Sunday, November 2, 2014

FOKUS AKHIR SPM 2 - KELUARGA BAHAGIA



 1.  PEMBENTUKAN KELUARGA YANG BAHAGIA BUKAN SAHAJA BERGANTUNG PADA PERANAN IBU BAPA TETAPI JUGA PADA FAKTOR-FAKTOR LAIN.   BERIKAN PENDAPAT ANDA TENTANG PERNYATAAN INI.                                              

              Marcapada, masyarakat hari ini lebih ghairah mengejar kemewahan dan habuan duniawi di atas tanah datar ini. Masyarakat pada era golbalisasi ini dikatakan lebih individualistik bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan lebih bersikap materialistik atau bermata duitan. Tanpa disedari, kepentingan keluarga terabai oleh masyarakat. Senario ini lebih membimbangkan apabila Mahkamah Syariah Kuala Lumpur melaporkan setiap 15 minit satu kes perceraian dilaporkan berlaku. Statistik ini menunjukkan betapa rapuhnya institusi kekeluargaan di negara kita pada hari ini sedangkan sebahagian daripada kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah dengan memiliki keluarga yang bahagia. Menurut mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato` Seri Shahrizat Abdul Jalil, keluarga bahagia merupakan asas kepada pembentukan masyarakat penyayang. Beliau juga mengatakan bahawa dengan pembentukan keluarga bahagia, masyarakat dapat hidup dalam keadaan yang aman dan harmonis tanpa pertelingkahan serta perselisihan faham. Melalui pembentukan keluarga bahagia, individu yang kamil dan dihormati dapat dilahirkan yang sudah tentu akan dapat memberikan sumbangan terhadap pembangunan negara. Tanggungjawab membentuk keluarga bahagia tidak hanya bergantung pada satu pihak sahaja sebaliknya memerlukan kerjasama dan komitmen daripada pelbagai pihak bak kata  peribahasa Melayu, “bagai aur dengan tebing”. Tidak dapat disangkal bahawa ibu bapa menggalas kewajipan yang dominan bagi membentuk keluarga bahagia, namun terdapat juga pihak lain yang memainkan peranan yang penting dalam membentuk keluarga bahagia.

            Ibu bapa menggalas tanggungjawab yang penting bagi membentuk keluarga bahagia. Ibu bapa merupakan ketua keluarga yang akan membawa ahli keluarganya ke arah kehidupan yang bahagia dan semmpurna. Nabi Muhammad s.a.w pernah besabda bahawa anak-anak merupakan kain putih ibu, bapa yang memainkan peranan untuk mencorakkan kehidupan anak-anak sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Didikan dan asuhan ibu bapa penting supaya anak-anak menjadi golongan berkualiti serta dihormati dan tidak menjadi golongan barbar yang menjadi agen perosak terhadap pembangunan negara. Dalam hal ini, ibu bapa yang merupakan tulang belakang keluarga dapat mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga dengan memperingati hari jadi ahli keluarga, mengadakan hari keluarga, melancong dan sebagainya. Apabila wujudnya suasana yang harmoni di rumah, anak-anak akan berasa lebih selamat dan selesa untuk berada di rumah daripada membazirkan masa dengan berpeleseran di luar rumah. Ibu bapa harus mentarbiah anak-anak mereka dengan menyemai nilai-nilai murni dan budaya ketimuran dalam sanubari anak-anak sejak berumur setahun jagung lagi bak kata pepatah bagai ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Ibu bapa harus meluaskan harizon pemikiran mereka dengan bersikap lebih terbuka. Mereka harus menerima pandangan anak-anak serta sentiasa berbincang dengan mereka supaya anak-anak akan berasa lebih selesa meluahkan perasaan kepada ibu bapa. Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak mereka menelusuri jalan kehidupan yang betul dengan memberikan perhatian dan kasih sayang yang secukupnya bagai ‘menatang minyak yang penuh’. Ibu bapa juga seyogiannya memberi hadiah dan galakan atas kejayaan ank-anak. Hal ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pembentukan masyarakat penyayang yang merupakan cabaran yang ketujuh dalam usaha mencapai visi dan kudsi Wawasan 2020. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam usaha membentuk keluarga bahagia demi kemajuan masyarakat dan negara.

