Friday, September 9, 2016

TUGASAN CUTI SEKOLAH 4K STELLA MARIS

SOALAN 1
Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari, jelaskan dua teknik plot yang digunakan oleh pengarang dalam novel tersebut.  (7 markah)

JAWAPAN

     Berdasarkan novel yang telah saya pelajari iaitu novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib, terdapat beberapa teknik plot yang digunakan oleh pengarang dalam novel tersebut.
 
     Antara teknik plot yang digunakan ialah teknik pemerian. Contohnya, pengarang menggambarkan watak utama iaitu Adnan yang menghunus keris kayu pemberian ayahnya lalu menikam batang pisang.  Dia berlagak seperti Hang Tuah yang menikam musuhnya.  Pak Saidi yang baru pulang dari kebun tersenyum melihat telatah anak sulungnya itu

     Selain itu, teknik imbas muka juga diselitkan dalam novel ini. Sebagai contohnya, semasa berbual-bual dengan Mamat, Leftenan Adnan menyatakan keinginannya untuk menjadi seorang askar.  Beliau ingin menjadi askar kerana ingin menjaga negeri ini dan akan akan menembak musuh yang datang.

 ----------------------------------------------------------------------------------------------------------------- 
SOALAN 2:

Jelaskan dua persoalan kemasyarakatan berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari. (7 markah)

JAWAPAN:

      Berdasarkan sebuah novel yang telah saya pelajari iaitu novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib, terdapat persoalan kemasyarakatan dalam novel tersebut.

     Antara persoalan kemasyarakatan yang terkandung dalam novel ini ialah semangat juang yang tinggi dalam kalangan askar Melayu. Sebagai contohnya, ketika tentera Jepun melancarkan serangan di Jurong, pertahanan British semakin tidak kuat kerana banyak tenteranya keletihan dan ketakutan. Hal ini berbeza dengan askar Melayu yang masih bersemangat. Mereka tiada pilihan lain kerana Tanah Melayu merupakan tanah air mereka.

     Selain itu, kerjasama untuk mengukuhkan sistem pertahanan negara juga antara persoalan kemasyarakatan yang ditonjolkan dalam novel ini. Ketika Leftenan Adnan diarahkan oleh pihak Inggeris untuk bertugas di Bukit Candu, beliau mendapati tiada persiapan rapi yang dibuat di sana. Leftenan Adnan telah mengadakan mesyuarat tergempar dan meminta mereka bergotong-royong menggali parit dan kubu. Leftenan Adnan dan orang-orang bawahannya turut menebas semak samun dan membaiki pagar duri.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 
SOALAN 3

Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan tema novel tersebut. (8 markah)

JAWAPAN

     Berdasarkan novel yang saya pelajari iaitu novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib, tema novel ini ialah semangat kepahlawanan askar Melayu dalam mempertahankan tanah air daripada dijajah oleh orang asing.

     Tema ini dapat dibuktikan  Leftenan Adnan, atau nama sebenarnya Adnan bin Saidi sanggup berjuang bermati-matian hingga titisan darah terakhir demi mempertahankan bumi tercinta daripada ditakluki oleh tentera Jepun.

      Selain itu, ketika tentera Jepun melancarkan serangan di Jurong, pertahanan British semakin tidak kuat kerana banyak tenteranya keletihan dan ketakutan. Hal ini berbeza dengan askar Melayu yang masih , bersemangat. Mereka tiada pilihan lain kerana Tanah Melayu merupakan tanah air mereka.

      Di samping itu, askar-askar yang bertugas mengawal kubu Pasir Panjang sentiasa berjaga-jaga walaupun sudah beberapa hari tidak makan dan minum. Pada waktu pagi, tentera Jepun telah datang ke kawasan pertahanan mereka. Tentera Jepun mahu Leftenan Adnan menyerah tetapi Leftenan Adnan berkeras ingin mempertahankan kubu Pasir Panjang. Oleh itu, tentera Jepun telah membedil kubu itu melalui udara. Askar Melayu dan Leftenan Adnan telah memberikan tentangan hebat kepada tentera Jepun sehingga mereka gagal menembusi benteng pertahanan askar Melayu. Kekalahan ini menyebabkan Jeneral Yamashita semakin marah dan malu.


--------------------------------------------------------------------------------------------------------------
SOALAN 4

Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, jelaskan dua latar tempat yang terdapat dalam novel tersebut. (7 markah)

JAWAPAN

      Berdasarkan sebuah novel yang telah saya pelajari iaitu novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib, terdapat beberapa latar tempat dalam novel ini.

     Salah satu latar tempat yang terdapat dalam novel ini ialah warung Pak Samad. Warung ini  merupakan tempat penduduk kampung bertukar-tukar maklumat dan cerita.Warung ini juga menjadi tempat untuk Nordin bermain dam bersama-sama dengan rakan-rakannya.

    Selain itu. Sekolah Inggeris juga merupakan antara latar tempat yang dipaparkan oleh penulis dalam novel ini. Sekolah ini merupakan tempat Adnan belajar. Ketika dia belajar di sini, Adnan menunjukkan sikap yang baik dan sering mendapat pujian terutamanya daripada Cikgu Anderson.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

SOALAN 5:

Jelaskan dua perwatakan watak utama yang dapat memberikan teladan kepada pembaca berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari. (7 markah)

JAWAPAN:

     Berdasarkan novel yang telah saya pelajari iaitu novel Adnan Wira Bangsa, hasil karya Abdul Latip bin Talib, Leftenan Adnan yang merupakan watak utama telah memaparkan beberapa perwatakan yang dapat memberikan teladan kepada pembaca.

      Antara perwatakan Leftenan Adnan yang dapat diteladani oleh pembaca ialah beliau merupakan seorang anak yang rajin membantu keluarganya dengan melakukan pelbagai pekerjaan. Buktinya, Adnan banyak membantu ayahnya menoreh getah, bersawah padi dan memungut buah durian di dusun duriannya. Di sekolah pula, Adnan terkenal sebagai seorang pelajar yang rajin dan pintar. Beliau telah menjuarai pertandingan pidato dalam Bahasa Inggeris yang diadakan di sekolahnya. Sikap kerajinan Adnan juga amat dikagumi oleh teman-teman dan guru-gurunya.

     Selain itu, sebagai seorang tentera, beliau memiliki semangat cinta akan negara yang tinggi. Untuk mencapai cita-citanya, Adnan menolak jawatan guru pelatih dan memohon jawatan askar. Semasa menjalani latihan ketenteraan, beliau bekerja keras bukan kerana pangkat tetapi baginya menjadi kewajipan seorang anggota tentera untuk menjalankan tanggungjawab dan amanah sebaik-baik mungkin. Hal ini membuktikan bahawa Adnan merupakan seorang yang bersemangat patriotik.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 
SOALAN 6

Cerita dalam novel sememangnya memaparkan latar masyarakat sezaman. Nyatakan tiga latar masyarakat yang terdapat dalam novel yang telah anda baca. (8 markah)

JAWAPAN :

     Selepas membaca novel Leftnan  Adnan Wira Bangsa, terdapat beberapa latar masyarakat yang saya dapati daripada novel ini.

    Antara latar masyarakat ialah masyarakat kampung yang pemurah. Pak Saidi selalu mempelawa penduduk kampung makan buah-buahan di dusunnya. Dia juga selalu memberikan hasil dusun buah-buahannya kepada jiran-jirannya.

      Seterusnya, masyarakat yang mementingkan ilmu juga terdapat dalm novel ini. Pak Saidi menghantar anaknya Adnan ke sekolah Inggeris untuk menjadi orang yang berpelajaran. Sekolah itu mengajar banyak mata pelajaran kepada pelajar-pelajarnya. Pak Saidi sanggup berbasikal pada awal pagi untuk menghantar Adnan ke sekolah.

      Selain itu, terdapat juga masyarakat yang berani mempertahankan tanah air. Kompeni C askar Melayu berani berjuang menentang tentera Jepun sehingga ke titisan darah terakhir walaupun dalam jumlah yang sedikit dan kehabisan peluru. Walaupun Leftenan Adnan telah cedera parah, dia telah melawan tentera Jepun secara berdepan dengan menggunakan bayonet dan menewaskan banyak tentera Jepun.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 
SOALAN 7

Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari, jelaskan dua konflik yang dihadapi oleh watak utamanya. (7 markah)

JAWAPAN

     Berdasarkan novel yang telah saya pelajari iaitu novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib, terdapat beberapa konflik yang dihadapi oleh watak utamanya iaitu Adnan. bin Saidi atau dikenali sebagai Leftenan Adnan.

     Salah satu konflik yang dihadapi oleh watak utama ialah  penentangan daripada Budin. Penentangan ini bermula pada perlawanan bola sepak antara Kampung Sungai Merap dengan Kampung Sungai Ramal. Budin daripada pasukan Kampung Sungai Merap tidak berpuas hati kerana kekalahan di tangan pasukan Kampung Sungai Ramal. Mereka mengatur pula perlawanan tinju antara kedua-dua pasukan. Budin akan bertinju dengan Adnan. Akhirnya, Budin dan Adnan bersepakat untuk tidak meneruskan perlawanan tinju itu dan mereka menjadi sahabat.

     Selain itu, watak utama juga menghadapi konflik pelekehan rakan-rakan Leftenan Adnan terhadap cita-citanya. Nordin memperlekehkan usaha Adnan untuk menjadi tentera. Adnan telah dituduh sebagai pengkhianat bangsa kerana keluarganya pernah menjadi tali barut kepada Inggeris ketika moyangnya telah menjadi orang buruan Inggeris.Walau bagaimanapun, Adnan sabar dengan lekehan rakan-rakannya dengan tidak menghiraukan tempelak rakan-rakan sekampungnya itu.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

SOALAN 8

Konflik yang timbul dalam cerita membuatkan cerita semakin berkembang. Berdasarkan novel kajian anda, nyatakan peranan watak utama dalam menyelesaikan konflik. (7 markah)

JAWAPAN

     Setiap novel mempunyai beberapa unsur yang membuatkan novel tersebut menarik untuk dibaca. Berdasarkan novel yang saya kaji iaitu Leftenan Adnan Wira Bangsa, karya Abdul Latip bin Talib, terdapat unsur konflik yang membuatkan novel tersebut semakin berkembang.

      Konflik pertama yang timbul dalam cerita adalah apabila Nordin memperlekehkan usaha Adnan untuk menjadi tentera. Adnan telah dituduh sebagai pengkhianat bangsa kerana keluarganya pernah menjadi tali barut kepada Inggeris ketika moyangnya telah menjadi orang buruan Inggeris.Walau bagaimanapun, Adnan sabar dengan lekehan rakan-rakannya dengan tidak menghiraukan tempelak rakan-rakan sekampungnya itu.

      Selain itu, konflik yang timbul dalam novel Leftenan Adnan adalah ketika pertempuran  Batalion Kedua Askar Melayu dengan pendaratan askar Jepun di Pantai Cahaya Bulan pada 8 Disember 1941. Dalam pertempuran ini, askar Jepun telah ditentang hebat oleh askar Melayu yang dibantu oleh tentera India British. Pada hari kedua, kapal-kapal perang Jepun telah melepaskan tembakan menyebabkan banyak terkorban dan banyak askar India British melarikan diri. Namun begitu, semangat Leftenan Adnan tidak berputus asa lalu bertahan dan berjaya menggagalkan askar Jepun tetapi pada hari ketiga askar Melayu yang bertempur terpaksa berundur. Askar Jepun berjaya mendarat di Kelantan.

      Di samping itu, terdapat satu lagi konflik dalam novel di mana konflik berlaku di antara askar Melayu dengan tentera Jepun pada masa terakhir Perang Dunia Kedua. Pada masa ini Leftenan Adnan terus memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak buahnya.Walaupun mereka semakin kehabisan peluru sedangkan asakan tentera Jepun semakin bertambah, semangat askar Melayu tidak pernah berkurang dan terus berjuang mempertahankan diri dan maruah negara.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 
SOALAN 9

Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari, jelaskan satu watak sampingan lelaki dan perwatakannya. (7 markah)

JAWAPAN:
     
     Berdasarkan novel yang saya kaji iaitu novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latif bin Talib, terdapat satu watak sampingan lelaki. Watak sampingan tersebut ialah Pak Saidi.

     Pak Saidi mempunyai seorang isteri yang bernama Mak Milah dan mempunyai tiga orang anak lelaki iaitu Adnan, Ahmad dan Amarullah. Pak Saidi tinggal di Kampung Sungai Ramal dan bekerja sebagai pesawah.

   Perwatakan Pak Saidi adalah seorang ayah yang bertanggungjawab terhadap keluarganya. Sebagai contoh, Pak Saidi tidak mahukan anak-anaknya ketinggalan dalam arus pendidikan semasa. Beliau mahu masa depan menjadi lebih baik. Oleh itu, Pak Saidi menghantar anak  mereka ke sekolah aliran Inggeris walaupun beberapa orang penduduk kampung membantah perbuatannya.

----------------------------- T A M A T & S E L A M A T   B E R C U T I ----------------------------

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete