1. CARA-CARA
MENINGKATKAN KUALITI HIDUP
- Peningkatan kualiti hidup rakyat
merupakan antara ciri sesebuah negara yang menuju ke arah
kemodenan dan
kemajuan yang mapan. Hal ini disebabkan kemodenan dan kemajuan sesebuah negara
tidak bererti sekiranya kualiti hidup rakyat masih ketinggalan zaman.
- Kualiti hidup biasanya dikaitkan dengan
penyediaan infrastruktur sosial dan fizikal oleh pihak pentadbir
di sesuatu
kawasan. Walau bagaimanapun, persekitaran yang baik tidak membawa maksud
kualiti hidup
juga baik kerana hal ini juga turut berkait dengan penerimaan
atau penolakan dan tindak balas penduduk
terhadap persekitaran yang disediakan.
-
Semua pihak termasuk individu, keluarga,
masyarakat, dan kerajaan perlu bersinergi dan memainkan
peranan secara
bersepadu bagi meningkatkan kualiti hidup di negara ini dan seterusnya mencapai
aspirasi
negara ke arah Wawasan 2020.
Isi-isi penting:
1. Membina keluarga bahagia
- Setiap individu dalam keluarga perlu
memainkan peranan masing-masing untuk mewujudkan kehidupan keluarga yang
harmoni, saling bertoleransi, dan saling menghormati.
- Ibu bapa berperanan untuk menyediakan
sumber kewangan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan anak-anak dan keluarga
mereka secara umumnya. Ibu bapa perlu mempunyai pegangan hidup dan
sebaik-baiknya bertunjangkan didikan moral dan ajaran agama kerana mereka turut
berperanan untuk menanamkan asas-asas didikan moral dan ajaran agama ini dalam
diri anak-anak.
- Datuk dan nenek pula menguatkan asas
binaan keluarga bahagia lagi dengan mendidik cucu cicit mereka agar menghormati
ibu bapa, adik beradik, orang tua dan sesiapa sahaja sebagai suatu cara hidup
berkomuniti.
-
Setiap aktiviti juga dilakukan bersama
dengan keluarga seperti makan bersama-sama, melakukan aktiviti riadah
bersama-sama dan sebagainya. Dengan ini, keluarga yang bahagia dapat
dilahirkan.
-
Keluarga bahagia sememangnya
melambangkan kualiti hidup masyarakat yang baik kerana individu daripada
keluarga bahagia biasanya akan dapat mengelakkan diri daripada terjebak dalam
kancah negatif – selesaikan masalah melalui perbincangan keluarga dan
sebagainya.
2. Menambahkan
ilmu pengetahuan
-
Penguasaan
ilmu pengetahuan melambangkan kualiti hidup yang baik. Setiap individu perlu
mengejar dan menambah ilmu setinggi yang boleh supaya tidak menjadi seperti
katak di bawah tempurung.
- Hadis
bermaksud “Carilah ilmu hingga ke negara China” menunjukkan bahawa ilmu
ada di mana-mana dan tuntutlah ilmu setinggi yang boleh. Ilmu yang dituntut
pula tidak terhad kepada cabang ilmu sains dan teknologi sahaja malah dalam
pelbagai bidang ilmu supaya insan berilmu yang terhasil merupakan insan yang
kamil dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek.
- Individu
yang berilmu akan membentuk masyarakat yang berfikiran rasional, berinovasi,
dan berdaya saing setanding dengan masyarakat berilmu di negara-negara maju.
Individu yang berilmu dapat mengangkat martabat diri, keluarga, dan
meningkatkan taraf hidup supaya keluar daripada kepompong kemiskinan apabila
mendapat pekerjaan yang baik ataupun menjadi usahawan yang berjaya. Malah, Malaysia
akan mempunyai aset modal insan bagi mentransformasikan negara ini bagi
mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020 dan masyarakat yang dapat hidup
dalam keadaan yang harmoni dan bersatu padu selaras dengan aspirasi konsep 1
Malaysia. Jadi, jelaslah bahawa kualiti hidup dapat ditingkatkan melalui
penguasaan ilmu.
