Friday, March 15, 2013

CONTOH KARANGAN ULANG KAJI TINGKATAN 4

1. CARA-CARA SESEORANG PELAJAR MENCAPAI KEJAYAAN

            (TEMA) Setiap manusia yang hidup di muka bumi ini mengimpikan kejayaan dalam apa-apa jua bidang yang diceburi. Kejayaan yang dicapai akan membawa kegembiraan  dan kebahagiaan dalam kehidupan kita. (ISU) Kejayaan Nik Nur Madihah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 2008 yang berjaya memperoleh 20A walaupun beliau merupakan seorang anak tukang sapu dan nelayan bukanlah satu perkara yang mustahil. Untuk mendapatkan kejayaan, usaha yang gigih  amat diperlukan kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. (ARAHAN) Persoalannya, apakah cara-cara yang sewajarnya dipraktikkan oleh seorang pelajar untuk menjadi pelajar yang berjaya dalam pelbagai lapangan?

            (ISI 1) Cara perdana untuk menjadi pelajar yang cemerlang dalam pelajaran ialah seseorang pelajar itu perlulah belajar bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam bidang akademik. (HURAIAN - MENGAPA) Hal ini dikatakan demikian kerana kejayaan dalam bidang kurikulum atau akademik merupakan satu platform  yang signifikan untuk menjejakkan kaki di menara gading dan sekali gus merealisasikan cita-cita kita. (CONTOH – BAGAIMANA + UNGKAPAN) Oleh itu, kita perlulah mengulang kaji pelajaran dengan bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti jemu kerana usaha itu tangga kejayaan. Sesungguhnya, kejayaan itu tidak akan datang  kepada manusia yang leka. (HURAIAN CONTOH – KESAN) Dengan ini, pelajar yang cemerlang dalam bidang kurikulum akan dapat dilahirkan dan masa depannya akan lebih cerah. (PENEGAS) Tegasnya, kejayaan seseorang pelajar dapat dicapai melalui kesungguhannya dalam bidang kurikulum.

            (ISI 2) Usaha yang seterusnya untuk mencapai kejayaan bagi seseorang pelajar adalah dengan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum. (HURAIAN – MENGAPA) Aktiviti kokurikum dapat mendedahkan  pelbagai kemahiran  kepada seseorang pelajar dan membentuk disiplin para pelajar. (CONTOH – BAGAIMANA) Sebagai contohnya, badan beruniform pengakap  sering mengadakan aktiviti berkawad dan perkhemahan untuk meningkatkan kemahiran sosial dan tahap disiplin mereka. (HURAIAN CONTOH – KESAN + UNGKAPAN) Ekoran daripada aktiviti-aktiviti seumpama ini, pelajar akan menjadi lebih berdisiplin dan dapat bekerjasama antara satu sama lain bagai aur dengan tebing untuk memburu kejayaan. (PENEGAS) Pendek kata, penglibatan aktif para pelajar dalam bidang kokurikulum dapat menjana kejayaan mereka di samping melahirkan insan yang holistik.

            (ISI 3) Jika kita lihat dari perspektif yang berbeza, pelajar yang ingin kejayaan perlulah sentiasa menjaga sahsiah diri dan disiplin diri. (HURAIAN – MENGAPA)  Pelajar yang bertingkah laku positif akan sentiasa memastikan dirinya tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir yang negatif yang akhirnya akan menjejaskan pelajarannya. (CONTOH – BAGAIMANA) Oleh itu, mereka akan sentiasa berpegang teguh dengan ajaran agama dan tidak akan sekali-kali melanggar peraturan sekolah seperti ponteng sekolah dan terlibat dalam kes buli. (HURAIAN CONTOH – KESAN) Rentetan daripada itu, maruah pelajar tidak akan tercemar dan akan sentiasa dihormati oleh orang lain. (UNGKAPAN MENARIK) Bukan itu sahaja, usahanya untuk memburu kejayaan juga tidak akan menjadi angan-angan Mat Jenin. (PENEGAS) Izharlah bahawa pelajar yang sentiasa menitikberatkan penjagaan maruah dan disiplin diri  akan beroleh kejayaan yang diimpikan.

            (PENUTUP - KESIMPULAN ISI-ISI) Sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat beberapa cara yang perlu dipraktikkan oleh seseorang pelajar yang ingin mengecapi kecemerlangan. Ingatlah kata orang tua-tua bahawa kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. (CADANGAN) Oleh itu, setiap pelajar yang menginginkan kejayaan perlulah mengatur langkah yang efektif dan pragmatik dan tidak mengamalkan sikap bertangguh kerana bertangguh itu pencuri masa. Ibu bapa juga perlulah sentiasa menjadi tulang belakang kepada kejayaan anak-anak dengan memberikan sokongan dan dorongan kepada anak-anak mereka untuk berjaya dalam bidang yang diceburi. (HARAPAN) Semoga kejayaan para pelajar di negara kita ini dapat melahirkan generasi muda berminda kelas pertama yang cemerlang, gemilang dan terbilang untuk bersaing dengan negara lain di pentas global.


2. KEJAYAAN MALAYSIA DALAM PELBAGAI BIDANG

            (TEMA) Malaysia merupakan sebuah negara yang maju dan telah mencapai kejayaan luar biasa dalam pelbagai bidang. (ISU) Kalau dijejaki atau ditelusuri, begitu banyak kejayaan membanggakan dicapai dan dilakukan rakyat Malaysia dalam rentang masa 55 tahun kemerdekaan negara. Kejayaan-kejayaan luar biasa yang dicapai selama ini telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Hal ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mampu menandingi kejayaan yang ditempa oleh orang Barat yang jauh lebih maju daripada kita. (ARAHAN) Persoalannya, apakah kejayaan-kejayaan yang diraih oleh nusa tercinta ini?

            (ISI 1) Tidak dapat dinafikan bahawa bidang perusahaan automobil merupakan mercu kecemerlangan dalam mencapai kejayaan Malaysia. (HURAIAN – MENGAPA) Kejayaan ini telah menandakan bahawa negara Malaysia berupaya mengeluarkan kereta sendiri setanding kereta asing. (CONTOH – BAGAIMANA) Di Malaysia, terdapat dua buah syarikat yang menghasilkan kereta nasional iaitu Syarikat Holdings Bhd (PROTON) dan Syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd (PERODUA). Teknologi industri berat yang diusahakan oleh rakyat Malaysia ini membolehkan kereta nasional dieksport ke luar negara seperti Australia, Singapura, United Kingdom dan sebagainya. (HURAIAN CONTOH –KESAN) Perusahaan ini secara tidak langsung telah dapat meningkatkan pendapatan negara kita. (PENEGAS) Tegasnya, bidang automobil negara menjadi salah satu mercu kejayaan negara.

            (ISI 2) Selain itu, kejayaan Malaysia turut dapat dilihat melalui pembinaan bangunan yang menjadi kebanggaan negara. (HURAIAN – MENGAPA + UNGKAPAN) Pembangunan negara yang bergerak pantas bagai belut diketil ekor dapat dilihat melalui pembinan bangunan-bangunan yang tinggi terutamanya di ibu kota metropolitan, Kuala Lumpur. (CONTOH – BAGAIMANA) Pembinaan bangunan pencakar langit seperti Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar PETRONAS merupakan bangunan mercu tanda kemajuan negara di Malaysia. Kedua-dua bangunan tersebut terletak di Kuala Lumpur. (HURAIAN CONTOH – KESAN) Ciri-ciri istimewa kedua-dua menara ini telah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan menarik banyak pelancong asing melancong ke negara Malaysia sepanjang tahun. (PENEGAS) Pendek kata, pembinaan bangunan yang tersergam gah telah membuktikan kejayaan negara dicapai.