          Namun begitu, peranan pihak lain tidak wajar dikesampingkan. Selain ibu bapa, masyarakat juga memainkan peranan yang penting dalam pembentukan keluarga bahagia.  Masyarakat merupakan antara elemen penting yang dapat menetukan pembentukan seorang individu yang kamil dan seterusnya menyumbang kepada pembentukan keluarga bahagia.  Masyarakat di sesuatu kawasan tempat tinggal hendaklah sentiasa bekerjasama antara satu sama lain seperti aur dengan tebing dengan mengadakan kenduri, gotong royong, sukaneka dan rumah terbuka.  Penduduk yang menghadiri majlis rumah terbuka bersama keluarga mereka dapat menjalin semangat ukhuwah yang baik dengan penduduk setempat.  Dengan ini ahli keluarga dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan selesa.  Sudah menjadi fitrah dalam melayari bahtera perkahwinan ada masam manisnya kerana langit tidak selalu cerah. Oleh itu, masyarakat setempat hendaklah mengamalkan sikap menjaga tepi kain orang bagi membendung krisis rumah tangga yang berlaku dalam kalangan jiran kita. Masyarakat perlulah menasihati pasangan yang menghadapi konflik supaya berdamai demi kebaikan bersama terutamanya kepada generasi muda.  Dengan adanya keluarga yang harmoni, anak-anak tidak akan terlibat dalam kancah negatif seperti penyalahgunaan dadah, vandalisme dan gengsterisme.  Perkara ini akan menjamin golongan yang baru berdarah setampuk pinang ini dapat  menelusuri penitian jalan hidup dengan betul bagi menjadi individu yang berkualiti dan mengharumkan nama keluarga.  Jelaslah bahawa masyarakat turut memainkan peranan yang penting dalam usaha membentuk keluarga bahagia. 

            Jika dilihat dari dimensi yang lain, pihak kerajaan juga menggalas kewajipan yang setimpal dalam usaha membentuk keluarga bahagia.  Pihak kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang yang melibatkan hak kanak-kanak dan hak keluarga.  Hal ini dapat menyedarkan dan menginsafkan orang ramai tentang hak insan yang lemah terutamanya anak-anak. Tamsilannya, Akta Perlindungan Kanak-kanak 1948 memberikan perlindungan kepada anak-anak yang didera.  Akta ini melindungi hak kanak-kanak sebagai individu yang harus menikmati kehidupan yang selamat dan bahagia.  Ibu bapa akan mengambil inisiatif untuk melindungi kanak-kanak daripada sebarang penderaan dan seterusnya mendidik mereka menjadi insan yang berguna.  Kerajaan juga mestilah menyediakan penghargaan kepada ibu bapa yang berjaya mewujudkan keluarga bahagia. Hal ini merupakan salah satu langkah optimum bagi membentuk masyarakat madani pada hari muka.  Sebagai misalan, pemberian Anugerah Ibu Mithali yang mengiktiraf kejayaan seorang ibu mentarbiah anak-anaknya menjadi individu cemerlang menjurus ke arah pembentukan modal insan minda kelas pertama yang seimbang dari segi jasmani, ekonomi, rohani dan intelek merupakan satu usaha yang berkesan untuk mendorong kaum ibu melaksanakan tanggungjawabnya dengan efektif.  Ringkasnya, kerajaan memainkan peranan yang afdal dalam pembentukan keluarga yang bahagia yang akan menjamin kehormanian masyarakat.

