Tuesday, September 7, 2010

KESESUAIAN TAJUK NOVEL PAPA

Soalan: Berdasarkan novel yang anda pelajari, wajarkah pengarang menjudulkan novel itu dengan judul tersebut? Berikan alasan anda. (7 markah)
Berdasarkan novel yang telah saya kaji, iaitu novel Papa...(akhirnya kau tewas jua!) karya Deana Yusof, saya berpendapat bahawa pengarang wajar menjudulkan novel itu dengan judul tersebut.
Antara sebab saya bersetuju dengan judul tersebut adalah kerana papa Julia akhirnya menangis juga selepas mama menghembuskan nafasnya yang terakhir di hadapan papa. Selama ini, papa seorang yang tabah menerima segala dugaan yang menimpa keluarganya. Dia reda menerima ketentuan Ilahi. Walaupun anak kembar Siam papa meninggal dunia, papa tidak mengeluarkan air matanya. Namun, air mata papa tewas apabila insan yang paling disayanginya, mama pergi buat selama-lamanya. Buktinya, Julia melihat kelopak mata papa berair dan jatuh ke pipinya buat kali pertamanya.
Selain itu, papa juga tewas dalam membuktikan kesetiaannya kepada mama. Papa telah berjanji akan setia kepada mama. Namun, papa telah memungkiri janjinya dengan berkahwin buat kali kedua dengan Aisyah lantaran kesunyian hidup. Hidup papa sunyi kerana mama koma selepas melahirkan anak kembar Siamnya. Tindakan papa yang tidak mengotakan janjinya kepada mama telah mengecewakan mama dan akhirnya, mama meninggal dunia selepas papa memperkenalkan isteri baharunya kepada mama.
Demikianlah alasan-alasan yang membuktikan kewajaran penulis menjudulkan novel itu dengan judul yang telah diberikan.

No comments:

Post a Comment