Saturday, May 5, 2012

2. PUNCA REMAJA HILANG


“Jika diberikan aku seratus orang tua, nescaya aku mampu menterbalikkan perahu yang tertangkup tetapi, jika aku diberikan sepuluh orang muda, nescaya aku dapat mengegarkan dunia”. Bait-bait susunan retorik yang penuh puitis daripada mantan Presiden Indonesia, Soekarno menjadi satu menifestasi dalam usaha membangunkan golongan belia dan generasi muda. Bait-bait kata ini juga menjadi dorongan dan semangat kepada pemimpin-pemimpin negara di serantau dunia dalam usaha meningkatkan kualiti diri para belia yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan. Namun begitu, sayang beribu-ribu kali sayang, kita kini sering dikejutkan dengan berita kejadian remaja hilang daripada pangkuan keluarga yang merupakan aset prima negara. Hal ini membimbangkan pelbagai pihak terutamanya golongan ibu bapa kerana keberangkalian untuk menjumpai remaja yang hilang amatlah tipis senipis kulit bawang. Oleh itu masalah ini berlaku kerana didalangi oleh beberapa faktor kerana jika tiada angin masakan pokok bergoyong. Begitulah kata-kata pujangga yang mempunyai konotasi yang tersendiri dalam isu ini. Sebenarnya, apakah punca-punca yang mendalangi isu remaja hilang ini?

          Punca dominan permasalahan remaja hilang daripada pangkuan keluarga ialah kurangnya kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak amat penting bagi membentuk jiwa dan sahsiah anak-anak. Tanpa kasih sayang daripada ibu bapa, anak-anak itu akan menjadi yatim. Kehidupan dan jiwa mereka akan terumbang-ambing ibarat kapal tanpa nakhoda. Kesibukan ibu bapa dalam memuaskan tuntutan nafsu keduniaan semata-mata tanpa menghiraukan kepentingan kasih sayang dalam kehidupan remaja menyebabkan mereka berasa kian disisihkan. Hal ini secara implisitnya menyebabkan golongan remaja mengambil keputusan untuk melarikan diri daripada pangkuan keluarga demi mencari keseronokan dan tempat yang tenteram. Kekurangan kesedaran ibu bapa akan kepentingan kasih sayang dalam jiwa remaja akan menyebabkan mereka mencari alternatif lain untuk mendapatkan sekelumit kasih sayang daripada insan lain terutamanya daripada rakan mereka. Jika tersilap langkah, kes remaja hilang akan kian meningkat dan sukar dibendung. Maka, tidak hairanlah kes kehilangan remaja kian menjadi-jadi disebabkan sikap ibu bapa yang bersikap materialistik daripada memberikan kasih sayang kepada anak remajanya.

          Selain itu, kurang perhatian dan pemerhatian terhadap kegiatan anak remaja ketika berada di kawasan tumpuan masyarakat memberi peluang keemasan kepada orang yang tidak berperikemanusiaan untuk menculik mereka. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Keluarga menunjukkan bahawa antara punca prima yang menyebabkan kanak-kanak dan remaja hilang ialah masyarakat pluralistik di Malaysia bersikap nafsi atau mementingkan diri sendiri. Sikap menjaga tepi kain orang kian mengikis dan luntur terutamanya masyarakat yang tinggal di bandar yang diselubungi oleh teknologi dan komunikasi yang canggih. Sikap nafsi ini telah menyebabkan kejadian remaja hilang kian meningkat dan membarah. Hal ini berlaku demikian kerana masyarakat pluralistik dasawarsa ini sudah malas ambil tahu tentang perkembangan masyarakat sekeliling dan mereka telah menjadi seperti katak di bawah tempurung. Oleh itu, sikap masyarakat yang bagaikan enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing turut menjadi dalang dalam permasalahan remaja hilang.