            (ISI 3) Malaysia juga melangkah maju ke era teknologi angkasa lepas apabila kita berjaya melancarkan dua satelit Malaysia Asia Timur iaitu MEASAT I dan MEASAT II.  (HURAIAN – MENGAPA & CONTOH - BAGAIMANA) Pelancaran satelit ini menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara ASEAN yang mempunyai satelit angkasanya sendiri. Bukan itu sahaja, program penghantaran angkasawan negara yang pertama iaitu  Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia. (HURAIAN CONTOH – KESAN) Program ini telah menjadi pemangkin kepada seluruh rakyat Malaysia untuk belajar mata pelajaran sains dan teknologi. (UNGKAPAN MENARIK) Melalui program tersebut, pelajar sekolah dapat menimba ilmu sains tentang angkasawan dan memupuk minat mereka untuk menceburi dalam bidang angkasawan sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. (PENEGAS) Sesungguhnya, penerokaan negara dalam bidang angkasa lepas juga merupakan salah satu kejayaan negara yang patut dibanggakan.

            (ISI 4) Kemajuan dalam bidang pengangkutan dan perhubungan juga menempa nama Malaysia di seantero dunia. (HURAIAN – MENGAPA) Di Malaysia, terdapat sistem pengangkutan yang terkenal seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sistem Transit Ringan (LRT), KTM, PUTRA, monorel, Lebuh Raya Utara-Selatan dan Terowong SMART. (CONTOH – BAGAIMANA & KESAN) KLIA ialah lapangan terbesar di negara Malaysia dan merupakan salah satu penerbangan yang terpenting di rantau Asia Tenggara. Selain itu, sistem pengangkutan seperti Sistem Transit Ringan (LRT), KTM, monorel dan PUTRA menjimatkan masa, wang dan tenaga kepada pengguna dan pelancong asing menuju ke destinasi mereka. Perkembangan teknologi yang semakin canggih membolehkan Terowong SMART dibina untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di Kuala Lumpur. (PENEGAS) Ringkasnya, kecanggihan sistem pengangkutan dan perhubungan negara turut menjadi kayu ukur kejayaan negara pada alaf ini.

            (ISI 5) Kejayaan negara yang seterusnya ialah kejayaan dalam bidang sukan. (HURAIAN – MENGAPA) Sukan negara semakin rancak apabila banyak atlet negara yang berjuang bermati-matian  untuk mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. (CONTOH – BAGAIMANA) Pemain sukan wanita yang terkenal di Malaysia ialah ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David. Kini, Datuk Nicol merupakan pemain skuasy wanita nombor satu di dunia. Selain bidang skuasy, nama pemain badminton di Malaysia juga terkenal di dunia, khasnya Datuk Lee Chong Wei. Datuk Lee Chong Wei merupakan seorang pemain badminton profesional di Malaysia. Beliau selalu menyertai pertandingan badminton di dalam atau di luar negara Malaysia dengan keputusan yang cemerlang. (PENEGAS) Jadi, izharlah bahawa peningkatan pencapaian yang cemerlang oleh atlet-atlet negara berjaya menempa nama Malaysia di seantero dunia.

            (PENUTUP – KESIMPULAN ISI-ISI) Sebagai konklusinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa negara kita telah meraih kejayaan dalam pelbagai bidang yang menakjubkan. Pencapaian yang menakjubkan dalam bidang perusahaan automobil, pembinaan bangunan pencakar langit, bidang aeroangkasa, bidang pengangkutan dan perhubungan, dan bidang sukan membolehkan rakyat negara kita bertanding dengan kejayaan yang ditempa oleh orang Barat. (CADANGAN) Oleh itu, rakyat Malaysia harus bersikap sedia menghadapi segala cabaran untuk mencapai Wawasan 2020. Dengan itu, rakyat Malaysia perlu berusaha gigih, bangga dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada pelbagai pihak untuk memajukan negara dalam pelbagai bidang. (HARAPAN) berharap agar kejayaan luar biasa ini juga dapat membangkitkan semangat rakyat Malaysia agar lebih berani untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa maju lain di  dunia.