            Dalam nada yang berbeza, media massa juga turut berperanan dalam melahirkan keluarga yang bahagia. Hal ini dikatakan demikian kerana media massa merupakan wahana atau medium yang berkesan untuk mempengaruhi minda dan tingkah laku seseorang. Lebih-lebih lagi, pada zaman digital ini media massa telah semakin canggih seiring dengan kehendak arus modenisasi dan globalisasi yang pantas bergerak bagai belut diketil ekor ini. Sebagai buktinya, kini wujud buku digital, akhbar digital, laman sesawang yang kaya dengan laman sosial yang pelbagai seperti laman ‘blog’, ‘facebook’, ‘instagram’, ‘we chat’, ‘whatsApp’ dan sebagainya. Kecanggihan media massa pada hari ini dapat memudahkan usaha untuk melahirkan keluarga bahagia melalui kempen-kempen kesedaran yang efektif. Contoh kempen yang wajar dijalankan ialah kempen ‘Sayangi Keluarga Anda’, kempen ‘Keluarga Bahagia Teras Kemakmuran Negara’ dan kempen ‘Rumahku Syurgaku’. Kempen-kempen seumpama ini mestilah dijalankan secara berterusan atau berketiak ular dan bukannya hangat-hangat tahi ayam. Dengan adanya kempen-kempen ini, sudah pasti setiap anggota masyarakat mengetahui signifikan memiliki sebuah keluarga yang bahagia dan sakinah. Secara tidak langsung, mereka akan menjauhi daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan keharmonian keluarga mereka seperti pertengkaran antara ahli keluarga sebaliknya mereka akan berusaha untuk menanam benih-benih kasih sayang terhadap ahli keluarga mereka. Jadi, peranan media massa dengan menjalankan kempen kesedaran tentang peri pentingnya keluarga yang harmoni dapat mewujudkan keluarga yang bahagia dan marem.

            Sebagai konklusinya, dapat disimpulkan bahawa terdapat peranan pelbagai pihak selain ibu bapa dalam usaha melahirkan keluarga bahagia turut dianggap signifikan. Sesungguhnya mencintai keluarga adalah amanah bagi setiap manusia. Rasul saw bersabda, “Paling dekat denganku kedudukannya kelak pada hari kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya.”  Betapa tingginya darjat manusia yang sentiasa berbuat baik terhadap ahli keluarganya. Bertitik tolak dari sini, peranan ibu bapa untuk melahirkan keluarga bahagia memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Namun begitu, usaha ini tidak harus dipertanggungjawabkan kepada satu pihak sahaja kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi umpama ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk memastikan insitisusi kekeluargaan di negara kita tidak goyah walaupun diasak oleh pelbagai faktor. Diharapkan komitmen jitu daripada pelbagai pihak dapat menjamin keutuhan institusi kekeluargaan di negara kita demi menjamin kemakmuran negara. Dengan lahirnya keluarga yang bahagia, impian untuk mencapai Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh Perdana Menteri keempat dapat direalisasikan dengan mudah. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepeohon terus bergoyang dan biarlah imej negara terus terpelihara dengan sokongan dan dorongan daripada keluarga bahagia di negara kita. Maju keluarga, majulah negara.




2.      PERANAN IBU BAPA UNTUK MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA

Daripada keluarga, terpancarnya sinar kasih sayang di antara ahlinya
Daripada keluarga, lahir rasa menghormati dan saling memerlukan yang tidak terucapkan
Daripada keluarga, lahirnya insan yang bertanggungjawab terhadap dirinya serta insan lain yang memerlukan

                 Ayat-ayat di atas memaparkan signifikannya keluarga dalam kehidupan seseorang. Keluarga merupakan satu institusi yang amat penting dalam sesebuah masyarakat. “Baiti Jannati” atau “Rumahku Syurgaku” merupakan pepatah Arab yang sudah tidak asing lagi dalam kehidupan seharian kita. Rumah merupakan tempat terperciknya sinar kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Rumah tangga yang bahagia dan ceria akan melahirkan warga yang juga memiliki ciri-ciri kejiwaan yang sihat seperti gembira, yakin akan kebolehan diri dan sebagainya. Namun begitu, langit tidak selalunya cerah. Allahyarham seniman agung tanah air, Tan Sri P.Ramlee pernah mengatakan bahawa sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Kehidupan berkeluarga tidak lari daripada pergolakan dan perselisihan. Senario ini terbukti apabila Mahkamah Syariah Kuala Lumpur melaporkan setiap 15 minit satu kes perceraian dilaporkan berlaku. Statistik ini menunjukkan betapa rapuhnya institusi kekeluargaan di negara kita pada hari ini sedangkan sebahagian daripada kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah dengan memiliki keluarga yang bahagia. Menurut mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato` Seri Shahrizat Abdul Jalil, keluarga bahagia merupakan asas kepada pembentukan masyarakat penyayang. Sebagai nakhoda dalam melayari bahtera perkahwinan, ibu bapa memikul obligasi yang berat untuk memastikan mahligai yang bina berada dalam kebahagiaan. Persoalannya, apakah peranan yang wajar dimainkan oleh ibu bapa untuk membentuk sebuah keluarga yang bahagia seperti yang diimpikan oleh semua pihak?

