Sunday, November 21, 2010

USAHA-USAHA MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA

Malaysia dan Nusantara mempunyai bahasa pertuturan tersendiri, iaitu bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia telah menjadi bahasa perhubungan atau lingua franca lebih 600 tahun lalu, lebih lama daripada bahasa Inggeris yang hanya bermula pertengahan kurun ke-16. Sejak tahun 1955, bahasa Malaysia telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan negara dan telah menjadi bahasa rasmi sejak merdeka. Pada tahun 1967, sepuluh tahun selepas merdeka, bahasa Malaysia menjadi bahasa kebangsaan bahasa rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, iaitu Perkara 152. Krisis baharu yang melanda bahasa Malaysia ialah rakyat negara ini semakin meminggirkan bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan.

Krisis ini berpunca daripada tanggapan yang salah oleh masyarakat tentang kemampuan bahasa Malaysia sebagai bahasa kemajuan negara ini. Faktor kedua berpunca daripada sikap orang Melayu sendiri. Hal ini berlaku demikian kerana orang Melayu yang berkuasa telah meminggirkan bahasa Malaysia daripada rancangan pembangunan. Mereka tidak mahu menyokong rancangan pembinaan kepustakaan bahasa Malaysia. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, janganlah terkejut jika negara kita terus tertinggal dalam arus kemajuan, muflis dalam bidang ilmu, teknologi, dan budaya serta akhirnya terkubur di negara sendiri. Rata-rata, ibu bapa mendidik anaknya bertutur dalam bahasa Inggeris, kononnya jika tidak menguasai bahasa asing itu, mereka sukar mendapat pekerjaan.

Dalam dunia korporat, orang-orang Melayu sendiri malu untuk bertutur dalam bahasa Malaysia dengan bangsanya sendiri, kononnya takut dikatakan kolot, ketinggalan zaman, tidak bertamadun atau tertinggal dalam arus teknologi moden. Bangsa kita tidak terdesak untuk mencipta ilmu dan teknologi baharu kerana ilmu itu dapat diperoleh dan dibeli dari dunia lain sama ada dari barat atau timur sehingga bahasa Malaysia menjadi peniru atau pengguna. Kita janganlah menuding jari kepada sesiapa jika bahasa Malaysia dipinggirkan kerana kita sendiri yang enggan atau malu untuk menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa sains dan teknologi, bahasa pencipta ilmu dan budaya atau bahasa bertamadun tinggi. Masyarakat kita sendiri lebih mementingkan bahasa Inggeris sebagai alat kemajuan, malah dalam perbualan seharian sesama sendiri, kita lebih berminat menggunakan bahasa Inggeris walaupun penguasaan bahasa Inggeris kita tidaklah sebaik mana.

Selain itu, dasar penswastaan yang tidak terhad semakin menyingkirkan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di institusi-institusi pengajian tinggi. Pelajar-pelajar di sekolah menerima pendidikan bahasa Malaysia selama tiga belas tahun. Selepas itu, mereka meninggalkan bahasa itu selepas tamat persekolahan untuk melanjutkan pelajaran mereka ke kolej swasta yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajiannya.

Dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan badan utama yang memainkan peranan yang amat penting dalam memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia. Melalui peranan dan usaha yang dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, bahasa Malaysia telah digunakan dalam pelbagai bidang, termasuklah undang-undang, kejuruteraan, sains dan teknologi, ekonomi, perbankan, insurans dan sebagainya. Usaha ini terbukti dengan terbitnya buku-buku pengistilahan dan glosari dalam bahasa Malaysia yang mencakupi pelbagai bidang tersebut. Sebelum ini, kebanyakan istilah yang digunakan diambil daripada bahasa Inggeris. Usaha ini merupakan satu kejayaan yang membanggakan. Hal ini sekali gus dapat membantu program pendidikan di pusat pengajian tinggi.

