Sunday, November 6, 2016

KARANGAN SPM 5/16



Soalan:

Kesedaran sivik merupakan aspek penting dalam kehidupan. Namun sikap ini semakin kurang diamalkan dalarn kalangan masyarakat. Huraikau punca wujudnya keadaan ini dan cara-cara untuk menerapkan kesedaran tersebut.

Karangan Contoh:
 
     Kesedaran sivik boleh ditakrifkan sebagai rasa sedar yang mendalam dan berterusan serta muncul dari hati seseorang atas dasar tanggungjawab untuk memelihara hak dan kepentingan awam. Kesedaran sivik akan menjadikan seseorang individu itu warganegara yang ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan kepentingan awam untuk dikongsi bersama. Hari ini, kita begitu megah mengatakan bahawa negara kita telah maju dan pesat membangun seiring dengan era globalisasi namun, malangnya tanpa kita sedari kesedaran sivik dalam kalangan rakyat Malaysia begitu rendah malah semakin luntur ditelan arus pemodenan. Hal ini terbukti apabila masih terdapat dalam kalangan masyarakat kita, individu-individu yang masih tidak menghormati satu sama lain. Kata-kata, “Yang muda disayangi, yang tua dihormati,” tidak dapat kita lihat daripada perlakuan mereka. Buktinya, sampah-sarap dibuang di merata-rata tempat telah mengotorkan dan menyakitkan mata memandang bukan lagi perkara asing di negara kita. Di manakah silapnya sehingga pada zaman negara mengorak langkah ke arah menjadi negara maju pun, fenomena negatif yang memperlihatkan kerendahan kesedaran sivik masyarakat kita masih berleluasa dan dapat kita lihat di mana-mana? Oleh itu, kita harus meneliti dan mendalami punca permasalahan ini agar langkah yang ampuh dan berkesan dapat dilaksanakan bagi menyuburkan kesedaran sivik ini dalam kalangan masyarakat kita.

     Memang tidak dapat dinafikan bahawa segala-galanya bermula dari rumah. Kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita berpunca daripada keruntuhan institusi kekeluargaan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat masyarakat kini menjadikan rumah sebagai neraka buat anak-anak mereka. Kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati bahawa kadar perceraian dan rumah tangga bermasalah semakin hari semakin meningkat terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, George Town dan Johor Baharu. Perceraian memperlihatkan masalah rumah tangga antara suami isteri yang berpunca daripada permusuhan, perkelahian dan kecurangan antara suami isteri. Siapakah saksi kepada semua permasalahan ini? Sudah pastilah jawapannya ialah anak-anak. Menyaksikan ibu bapa seperti anjing dengan kucing, akan mempengaruhi pertumbuhan jiwa anak-anak terutama remaja yang sedang meningkat dewasa. Perasaan marah kepada ibu bapa ini akan mendorong mereka melepaskan kemarahan itu di luar rumah, iaitu dengan menconteng tempat-tempat menunggu bas atau merosakkan harta benda awam seperti tandas dan telefon awam. Sikap ini dapat diumpamakan seperti marahkan pijat, kelambu dibakar. Segala perlakuan ini menjadi bukti betapa rendahnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita. Jadi, tidak keterlaluan jika kita menyatakan bahawa salah satu punca kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat adalah berpunca daripada kelonggaran dalam institusi rumah tangga itu sendiri sehingga menyebabkan jiwa anak-anak menjadi tidak subur atau terbantut yang akan memberi impak kepada perlakuan mereka yang tidak bermoral.