                 Peranan ibu bapa yang dominan ialah ibu bapa perlulah menjadi suri teladan kepada anak-anak. Peranan ibu bapa dalam usaha membentuk keluarga sakinah adalah amat penting. Ibu bapa perlu menjadi ‘role-model’ kepada anak-anak. Mereka harus sentiasa menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak. Sebagai contoh, seorang bapa perlu berinteraksi dengan sopan dan lemah-lembut dengan isteri dan anak-anaknya. Ibu dan bapa juga perlu saling menghormati antara satu sama lain. Kata orang, “ Yang tua dihormati, yang muda disayangi, barulah keluarga harmoni.” Apabila anak-anak melihat keharmonian kedua-dua orang tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu apabila berinteraksi sesama mereka kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.  Jika contoh yang murni diperlihatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak seperti sayang-menyayangi, toleransi serta prihatin akan membantu perkembangan jiwa anak-anak dan juga akan mengeratkan hubungan dalam kalangan anak. Jika hal ini terjadi, rumah akan menjadi syurga kepada anak-anak. Apabila kebahagiaan di rumah dapat dinikmati, maka anak-anak akan berusaha untuk membahagiakan ahli keluarganya dengan memelihara maruah ahli keluarga walau di mana sekalipun mereka berada kerana benih yang baik dicampak ke laut menjadi pulau. Tegasnya, tingkah laku yang baik yang dipaparkan oleh ibu bapa kepada anak-anak bakal dapat mewujudkan keluarga yang bahagia kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

                 Selain itu, ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan keibubapaan bagi memahami tanggungjawab besar yang terletak di atas bahu mereka dalam memastikan kebahagiaan keluarga mereka. Pengetahuan keibubapaan ini penting dapat dijadikan panduan kepada ibu bapa atau pasangan yang ingin mendirikan mahligai perkahwinan mereka terutamanya kepada pasangan yang masih mentah. Sememangnya alam perkahwinan penuh dengan asam garamnya. Itulah hakikat yang tidak dapat disangkalkan lagi. Sebagai contoh, bakal-bakal ibu dan bapa boleh mengikuti kursus-kursus praperkahwinan serta kursus pascaperkahwinan yang dikendalikan oleh pejabat agama daerah masing-masing. Dalam kursus-kursus tersebut, suami isteri akan mendapat ilmu untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagia melalui ceramah dan bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang berwibawa. Selepas mendapat ilmu tersebut, perkara yang lebih penting adalah bagi mereka mempraktikkannya untuk melahirkan sebuah rumah tangga yang penuh dengan sinar kebahagiaan. Dengan ini, banyaklah keluarga yang mithali dapat dilahirkan dan masalah keganasan rumah tangga dapat dielakkan. Pendek kata, ilmu pengetahuan keibubapaan yang dimiliki oleh mampu merealisasikan impian untuk melahirkan keluarga yang bahagia.
  
                 Jika kita lihat dari dimensi yang lain, pemberian perhatian dan kasih sayang yang secukupnya dari ibu bapa kepada ahli keluarganya juga dapat mewujudkan keluarga yang bahagia. Kasih sayang merupakan kunci utama kebahagiaan. Namun begitu, pada era yang penuh dengan persaingan yang sengit ini, masyarakat bertambah sibuk dengan usaha mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Hal ini disebabkan kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat. Statistik telah menunjukkan bahawa hampir 90 peratus ibu yang bekerja hanya bercakap dengan anak-anak mereka selama empat minit sehari. Hal ini merupakan perkara yang amat menyedihkan kerana anak-anak merupakan golongan yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa mereka. Oleh itu, demi membentuk keluarga yang bahagia, ibu bapa yang merupakan peneraju kehidupan dalam sesebuah keluarga perlu meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama dengan anak-anak mereka. Atas kepentingan ini, kerajaan telah mengumumkan hari Sabtu dan Ahad sebagai cuti umum bagi kakitangan awam. Manakala pihak swasta pula, turut memberikan pelepasan kepada para pekerja mereka pada Sabtu pertama setiap bulan. Ibu dan bapa seharusnya merebut kesempatan ini untuk bermesra dengan keluarga sambil merehatkan minda setelah penat bekerja. Menghabiskan waktu cuti dengan berkelah atau berekreasi bersama keluarga akan memberikan peluang kepada ahli keluarga untuk berhibur di samping meluangkan masa untuk mengeratkan hubungan di antara mereka. Oleh itu, sekiranya masa yang berkualiti untuk bersama-sama dengan anak-anak, tidak mustahil kebahagiaan dalam sesebuah keluarga akan dapat diwujudkan.