Di samping itu, seluruh pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka mesti menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul dalam semua ucapan rasmi seperti ucapan dalam majlis perasmian, mesyuarat atau perhimpunan. Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah juga menjadi monitor dan menggerakkan semua aktiviti pembinaan dan pemantapan bahasa kebangsaan di seluruh negara, contohnya dalam projek Sukan Komanwel dan Koridor Raya Multimedia. Dalam konteks ini, Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah sentiasa menasihat, menegur, dan membimbing pemimpin kerajaan, swasta, media cetak, atau media elektronik supaya menggunakan bahasa Malaysia yang betul dalam semua urusan rasmi.

Selain itu, peranan media massa juga tidak harus diperkecil. Media massa mempunyai tanggungjawab sosial untuk memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Malaysia. Pujian dan sanjungan haruslah diberikan kepada stesen penyiaran TV3 kerana masih terus menggunakan bahasa Malaysia dalam kebanyakan siaran. TV3 merupakan stesen penyiaran yang mula-mula menggunakan bahasa baku walaupun kini tidak lagi dan begitu juga harapan kita kepada RTM. Walaupun pihak RTM telah memulakan penyebutan baku bagi istilah asing, namun usaha itu masih belum boleh dibanggakan. Oleh itu, diharapkan kebanjiran stesen-stesen baharu ini dapat bersama-sama memartabatkan bahasa Malaysia di negara kita.

Di samping itu, mahasiswa institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan yang proaktif untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Hal ini demikian kerana mahasiswa perlu bergerak bersama-sama bagi mengukuhkan bahasa Malaysia dalam semua bidang ilmu. Menurut Datuk Mahadzir Mohd Khir, Timbalan Menteri Pelajaran, beliau mengatakan bahawa langkah-langkah yang dijalankan oleh mahasiswa dengan menganjurkan Minggu Bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi dalam kegiatan kebahasaan akan menarik minat dan memupuk kecintaan orang ramai terhadap bahasa Malaysia. Pembabitan mahasiswa yang peka terhadap keperluan dan perubahan semasa selaras dengan peranan mahasiswa sebagai penggerak pembangunan masyarakat patut diberikan pujian. Minggu Bahasa Malaysia yang dianjurkan oleh mahasiswa dapat mendaulatkan bahasa ibunda di samping memupuk kecintaan terhadap bahasa Malaysia dalam kalangan generasi masa ini.

Warga pendidik di negara ini juga turut memainkan peranan yang penting untuk memartabatkan bahasa Malaysia serta meningkatkan mutu pendidikan bahasa Malaysia. Golongan pendidik hari ini telah dipertanggungjawabkan melaksanakan konsep bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat. Peranan pendidik bahasa adalah penting kerana mereka juga bertanggungjawab membimbing guru mata pelajaran lain. Peranan para pendidik lebih penting dalam memartabatkan bahasa Malaysia kerana dalam kurikulum pendidikan bahasa, matlamat utama adalah untuk melahirkan pelajar yang berupaya menggunakan bahasa Malaysia yang baik dan membanggakan. Selain itu, dalam konteks sikap yang lebih luas, nilai-nilai masyarakat yang positif perlu di¬terapkan melalui pendidikan bahasa.


Sehubungan dengan itu, peranan sektor swasta dalam memartabatkan bahasa Malaysia amatlah dialu-alukan. Sektor swasta haruslah peka dan menganjurkan lebih banyak kegiatan bahasa di luar negara seiring dengan promosi perniagaan atau produk masing-masing. Kegiatan promosi dan pasaran secara terancang akan memberikan pulangan yang merangsangkan perkembangan bahasa Malaysia sebagai bahasa ekonomi, sains, dan teknologi. Papan-papan tanda dan iklan yang mempromosikan sesuatu produk haruslah menggunakan kata-kata bahasa Malaysia yang betul dalam semua urusan rasmi. Dengan cara ini, kita akan dapat mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Malaysia bukan sahaja di negara kita malah di pentas dunia.

Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, orang Malaysia sendiri mesti membetulkan kelakuan, sikap, tanggapan, dan semangat mereka terhadap bahasa Malaysia. Jika tidak siapakah lagi yang akan bertanggungjawab memperjuangkan dan mendaulatkan bahasa Malaysia yang menjadi bahasa kebangsaan? Beliau juga mengesyorkan satu pertemuan raksasa antara orang-orang Malaysia yang terdiri daripada pemimpin politik, cendekiawan, ahli perniagaan, dan sebagainya perlu diadakan untuk membincangkan segala masalah yang mengancam bahasa Malaysia hari ini. Sebenarnya, isu bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan samalah seperti nasib sosial dan budaya kebanyakan orang Malaysia. Oleh hal yang demikian, orang-orang Malaysia haruslah bangun menjadi penegak bahasa Malaysia; bahasa yang menjadi tonggak bangsa.

Kesimpulannya, daripada perbincangan di atas, langkah-langkah yang konkrit dan pragmatik perlulah diambil untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan kita. Hakikat ini perlu disedari dan diakui oleh seluruh rakyat Malaysia. Kepentingan bahasa ini tidak dapat dipertikaikan lagi, sebaliknya setiap individu haruslah memanfaatkan masa mereka untuk mempelajari dan menguasai bahasa Malaysia dengan baik. Cara itulah yang terbaik untuk memartabatkan bahasa Malaysia yang ternyata memberikan faedah yang besar kepada perpaduan rakyat dan teknologi Malaysia. Jika tidak, generasi yang akan datang akan ketinggalan dan dijajah oleh kuasa-kuasa Barat yang menggunakan bahasa asing. Sesungguhnya, bahasa jiwa bangsa.

28 comments:

  1. bahasa melayu atau bahasa malaysia? =_='

    ReplyDelete
  2. Entah mengapa sehingga lebih lima puluh tahun merdeka, istilah bahasa Melayu masih dipolemikkan sejak dahulu sehingga kini dengan nama “bahasa Malaysia”. Bagi sesetengah orang perkara ini kecil dan remeh. Tidak perlu diperbesar. Malangnya jika betul remeh dan kecil sahaja hal ini, makanya tak perlulah kita “bersusah payah” dan beria-ria untuk menegakkan penggunaan istilah “bahasa Malaysia” yang sebenarnya tidak betul dan lain maksudnya. Misalnya mengapa kita tidak sebut begini yang pastinya lucu “memartabatkan bahasa Malaysia (nama negara), memperkukuh bahasa England (juga nama negara). Orang berbangsa Amerika, Australia, New Zealand dan lain-lain tidak pun mengambil kisah untuk menukar bahasa “English” tersebut kepada nama bahasa Amerika, Australia, New Zealand, India, Korea, Jepun atau Filipina. Walau di ceruk mana sekalipun itulah sahaja namanya, Inggeris atau English. Martabat bahasa Melayu sepatutnya dijaga daripada sekecil-kecil perkara termasuk nama, sehinggalah kepada hal yang lebih besar berkaitan dengan pengisiannya, pembakuan sebutan, tatabahasa, istilah dan laras bidang ilmu. harap dapat memperbetulkan istilah..

    ReplyDelete
  3. isu ini sangat menarik untuk di kongsi bersama memandangkan jati diri rakyat Malysia semakin menipis dek kerana suka mendaulaatkan bahasa asing daripada mencintai bahasa sendiri...

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
    Replies
    1. inilah dikatakan, kera di huta disusukan,anak di rumah mati kelaparan..

      Delete
  5. This happens frequently especially at schools since the majoriti students prefer to use English language as English is international language.There is no doubt in that.

    ReplyDelete
  6. Ia karangan yang bagus.Daebakkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkk

    ReplyDelete
  7. Ia karangan yang bagus.Daebakkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkk

    ReplyDelete
  8. Thanks Saudara/i beri idea untuk sy mengembangkan penulisan tugasan saya..

    ReplyDelete
  9. yg perenggan kedua tu cikgu Jarak kah?

    ReplyDelete
  10. Sedap nak baca karangan kamu 💜💜👌

    ReplyDelete