     Selain itu, semangat patriotik yang rendah juga menjadi sebab lunturnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Anak-anak hari ini kurang dididik agar berbangga menjadi rakyat Malaysia. Oleh itu, perasaan sayang akan negara dan berbangga menjadi warganegara Malaysia masih amat kurang dalam kalangan masyarakat kita. Satu contoh yang jelas membuktikan pernyataan ini adalah apabila Lagu Kebangsaan, Negaraku, berkumandang di udara, berapa ramaikah antara kita yang berhenti dan berdiri tegak secara sukarela bagi menghormati lagu tersebut? Tidak keterlaluan dikatakan bahawa jumlahnya adalah terlalu sedikit; iaitu hanya dalam kalangan warga ‘senior’ kita. Apabila tahap kesedaran dan kecintaan terhadap negara rendah, natijahnya perasaan ‘Negara KitaTanggungjawab Kita’ juga turut kurang dalam diri setiap individu. Lantaran itu, ada yang tidak berasa bersalah apabila mereka membuang sampah di tempat-tempat yang tidak sepatutnya, seperti ke dalam sungai atau di mana-mana yang difikirkan selesa untuk mereka berbuat demikian. Perkara yang jelas adalah wujudnya sikap, ‘aku, aku’ dan ‘engkau, engkau’ dalam diri masyarakat kita. Oleh itu, perasaan sepunya terhadap harta benda awam, perasaan menghormati pelbagai kaum atas dasar ini ialah tempat kita dan negara ini ialah negara kita dan kitalah yang bertanggungjawab atas keharmonian, kesejahteraan serta keindahannya, tidak wujud dalam diri mereka yang terlibat. Maka, sehingga hari ini, kita masih menyaksikan perlakuan-perlakuan negatif yang memperlihatkan bahawa tahap kesedaran sivik masyarakat ternyata masih rendah.

     Pada era globalisasi ini, negara kita begitu ghairah untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Dalam keghairahan mengejar kemajuan dan fatamorgana hidup terutamanya dalam aspek kebendaan telah mewujudkan golongan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Kemajuan serta pembangunan pesat juga telah meragut semangat kejiranan dan kemesraan dalam masyarakat. Sikap ‘siapa lu siapa gua’ semakin berleluasa. Hidup bak ‘enau dalam belukar, hanya melepaskan pucuk masing-masing’ sudah menjadi kelaziman dalam masyarakat. Natijahnya, kepentingan terhadap kebendaan ini menyebabkan seseorang bertindak tanpa mementingkan perasaan dan kebajikan orang lain. Dengan alasan tidak mahu menjaga tepi kain orang lain, masyarakat, terutamanya yang di bandar-bandar besar hanya sibuk dengan kerjaya dan urusan masing-masing. Kegiatan gotong-royong yang diadakan hanya akan disertai jika terdapat orang-orang besar yang merasmikannya. Jika tidak, amalan bergotong-royong itu tidak akan mendapat sambutan. Oleh yang demikian, kita menyaksikan masyarakat di bandar-bandar besar mengadakan majlis kenduri dan perkahwinan di hotel-hotel. Dengan berbuat demikian, mereka sebenarnya telah membunuh semangat kerjasama yang mewujudkan silaturrahim serta keharmonian dalam masyarakat. Peluang untuk saling mengenali dan bertegur sapa antara jiran juga tidak dapat dipraktikkan. Jadi, tidak hairanlah jika dikatakan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita semakin berkurang.

      Walaupun petanda-petanda kerendahan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat semakin jelas, namun kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan membiarkan permasalahan ini semakin serius. Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur, sebelum yang bengkok terus menjadi patah, langkah-langkah untuk mengembalikan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat perlu segera dilaksanakan. Dalam hal ini, kita terpaksa meletakkan tanggungjawab penting ini kepada pihak pendidikan. Hal ini juga turut disedari oleh Menteri Pelajaran kita. Oleh sebab itu, beliau telah mengarahkan agar kurikulum semua mata pelajaran yang sedia ada dirombak semula. Jika melalui Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM), elemen nilai-nilai murni wajib diterapkan dalam setiap mata pelajaran, maka dalam kurikulum baharu yang disemak semula, perkara ini ditambah pula dengan meletakkan elemen semangat patriotik sebagai sesuatu yang wajib diterapkan dalam pengajaran. Selain itu, mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan telah dimasukkan dalam kurikulum sekolah dan wajib dipelajari oleh semua pelajar. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah menyatakan bahawa kita perlu mencontohi sikap masyarakat Jepun. Walaupun negara mereka semakin maju, namun, masyarakatnya masih mengekalkan nilai-nilai murni di samping mengamalkan budaya dan adat resam bangsa mereka. Semangat inilah yang membawa negara mereka pada kemajuan kerana rakyatnya sanggup berkorban jiwa dan raga demi negara yang tercinta. Tegasnya, dalam usaha menerapkan kesedaran sivik yang tinggi dalam diri masyarakat kita, maka perubahan dalam sistem pendidikan wajib dilaksanakan.
 