3. Menjana pertumbuhan ekonomi negara
-
Pertumbuhan ekonomi negara turut
melambangkan peningkatan kualiti hidup. Individu dan masyarakat termasuk
golongan wanita perlu aktif dalam memberikan sumbangan bagi menjana pertumbuhan
ekonomi negara. Hal ini bertujuan supaya setiap tenaga kerja yang masih aktif
di negara ini dapat digembleng dalam setiap sektor ekonomi sama ada dalam
bidang pertanian, perindustrian, pelancongan, pengangkutan, dan banyak lagi.
-
Pihak kerajaan pula memainkan peranan
penting dengan menyediakan pelbagai dasar seperti Dasar Perindustrian Negara,
Dasar Penswastaan, Dasar Industri Kecil dan Sederhana, dan Pelan Transformasi
Ekonomi Negara bagi menarik pelaburan dari dalam dan luar negara untuk menanam
modal dan menyediakan ruang niaga yang kukuh bagi masyarakat Malaysia sendiri.
-
Hal ini jelas menunjukkan bahawa
pelbagai pihak perlu memainkan peranan aktif dalam pembangunan negara bagi
menjamin kesuburan pertumbuhan ekonomi. Seterusnya, kualiti hidup rakyat dapat
ditingkatkan kerana pihak kerajaan akan mempunyai dana yang kukuh untuk
menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur kepada rakyat semula.
4. Penggunaan sistem pengangkutan mesra alam
- Alam
sekitar yang bersih mencerminkan kualiti hidup yang sihat. Oleh itu, kebersihan
dan kecantikan alam sekitar perlu dijaga. Oleh itu, penggunaan sistem
pengangkutan yang mesra alam adalah perlu untuk mengurangkan pencemaran di
negara ini. Hal ini demikian kerana asap daripada cerobong alat-alat
pengangkutan yang ketinggalan zaman merupakan antara faktor utama pencemaran
alam terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, George
Town, dan Johor Bahru.
- Setakat
ini, tidak banyak sistem pengangkutan yang mesra alam digunakan di Malaysia –
cuma KLIA Ekspres dan penggunaan minyak NGV – perlu diperluas kepada penggunaan
enjin kenderaan elektrik seperti di negara China.
- Alam
sekitar yang bersih akan mengurangkan risiko penyakit – kualiti hidup
meningkat.
Penutup:
Penutup:
- Terdapat
banyak cara yang dapat dipraktikkan dalam kehidupan harian kita.
- Pelbagai
pihak perlu bekerjasama untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di negara
ini.
-
Aspirasi negara dapat direalisasikan
dengan mudah dan tidak menjadi seperti angan-angan Mat Jenin
2.
AMALAN RUMAH TERBUKA
(TEMA)
Rumah terbuka atau ‘open house’ sudah menjadi lumrah pada sambutan perayaan di
negara ini termasuk Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Natal dan juga Hari Raya
Aidilfitri. Perayaan seperti ini tidak lengkap jika tiada rumah terbuka sehingga
seluruh lapisan dan pelbagai lapisan masyarakat mengetahui istilah rumah
terbuka yang menjadi amat sinonim dalam kehidupan mereka. (ISU) Kerajaan Malaysia pada tahun 2000 telah memutuskan sebanyak
enam perayaan kaum atau agama dianggap sebagai perayaan utama negara yang diraikan di peringkat kebangsaan anjuran bersama kerajaan pusat dan
kerajaan negeri. (ARAHAN) Menyedari
kesungguhan kerajaan untuk menganjurkan rumah terbuka pada peringkat nasional,
persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah apakah
kepentingan-kepentingan amalan rumah terbuka?
(ISI 1) Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak memberikan
kepentingan terutamanya dalam mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan anggota
masyarakat di negara kita. (MENGAPA)
Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat memudahkan pencapaian matlamat atau
misi dan visi negara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa.
