Sambutan Hari Pengguna membawa
erti yang cukup mendalam bukan sahaja kepada pengguna malahan
juga kepada peniaga, pengeluar, dan kerajaan. Pelbagai tema yang membayangkan hasrat
kerajaan untuk melahirkan pengguna yang serba bijak dan berpengetahuan diketengahkan
pada setiap tahun. Walaupun pelbagai tema yang dipilih, matlamatnya tetap sama iaitu
untuk memastikan pengguna terdidik dan bijak serta tahu akan hak mereka. Kini,
masalah
kenaikan harga barangan sememangnya begitu ketara bagaikan bangkai gajah tidak
dapat ditutupi nyirunya lagi terutama di kawasan urbanisasi. Sebagai pengguna, kita perlu memiliki sifat-sifat
pengguna yang bijak untuk berupaya mengharungi kehidupan sebegini. Maka, kita
mempunyai kuasa untuk menentukan barangan itu perlu atau sebaliknya dalam
menjalani kehidupan harian itu. Oleh itu, untuk melahirkan pengguna yang bijak, obligasi ini terletak pada pundak
ibu bapa kerana ibu bapa merupakan guru yang terbaik dan terdekat kepada
anak-anak.
Peranan
ibu bapa yang paling signifikan dalam mendidik anak-anak supaya menjadi
pengguna yang bijak ialah ibu bapa perlu memupuk amalan berjimat cermat dalam
kalangan anak-anak. Anak-anak perlu diajar supaya membeli barangan yang
benar-benar perlu dan tidak membazir kerana amalan membazir itu sebahagian
daripada amalan syaitan. Aktiviti membeli-belah memang menyeronokkan apatah
lagi apabila kita mempunyai wang yang banyak yang membolehkan kita membeli
apa-apa sahaja barangan dan perkhidmatan yang disukai. Malah, ada orang yang
menjadikan aktiviti membeli-belah sebagai aktiviti wajib pada setiap bulan
sehingga sanggup melakukan pembaziran. Oleh itu, ibu bapa perlu mengingatkan
anak-anak agar berjimat cermat dalam pembelian dan perlu mengamalkan amalan
menabung untuk kepentingan masa depan. Kata orang tua-tua, beringat sebelum kena, berjimat
sebelum habis. Jelaslah bahawa amalan berjimat cermat juga merupakan
satu amalan yang mulia yang harus dipupuk oleh ibu bapa dalam diri anak-anak.
Selain
itu, ibu bapa harus memberikan teladan
kepada anak-anak dengan tidak berbelanja di kawasan-kawasan mewah dan
mengamalkan sikap kesederhanaan. Sikap ini dapat dikaitkan dengan kata slogan
yang berbunyi kepimpinan melalui teladan. Biasanya, barangan yang dijual di
kawasan mewah seperti di KLCC, Pavillion, Mid Valley dan sebagainya lebih mahal
harganya bukan kerana kualiti tetapi kerana faktor kawasan, suasana dan sewa
kedai yang lebih tinggi menyebabkan kos barang menjadi mahal. Selain itu,
kebanyakan pengguna ingin membeli di tempat yang elit ini kerana mereka
mengutamakan jenama. Impaknya, sikap terlalu mengutamakan jenamalah yang
membawa pengguna berbelanja besar. Sebenarnya, semua barang hampir serupa
sahaja kualitinya tetapi harga yang dijual berbeza-beza mengikut kawasan
tertentu. Oleh itu, mengapakah kita perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan
barangan yang hampir sama kualitinya? Tepuk dada tanyalah selera. Konsep hidup
sederhana dan tidak mementingkan aspek kebendaan membolehkan kehidupan pengguna
lebih selesa dan tenang tanpa sebarang masalah kewangan pula. Jadi, sikap ibu
bapa yang tidak berbelanja di kawasan yang mewah dan mengamalkan kesederhanaan
akan diteladani oleh anak-anak untuk menjadi pengguna yang bijak kerana bagaimana
acuan, begitulah kuihnya.
Seperkara
lagi, ibu bapa seyogianya mengajar anak-anak supaya bijak mengurus kewangan peribadi.
Pengguna yang bijak ialah pengguna yang tahu mengurus kewangan dengan berkesan
dan seterusnya tahu mengawal perbelanjaan mereka. Untuk itu, diri anak-anak perlu
dilengkapkan dengan ilmu kewangan yang dapat membantu anak-anak menguruskan
kewangan peribadi mereka dengan baik dan berkesan. Antara yang perlu dilakukan
termasuklah merubah corak perbelanjaan harian keluarga dan merancang
perbelanjaan demi masa depan yang baik. Selain itu, ibu bapa juga boleh
membimbing anak-anak membuat perancangan yang lebih sistematik dengan membuat catatan
wang simpanan dan wang perbelanjaan. Perancangan kewangan yang baik dan
pengurusan kewangan yang sistematik akan membantu berbelanja mengikut keperluan
dan tidak membebankan. Selain itu, ibu bapa perlu menasihati anak-anak agar sentiasa
menyediakan senarai barangan keperluan sebelum keluar untuk berbelanja bagi
mengelakkan pengguna membeli barangan yang tidak diperlukan. Dengan itu, anak-anak
dapat mendisiplinkan diri dengan mematuhi setiap perancangan yang telah
ditetapkan dan sekali gus usaha untuk melahirkan pengguna yang bijak dapat
direalisasikan.