      Cara yang seterusnya untuk membentuk masyarakat yang mempunyai tahap kesedaran sivik yang tinggi adalah melalui tindakan tegas dan penguatkuasaan undang-undang. Jika kita tinjau ke negara jiran kita iaitu Singapura, kita akan begitu kagum akan rakyatnya yang begitu patuh akan peraturan serta amat bertanggungjawab terhadap harta benda awam. Namun begitu, dasar sebenar sikap tersebut adalah daripada ketegasan kerajaan Singapura mendidik rakyatnya. Setiap mereka yang didapati melanggar peraturan awam akan terus didenda. Malahan, dalam perkara penggunaan tandas awam pun, Singapura sentiasa memastikan penggunaannya yang betul. Sesiapa yang didapati tidak menarik pam air selepas menggunakan tandas akan dikenakan hukuman pada masa itu juga. Negara kita juga perlu menguatkuasakan peraturan dan undang-undang yang melibatkan rakyat yang kurang kesedaran siviknya ini. Jika Singapura mewajibkan aktiviti khidmat masyarakat kepada sesiapa yang didapati melanggar hak-hak penggunaan harta benda awam seperti telefon awam, dan pembuangan sampah-sarap, mengapakah kita tidak boleh melaksanakannya? Golongan masyarakat yang ‘berkepala batu’ dan terlalu mementingkan diri sendiri ini sememangnya perlu dikenakan tindakan tegas. Setakat ini, tiada tindakan yang diambil terhadap mereka yang tidak dapat membezakan antara tong sampah dengan tempat menunggu bas. Dalam hal ini, tindakan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) menangkap orang ramai yang mengotorkan tempat-tempat awam dan mewajibkan mereka membersihkan tempat itu semula adalah amat dipuji. Hal ini disebabkan, melalui pelaksanaan peraturan yang tegas itu, orang ramai akan sentiasa beringat-ingat semasa menggunakan segala kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk kemudahan mereka. Izharlah bahawa hukuman atau tindakan yang tegas dan berat dapat menanam kesedaran sivik dalam diri masyarakat kita.

      Secara tuntasnya, terdapat beberapa punca yang menyebabkan kesedaran sivik rakyat Malaysia semakin luntur dan beberapa langkah dapat diambil untuk menangani permasalahan tersebut. Walaupun masalah kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita belum begitu parah, namun, kita perlu berusaha untuk membaikinya. Hal ini terutamanya dalam kalangan generasi muda kita kerana merekalah yang bakal mencorakkan hala tuju masa depan negara. Kita menginginkan agar kemajuan yang kita kecapi selaras dengan pembangunan jiwa dan peribadi anak-anak bangsa kita. Dalam menyedari hakikat bahawa kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat masih rendah atau semakin luntur, semua pihak harus membuka mata dan memainkan peranan masing-masing untuk membina satu bangsa Malaysia yang berjaya dan mempunyai tahap kesedaran sivik yang tinggi kerana negara kita menjadi tanggungjawab kita. Oleh itu bersama-samalah kita seluruh warga negara yang tercinta ini memupuk sikap saling bekerjsama dan saling bersatu hati agar kemajuan yang diingini tercapai tanpa mengorbankan nilai dan susila bangsa dan agama kita.
Janganlah diabaikan pesanan ahli filsuf Tao iaitu jika kita mahu hidup setahun tanamlah gandum, jika kita mahu hidup sepuluh tahun tanamlah pokok dan jika kita mahu hidup selama-lamanya tanamlah jiwa manusia. Sekiranya kita ingin melihat kesedaran sivik masyarakat kita kukuh, marilah kita bersama-sama menanam jiwa manusia dengan kesedaran sivik tanpa menunggu hari esok.

No comments:

Post a Comment