Selain itu, amalan rumah terbuka memberikan makna besar kepada anggota
masyarakat mengenai erti perpaduan yang harus wujud untuk mengelakkan sebarang
prejudis terhadap keharmonian kaum. Amalan ini juga dilihat sebagai salah satu
pertemuan yang melupakan pertentangan pendapat, perbezaan idealogi, perbezaan
konsep politik mahupun berlainan parti politik sama ada pembangkang atau
kerajaan. (BAGAIMANA) Jadi, setiap
kaum seperti Melayu, India, Cina, Kadazan dan sebagainya boleh berkunjung ke rumah
terbuka kaum lain tanpa sebarang halangan dan kekangan yang perlu dibimbangi. (KESAN) Sehubungan dengan itu, perasaan
muhibah antara satu sama lain dapat mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni. (PENEGAS) Tegasnya, konsep penyatuan
antara kaum dapat dihidupkan melalui amalan rumah terbuka.
(ISI 2) Di samping mewujudkan perpaduan dalam kalangan anggota
masyarakat serta pemimpin sendiri, amalan rumah terbuka ini juga dapat membantu
sesama kaum memahami budaya kaum-kaum lain. (MENGAPA) Mereka hanya akan merayakan perayaan itu bersama-sama
walaupun mereka berbeza latar belakang, budaya dan juga agama. Amalan ini juga
membolehkan setiap kaum mengenali juadah kaum-kaum lain, memahami antara satu
sama lain selain didedahkan kepada adat resam dan pantang larang rakan-rakan
mereka sendiri. (BAGAIMANA) Sebagai
contoh, orang-orang India, Cina, Iban, Kadazan dan sebagainya merayakan
sambutan Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga
sebaliknya. (KESAN) Hal ini dapat
membantu mereka mempelajari budaya dan adat kaum lain serta budaya yang sihat juga
dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Secara
tidak langsung semangat toleransi akan tersemai dalam kalangan generasi
sekarang. (PENEGAS) Pendek kata, budaya
dan adat resam kaum lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini.
(ISI 3) Selain kepada anggota masyarakat negara ini sendiri,
penganjuran rumah-rumah terbuka juga merupakan persembahan kepada pelancong
asing yang datang melancong di negara kita. (MENGAPA) Mereka bukan sahaja datang ke Malaysia untuk melancong
dan menikmati keindahan negara tetapi mereka juga dapat mengalami dan memahami
sendiri keunikan dan keharmonian pelbagai kaum di negara ini semasa menyambut
perayaan kaum masing-masing. (BAGAIMANA)
Kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan dengan
kerjasama kerajaan-kerajaan negeri berkenaan telah pun mengadakan majlis rumah
terbuka Malaysia semasa Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta Keamatan, Hari
Gawai, Deepavali dan Krismas. (KESAN)
Pengalaman pelancong asing meraikan perayaan-perayaan yang terdapat di Malaysia
akan menjadikan nama Malaysia sentiasa meniti dari bibir ke bibir mereka
sekembalinya mereka ke negara asal mereka dan sekali gus dapat merancakkan
industri pelancongan negara. (PENEGAS)
Izharlah bahawa konsep rumah terbuka dapat memberikan persembahan yang harmonis
di mata pelancong asing kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat hidup
di bawah payung keharmonian.
(ISI) Amalan rumah terbuka juga dapat merapatkan hubungan
silaturahim dalam hubungan kekeluargaan. (MENGAPA)
Hal ini dikatakan demikian kerana simboliknya amalan rumah terbuka ialah amalan
ini merupakan medan pertemuan yang paling sesuai untuk memperkukuh hubungan silaturahim
antara ahli keluarga. Fenomena seperti ini amat dititikberatkan agar sistem
kekeluargaan akan sentiasa wujud dengan kukuh dan padu, bukannya semakin layu
dan pudar. Tanpa konsep rumah terbuka, hubungan silaturahim dan perpaduan akan
terhakis sedikit demi sedikit dan seterusnya akan hilang kepada generasi akan
datang yang semakin tidak mengenali sanak-saudara mereka. (BAGAIMANA) Semasa menghadiri rumah terbuka, mereka akan beramah
mesra dan dapat melepaskan kerinduan di
samping mendapat perkembangan terkini antara satu sama lain. Yang muda pula
dapat mengenali mereka yang tua dengan lebih dekat dalam pertemuan ahli
keluarga ini. (PENEGAS) Ringkasnya,
hubungan kekeluargaan dapat diperkukuh dan serinya tidak akan hilang jika
amalan rumah terbuka dibudayakan.
