Tuesday, March 13, 2012

USAHA-USAHA UNTUK MENINGKATKAN KUALITI HIDUP

Pendahuluan:
- Peningkatan kualiti hidup rakyat merupakan antara ciri sesebuah negara yang menuju ke arah kemodenan dan kemajuan yang mapan. Hal ini disebabkan kemodenan dan kemajuan sesebuah negara tidak bererti sekiranya kualiti hidup rakyat masih ketinggalan zaman.
- Kualiti hidup biasanya dikaitkan dengan penyediaan infrastruktur sosial dan fizikal oleh pihak pentadbir di sesuatu kawasan. Walau bagaimanapun, persekitaran yang baik tidak membawa maksud kualiti hidup juga baik kerana hal ini juga turut berkait dengan penerimaan atau penolakan dan tindak balas penduduk terhadap persekitaran yang disediakan.
- Maksudnya, semua pihak termasuk individu, keluarga, masyarakat, dan kerajaan perlu bersinergi dan memainkan peranan secara bersepadu bagi meningkatkan kualiti hidup di negara ini dan seterusnya mencapai aspirasi negara ke arah Wawasan 2020.

Isi-isi penting:
1. Membina keluarga bahagia
Setiap individu dalam keluarga perlu memainkan peranan masing-masing untuk mewujudkan kehidupan keluarga yang harmoni, saling bertoleransi, dan saling menghormati. Ibu bapa – berperanan untuk menyediakan sumber kewangan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan anak-anak dan keluarga mereka secara umumnya. Ibu bapa perlu mempunyai pegangan hidup dan sebaik-baiknya bertunjangkan didikan moral dan ajaran agama kerana mereka turut berperanan untuk menanamkan asas-asas didikan moral dan ajaran agama ini dalam diri anak-anak. Datuk dan nenek pula menguatkan asas binaan keluarga bahagia lagi dengan mendidik cucu cicit mereka agar menghormati ibu bapa, adik beradik, orang tua dan sesiapa sahaja sebagai suatu cara hidup berkomuniti. Setiap aktiviti juga dilakukan bersama dengan keluarga – makan bersama-sama, melakukan aktiviti riadah bersama-sama dan sebagainya. Dengan ini, keluarga yang bahagia dapat dilahirkan. Keluarga bahagia sememangnya melambangkan kualiti hidup masyarakat yang baik kerana individu daripada keluarga bahagia biasanya akan dapat mengelakkan diri daripada terjebak dalam kancah negatif – selesaikan masalah melalui perbincangan keluarga dan sebagainya.

2. Menambahkan ilmu pengetahuan
Penguasaan ilmu pengetahuan melambangkan kualiti hidup yang baik. Setiap individu perlu mengejar dan menambah ilmu setinggi yang boleh supaya tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung. Kata-kata Nabi Muhammad – Carilah ilmu hingga ke negara China – ilmu ada di mana-mana dan tuntutlah ilmu setinggi yang boleh. Ilmu yang dituntut pula tidak terhad kepada cabang ilmu sains dan teknologi sahaja malah dalam pelbagai bidang ilmu supaya insan berilmu yang terhasil merupakan insan yang kamil dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Individu yang berilmu akan membentuk masyarakat yang berfikiran rasional, berinovasi, dan berdaya saing setanding dengan masyarakat berilmu di negara-negara maju. Individu yang berilmu dapat mengangkat martabat diri, keluarga, dan meningkatkan taraf hidup supaya keluar daripada kepompong kemiskinan apabila mendapat pekerjaan yang baik ataupun menjadi usahawan yang berjaya. Malah, Malaysia akan mempunyai aset modal insan bagi mentransformasikan negara ini bagi mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020 dan masyarakat yang dapat hidup dalam keadaan yang harmoni dan bersatu padu selaras dengan aspirasi konsep 1 Malaysia. Jadi, jelaslah bahawa kualiti hidup dapat ditingkatkan melalui penguasaan ilmu.

3. Menjana pertumbuhan ekonomi negara
Pertumbuhan ekonomi negara turut melambangkan peningkatan kualiti hidup. Individu dan masyarakat termasuk golongan wanita perlu aktif dalam memberikan sumbangan bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini bertujuan supaya setiap tenaga kerja yang masih aktif di negara ini dapat digembleng dalam setiap sektor ekonomi sama ada dalam bidang pertanian, perindustrian, pelancongan, pengangkutan, dan banyak lagi. Pihak kerajaan pula memainkan peranan penting dengan menyediakan pelbagai dasar seperti Dasar Perindustrian Negara, Dasar Penswastaan, Dasar Industri Kecil dan Sederhana, dan Pelan Transformasi Ekonomi Negara bagi menarik pelaburan dari dalam dan luar negara untuk menanam modal dan menyediakan ruang niaga yang kukuh bagi masyarakat Malaysia sendiri. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pelbagai pihak perlu memainkan peranan aktif dalam pembangunan negara bagi menjamin kesuburan pertumbuhan ekonomi. Seterusnya, kualiti hidup rakyat dapat ditingkatkan kerana pihak kerajaan akan mempunyai dana yang kukuh untuk menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur kepada rakyat semula.

4. Penggunaan sistem pengangkutan mesra alam.
Alam sekitar yang bersih mencerminkan kualiti hidup yang sihat. Oleh itu, kebersihan dan kecantikan alam sekitar perlu dijaga. Oleh itu, penggunaan sistem pengangkutan yang mesra alam adalah perlu untuk mengurangkan pencemaran di negara ini. Hal ini demikian kerana asap daripada cerobong alat-alat pengangkutan yang ketinggalan zaman merupakan antara faktor utama pencemaran alam terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, George Town, dan Johor Baru. Setakat ini, tidak banyak sistem pengangkutan yang mesra alam digunakan di Malaysia – cuma KLIA Ekspres dan penggunaan minyak NGV – perlu diperluas kepada penggunaan enjin kenderaan elektrik seperti di negara China. Alam sekitar yang bersih akan mengurangkan risiko penyakit – kualiti hidup meningkat.

Penutup:
- Pelbagai pihak perlu bekerjasama untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di negara ini.

6 comments:

  1. rasa bersalah nak tiru bulat bulat sebab cikgu pun pakai page ni waktu bincang kat kelas :(

    ReplyDelete
  2. wowww i cant believe now its actually 2020 and the pandamic cases are rising, btw love ur karangan muah

    ReplyDelete