3. PUNCA OBESITI

            (TEMA) Obesiti dapat ditakrifkan sebagai seseorang yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Dalam erti kata lain, obesiti ialah badan yang tidak ideal dengan ketinggian. (ISU) Pada zaman yang semakin pesat dengan revolusi perindustrian seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan, semakin banyak remaja yang menghadapi masalah obesiti. Kebanyakan remaja pada zaman sekarang kurang menjaga bentuk atau fizikal badan mereka. Fenomena ini terjadi kerana para remaja suka makan makanan segera yang tinggi dengan kalori. Remaja menganggap bahawa obesiti sebagai satu fenomena biasa. Buktinya, Institut Jantung Negara (IJN) dalam kajiannya pada tahun 2007 melaporkan bahawa 60 peratus remaja telah menghidap penyakit jantung pada tahun tersebut. Sepatutnya, setiap individu perlu berpegang teguh serta mengamalkan cogan kata yang berbunyi badan sihat, otak cerdas. (ARAHAN) Persoalannya, apakah punca-punca masalah kegemukan dalam kalangan remaja yang semakin mewabak pada era ini?

            (ISI 1) Punca masalah obesiti dalam kalangan remaja semakin merebak pada masa ini ialah para remaja tidak mempraktikkan amalan pemakanan seimbang. (HURAIAN – MENGAPA) Pada zaman revolusi perindustrian ini, banyak syarikat makanan segera yang berkalori tinggi dan berlemak tinggi. Bagi ibu bapa yang bekerja, mereka senang dan gembira dengan perkembangan perindustrian makanan segera ini kerana mereka tidak sempat menyediakan makanan untuk anak-anak lantaran berkejar-kejar ke tempat kerja. (CONTOH – BAGAIMANA) Jadi, anak-anak dibekalkan dengan makanan segera seperti sosej, nuget, burger dan sebagainya. Senario ini dapat dibuktikan apabila pensyarah dari Unit Makanan dan Kesihatan Universiti Malaya telah membuat bancian mengenai gaya pemakanan harian bagi remaja. Hasilnya, sebanyak 70 peratus remaja yang ibu bapanya bekerja terpaksa mengambil makanan segera sebagai makanan harian. (UNGKAPAN MENARIK) Jelaslah bahawa ibu bapa pada zaman ini lebih mengutamakan hal-hal lain daripada anak sendiri ibarat anak kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan. (PENEGAS) Tuntasnya, remaja zaman ini yang tidak mengamalkan pemakanan seimbang telah menatijahkan obesiti dalam kalangan mereka.

            (ISI 2) Punca lain bagi masalah kegemukan dalam kalangan remaja kini ialah mereka tidak bersukan dan beriadah. (HURAIAN – MENGAPA) Fenomena ini terjadi kerana mereka leka dengan hiburan daripada kaca televisyen dan corong-corong radio, lebih selesa tidur malah sikap mereka sendiri yang malas untuk bersukan atau beriadah. Remaja yang malas juga tidak suka bersukan mahupun bersosial dengan masyarakat luar. Remaja lebih gemar melakukan aktiviti yang langsung tidak mendatangkan faedah. (CONTOH – BAGAIMANA) Buktinya, kita sering melihat remaja kini lebih cenderung melepak, merokok, merayau-rayau dan sebagainya. Mereka berpelesiran ke sana dan ke sini seperti tiada arah tujuan. (HURAIAN CONTOH – KESAN) Sikap ini tentulah tidak mendatangkan kesedaran kepada para remaja untuk menjaga kesihatan diri. (PENEGAS) Pendek kata, jelaslah bahawa remaja yang kurang gemar bersukan dan beriadah telah menyumbang kepada masalah obesiti yang melanda Malaysia pada alaf baharu ini.
            (ISI 3) Punca lain tercetusnya masalah kegemukan dalam kalangan remaja juga adalah kerana sikap remaja itu sendiri. (HURAIAN – MENGAPA) Sikap remaja yang tiada pendirian dan suka terpengaruh menyebabkan mereka suka mengambil makanan ringan. Bukan itu sahaja, remaja juga tidak mempunyai ilmu pengetahuan tentang implikasi yang bakal dihadapi oleh mereka jika terlalu banyak mengambil makanan yang berlemak serta berkalori tinggi yang akhirnya akan mengundang penyakit obesiti. Mereka terlalu mengikut hawa nafsu. (CONTOH – BAGAIMANA) Apabila syarikat pengeluar makanan segera mencipta produk baharu, mereka akan mengiklankan produk itu kepada orang awam. (HURAIAN CONTOH – KESAN & UNGKAPAN) Cara ini telah menyebabkan remaja terpengaruh oleh iklan-iklan yang yang indah khabar daripada rupa. Unit Psikologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah menyatakan  bahawa remaja sekarang kurang kesedaran terhadap kesihatan diri mereka. (PENEGAS) Ringkasnya, sikap remaja itu sendiri akan mengundang masalah obesiti.