(PENUTUP) Bayang kian jelas bahawa
amalan rumah terbuka lebih banyak membawa
kebaikan kepada negara dan masyarakat. (CADANGAN) Oleh itu, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan
mendalam oleh semua pihak. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati,
ditakuti amalan ini akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja
untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu menjadi seperti rumah sudah siap baru pahat
berbunyi apabila menganjurkan rumah terbuka. (HARAPAN) Jika amalan murni ini dibudayakan sudah pasti hasrat
negara untuk mencapai Gagasan Satu Malaysia akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan
Mat Jenin. Walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di dalam
peta dunia namun usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang
bangsa dapat dijadikan teladan kepada mata dunia.
3. CIRI-CIRI
REMAJA BERWAWASAN
(TEMA) Dalam meniti arus globalisasi
ini, generasi yang berwawasan merupakan pelapis dan peneraju kepada kemajuan
dan pembangunan negara kerana ahli pujangga pernah berkata bahawa generasi
berwawasan sebagai pemangkin pembangunan negara. Generasi berwawasan
dapat ditafsirkan sebagai golongan muda yang mempunyai cita-cita tinggi untuk
menjadikan negara kita maju selaras dengan saranan yang terkandung dalam
Wawasan 2020. (ISU) Dewasa
ini, isu generasi berwawasan telah mencetuskan polemik dalam kalangan
masyarakat kita. Isu generasi berwawasan menjadi amat penting untuk diberikan
perhatian dan tumpuan yang sewajarnya kerana mereka merupakan nadi negara. Oleh
itu, usaha untuk melahirkan remaja yang berwawasan semakin diberikan keutamaan.
(ARAHAN) Persoalannya, apakah
ciri-ciri seseorang remaja yang dikategorikan mempunyai wawasan?
(ISI
1) Kecemerlangan dari segi akademik merupakan salah satu elemen yang
maslahat untuk menelurkan remaja yang berwawasan. (MENGAPA) Intelek merupakan faktor perdana untuk menjanakan
kecemerlangan tamadun bangsa. Remaja yang mempunyai ilmu pengetahuan yang
mencakupi semua bidang dapat membuat penilaian dan keputusan yang bijak dalam
menghadapi kehidupan yang penuh dengan onak dan duri ini. (BAGAIMANA) Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif
menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala
pengetahuan, terutamanya ilmu sains dan matematik melalui pelbagai wahana,
seperti membaca buku , melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan
sebagainya. (KESAN) Ketekunan dan
inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan
menjauhi gelaran katak di bawah
tempurung. Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang
cemerlang, remaja sukar melanjutkan pelajaran ke menara gading untuk
merealisasikan segala impian mereka. Oleh itu remaja tidak harus terbuai
dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau
mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, “Ikut hati mati, ikut rasa binasa.” (PENEGAS) Tegasnya, remaja yang
berwawasan sentiasa memastikan dirinya tidak jemu menimba ilmu untuk memiliki
mentaliti kelas pertama.
(ISI) Selain itu, remaja yang berwawasan juga perlu sentiasa dinamik dan
progresif dalam menjalankan sesuatu tugas. Dinamik dapat diertikan sebagai
perubahan yang lebih baik daripada sebelumnya. (MENGAPA) Hal ini dikatakan demikian kerana negara yang pesat membangun seperti
Malaysia memerlukan generasi yang memiliki ciri-ciri ini untuk mencapai
kemajuan dalam setiap aspek. (BAGAIMANA) Individu yang dinamik tidak memiliki ciri-ciri negatif seperti berputus
asa sebaliknya bersemangat tinggi. Dalam mengejar kejayaan, individu yang
berwawasan seharusnya gigih menghadapi cabaran tanpa berputus asa kerana tiada
kejayaan yang datang bergolek bak kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. (KESAN) Ekoran daripada itu, remaja yang dinamik dan progresif sudah pasti dapat
mencapai cita-cita yang diimpikan. (PENEGAS) Pendek kata, remaja yang berwawasan sudah pasti akan memastikan dirinya
berubah untuk memajukan diri dan negaranya.
(ISI)
Dalam nada yang sama, remaja yang berwawasan perlu berkreatif dan berinovatif
untuk memacu kegemilangan negara. (MENGAPA)
Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif
dan mempelopori bidang yang baru dapat mengecap kejayaan yang terbilang.
Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang
gigih dan berani mencuba akan menikmati buah kejayaan yang manis. (BAGAIMANA) Rentetan daripada itu,
remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli
dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan
galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka.
Namun demikian, impian itu bukan rekaan mat jenin yang tidak berasas
tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. (KESAN) Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang
sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan
kreativiti dan inovasi. Ketika berkhayal di awang-awangan, pastikan
kita mampu menjejakkan kaki di angkasa lepas kelak. (PENEGAS) Sesungguhnya, pemikiran yang kreatif dan inovatif
merupakan ciri remaja yang berwawasan.
(ISI)
Jika kita telusuri dari dimensi yang berbeza, remaja yang berwawasan seharusnya
cinta akan negara. (MENGAPA) Remaja
yang berjiwa patriotik ini akan menjadi bakal pemimpin yang akan menerajui
tampuk pemerintahan negara. Sebagai bakal pemimpin negara sudah pasti mereka
perlu sentiasa berusaha untuk memelihara imej negaranya daripada tercemar dan
menjadi bahan cemuhan masyarakat luar. (BAGAIMANA)
Oleh itu, mereka haruslah menghormati lagu kebangsaan negara iaitu lagu
Negaraku dan mengamalkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara.
Mereka tidak akan sekali-kali menjadi pengkhianat negara dan tidak akan
melibatkan diri dalam gejala sosial yang akan mencemarkan imej negara. (KESAN) Jiwa patriotik remaja yang
menebal ini akan menjamin keharmonian negara dan sekali gus berupaya menjaga
maruah negara di pentas global. (PENEGAS)
Ringkasnya, remaja yang berwawasan sentiasa bersemangat patriotik untuk
mengekalkan keharmonian dan kedaulatan nusa tercintanya.
(PENUTUP)
Sebagai intihanya, terdapat banyak ciri yang memaparkan seseorang remaja itu
mempunyai wawasan yang tinggi. Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui
kepimpinan negara kita harus terlepas daripada belenggu angkara sosial.
Generasi yang berwawasan menjadi akar pada pertumbuhan dan pembangunan modal
insan yang menjadi agenda utama negara kita. (CADANGAN) Oleh itu, golongan remaja perlulah sentiasa bermuhasabah
dan membaiki kelemahan diri sebelum terlewat bak kata pepatah, sesal
di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Golongan remaja kita perlulah
melakukan anjakan paradigma untuk menjadi remaja kelas pertama dan memangkinkan
kecemerlangan negara. (HARAPAN) Diharapkan
kelahiran remaja berwawasan dapat merealisasikan segala aspirasi negara di
samping dan menyerbakkan keharuman negara kita di persada antarabangsa.
4. AMALAN
GAYA HIDUP SIHAT
(TEMA)
Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang
membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara
contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria
tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu
tempoh tertentu pula. (ISU) Sudah
pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini, gaya hidup
sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. (ARAHAN) Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan
untuk mencapai matlamat ini.
(ISI)
Satu amalan yang penting untuk diamalkan adalah
dengan mengambil makanan yang seimbang. (MENGAPA)
Tubuh orang yang mengamalkan pemakanan seimbang ini akan mendapat khasiat dan
vitamin yang diperlukan. (BAGAIMANA)
Sebagai contohnya, seseorang itu perlu banyak mengambil makanan yang berserat
seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan yang berlemak
atau mengandungi kolesterol yang tinggi. (KESAN)
Dengan cara itu, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, tekanan
darah tinggi dan diabetis akan dapat dielakkan kerana mencegah penyakit lebih
baik daripada mengubatinya. (PENEGAS)
Jadi, izharlah bahawa pemakanan yang seimbang membolehkan kita semua
mencapai satu kehidupan yang ceria dan sihat.
