Tuesday, September 8, 2009

Peranan Kita dalam Usaha Mengantarabangsakan Bahasa Melayu

PERENGGAN ISI:
Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah ingat bahawa orang lain, iaitu bangsa lain tidak akan menyebarkan bahasa Melayu ke seantero dunia, kecuali kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita hendaklah mempunyai iltizam untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa terpenting pada suatu hari nanti. Oleh itu, langkah yang pertama ialah kita perlulah memastikan bahawa bahasa Melayu mestilah diterima di tanah air sendiri. Jika bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan juga bahasa rasmi di negara kita ditolak oleh sebilangan besar rakyat di negara kita, bagaimanakah penduduk dunia mahu menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kedua mereka? Oleh hal yang demikian, kita mestilah menyokong segala usaha yang bertujuan meningkatkan atau memartabatkan bahasa Melayu di negara sendiri.

Selain itu, kita juga hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui peranan kita sebagai duta kecil ketika berada di luar negara. Sama ada kita sebagai pelajar, pelancong, atau pekerja, kita mestilah sentiasa berusaha untuk menyebarluaskan bahasa Melayu dengan pelbagai cara. Ketika berada di luar negara, apalah salahnya jika kita mengajar rakan kita dari negara lain untuk mempelajari bahasa Melayu. Untuk menarik perhatian mereka, kita juga mestilah bersedia untuk mempelajari bahasa mereka. Jika kita bersedia untuk mempelajari bahasa mereka, mereka juga pasti bersedia untuk mempelajari bahasa kita.

Seterusnya, kita hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui pejabat kedutaan negara kita di luar negara. Di seluruh dunia, terdapat 104 buah kedutaan Malaysia yang mampu memainkan peranannya untuk menyebarluaskan bahasa Melayu. Melalui kedutaan tersebut, kita hendaklah mengetengahkan bahasa Melayu di negara-negara asing dalam pelbagai acara atau majlis. Melalui usaha ini, bahasa Melayu akan lebih dikenali, dipelajari, dihayati dan seterusnya dihormati oleh warga dunia. Pepatah Melayu mengatakan,"tak kenal maka tak cinta". Sebagai rakyat yang mempunyai semangat `bahasa jiwa bangsa’, kita hendaklah mempunyai iltizam atau kesungguhan untuk mempromosikan bahasa Melayu walau di mana-mana jua kita berada.

Dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi ini pula, rakyat Malaysia mestilah memanfaatkan penggunaan Internet. Mereka yang pakar dalam bidang ini seperti ahli akademik, pakar bahasa dan sebagainya hendaklah menyebarluaskan bahasa Melayu melalui laman web atau blog bagi membolehkan masyarakat dunia untuk mendekati dan mempelajari bahasa Melayu. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan masyarakat di duni mencari dan memperoleh maklumat melalui Internet. Oleh itu, kita mesti;ah mengambil kesempatan ini untuk mempromosikan bahasa Melayu. Oleh sebab Internet merupakan medium yang paling murah, mudah dan cepat untuk menyebarkan maklumat, kita mestilah mengeksploitasikan kelebihan ini untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu ke seantero dunia.

Bukan itu sahaja, kita juga hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui filem. Jika penerbit filem di negara kita mampu menghasilkan filem yang bermutu, sudah pasti masyarakat antarabangsa akan menerima filem kita. Apabila mereka menerima filem kita, hal ini akan memberikan peluang kepada mereka untuk mendalami dan mempelajari bahasa dan budaya Melayu. Namun, masalah yang kita hadapi ialah penerbit filem negara kita masih belum mampu menghasilkan filem yang bertaraf antarabangsa seperti filem yang dihasilkan oleh negara Hongkong, Jepun, Korea , Bollywood, dan sebagainya Jadi, jika kita mahu menggunakan filem sebagai satu cara untuk menyebarluaskan bahasa Melayu, kita mestilah memartabatkan dan mengantarabangsakan filem Melayu juga.

5 comments:

  1. CIKGU SAYA TAK TAHU MACAM MANA NAK DAPAT MARKAH YANG TINGGI..SUBJEK LAIN SAYA BOLEH DAPAT SEHINGGA 80 KE ATAS...TAPI SEBALIKNYA DALAM BAHASA MELAYU HANYA LULUS ATAS PAGAR SAHAJA

    ReplyDelete
  2. Salam cikgu, mohon komen karangan saya.. http://redwanariffin.blogspot.com/

    ReplyDelete