     Dalam nada yang sama, pemberian didikan agama dan moral yang sempurna dalam kalangan generasi muda juga dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga yang bahagia. Hal ini disebabkan oleh pegangan agama serta nilai moral yang kuat dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi di kalangan generasi muda. Kualiti ini akan melahirkan ibu dan bapa yang bertanggungjawab serta dapat memikul tugas membangunkan rumah tangga dengan efektif. Golongan yang berpendidikan agama ini akan mampu mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama suami isteri. Kesabaran kerana iman yang tebal juga akan mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai disebabkan alasan yang kadang kala tidak munasabah. Sebagai ibu dan bapa, kita perlu memberikan didikan agama yang kukuh serta menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral dalam kalangan anak-anak. Anak-anak yang sopan akan menghormati orang tua mereka serta saling bekerjasama sesama adik beradik. Benarlah kata  orang tua-tua, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing dan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Maka, jika semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga oleh ibu bapa, sudah pasti sebuah keluarga yang mantap dan harmoni akan dapat dilahirkan.

                 Akhir kalam, bayang kian jelas bahawa ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Institusi keluarga boleh diibaratkan sebuah bangunan yang terdiri daripada berjuta-juta batu-bata. Tanpa keluarga bahagia, sudah pasti kemakmuran negara akan terjejas. Banyak anak muda akan terlibat dalam kebejatan sosial yang sekali gus akan menjahanamkan agenda pembangunan negara sama ada dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Oleh itu, ibu bapa sebagai pemimpin atau khalifah keluarga mestilah memainkan peranan dengan sebaik-baiknya untuk memastikan keluarga yang dibina bahagia tanpa persengketaan. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab berat ini atas pundak ibu bapa sahaja kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Oleh itu, keluarga yang harmoni dan bahagia hanya akan dapat diwujudkan jika setiap individu yang menganggotainya telah melalui pelbagai proses pemupukan kejiwaan yang berkesan sejak kecil. Kesediaan setiap anggota untuk bersedia berkorban dan bertolak asur sesama mereka akan memudahkan proses pemupukan keluarga harmoni dan bahagia ini. Komitmen jitu daripada semua pihak ini sudah pasti dapat merealisasikan impian negaran untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat digapai dengan mudah. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah keluarga bahagia di negara kita dapat menyinari kemajuan dan kemakmuran negara sehingga diteladani oleh  mancanegara. Keluarga Asas Pembentukan Masyarakat. Maju keluarga, majulah masyarakat. Pincang keluarga, musnahlah masyarakat.


 3. Anda ingin menulis sebuah rencana yang bertajuk “Keluarga Impian Saya” untuk dimuatkan dalam ruangan akhbar tempatan. Tulis rencana itu selengkapnya.
Format : Rencana
Tajuk: Keluarga Impian Saya
Kata kunci: Ciri-ciri keluarga impian saya
Isi:
1.      Keluarga yang menitikberatkan ajaran agama
2.      Keluarga yang kaya dengan kasih sayang
3.      Keluarga yang mementingkan pendidikan akademik
4.      Keluarga yang mementingkan aspek penjagaan kesihatan
       5.   Keluarga yang prihatin akan masalah ahli keluarganya

*** Gunakan kata ganti nama diri SAYA dalam karangan

8 comments:

  1. Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. terima kasih atas contoh karangan yang sangat membantyu kerja rumah saya hihi!

    ReplyDelete
  4. Boleh tak cg.berikan cth rencana tentang "Keluarga bahagia tonggak keharmonian dalam kehidupan"

    ReplyDelete
  5. Terima kasih, sangat membantu saya membuat nota :)

    ReplyDelete