(ISI)
Amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan
bersukan atau beriadah. (MENGAPA) Aktiviti
sukan dan riadah yang dilakukan akan menyihatkan seseorang kerana aktiviti itu
akan melancarkan perjalanan darah dan badan akan mengeluarkan peluh. (BAGAIMANA) Oleh itu, setiap orang
hendaklah melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh iaitu,
sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Seseorang itu boleh bersukan seperti
bermain badminton, bola sepak, menunggang basikal, berjoging, atau berenang. (KESAN) Jika badan seseorang itu sihat
dan cergas, sudah pastilah daya pemikirannya juga cerdas kerana badan
cergas, otak cerdas. (PENEGAS)
Tegasnya, aktiviti beriadah dan bersukan dapat menjamin kesihatan seseorang.
(ISI)
Selain itu, setiap orang perlu melakukan pemeriksaan
kesihatan secara berkala. (MENGAPA) Hal
ini akan memastikan anggota dalaman tubuh seseorang itu seperti, jantung, hati,
buah pinggang, dan pankreas berfungsi dengan baik. (BAGAIMANA) Melalui cara itu juga, penyakit berbahaya seperti penyakit
jantung koronari, diabetis, dan tekanan darah tinggi dapat dapat dikesan lebih
awal melalui peralatan moden dalam bidang perubatan. (KESAN) Dengan cara itu, langkah pemulihan akan dapat dilakukan
dengan segera kerana alat-alat perubatan moden dapat mengesan sesuatu penyakit
lebih awal dan tidaklah sudah terhantuk baru tengadah. (PENEGAS) Ringkasnya, seseorang itu
akan senantiasa memastikan dirinya sentiasa sihat dengan mendapatkan pemeriksaan
doktor secara berjadual sebelum kudis menjadi tokak.
(ISI) Akhir sekali, setiap individu
perlu menjauhi gaya hidup yang negatif dan tidak sihat seperti pengambilan
alkohol yang banyak, ketagihan rokok dan juga pengambilan dadah atau pil-pil
perangsang. (MENGAPA) Hal ini
dikatakan demikian kerana amalan gaya hidup yang tidak sihat akan menjejaskan kesihatan
dan mengancam nyawanya atau nyawa orang lain. (BAGAIMANA) Pengambilan alkohol dan dadah akan mendedahkan badan
kepada pelbagai penyakit dan masalah kesihatan seperti obesiti, kencing manis
dan kesihatan mental. Selain kita, setiap orang juga perlu menjauhi amalan
mengunjungi rumah pelacuran atau tempat-tempat maksiat bagi mengelakkan diri
daripada jangkitan penyakit kelamin dan HIV Aids. (KESAN) Tahap kesihatan rakyat yang baik dapat menjamin maruah diri
dan meningkatkan produktiviti negara. (PENEGAS)
Pendek kata, seseorang yang mengimpikan kehidupan yang sihat akan memastikan
dirinya tidak terjebak dalam aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral.
(PENUTUP) Secara keseluruhannya, amalan gaya hidup sihat dapat dipraktikkan dengan banyak cara. Amalan-amalan ini memang perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat. (CADANGAN) Jadi, Kementerian Kesihatan perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk merealisasikan impian negara kita itu. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah tentu hasrat untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas tidak akan menjadi kenyataan. Oleh itu, hasrat untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas akan menjadi realiti jika semua pihak saling bekerjasama ibarat yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. (HARAPAN) Semoga kempen kerajaan iaitu kempen ‘Rakyat Sihat Negara Maju’ dapat direalisasikan kerana rakyat yang sihat dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan menjadi pekerja yang produktif.
5.
KEJAYAAN
MALAYSIA DALAM PELBAGAI BIDANG
(TEMA)
Malaysia merupakan sebuah negara yang maju dan telah mencapai kejayaan luar
biasa dalam pelbagai bidang. (ISU) Kalau dijejaki
atau ditelusuri, begitu banyak kejayaan membanggakan dicapai dan dilakukan
rakyat Malaysia dalam rentang masa 55 tahun kemerdekaan negara. Kejayaan-kejayaan
luar biasa yang dicapai selama ini telah mengharumkan nama Malaysia di persada
antarabangsa. Hal ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mampu menandingi
kejayaan yang ditempa oleh orang Barat yang jauh lebih maju daripada kita. (ARAHAN) Persoalannya, apakah
kejayaan-kejayaan yang diraih oleh nusa tercinta ini?
(ISI
1)
Tidak dapat dinafikan bahawa bidang perusahaan automobil merupakan mercu
kecemerlangan dalam mencapai kejayaan Malaysia. (HURAIAN – MENGAPA) Kejayaan ini telah menandakan bahawa negara
Malaysia berupaya mengeluarkan kereta sendiri setanding kereta asing. (CONTOH – BAGAIMANA) Di Malaysia,
terdapat dua buah syarikat yang menghasilkan kereta nasional iaitu Syarikat
Holdings Bhd (PROTON) dan Syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd
(PERODUA). Teknologi industri berat yang diusahakan oleh rakyat Malaysia ini
membolehkan kereta nasional dieksport ke luar negara seperti Australia,
Singapura, United Kingdom dan sebagainya. (HURAIAN
CONTOH –KESAN) Perusahaan ini secara tidak langsung telah dapat
meningkatkan pendapatan negara kita. (PENEGAS)
Tegasnya, bidang automobil negara menjadi salah satu mercu kejayaan negara.
(ISI
2) Selain itu, kejayaan Malaysia turut dapat dilihat melalui pembinaan
bangunan yang menjadi kebanggaan negara. (HURAIAN
– MENGAPA + UNGKAPAN) Pembangunan negara yang bergerak pantas bagai
belut diketil ekor dapat dilihat melalui pembinan bangunan-bangunan
yang tinggi terutamanya di ibu kota metropolitan, Kuala Lumpur. (CONTOH – BAGAIMANA) Pembinaan bangunan
pencakar langit seperti Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar PETRONAS
merupakan bangunan mercu tanda kemajuan negara di Malaysia. Kedua-dua bangunan
tersebut terletak di Kuala Lumpur. (HURAIAN
CONTOH – KESAN) Ciri-ciri istimewa kedua-dua menara ini telah menjadikan
Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan menarik banyak pelancong asing
melancong ke negara Malaysia sepanjang tahun. (PENEGAS) Pendek kata, pembinaan bangunan yang tersergam gah telah
membuktikan kejayaan negara dicapai.
(ISI
3) Malaysia juga melangkah maju ke era teknologi angkasa lepas apabila kita
berjaya melancarkan dua satelit Malaysia Asia Timur iaitu MEASAT I dan MEASAT
II. (HURAIAN
– MENGAPA & CONTOH - BAGAIMANA) Pelancaran satelit ini menjadikan
Malaysia sebagai salah sebuah negara ASEAN yang mempunyai satelit angkasanya
sendiri. Bukan itu sahaja, program penghantaran angkasawan negara yang pertama
iaitu Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh
Mustapha telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia. (HURAIAN CONTOH – KESAN) Program ini
telah menjadi pemangkin kepada seluruh rakyat Malaysia untuk belajar mata
pelajaran sains dan teknologi. (UNGKAPAN
MENARIK) Melalui program tersebut, pelajar sekolah dapat menimba ilmu sains
tentang angkasawan dan memupuk minat mereka untuk menceburi dalam bidang
angkasawan sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
(PENEGAS) Sesungguhnya, penerokaan
negara dalam bidang angkasa lepas juga merupakan salah satu kejayaan negara
yang patut dibanggakan.
(ISI
4) Kemajuan dalam bidang pengangkutan dan perhubungan juga menempa nama
Malaysia di seantero dunia. (HURAIAN –
MENGAPA) Di Malaysia, terdapat sistem pengangkutan yang terkenal seperti
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sistem Transit Ringan (LRT),
KTM, PUTRA, monorel, Lebuh Raya Utara-Selatan dan Terowong SMART. (CONTOH – BAGAIMANA & KESAN) KLIA
ialah lapangan terbesar di negara Malaysia dan merupakan salah satu penerbangan
yang terpenting di rantau Asia Tenggara. Selain itu, sistem pengangkutan
seperti Sistem Transit Ringan (LRT), KTM, monorel dan PUTRA menjimatkan masa,
wang dan tenaga kepada pengguna dan pelancong asing menuju ke destinasi mereka.
Perkembangan teknologi yang semakin canggih membolehkan Terowong SMART dibina
untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di Kuala Lumpur. (PENEGAS) Ringkasnya, kecanggihan sistem pengangkutan dan
perhubungan negara turut menjadi kayu ukur kejayaan negara pada alaf ini.
(ISI
5) Kejayaan negara yang seterusnya ialah kejayaan dalam bidang sukan. (HURAIAN – MENGAPA) Sukan negara
semakin rancak apabila banyak atlet negara yang berjuang bermati-matian untuk mengharumkan nama Malaysia di persada
antarabangsa. (CONTOH – BAGAIMANA) Pemain
sukan wanita yang terkenal di Malaysia ialah ratu skuasy negara, Datuk Nicol
Ann David. Kini, Datuk Nicol merupakan pemain skuasy wanita nombor satu di
dunia. Selain bidang skuasy, nama pemain badminton di Malaysia juga terkenal di
dunia, khasnya Datuk Lee Chong Wei. Datuk Lee Chong Wei merupakan seorang
pemain badminton profesional di Malaysia. Beliau selalu menyertai pertandingan
badminton di dalam atau di luar negara Malaysia dengan keputusan yang
cemerlang. (PENEGAS) Jadi, izharlah
bahawa peningkatan pencapaian yang cemerlang oleh atlet-atlet negara berjaya
menempa nama Malaysia di seantero dunia.
(PENUTUP
– KESIMPULAN ISI-ISI) Sebagai konklusinya, sudah terang
lagi bersuluh bahawa negara kita telah meraih kejayaan dalam pelbagai bidang
yang menakjubkan. Pencapaian yang menakjubkan dalam bidang perusahaan
automobil, pembinaan bangunan pencakar langit, bidang aeroangkasa, bidang
pengangkutan dan perhubungan, dan bidang sukan membolehkan rakyat negara kita
bertanding dengan kejayaan yang ditempa oleh orang Barat. (CADANGAN) Oleh itu, rakyat Malaysia harus bersikap sedia
menghadapi segala cabaran untuk mencapai Wawasan 2020. Dengan itu, rakyat
Malaysia perlu berusaha gigih, bangga dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada
pelbagai pihak untuk memajukan negara dalam pelbagai bidang. (HARAPAN) berharap agar kejayaan luar
biasa ini juga dapat membangkitkan semangat rakyat Malaysia agar lebih berani
untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa
maju lain di dunia.
Salam cikgu, mohon komen karangan saya.. http://redwanariffin.blogspot.com/
ReplyDeleteSalam. Teruskan usaha murni cikgu. Tahniah .
ReplyDeleteterima kasih atas maklumat
ReplyDeletesalam,kepada cikgu tq untuk cnth karangan sungguh efektif dan mudah difahami
ReplyDeletesalam,kepada cikgu tq untuk cnth karangan sungguh efektif dan mudah difahami
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteSalam cikgu karangan faedah mengadakan hari keluarga takdak ke
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteSalam cikgu karangan faedah mengadakan hari keluarga takdak ke
ReplyDeleteAssalamualaikum cikgu. Saya rasa mulai sekarang cikgu perlu menyediakan contoh karangan tingkatan 5 yang mempunyai 7 perenggan. Hal ini kerana cikgu-cikgu di sekolah saya menyuruh kami untuk menulis karangan yang mempunyai 7 perenggan kerana lebih mudah untuk mendapat markah. Sekian, terima kasih. Harap maklum.
ReplyDeleteterima kasih untuk perkongsian ini cikgu, sangat membantu dalam kerja sekolah saya :) saya mohon salin ye :)
ReplyDeleteTerima kasih untuk karangan ini.. izinkan saya ambil isi isi karangan, halalkan ya..
ReplyDelete