Jika
kita lihat dari dimensi yang lain, ibu bapa perlu menerangkan keburukan membeli
barangan atau perkhidmatan yang menawarkan harga jualan yang lebih murah. Hal
ini kerana pengguna akan berbelanja boros semasa jualan murah diadakan. Misalnya,
ketika musim perayaan, pelbagai potongan harga yang menarik ditawarkan. Pengeluar
barangan dan perkhidmatan sentiasa berlumba-lumba menghasilkan pelbagai produk
dan barangan dengan tawaran yang cukup mengasyikkan pengguna. Lebih mengujakan
pengguna, tentulah lambakan tawaran daripada pelbagai barangan berjenama di
pasaran. Siapakah yang tidak tergoda apabila melihat tawaran harga barangan
berjenama yang menjunam sehingga 70 peratus? Syarikat kewangan pula menawarkan
pelbagai bentuk perkhidmatan kad kredit untuk memudahkan pengguna berbelanja.
Namun begitu, yang membimbangkan adalah apabila seronok membeli-belah
menyebabkan pengguna akhirnya tidak dapat mengawal perbelanjaan bulanan, yang
kemudiannya terjerumus ke dalam beban hutang yang tidak disangka-sangka. Oleh
itu, sikap ibu bapa yang tidak mudah terpedaya oleh jualan murah dan tidak
menggalakkan pembelian ketika jualan murah merupakan antara peranan yang wajar
untuk melahirkan pengguna yang bijak dalam kalangan anak-anak.
Lebih-lebih
lagi, amalan pembelian barangan tempatan perlu diamalkan oleh ibu bapa dan
diterapkan dalam diri anak-anak. Barangan
buatan Malaysia ialah barangan yang dihasilkan di dalam negara kita. Banyak
kilang yang didirikan untuk menghasilkan barangan tempatan. Barangan tempatan bukan sahaja murah bahkan
juga berkualiti. Ibu bapa sendiri perlu
menggunakan barangan buatan Malaysia di rumah, contohnya perabot, pakaian,
makanan dan barangan elektrik. Antara barang buatan Malaysia yang terkenal ialah
kereta Proton Saga Proton Waja, Proton Perdana. barangan tembikar, batik lukis dan perabot
rotan. Di samping menjimatkan perbelanjaan seseorang, amalan ini juga dapat menunjukkan
sokongan kita terhadap usaha anak watan kita sendiri bak kata pepatah, hujan
emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri
sendiri. Usaha kerajaan mendirikan Kedai Satu Malaysia merupakan usaha
yang efektif untuk menggalakkan rakyat membeli produk tempatan. Ibu bapa perlulah
membeli-belah di kedai tersebut supaya tindakan yang sama akan dilakukan oleh
anak-anak kelak. Secara implisitnya, usaha untuk melahirkan pengguna yang bijak
akan menjadi kenyataan kelak.
Sebagai akhir kalam, ibu bapa memainkan peranan yang
penting untuk melahirkan pengguna yang bijak dalam dalam kalangan anak-anak. Ibu bapa mestilah menjalankan obligasi
masing-masing dengan menitikberatkan amalan kepenggunaan yang bijak. Jikalau
anak-anak kini berjaya menjadi pengguna yang bijak sudah tentu masa depan
mereka akan lebih bersinar dan lebih cerah. Usaha ini bukan sahaja berguna
kepada diri anak-anak malahan juga memberi tempias kepada negara kelak kerana
mereka yang akan menerajui tampuk kepimpinan negara. Diharapkan generasi
pelapis negara ini akan lebih bijak merancang perbelanjaan peribadi dan negara
supaya negara kita tidak terheret dalam lembah kemiskinan kerana terlajak
perahu boleh diundur, terlajak laku buruk padahnya.
Terima kasih cikgu kerana karangan saya dapat ditulis dengan lancar dan lebih baik selepas mambaca karangan cikgu...
ReplyDeleteSatu karangan yg gramatis
ReplyDeleteulasan yg cikgu buad sesuai dgn mnde yg sye nk cri.....
ReplyDeletetime kasih sbb share contoh krngan ni... >_<
amat gramatis.
ReplyDeletekarangan yg gramatis...terima kasih cikgu...
ReplyDeleteTerima kasih cikgu untuk tlg menolong pelajar....
ReplyDeleteterima kasih cikgu...semoga sentiasa dirahmati Allah SWT...
ReplyDeleteTerima kasih cikgu
ReplyDeleteTerima kasih cikgu
ReplyDelete