            (ISI 4) Kegemukan dalam kalangan remaja juga berpunca daripada sikap ibu bapa yang kurang menjaga pemakanan anak-anak mereka. (HURAIAN – MENGAPA & UNGKAPAN) Ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak bagai menatang minyak yang penuh sehingga mengikut telunjuk mereka. Apabila anak-anak hendak makan apa-apa pun, ibu bapa akan memberikannya walaupun makanan tersebut tidak berkhasiat dan kurang sesuai dengan tumbesaran anak-anak mereka. (CONTOH – BAGAIMANA) Ibu bapa akan memenuhi hasrat anak-anak yang ingin makanan segera seperti yang terdapat di Restoren McDonald, Pizza, KFC dan lain-lain lagi. (HURAIAN CONTOH – KESAN) Unit Kesihatan dari Hospital Universiti Malaya telah membuat kajian mengenai ayam goreng di KFC bahawa ayam tersebut mengandungi garam yang tinggi, lemak yang tinggi serta berkalori tinggi yang mengundang sahaja mengundang obesiti malah turut mengundang penyakit kronik yang lain. (PENEGAS) Konklusinya, kegemukan dalam kalangan remaja bertitik-tolak daripada sikap ibu bapa yang kurang menjaga pemakanan anak-anak mereka sejak kecil lagi.

            (PENUTUP – KESIMPULAN ISI-ISI) Secara intihanya, beberapa punca yang telah dibincangkan menjadi pencetus masalah obesiti di negara kita. Masalah ini kian serius dan membimbangkan semua pihak. (CADANGAN) Oleh itu, ibu bapa perlulah menggalakkan anak-anak mereka makan makanan yang berkhasiat. Masyarakat juga haruslah melakukan anjakan paradigma supaya tubuh badan mereka sihat selaras dengan hasrat kerajaan yang ingin melahirkan insan yang badan cergas, minda cerdas. Kerajaan juga boleh mengadakan kempen secara besar-besaran mengenai keburukan obesiti ini. Kempen yang dijalankan juga sewajarnya secara berketiak ular dan bukan bermusim sahaja atau seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja. (HARAPAN) Komitmen daripada semua pihak sudah pasti dapat merealisasikan usaha negara untuk melahirkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam menuju Wawasan 2020 yang kita semua impikan.


4. LANGAKAH MENANGANI OBESITI

1.       Penjagaan makanan:

Cara makanan yang baik adalah cara makanan ‘orang miskin’ iaitu makan makanan biasa seperti nasi sayur, dan sejenis protin sahaja setiap kali makan utama dan makan besar hanya sekali sekala sahaja. Begitulah cara orang miskin makan. Mereka hanya makan besar sekali sekali seperti ketika ada jemputan kenduri. Sebab itulah banyak orang miskin kurus. Bagi menjaga pemakanan yang baik, kawalan nafsu makan adalah sangat perlu. Badan kita adalah apa yang kita makan. Kuih-mueh muih patut makan dengan banyak. Seperti yang ditulis di atas kueh banyak mengandungi bahan-bahan yang boleh menggalakkan kegemukan. Jika hendak bersnek, ambillah buah seperti jambu, sengkuang, betik dan sebagainya.

2. Elakkan makanan ringan/ makanan segera:

Penjajahan Barat bukan setakat mengongkong politik dan ekonomi kita agar serasi dengan mereka bahkan turut melibatkan budaya kita termasuklah jenis makanan kita. Mereka menjadikan negara kita sebagai tempat lambakan barangan mereka. Salah satu produk mereka adalah makanan ringan dan makanan segera. Makanan dan minuman jenis ini mengandungi bahan-bahan yang sudah diproses yang sudah hilang keasliannya. Pewarna dan perasa tiruan, kandungan gula dan lemak yang tinggi boleh mengganggu sistem penghadaman den pembesaran badan yang kemudiannya menggalakkan kegemukan.

