Saturday, February 23, 2013

TUGASAN 5KL SET 3 - MENGANALISIS KARANGAN RANGSANGAN


TAJUK: FAKTOR-FAKTOR MENARIK KEDATANGAN PELANCONG ASING KE MALAYSIA

Pendahuluan (TIA)

(a) Takrif - Industri pelancongan memang merupakan suatu sektor yang penting bagi sesebuah negara. Hal ini  dikatakan demikian kerana industri ini menyumbangkan hasil dan pulangan yang banyak kepada sesebuah negara dalam aspek pendapatan negara. 
(b) Isu - Dasawarsa ini, industri perlancongan  kian berkembang pesat di negara kita dan bilangan pelancong  asing ke negara kita turut meningkat.  Daripada perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, jumlah pelancongan ke Malaysia dari Januari hingga Disenber 2010 ialah 24.6 juta orang.
(c) Arahan - Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menarik kedatangan pelancong asing ke Malaysia?

Isi (IMBAKUP)

Isi 1

(a) Isi - Faktor perdana kedatangan pelancong asing ke negara kita ialah keistimewaan fizikal Malaysia yang kaya dengan tempat yang menarik. 
(b) Mengapa dan ungkapan menarik - Sebanyak 37% pelancong asing datang ke negara kita disebabkan tempat-tempat menarik di negara kita.  Di Malaysia, terdapat banyak tempat peninggalan sejarah yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas dan tempat-tempat yang menjadi lagenda negara.
(c) Bagaimana -   Sebagai contoh, Pulau Pinang yang mempunyai gabungan unik warisan dan budaya sentiasa menjadi destinasi pilihan pelancong asing sebagai lokasi pelancongan mereka.
(d) Kesan - Sehubungan dengan itu, ibu negeri Pulau Pinang, George Town, telah disenaraikan sebagai tapak warisan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebaris dengan Tembok Besar China, Taj Mahal di India, Grand Canyon di Amerika Syarikat dan Great Barrier Reef di Australia.
(e) Penegas - Tegasnya, kewujudan tempat-tempat menarik di negara kita dapat menggamit kedatangan pelancong asing.

 Isi 2

Di samping itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga turut disebabkan oleh kewujudan banyak pulau yang indah dan menarik. Di antara pulau yang menjadi tumpuan para pelancong di negara kita termasuklah Pulau Redang, Pulau Kapas dan Pulau Tioman. Kemudahan prasarana di kawasan ini dijaga dengan rapi bagi memastikan kawasan ini sentiasa bersih dan selesa untuk kunjungan para pelancong. Para pelancong juga akan dapat merasai 'syurga dunia' dengan melakukan aktiviti skuba di kawasan batu karang yang terletak di Pulau Kapas sehingga diakui sebagai satu daripada tujuh keajaiban dunia. Bagi memastikan pelancong dapat menikmati keindahan semula jadi di kawasan pulau tersebut, kerajaan telah  mewartakan kawasan itu sebagai Taman Laut. Jadi, dengan adanya keistimewaan tersebut, Malaysia dapat menarik lebih ramai pelancong yang sekali gus dapat menjana kemajuan industri pelancongan negara.

Isi 3

Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh wujudnya keunikan budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk maka pelbagai budaya menarik terdapat di sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India telah berjaya meningkatkan kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu umpamanya terkenal dengan tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula terkenal dengan tarian naga. Selain itu, Malaysia juga kaya dengan pelbagai makanan tradisional yang dapat dinikmati oleh para pelancong. Masyarakat Melayu misalnya terkenal dengan makanan seperti sate, ketupat dan rendang manakala kaum India pula terkenal dengan masakan kari, tosei, idali dan lain-lain. Pendek kata, keunikan budaya masyarakat di Malaysia telah berjaya menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita.
 
Penutup

(a) Kesimpulan - Sebagai konklusinya, izharlah bahawa terdapat banyak sebab yang menarik kedatangan pelancong asing ke bumi bertuah ini, Malaysia. Sememangnya pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini.
(b) Cadangan -  Oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan dan bekerjasama bagai aur dan tebing dalam merealisasikan modus operandi untuk memajukan industri pelancongan negara.
(c) Harapan -  Diharapkan peningkatan kunjungan pendatang luar ke negara ini dengan sendirinya dapat memakmurkan Malaysia di mata dunia luar  dan dapat menaikkan nama negara di mata dunia walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di atas peta.

No comments:

Post a Comment