Sesebuah novel yang menarik mempunyai ciri-ciri yang dapat menarik minat pembaca untuk menghayati ceritanya. Novel Konserto Terakhir, karya Abdullah Hussain juga mempunyai ciri-ciri yang menarik.
Antara ciri yang penting ialah temanya. Novel ini memaparkan tema ketabahan dan kegigihan seorang pemuda kampung untuk mencapai kejayaan. Hilmi yang tidak mempunyai pendidikan tinggi akhirnya telah menjadi seorang penggubah lagu yang terkenal berkat ketabahan dan kegigihannya. Untuk membuktikan kejayaannya, dia diberi penghargaan untuk memimpin Pertunjukan Orkes Perdana yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.
Selain itu, novel yang menarik juga mengetengahkan gaya bahasa yang menarik. Novel Konserto Terakhir telah memaparkan gaya bahasa yang baik dan dipenuhi dengan diksi moden seperti penggunaan bahasa asing iaitu bahasa Inggeris untuk menyokong latar masyarakat dalam cerita. Contohnya, penggunaan I, you dan coffee morning oleh Datin Salmah menggambarkan dia seorang yang berpendidikan dan berstatus tinggi serta hidup mewah.
Ciri menarik yang seterusnya ialah watak antagonis yang berjaya menghidupkan jalan cerita. Penulis berjaya menghidupkan watak antagonis dengan berkesan. Watak antagonis dalam novel ini ialah Datin Salmah. Kekejaman yang dilakukan oleh Datin Salmah dan kebenciannya terhadap Himi telah berjaya meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembaca. Contohnya, Hilmi dilarang makan malam adalah antara bentuk hukuman yang keras dijatuhkan oleh Datin Salmah. Datin Salmah sanggup menjatuhkan hukuman itu tanpa perikemanusiaan. Tindakan Datin Salmah ini berjaya menimbulkan rasa benci pembaca terhadapnya.
No comments:
Post a Comment