          Selain itu, sikap remaja yang terlalu mengikut kata hati turut meningkatkan statistik remaja hilang di negara kita. Remaja yang berusia lingkungan 12 hingga 21 tahun merupakan golongan yang menempuh alam kritikal dan penuh dengan perasaan sering menganggap bahawa segala tindakannya betul, kurang mendengar nasihat orang lain, dan suka mencuba sesuatu yang baharu. Dalam meniti usia yang baru berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang ini, golongan ini menganggap bahawa segala tindakannya adalah benar dan tiada sesiapa yang boleh melarang mereka. Kata-kata orang yang lebih dewasa dan berpengalaman, baik ibu bapa, guru, mahupun saudara mara tidak diendahkan ibaratkan masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Mereka tidak takut untuk meninggalkan rumah kerana banyak tempat yang boleh didiami sama ada di rumah rakan ataupun bekerja yang diyakini akan menyediakan tempat tinggal oleh majikan mereka. Berbekalkan keyakinan yang tidak semua benar, mereka akan berasa selamat tinggal di luar rumah. Atas alasan yang longgar, mereka tidak berasa bersalah meninggalkan rumah, mengecewakan ibu bapa, sekali gus mengetepikan masa depan. Mereka tidak kisah sama ada ibu menangis atau meratap, ayah kecewa atau marah asalkan kata hati mereka perlu dituruti. Pendek kata, sikap remaja sebegini menyebabkan isu remaja hilang semakin serius.
 
          Di samping itu, faktor rakan turut merumitkan isu remaja hilang. Faktor rakan-rakan boleh dibahagikan kepada dua iaitu rakan yang sama aliran atau teman lelaki bagi remaja perempuan. Akan tetapi, rata-rata daripada mereka mudah dipengaruhi oleh teman lelaki yang biasanya mempunyai kedudukan yang baik dari segi fizikal, bergaya dengan pakaian berjenama, berpenampilan menarik dan berkereta mewah. Pemuda yang kita tidak tahu hati budinya, biasanya bagaikan musang berhulu ayam akan memerangkap remaja dengan kata-kata yang indah, selain memberi hadiah. Remaja perempuan yang tidak pernah menikmati kemewahan akan mudah terperangkap dengan pujuk rayu yang boleh menggetarkan perasaan mereka. Contohnya, mereka akan dijanjikan dengan pekerjaan yang menarik dan gaji melebihi RM2,000.00 sebulan, berpeluang melancong, dan mendiami rumah mewah. Remaja yang cuma sejengkal akalnya dan bosan menghadapi timbunan buku tanpa berfikir panjang akan mudah terpengaruh dengan pujukan jejaka idaman hati. Kata orang, buang emak buang saudara, kerana kasih hamba turuti. Tegasnya, remaja yang mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya akan menyebabkan gejala remaja hilang semakin kronik.

          Jika kita lihat dari sudut lain lupa, pengaruh media massa turut menjadi dalang dalam isu ini. Media massa kita, baik televisyen, akhbar, dan majalah sering menyiarkan berita dari Barat yang memaparkan remaja yang rosak akhlaknya. Jika pun tidak berita dari Barat, paparan artis tempatan yang berpakaian mencolok mata sudah cukup membuatkan pembaca yang terdiri daripada golongan remaja memikirkan hal-hal yang negatif. Keadaan diburukkan lagi dengan paparan daripada internet yang mengandungi paparan maklumat seluas-luasnya dan apa-apa sahaja yang ingin dicapai hanya perlu menekan butang pada papan kekunci komputer. Bagi remaja dari Barat, hidup bersama kekasih tanpa nikah bukanlah sesuatu kesalahan malah perbuatan lari dari rumah, terutamanya golongan artis Barat juga sesuatu yang lazim. Disebabkan bahan yang dibaca selalu memaparkan unsur yang negatif, sedar atau tidak, segala tindakan yang bakal diambil sering bertentangan dengan nilai-nilai budaya tempatan. Maka, remaja yang dikatakan hilang sebenarnya melarikan diri kerana didorong oleh pengaruh media massa.

          Sebagai konklusinya, gejala remaja hilang dewasa ini sebenarnya disebabkan oleh banyak punca. Bulan sudah terang, bayang kian jelas maka kemelut ini dapat dileraikan melalui gandingan mantap daripada semua pihak. Kita haruslah berganding bahu dan menggembleng tenaga serta mempunyai semangat tinggi setinggi Gunung Everest, seluas Banjaran Himalaya, sedalam Jurang Mariana dalam membendung isu ini daripada membarah sebelum terlewat kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Sesungguhnya, remaja hari ini merupakan pewaris generasi dan peyambung negara kelak selepas pemimpin-pemimpin negara kini mengundur diri kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semoga remaja kita mampu melangsungkan agenda pembangunan negara dan membanggakan negara di persada antarabangsa dengan adanya remaja yang bermaruah tinggi dan berintegriti.

No comments:

Post a Comment