Monday, September 7, 2009

KESAN JEREBU

Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah, rakyat Malaysia telah digemparkan lagi dengan berita Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan Kuala Lumpur yang meningkat secara mendadak akibat berlakunya jerebu. Keadaan jerebu di Malaysia yang berlaku secara tahunan telah menjadi suatu kebiasaan bagi penduduk di bandar raya besar tersebut. Masalah jerebu yang seperti bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan daun nyiru telah mendapat liputan meluas daripada pihak media massa dan dalam kalangan rakyat Malaysia. Keadaan jerebu bertambah serius akibat berlakunya fenomena El-Nino. Persoalannya, apakah faktor dominan berlakunya jerebu? Adakah pihak kerajaan sahaja yang memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah jerebu ini? Tepuk dada tanyalah selera. Oleh sebab setiap yang berlaku pasti ada akibatnya, masalah jerebu telah mendatangkan pelbagai impak yang negatif kepada negara kita dan juga rakyat kita.
Antara kesan negatif yang disebabkan oleh jerebu ialah kualiti udara negara kita akan terjejas. Udara negara kita yang segar dan bersih akan dipenuhi oleh debu dan asap setiap kali jerebu melanda sehinggalah jarak penglihatan mendatar yang dahulunya sejauh 2 kilometer menjadi 50 meter. Sebagai contoh, pada bulan Ogos 2005, negara kita dilanda jerebu yang paling teruk dalam sejarah negara kita, di mana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang mencecah lebih 500 buat kali pertama di Malaysia sehingga darurat diisytiharkan di kedua-dua kawasan tersebut, justeru segala aktiviti luar tidak dapat dijalankan dan kebanyakan sekolah, pelabuhan dan kilang ditutup buat sementara. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa jelaslah jerebu boleh mendatangkan keburukan terhadap negara kita.
Jerebu juga boleh menyebabkan masalah kesihatan rakyat. Golongan yang lebih lemah seperti kanak-kanak dan warga tua mudah jatuh sakit. Hal ini berlaku kerana jerebu menyebabkan badan menjadi lemah dan imunisasi semakin rendah. Penyakit-penyakit selesema dan batuk akan mudah merebak. Misalnya, pesakit-pesakit asma dan penyakit respiratori mudah diserang penyakit pernafasan lain. Hal ini berlaku kerana pernafasan mereka menjadi tidak baik dan ditambah pula udara yang kurang bersih maka kesihatan mereka akan mudah terancam. Dalam jangka masa yang panjang, kita juga mungkin akan sakit kerongkong, kegatalan kulit, kemerahan mata dan sebagainya. Dengan itu, jelaslah bahawa jerebu membawa kesan negatif kepada kesihatan orang ramai.
Selain kemerosotan taraf kesihatan rakyat Malaysia, sektor ekonomi negara turut terjejas akibat kerenah jerebu yang berlaku di Malaysia. Tahap penglihatan yang rendah menyebabkan aktiviti luar disekat dan industri perikanan dan pertanian terpaksa dihentikan demi menjamin keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerja. Rakyat Malaysia yang terlibat dalam bidang perikanan dan pertanian terpaksa mencari alternatif yang lain untuk mencari pendapatan buat sementara waktu. Apabila masalah jerebu menjadi semakin meruncing, kesan negatif yang lebih serius akan timbul. Sumber pendapatan negara turut terancam akibat jerebu. Sumber pendapatan negeri-negeri yang berasaskan industri pelancongan seperti Sabah dan Sarawak akan merosot kerana industri pelancongan terjejas akibat jerebu. Para pelancong bukan sahaja dari dalam negeri malah dari negara asing tidak akan melawat ke Malaysia sekiranya jerebu masih berlaku di Malaysia kerana bimbang akan keselamatan dan kesihatan mereka semasa melancong ke Malaysia. Secara tidak langsung, ekonomi negara kita akan terjejas akibat jerebu.
Jika dilihat dari perspektif lain, masalah jerebu dapat menjejaskan flora dan fauna di negara kita. Apabila jerebu berlaku, kandungan karbon dioksida berlipat ganda daripada kandungan yang biasa, sebaliknya kandungan oksigen akan kurang daripada yang biasa. Hal ini akan menyebabkan tanaman akan mengambil masa yang lebih lama untuk membesar. Kualiti dan hasil tanaman juga akan merosot. Hal ini disebabkan oleh proses fotosintesis yang terjejas akibat kandungan karbon dioksida yang berlebihan. Proses pernafasan yang melibatkan penyerapan gas oksigen dan pembebasan gas karbon dioksida ini menyebabkan tumbuhan hijau tumbuh dengan lebih lama. Misalnya, pokok balak akan mengambil masa yang lebih panjang untuk matang. Secara tegasnya, hasil dan kualiti pertanian boleh terjejas sehingga 30 peratus. Sumber petani akan turut terjejas sekali gus ekonomi negara yang bergantung pada pertanian turut terjejas. Bagi fauna pula, hidupan akuatik akan terjejas kerana kandungan oksigen yang terlarut dalam air pula akan berkurang dan hidupan akuatik seperti ikan-ikan tidak akan mendapat oksigen yang secukupnya. Jelaslah bahawa masalah jerebu akan menjejaskan flora dan fauna negara.
Intihanya, semua pihak termasuklah rakyat Malaysia haruslah bersinergi dan berganding bahu dalam menyelesaikan masalah jerebu di Malaysia bagi mendukung kebenaran yang kita sepakati, persis kata cendekiawan, “bagai aur dengan tebing.” Sekiranya masalah ini dipandang enteng, nyawa modal insan negara kita akan menjadi “seperti telur di hujung tanduk.” Kebobrokan sikap anak-anak juga mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk mengatasi masalah jerebu dan seterusnya menggapai impian Wawasan 2020. Sekiranya masalah jerebu di negara kita tidak diatasi dengan segera, lama-kelamaan efek buruknya akan menjadi berpanjangan dan berkekalan serta sukar untuk diselesaikan dan ketika itu kita akan berasa menyesal tetapi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

8 comments:

  1. fuhh!!!siap la ULBS ku esok..hehehe

    ReplyDelete
  2. thanks so much cikgu,cikgu membantu band 5 geo saye =D

    ReplyDelete
  3. terima kasih cikgu atas entry ni . dan izinkan saya untuk copy entry ni untuk rujukan pt3 saya

    ReplyDelete
  4. TQ cikgu sangat membantu menyiapkan kemahiran geo pt3

    ReplyDelete