Sunday, November 13, 2011

KARANGAN SPM 9 – DISIPLIN TERAS KEJAYAAN

Disiplin teras kejayaan ialah rangkuman konsep yang menyatakan suatu sistem tatacara mengurus diri yang betul pasti menatijahkan kejayaan dalam setiap urusan dan tindakan kita. Oleh itu, disiplin menjadi jurupandu untuk seseorang memperoleh kejayaan dalam mencapai sesuatu sama ada belajar, bekerja dan melunaskan rutin harian kita. Pesan orang tua-tua yang berbunyi, “Mengaji dari alif, membilang dari esa, hujan berpokok, dan kata berpangkal” jelas menunjukkan bahawa segala-galanya perlu melalui suatu proses dan sistem yang betul untuk meraih kejayaan kerana yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang.

Sejarah telah menjadi sumber rujukan yang paling penting kepada kita akan kejayaan tokoh-tokoh yang terkemuka. Kejayaan yang telah dikecapi oleh mereka adalah dengan berkat disiplin yang tinggi. Sama ada dalam bidang keilmuan atau kerjaya semuanya memerlukan disiplin. Lihatlah betapa sengsaranya Thomas Alva Edison dalam usahanya untuk menyumbangkan cahaya kepada alam sejagat. Beliau memerlukan ketelitian dan disiplin yang amat tinggi. Begitulah tokoh-tokoh dalam bidang keilmuan seperti Socrates, Plato, Aristotle, Imam Al Ghazali, Imam Shafie dan sebagainya. Mereka bangkit sebagai personaliti dunia yang menyemarakkan budaya ilmu melalui disiplin yang tinggi. Jadi, jelaslah bahawa disiplin yang tinggi akan memberikan peluang kepada setiap individu untuk mencapai kejayaan yang diingini tanpa rasa mustahil.

Ketika sedang mendaki tangga kejayaan, ingatlah tiada tonik lain yang lebih mujarab yang boleh membantu kita mencapai matlamat. Tanpa disiplin hasrat kita akan terbantut, urusan kita tidak langsai, justeru impian kita akan berkecai. Kita akan kecundang di tengah-tengah medan perjuangan. Kita perlu bermuhasabah diri untuk memilih segala-gala yang baik dengan mengetepikan perkara-perkara yang dangkal. Uruslah diri kita dengan merancang masa dengan bijak dan mengurus personel yang baik. Kita perlu memiliki hala tuju yang betul, cita-cita yang jelas, dan sanggup menterjemahkan matlamat hidup dalam perancangan yang teliti. Dengan sumber ini, kita pasti berjaya.

Ingatlah, untuk berjaya kita mesti merancang sistem belajar yang betul, memiliki rutin harian yang terancang, dan sentiasa meletakkan perkara-perkara yang positif sebagai keutamaan. Bayangkanlah! Tanpa disiplin, berapa banyakkah masa yang dibazirkan untuk menekan butang telefon semata-mata berceloteh dalam sistem pesanan ringkas (SMS)? Tanpa disiplin, berapakah lama masa yang berlalu dengan hanya asyik berserakah dengan rakan-rakan? Tanpa disiplin, kita disesatkan dek terlalu kemaruk melayari laman sosial seperti Facebook, Twitter, dan My Space. Sumber yang pada asalnya boleh membawa natijah positif, malangnya terbalik kerana ketiadaan disiplin. Semakin lama kita melayani perkara-perkara yang membazir, justeru semakin jauhlah kita dihanyutkan oleh ilusi tanpa realiti. Kita telah membazir masa dan usia, bak seratus tahun bah melanda kapar tetap tidak berlalu. Sesungguhnya, disiplin diri yang tinggi tidak akan mensia-siakan masa kita dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah kerana masa itu emas seperti maksud yang terkandung dalam firman Allah S.W.T. dalam surah al-Asr.

Peribahasa menyatakan bahawa meminta pada yang ada, bertanya pada yang tahu dan tuah jangan ditolak, rezeki harus dituntut. Masa dan peluang harus kita kejar. Demi menjadi insan yang berguna pada masa depan, uruslah disiplin dengan cara yang terbaik. Rujukan kita mestilah kepada tokoh-tokoh yang telah berjaya. Merekalah yang sepatutnya menjadi idola kita. Gerak dan langkah mereka, cara mereka berfikir dan cara mereka merancang hidup hendaklah dijadikan panduan. Mereka yang telah berjaya mungkin para pemimpin, para guru, malah rakan-rakan kita. Kita wajar memiliki perasaan cemburu terhadap kejayaan orang lain demi menyaingi mereka secara sihat. Persaingan yang positif pasti akan membuahkan hasil yang positif dalam memburu kejayaan.


Setelah kita menyediakan strategi memburu kejayaan secara terancang, kita juga perlu berhati-hati kerana dalam setiap masa dan apa-apa keadaan pun pelbagai dugaan boleh mengancam konsentrasi. Oleh itu, jauhilah parasit dan pengaruh yang boleh merosakkan diri. Orang-orang yang tidak berdisiplin sentiasa berdamping dengan program-program yang tidak berfaedah. Berwaspadalah terhadap pengaruh hiburan yang berlebih-lebihan. Elakkan bergaul dengan rakan-rakan yang tidak mempunyai maltlamat dan hilang jati diri. Elakkan diri terjebak dengan kegiatan negatif seperti melepak, berpelesiran, lumba haram dan seribu satu macam lagi angkara antimoral yang sedang menunggu untuk menjeratkan kita. Semuanya akan tercapai sekiranya kita memiliki disiplin diri yang teguh.

Sesungguhnya peribahasa ingat sebelum kena, jimat sebelum habis benar-benar mendidik kita untuk mendisiplinkan diri. Tanpa disiplin tiada sekelumit pun kejayaan yang bakal diraih. Jikalau inginkan kejayaan, berpeganglah kepada falsafah, 'Disiplin Teras Kejayaan'. Semoga impian kita akan termakbul.

No comments:

Post a Comment