Keganasan rumah tangga ditakrifkan sebagai tindakan ganas yang melibatkan fizikal yang dilakukan oleh anggota keluarga yang terdiri daripada suami, isteri, ibu bapa, anak dan sebagainya sehingga membawa kemudaratan yang teruk. Tindakan penderaan fizikal ini boleh ditentukan melalui kesan-kesan calar, luka, lebam dan patah yang dialami. Kemelut ini memang serius kerana turut disiarkan oleh media massa menerusi program-program beritanya. Lantaran itu, ada pelbagai faktor penyebab yang perlu difahami dan langkah pencegahannya supaya masalah ini mampu dikawal penularannya, terutama dalam kalangan pasangan muda negara.
Penularan sindrom sosial ini boleh dikatakan berpunca daripada corak pemikiran masyarakat kita terutama kaum lelaki yang menganggap diri mereka sebagai ketua rumah yang mutlak. Konsep ini dijelmakan menerusi semua arahan suami harus dipenuhi dan dilaksanakan dengan segera oleh isteri yang bakal menimbulkan kesan negatif jika gagal dibuat dengan sebaik mungkin. Sikap suami yang terlalu mendesak isteri supaya mematuhi arahannya menyebabkan gejala negatif ini mudah berlaku. Jelaslah, sikap lelaki yang ego menjadi penentu kemelut ini terus berlaku dalam kalangan masyarakat kita.
Polemik ini turut menular kerana meningkatnya tekanan di pejabat yang menyebabkan ada golongan ibu bapa yang tidak berupaya untuk menahan impak psikologi bebanan ini. Masalah kerja yang dialami itu terus dibawa pulang ke rumah yang menyaksikan ramai yang menjadikan anak atau isteri mereka sebagai tempat meluahkan perasaan marah mereka itu. Tindakan mendera yang mungkin pada peringkat awal dilakukan tanpa sedar terus menjadi-jadi seiringan dengan bertambahnya tekanan yang dialami di pejabat. Mungkinkah kaum ibu bapa harus lebih peka dengan bijak mengawal tekanan pejabat daripada terus menjejaskan pertimbangan mereka?
Selain itu, kemelut sosial ini turut meningkat saban tahun kerana kurangnya pendedahan wanita terhadap hak mereka dalam sesuatu perhubungan itu. Kegagalan wanita untuk memahami hak mereka sebagai pasangan menyebabkan mereka seolah-olah merelakan penderaan yang dialami itu. Keadaan ini pula diburukkan dengan keadaan ketiadaan tempat untuk mengadu masalah ini. Oleh itu, masalah yang memalukan ini terus wujud kerana wanita masih kabur tentang hak mereka dalam kehidupan zaman moden.
Lebih-lebih lagi televisyen yang merupakan media arus perdana sering memaparkan adegan-adegan ganas melalui filem-filem dan siri drama. Hal ini merupakan pemangkin penderaan rumah tangga. Senario ini terjadi kerana babak-babak keganasan telah sebati dengan jiwa benak penonton yang terlalu leka menonton rancangan televisyen. Jangan hairanlah mereka mengaplikasikan tindakan ganas terhadap ahli keluarga kerana mempercayai bahawa tindakan ganas merupakan langkah penyelesaian terhadap segala masalah yang dihadapi.
Tambahan pula, kemelut ini turut dikaitkan dengan pandangan masyarakat yang menganggap masalah rumah tangga sebagai satu masalah peribadi seseorang dan tidak mahu menjaga tepi kain orang. Persepsi ini menyebabkan masyarakat terus menyepikan diri walaupun mengetahui wujudnya masalah ini dalam kalangan jiran mereka. Keengganan masyarakat untuk melibatkan diri secara serius dalam isu ini turut menyukarkan mangsa untuk mendapatkan nasihat dan panduan menyelesaikan masalah ini, justeru masalah ini terus wujud dalam diri seseorang itu seperti api dalam serkam yang secara senyap-senyap memusnahan kehidupan seseorang insan itu.
Kesimpulannya, semua faktor di atas menjadi satu pemangkin yang mewujudkan kemelut sosial ini. Kegagalan individu untuk mengawal perasaan mereka menjadi penentu dalam menyelesaikan masalah yang tidak mengira kaum, umur dan tahap pendidikan ini. Kegagalan untuk membendung gejala sumbang ini berupaya untuk membawa kemusnahan institusi keluarga. Peribahasa 'sudah habis madu sepah dibuang' menghuraikan betapa mudahnya kasih sayang antara manusia menghilang.
No comments:
Post a Comment