3. Bersenam:

Bersenam perlu diamalkan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu dengan sekurang-kurangnya 20 minit satu sesi. Bersenam dapat melancarkan perjalanan darah. Apabila perjalanan darah lancar, organ-organ badan dapat menerima oksigen dengan mencukupi dan dapat menjalankan berfunginya dengan baik. Salah satu sebab masalah kegemukan berlaku apabila organ-organ yang terlibat dengan kerja-kerja memproses makanan dalam badan tidak dapat befungsi dengan baik akibat kekurangan bekalan oksigen.

4. Kawal nafsu makan:

Makanan yang dihidangkan bukan untuk dimakan semuanya. Kita hanya perlu makan yang diperlukan oleh badan kita sahaja untuk melakukan kerja harian kita. Seseorang itu mungkin berkata, "Saya makan apa-apa sahaja. Badan saya tidak gemuk," kata-kata itu mungkin betul untuk masa iu. Akan tetapi, perubahan mungkin berlaku apabila ia menjangkau usia 40-an dan hal itu sudah banyak kita lihat dalam realiti kehidupan dalam mana seseorang yang ‘slim’’ketika usia belasan dan 20-an tahun tetapi menjadi gemuk setelah usia 40-an. Oleh itu, khasnya untuk generasi muda, kawal nafsu makan hari ini untuk keselesaan hari esok.

 Menarik & matang:
i.        Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, Prof. Dr. Mohamad Ismail Noor berkata, “Gejala obesiti yang tidak dibendung boleh melemahkan struktur masyarakat kerana sebahagian besar generasi muda yang gemuk tidak aktif dan berpenyakit.”
ii.      Kira-kira 38 peratus daripada remaja yang berumur di antara 12 hingga 18 tahun diklasifikasikan sebagai terlebih berat.
iii.       Kerajaan benar-benar memandang serius masalah obesiti di kalangan rakyat dengan menubuhkan Majlis Cegah Obesiti Malaysia (Mcom)
iv.         Mantan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengandaikan makanan segera umpama bom jangka yang boleh meledak menjadi penyakit kronik apabila diambil sejak usia muda.
v.    Petikan hadis yang bermaksud jagalah masa sihat kamu sebelum datang masa sakit jelas menunjukkan betapa pentingnya kesihatan sebagai aset yang paling berharga kepada manusia.
vi.      Institut Jantung Negara (IJN) dalam kajiannya pada tahun 2007 melaporkan bahawa 60 peratus remaja telah menghidap penyakit jantung.
vii.     70 peratus remaja yang ibu bapanya bekerja terpaksa mengambil makanan segera sebagai makanan harian

 

14 comments:

  1. Salam ramadan, mohon izin mengambil bahan2 karangan untuk dikongsi bersama2 anak didik saya. Terima Kasih..semoga terus cemerlang dalam lautan idea.

    ReplyDelete
  2. boleh tak bagi karangan spm yang bertajuk ( KECEMERLANGAN SESEORANG PELAJAR BERPUNCA DARIPADA SIKAP DIRI SENDIRI) Berikan pendapat anda

    ReplyDelete
  3. I FOUND A CoC GAME GEMS GIVEAWAY FOR ALL CLANS! http://clanshelper.com/ - you receive free C-o-C gems instantly! Best clans use this!! (gYfchEaelJ)

    ReplyDelete
  4. Karangan yg sgt mantap dan membantu saya untuk menghuraikan isi dgn matang sekali.Terima kasih kerana berkongsi ilmu.

    ReplyDelete
  5. Boleh tak kalau bagi karangan yg bertajuk "kelebihan sifat ingin bersaing kpd diri anda" ?

    ReplyDelete
  6. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  7. This is amazing! Play Clash of Clans? Visit http://maxclashgems.com - Best free source for Clash of Clans gems! I just tried that with all my clan! (7JsOHMqqRj)http://clanshelper.com

    ReplyDelete
  8. ada lagi ke yang baca ni dalam tahun 2019 ?

    ReplyDelete