Saturday, October 10, 2009

Perpaduan Rakyat

Perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum perlu dipupuk dari semasa ke semasa. Usaha ini perlu dilakukan untuk memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara. Pernahkah terlintas dalam benak kita tentang maksud frasa ‘perpaduan rakyat’? Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, `perpaduan rakyat’ dapat diertikan sebagai rakyat berganding bahu untuk melakukan sesuatu dan sentiasa menyelesaikan masalah secara musyawarah. Persoalannya ialah apakah langkah-langkah yang perlu dilaksanakan bagi memastikan perpaduan rakyat dapat dikekalkan?

Langkah yang paling afdal ialah rakyat Malaysia haruslah mempunyai sikap toleransi dalam diri. Hal ini amat penting untuk mengelakkan berlakunya sebarang pertelingkahan atau perselisihan faham yang mampu memecahbelahkan rakyat Malaysia. Menurut kata Tun Dr. Mohathir Mohamad, mantan perdana Menteri Malaysia, kita haruslah mengetepikan emosi yang boleh menyebabkan perpecahan. Rakyat Malaysia haruslah mempunyai nilai hidup bersama secara aman, saling membantu dan bekerjasama ibarat berat sama dipikul ringan sama dijinjing serta mengikis sikap ‘bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’ untuk memastikan perpaduan rakyat berkekalan.

Selain itu, badan bukan kerajaan (NGO) juga memainkan peranan yang penting dengan mengadakan pelbagai kempen dan ceramah yang berkaitan dengan usaha untuk meningkatkan perpaduan. Aktiviti sebegini haruslah diadakan secara berterusan dan bukannya setakat hangat-hangat tahi ayam sahaja. Hal ini amat penting kerana melalui aktiviti tersebut, rakyat Malaysia akan terdedah dengan kepentingan perpaduan. Melalui aktiviti seperti ini, mereka akan berusaha untuk memupuk semangat perpaduan bagi melahirkan masyarakat yang aman dan harmoni selaras dengan nilai hidup bersama secara aman.

Pertubuhan seperti Rukun Tetangga pula perlulah kerap mengadakan aktiviti-aktiviti yang melibatkan pelbagai kaum. Melalui aktiviti tersebut, rakyat pelbagai kaum akan dapat saling memahami budaya kaum yang lain. Sebagai contohnya, aktiviti hari keluarga dalam kalangan penduduk yang pelbagai kaum hendaklah diadakan di kawasan tempat tinggal sekurang-kurangnya tiga bulan sekali. Apabila mereka sering bersama dalam sesuatu aktiviti, mereka akan dapat berinteraksi dan berkenal mesra antara satu sama lain kerana tak kenal maka tak cinta. Lama-kelamaan bibit-bibit perpaduan akan mula tersemai dan terpahat dalam sanubari. Kesannya ialah mereka akan menjalinkan usaha untuk bersatu padu kerana mereka sedar bahawa ‘ bersatu teguh bercerai roboh’.

Pernahkah terlintas dalam fikiran kita bahawa ibu bapa juga memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya bagi memastikan perpaduan terus subur? Ibu bapa merupakan orang yang terdekat dengan anak-anak. Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak mereka dengan nilai-nilai yang murni seperti nilai kerjasama dan nilai saling membantu. Usaha ini perlu dilakukan sejak anak-anak berusia muda kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa hendaklah menggalakkan anak-anak supaya berkawan dengan anak-anak daripada kaum yang lain. Oleh sebab itu, ibu bapa mestilah menjadi suri teladan kepada anak-anak dengan menunjukkan contoh, iaitu mereka juga perlu bergaul dengan kawan-kawan daripada pelbagai kaum supaya tidak dianggap bagai ketam menyuruh anaknya berjalan dengan betul. Melalui cara ini, anak-anak akan mengikut jejak langkah ibu bapanya untuk menjalinkan persahabatan dengan kaum lain kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Sebagai konklusinya, semua pihak haruslah berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki ke lurah sama-sama dituruni untuk memastikan perpaduan rakyat dapat dikekalkan. Janganlah meranapkan impian Malaysia untuk mencapai Wawasan 2020 yang sering diuar-uarkan oleh mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Bersama-samalah kita memanifestasikan iltizam Malaysia untuk menjadi negara yang berjaya di persada antarabangsa. Biar matahari terus bersinar, biar pepohon terus menghijau dan biarlah Malaysia terus gemilang melalui perpaduan yang kita bina. Tanpa perpaduan, negara kita tidak akan maju atau berjaya untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara yang telah maju.

1 comment: