hilmi memanggil Datin Salmah sebagai Mak Cik Salmah apabila dia bertemu dengan Datin Salmah untuk kali pertama. Panggilan ‘Mak Cik’ menunjukkan bahawa Hilmi menghormati Datin Salmah.

            Di samping itu, nilai hormat menghormati guru ditunjukkan oleh Hayati. Semasa belajar bermain piano, Hayati telah membuat empat kesalahan yang tidak disengajakan. Kesalahan yang dilakukannya pada kali keempat ialah dia menekan mata piano nada tinggi agak kuat seolah-olah mencabar teguran guru pianonya. Oleh sebab itu, Hayati telah memohon maaf daripada guru pianonya tersebut kerana melukakan hatinya.

Oleh: Sarah Clare (5P, WMSKL)

1 comment: