Setiap novel mengandungi pengajaran yang ingin disampaikan oleh penulis untuk dijadikan iktibar kepada pembaca. Begitu juga dengan novel yang saya kaji iaitu novel Konserto Terakhir, karya Abdullah Hussain.
Dalam novel ini, penulis menyeru kita agar saling menyayangi antara satu sama lain demi membina keluarga dan masyarakat yang bahagia. Hal ini dapat dilihat apabila Pak Long Karim tetap memelihara Hilmi dengan penuh kasih sayang seperti anak sendiri walaupun dia mengetahui bahawa Hilmi bukanlah anak kandungnya. Sebenarnya, Hilmi ialah anak kandung Datuk Johari yang sempat menjalinkan hubungan dengan isteri pertamanya, ibu Hilmi pada malam pertama perkahwinan mereka sebelum meninggalkannya. Jadi, peristiwa ini memberi iktibar kapada kita supaya saling menyayangi sesama manusia.
Selain itu, kita juga hendaklah ikhlas dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan. Tamsilnya, Encik Bakar, Dr. Nathan dan Mamat ikhlas dalam menghulurkan bantuan kepada orang lain tanpa mengharapkan sebarang balasan. Encik Bakar ikhlas mengajar muzik kepada Hilmi tanpa mengenakan sebarang bayaran. Hal ini menjadi iktibar kepada pembaca supaya sentiasa ikhlas dalam menghulurkan pertolongan kepada orang lain supaya segala yang dilakukan akan diberkati dan diredai Allah.
Di samping itu, setiap orang perlu bersimpati kepada orang lain. Hayati berasa simpati kepada Hilmi apabila Datin Salmah tidak membenarkan Hilmi makan malam kerana Hilmi pulang lewat dari rumah Encik Bakar. Sebagai tanda simpatinya, Hayati telah memujuk Himi agar makan malam kerana bimbang Hilmi akan kelaparan. Iktibarnya, sebagai manusia yang prihatin, kita harus bersimpati terhadap orang yang bernasib malang dan memerlukan bantuan.
Seterusnya, setiap orang perlu memberi layanan yang baik kepada tetamu tanpa mengira status. Hal ini memang menjadi amalan masyarakat Timur. Oleh itu, Hayati mempelawa Hilmi masuk ke dalam rumah setelah dia mengetahui Hilmi itu tetamunya. Dia juga mempelawa Hilmi duduk dan meminta Mak Minah menyediakan minuman untuk Hilmi. Sikap Hayati ketika melayan tetamu yang datang ke rumahnya wajar dijadikan ikutan oleh setiap anggota masyarakat.
No comments:
Post a Comment